Categories
AGENDA NASIONAL

Asap debu gunung berapi Sinabung, Sumatera masuk ruang udara negara malam ini

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Asap debu dari gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia yang meletus pada pukul 11.37 pagi tadi dijangka memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri-negeri di utara serta timur Semenanjung bermula malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata asap debu letusan gunung berapi itu akan turut memasuki ruang udara negeri-negeri di timur Semenanjung iaitu Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Keadaan ini (asap debu) boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras 1,500 hingga 5,000 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia dijangka tidak menjejaskan kualiti udara negara. Perkara itu adalah berdasarkan model trajektori HYSPLIT yang dijana MetMalaysia dan ramalan daripada Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC) Darwin, Australia.

Selain itu, beliau turut memaklumkan tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara akibat letusan gunung berapi itu dan keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) seluruh negara menunjukkan kualiti udara yang biasa iaitu pada kadar baik dan sederhana.

Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

MetMalaysia pantau pergerakan debu gunung berapi Sinabung

SHAH ALAM 24 MEI : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) terus melakukan pemantauan terhadap pergerakan asap dan debu letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata setakat ini tiada asap dan debu daripada gunung itu sampai ke Malaysia dan sehingga jam 12 tengah hari tadi, tiada letusan susulan berlaku.

“Tiada asap (dan) debu dari gunung berapi Sinabung sampai ke negara ini kerana kelajuan angin di permukaan sehingga paras 5,000 kaki adalah lemah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

SinabungKatanya, MetMalaysia memantau secara berterusan pergerakan asap dan debu letusan gunung berapi itu di kawasan ruang udara (FIR) Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

“Sekiranya berlaku letusan susulan dan asap debu itu memberi kesan kepada penerbangan dalam FIR tersebut, nasihat asap debu untuk penerbangan dikeluarkan,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Debu letusan Gunung Berapi Sinabung tidak jejas Malaysia setakat ini

KUALA LUMPUR, 23 MEI : Asap dan debu letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia dijangka tidak memberi kesan kepada Malaysia berikutan keadaan angin di negara ini bertiup dari arah barat laut.

Bagaimanapun Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata keadaan angin dijangka berubah bertiup dari arah barat daya mulai esok.

Sinabung“Sekiranya gunung berapi Sinabung berterusan meletus, asap debu boleh sampai di Semenanjung selepas 25 Mei atau 26 Mei,” katanya di dalam satu kenyataan media.

Enam orang disahkan maut setakat ini manakala tiga lagi kritikal akibat terkena debu panas gunung berapi Sinabung di daerah Karo, Sumatera Utara yang meletus sejak semalam.

Bernama melaporkan, Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Manusia Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho berkata, kesemua mangsa adalah penduduk tempatan.

Gunung berapi setinggi 2,460 meter itu adalah antara yang paling aktif di Indonesia dan pada 2014 beberapa penduduk terbunuh dan beribu-ribu yang lain dipindahkan akibat letusan gunung berapi itu.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangan keluar rumah jika abu gunung berapi Sinabung terbang ke M’sia

SHAH ALAM 12 FEB: Orang ramai dinasihatkan tinggal di dalam rumah dan menutup semua pintu dan tingkap jika abu dari letupan Gunung Berapi Sinabung, Sumatera Utara terbang ke arah Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga menasihatkan penduduk agar memakai topeng mulut atau menggunakan kain atau tuala basah sebagai alat perlindungan pernafasan jika udara tercemar.

sinabung11“Kanak-kanak, orang-orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan hendaklah mengelak atau mengurangkan aktiviti luar dalam tempoh berkenaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya minum banyak air, dan selalu membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau juga menasihatkan orang ramai mengelak memandu dalam keadaan berabu oleh kerana ia boleh menyukarkan penglihatan yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Gunung Sinabung berada dalam keadaan yang mudah meletup sejak 15 September dan letupan terbaru bermula pada 30 Januari mengakibatkan pelepasan abu panas ke udara pada ketinggian 5km.

Sinabung1Walaupun kemungkinan penduduk Malaysia terdedah kepada abu itu rendah, namun wujud kemungkinan berlaku hal sedemikian khususnya di pantai barat Semenanjung dan bahagian selatan negara.

Dr Noor Hisham berkata mereka yang terdedah kepada abu berkenaan akan mengalami simptom gangguan mata, hidung, tekak dan kulit.

Beliau berkata kementerian akan terus memantau keadaan dan menasihatkan mereka yang menghidap masalah kesihatan berkaitan abu gunung berapi segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

– Bernama