Categories
ADN SELANGOR

DUN Bukit Melawati anjur kursus gunting rambut percuma selama sebulan

SHAH ALAM, 20 JAN: Pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati akan mengadakan program kursus gunting rambut secara percuma selama sebulan.

Juwairiya Zulkifli berkata penyertaan dibuka sehingga 7 Februari itu dianjurkan secara bersama dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) menyasarkan warganegara dan graduan menganggur.

“Kursus barber selama sebulan sahaja ini menjadikan pelajar lebih mahir dalam bidang pemotongan rambut dan dapat menjana pendapatan selepas selesai kursus.

“Peluang pekerjaan juga disediakan selepas tamat tempoh kursus,” katanya di Facebook.

Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui https://wasap.my/60134938577/barber-PejabatAdun

Menerusi infografik, peserta akan diberikan pakaian seragam dan kelengkapan latihan. Selain penginapan dan pengangkutan turut disediakan dengan makan dan minum sepanjang tempoh latihan juga diberikan percuma.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP setuju caj gunting rambut, dandanan naik RM1 hingga RM3

SHAH ALAM, 18 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersetuju membenarkan perkhidmatan gunting dan dandanan rambut mengenakan caj tambahan antara RM1 hingga RM3.

Pengarah penguat kuasa KPDNHEP berkata kenaikan itu bagi menampung kos tambahan pembelian apron pakai buang dan sarung tangan dipakai pelanggan, lapor Berita Harian.

“Keputusan ini dicapai hasil rundingan KPDNHEP dengan peniaga dan pihak kami beranggapan kenaikan kos ini munasabah demi memastikan keselamatan pelanggan itu sendiri.

“Peniaga yang didapati menaikkan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 serta boleh boleh didenda hingga RM500,000,” kata Datuk Iskandar Halim Sulaiman hari ini.

Beliau berkata setakat ini KPDNHEP mengeluarkan lima notis amaran terhadap pemilik kedai gunting dan pendandan rambut supaya mengembalikan caj perkhidmatan mereka kepada harga asal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tukang gunting rambut positif, 40 kontak rapat dikenal pasti

SHAH ALAM, 12 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti seramai 40 kontak rapat kepada seorang tukang gunting rambut warganegara Pakistan yang disahkan positif Covid-19 di Setapak, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kontak rapat sudah disaring dan diarah menjalani kuarantin di rumah manakala lelaki terbabit sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Hasil siasatan awal, kedai gunting rambut tersebut tidak beroperasi sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu namun beliau terus memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di kawasan sekitar.

“Terdapat 25 kontak rapat dikenalpasti dengan rekod panggilan telefon iaitu empat rakan serumahnya dan 21 pelanggan manakala selebihnya mendapat perkhidmatan sehingga semalam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lebih 2,000 tukang gunting rambut warga asing di negara ini perlu menjalani saringan terlebih dahulu sebelum kembali bekerja.

“Kita telah kaji hal ini…kebimbangan KKM ialah warga asing dan kalau lihat pada data setiap hari, kes positif melibatkan warganegara sudah kurang.

“Namun, warga asing perlu dilihat dengan teliti iaitu salah satu syarat untuk mereka mula bekerja perlu jalani ujian Covid-19,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

PKPB sambung atau tidak? Tunggu PM umum hari ini

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Persoalan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan atau tidak, dijangka diketahui hari ini menerusi perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman yang bakal disampaikan itu tepat pada masanya memandangkan tempoh PKPB yang bermula 4 Mei lepas akan berakhir dua hari lagi iaitu pada 9 Jun.

Jika diimbas, sejak PKP dilaksanakan 18 Mac lepas dengan hanya perkhidmatan perlu dibenarkan, kerajaan kemudian memberi kelonggaran secara berperingkat kepada lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi.

Terbaharu adalah perkhidmatan gunting, dandanan rambut dan kecantikan yang dibenarkan beroperasi mulai 10 Jun seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam.

Semestinya ia berita gembira untuk masyarakat, apatah lagi buat kaum Adam yang sering tertanya-tanya bilakah kedai gunting rambut akan dibuka. Mana tidaknya, lebih dua bulan tidak mendapat sentuhan pendandan rambut, pelbagai ‘gaya’ dapat dilihat dalam kalangan mereka sehingga ada yang menggunakan khidmat isteri sendiri untuk menggunting rambut.

Bagi wanita pula, khidmat kecantikan termasuk merias dan merawat kuku serta solekan dan rawatan muka juga dibenarkan beroperasi bermula pada tarikh sama.

Selain itu, peniaga di pasar terbuka, pasar pagi dan pasar malam serta bazaria di Wilayah Persekutuan kini boleh menarik nafas lega apabila premis berkenaan dibenarkan beroperasi mulai 15 Jun, tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sama ada PKPB disambung atau tidak, normal baharu yang telah diamalkan sekarang seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan termasuk kerap mencuci tangan tetap perlu diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Selain itu, elakkan tempat sesak, kawasan sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat seperti yang dinasihatkan oleh ‘jeneral perang Covid-19’, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah setiap hari.

Setakat semalam, jumlah jangkitan kes baharu positif Covid-19 masih kekal dua angka iaitu 37 kes dengan 10 kes melibatkan warganegara Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Operasi kedai gunting, dandan rambut dibenarkan bermula 10 Jun

SHAH ALAM, 6 JUN: Perkhidmatan gunting serta dandan rambut dibenarkan beroperasi semula bermula 10 Jun ini dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagaimanapun warga emas berusia 60 ke atas diwajibkan membuat temujanji terlebih dahulu sementara kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah perlu memakai alat pelindung diri dan apron pakai buang.

“Ini adalah perniagaan yang paling ditunggu-tunggu, oleh itu selepas perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), kedai gunting rambut, dandanan dan kecantikan akan dibuka 10 Jun dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya lagi, sektor perniagaan gunting rambut yang melibatkan 74,500 pekerja menjadi antara penyumbang ekonomi terbesar negara.

“Sektor ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak RM13.5 bilion setahun, jadi sumbangannya amat besar kepada pendapatan negara,” katanya.

Selain itu katanya, pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala dikongsi.

Ismail Sabri berkata SOP juga memerlukan pekerja memakai pelitup muka, apron pakai buang selain sarung tangan berbeza bagi setiap pelanggan.

Katanya, pengusaha juga perlu memastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Khidmat gunting rambut ke rumah tak dibenarkan

SHAH ALAM, 1 JUN: Perkhidmatan gunting rambut ke rumah pelanggan tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini Majlis Keselamatan Negera (MKN) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia sedang menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) berhubung perkara itu.

“SOP tak dibentangkan lagi dalam Mesyuarat Khas Menteri. Kita tunggu MKN bentangkan jika sudah siap.

“Selepas bentang baharu kita buat keputusan. Setakat ini operasi gunting rambut dalam senarai larangan termasuk di rumah,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Bermula Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac lalu, premis gunting rambut tidak dibenarkan beroperasi bagi mengekang penularan Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan teliti SOP kedai gunting rambut

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan sedang meneliti tatacara operasi piawai (SOP) kedai gunting rambut sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata persatuan perkhidmatan gunting rambut telah mengemukakan cadangan SOP tersebut dan ia perlu diperhalusi bagi mengelak penularan Covid-19.

“Masih ramai takut untuk menggunting rambut kerana isu penjarakan sosial sukar dilakukan selain turut membabitkan sentuhan, jadi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti SOP kedai gunting rambut.

“Kedai gunting rambut ada pelbagai kategori, ada di pusat membeli belah dan ada juga kedai mamak sediakan perkhidmatan gunting rambut, jadi SOP kena diperketatkan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Padah gunting rambut, lima lelaki ditahan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Polis menahan lima lelaki yang sedang menunggu giliran untuk menggunting rambut di sebuah kedai gunting yang beroperasi tanpa kebenaran di Gombak, semalam.

Kesemua mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditahan di sebuah premis di Batu 8 Jalan Lama Gombak, kira-kira jam 3 petang.

Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, aktiviti itu disedari sepasukan anggota Balai Polis Gombak yang menjalankan tugasan Op Covid-19 di kawasan tersebut.

“Serbuan dijalankan ke atas kedai itu kerana beroperasi tanpa kebenaran dan terdapat lima lelaki sedang memotong rambut dan menunggu giliran.

“Pihak polis mendapati mereka sengaja tidak mematuhi PKP, seterusnya ditahan dan dibawa ke Balai Polis Gombak untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pada 13 April lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melarang operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara sepanjang pelaksanaan PKP.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada pakar, badan bukan kerajaan dan rakyat.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: MITI teliti semula benar operasi kedai gunting rambut

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kerajaan Persekutuan mengkaji semula keputusan membenarkan khidmat gunting rambut beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu kerana tindakan tersebut bukan sahaja dipertikai malah dikritik orang ramai terutama di media sosial.

“Kita dimaklumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneliti semua pandangan rakyat serta memperhalusi perkara ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan kelonggaran ke atas sembilan industri untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Antara yang dibenarkan adalah seperti perkhidmatan gunting rambut, dobi, industri automotif, aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan kesihatan sosial.