Categories
AGENDA NASIONAL

Subsidi Kafa-i bantu keluarga susah tampung yuran anak

HULU SELANGOR, 8 DIS : Inisiatif Selangor memberi subsidi yuran Kelas al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (Kafa-i) sedikit sebanyak membantu keluarga terkesan akibat pandemik Covid-19.

Abd Halim Hamzah

Ketua Guru Sekolah Kafa-i Kampung Serigala Abd Halim Hamzah berkata bantuan RM30 sebulan besar maknanya kepada golongan susah terutama dalam keadaan kos sara hidup makin tinggi.

“Peningkatan kos sara hidup menyebabkan ada segelintir ibu bapa terpaksa tangguh bayar yuran sekolah anak.

“Kami faham kesusahan mereka ditambah pula dalam situasi pandemik. Apabila Kerajaan Selangor umum perkara ini, saya rasa ia merupakan khabar gembira kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Penyerahan Komputer Kepada Sekolah Kafa-i oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu di sini.

Siti Zabedah Muklas

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Agama Hulu Selangor Murni Muhammad berkata pihaknya menyambut baik usaha Kerajaan Selangor yang sentiasa cakna terhadap nasib rakyat.

“Dengan subsidi ini saya percaya mungkin selepas ini lebih ramai ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke sekolah Kafa-i.

“Namun, saya berharap masyarakat menggunakan insentif diberikan Kerajaan Selangor ini sebaiknya,” katanya.

Pada 26 November, Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 mengumumkan pemberian subsidi RM30 sebulan kepada 14,000 murid daripada keluarga B40

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian sekali bayar itu julung kali dilaksanakan dan inisiatif juga sebagai galakan kepada masyarakat menyediakan pendidikan agama Islam untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.

Categories
AGENSI SELANGOR

Guru Kafa enggan divaksin berisiko dibuang kerja

SHAH ALAM, 21 NOV: Guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) negeri ini yang terus berdegil menolak suntikan vaksin Covid-19 berdepan tindakan tegas termasuk diberhentikan kerja.

Tindakan itu berikutan mereka tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka mengikut tatacara operasi piawai (SOP), tegas pengarah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) seperti dilapor Harian Metro.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan peringatan dan nasihat diberikan pada peringkat awal termasuk notis pengambilan suntikan di klinik berhampiran kediaman.

“Kita tidak mahu menyusahkan mereka. Mengikut peraturan pekerjaan, guru ini boleh diambil tindakan jika ingkar arahan majikan. Suntikan boleh dibuat di mana-mana. Selepas divaksin, laporkan ke Mais,” katanya.

Abdul Aziz berkata pihaknya tidak mempunyai data guru yang enggan divaksin tetapi ia membabitkan sebilangan kecil mereka yang memberi alasan masalah kesihatan.

“Kempen pengambilan vaksin seperti penerangan juga dibuat. Jika masih berdegil, tindakan lanjut akan diambil,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Atur dialog kakitangan agama tolak vaksin bersama mufti

KLANG, 30 SEPT: Kakitangan institusi agama di negeri ini yang enggan menerima vaksin akan dibawa bertemu golongan agamawan termasuk mufti.

EXCO hal ehwal agama islam berkata pendekatan itu antara usaha memujuk kumpulan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah untuk menerima suntikan pelalian

“Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah memujuk tetapi masih ada enggan. Jika alasan agama maka kita temukan mereka dengan alim ulama termasuk mufti untuk berdialog dan bersoal jawab.

“Kalau alasan kesihatan kita boleh aturkan mereka dengan pakar kesihatan untuk memberikan maklumat lebih jelas,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau ditemui selepas mengedar 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) DUN Sungai Kandis dalam program vaskin remaja di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin, di sini hari ini.

Pada 22 September,  Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jais syor terus pujuk kumpulan agama yakin terima vaksin

SHAH ALAM, 27 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengemukakan cadangan bagi memujuk kumpulan agama yang menolak untuk divaksin dalam sesi menghadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada minggu ini.

Pengarahnya Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata langkah itu bagi mengelak guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), ahli jawatankuasa masjid serta jurunikah terbabit dikenakan tindakan.

“Kita akan kemukakan cadangan ke arah positif dan pujuk mereka menerima vaksin, kalau hendak hukum sudah lama keluarkan surat tindakan.

“Tetapi kalau mereka tidak mahu juga, kita akan terus ambil tindakan,” katanya ditemui media di sini, hari ini.

Pada 22 September lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru Kafa, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak untuk divaksin.

Baginda juga kecewa apabila hanya 203 individu sertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jais sedangkan seramai 873 orang diarahkan hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

JKNS sedia anjur semula program vaksin guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah

SHAH ALAM, 23 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sedia menganjur semula program pelalian untuk kumpulan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Pengarahnya Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pihaknya memahami kumpulan terbabit tidak mendapat input yang betul tentang vaksin.

“Mungkin apabila melihat kawan-kawan yang mengambil vaksin boleh mengajar dan terpanggil untuk mengambil suntikan kita akan cuba berikan.

“Kita akan mengadakan program vaksinasi sama seperti ini dan mereka boleh hadir walaupun tanpa janji temu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program vaksinasi khas Frontliner Jais di di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Terdahulu, seramai 872 guru Kafa, pegawai masjid dan jurunikah diarah hadir menerima suntikan menerusi program yang dihadiri Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Bagaimanapun Mohd Shahzihan memaklumkan setakat jam 11 pagi semalam seramai 146 telah hadir tetapi 80 peratus daripadanya menolak terima vaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin guru Kafa, Jais mudahkan sesi pengajaran di sekolah

SHAH ALAM, 23 OGOS: Pemberian vaksin kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) serta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan memudahkan sesi pengajaran di sekolah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah suntikan pelalian penting bagi menjamin kesihatan warga pendidik.

“Beta ambil maklum kenyataan Dato’ Menteri Besar baru-baru ini bahawa guru Kafa dan Jais akan diutamakan bagi pemberian vaksin untuk memastikan kesihatan mereka dipelihara dan memudahkan sesi pembukaan sekolah tidak lama lagi,” titah Baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.

Awal bulan ini, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua guru lantikan Jais akan menerima suntikan sebelum sesi persekolahan secara bersemuka melalui inisiatif vaksin negeri dan pusat.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook Media Selangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Caruman Perkeso guru Kafa jamin kebajikan warga pendidik

SHAH ALAM, 23 OGOS: Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) mampu menjamin kebajikan warga pendidik di negeri ini.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan perbelanjaan RM1.1 juta memanfaatkan seramai 4,200 guru Kafa.

“Beta amat berkenan dengan langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan caruman Perkeso kepada 4,200 guru Kafa. Langkah ini bagi memastikan kebajikan warga pendidik terus dijamin dan dipelihara,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Dalam titah Baginda, Sultan Sharafuddin turut berkenan pembinaan beberapa sekolah baharu yang beroperasi tahun ini dengan peruntukan keseluruhan RM22 juta.

Baginda bertitah sekolah tersebut meliputi Maahad Integrasi Tahfiz Selangor di Pandan Indah, Hulu Langat; Sekolah Rendah Agama (SRA) Denai Alam, Shah Alam dan SRA Country Homes, Gombak.

“Ini adalah bukti komitmen kerajaan beta bagi memastikan agenda pendidikan Islam terus diperkasa. Pendidikan adalah tunjang utama dalam aspek pembangunan modal insan,” titah baginda.

Siaran langsung sidang dewan negeri boleh ditonton menerusi Youtube SelangorTV dan Facebook MediaSelangor. Laporan berita pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Categories
AGENSI SELANGOR

Guru Kafa hargai usaha Kerajaan Negeri beri caruman Perkeso

SHAH ALAM, 27 NOV: Langkah Kerajaan Negeri membangunkan pendidikan Islam secara konsisten dan membela kebajikan guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) dipuji meskipun berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Guru Kafa Selangor menzahirkan penghargaan terhadap pimpinan Dato’ Menteri Besar berhubung pengumuman RM1.1 juta caruman majikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada mereka.

“Kami berterima kasih di atas pembentangan belanjawan yang terus membela kebajikan kami. Ini adalah hadiah yang sudah lama dinantikan dan Dato’ Seri memberikan di saat kami memerlukannya.

“Malah, peruntukan untuk Latihan Pembangunan Profesionalisme sebagai pendidik juga terus diberi membuatkan kami lebih sedar tanggungjawab dan lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas dan amanah,” kata Suhaimi Mahmud dalam kenyataan.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM1.1 juta caruman majikan Perkeso yang akan memanfaatkan seramai 4,200 guru Kafa di Selangor.

Selain itu, sejumlah RM377.77 juta disediakan termasuk mengurus dan membangunkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memantapkan institusi Islam di negeri ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Caruman Perkeso naikkan semangat guru Kafa terus bertugas

SHAH ALAM, 31 OKT: Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun hadapan dapat meningkatkan semangat guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) untuk mendidik pelajar.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata komitmen tinggi serta sikap bersungguh ditunjukkan guru akan melahirkan ummah terbaik selaras misi dan visi agensi itu.

“Jais harap guru meningkatkan kemahiran mendidik, terus mencuba menjadi yang baik dan berkesan, berdisiplin, menjaga masa serta bersemangat dalam bekerja,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor dan Dato’ Menteri Besar atas keprihatinan menjaga kebajikan serta masa depan guru Kafa negeri ini.

“Berita ini merupakan langkah terbaik dan pastinya menggembirakan semua guru Kafa,” katanya.

Semalam ketika membentangkan Belanjawan 2021, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.1 juta bagi mencarum 4,200 guru Kafa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

4,200 guru Kafa carum Perkeso antara RM378 juta dana majukan Islam

SHAH ALAM, 31 OKT: Seramai 4,200 guru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) di Selangor bakal menerima caruman majikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai tahun hadapan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2021 semalam berkata sebanyak RM1.1 juta disediakan untuk urusan berkenaan.

“Kerajaan Selangor amat cakna dan prihatin dengan perkhidmatan guru Kafa yang menyumbang bakti memberi didikan agama kepada anak Selangor,” katanya.

Beliau berkata sejumlah RM377.77 juta disediakan termasuk mengurus dan membangunkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memantapkan institusi Islam di negeri ini.

“Pada masa sama, Kerajaan Selangor memperuntukan RM2 juta untuk membiayai 200 pelajar menyertai Program Fast Track Tahfiz bagi memperkasa pendidikan tahfiz serta memberi peluang pelajar menceburi bidang profesional.

“Sebanyak RM2 juta turut diperuntuk bagi menjayakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (Iktisass) sebagai langkah melahirkan golongan tahfiz berdaya saing serta berkemahiran tinggi,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kawalan: 35,000 guru Kafa terima elaun penuh

SHAH ALAM, 21 MAC: Seramai 35,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) tetap menerima elaun RM1,000 bulan ini, walaupun tiada sesi pembelajaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakiman Mohd Yusoff berkata keputusan itu bagi membantu guru yang terjejas susulan perintah yang berkuat kuasa dari 18 hingga 31 Mac ini.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri bersetuju melaksanakan pembayaran penuh selari hasrat kempen Musaadah Covid-19 bagi membantu mereka yang terjejas dengan isu berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Semalam, Jakim turut mengumumkan 4,000 guru takmir masjid lantikan jabatan itu di seluruh negara menerima elaun penuh sepanjang perintah berkenaan.

Malaysia setakat ini melaporkan 1,030 kes positif Covid-19 dengan tiga kematian.

Categories
SELANGOR

Tokoh guru KAFA tak lupa kenangan kelas runtuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 JUN: Seorang tokoh guru, Md Mokhtar Abd Wahab tidak sesekali akan melupakan kenangan bangunan kelasnya runtuh ketika tahun pertama bergelar guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pada 1969.

Katanya, lebih mencabar apabila selepas kejadian itu kesemua muridnya lari kerana berpindah ke sekolah lain.

“Walaupun sudah berusia 71 tahun dan sudah pencen, kenangan itu terpahat dalam hati saya sampai bila-bila. Bayangkan waktu itu saya masih muda dan baru menjadi guru, betapa luluhnya perasaan.

“Namun saya kuatkan diri dan cuba bertahan. Alhamdulillah saya tidak sangka akhirnya pada usia sebegini ada yang mengiktiraf bakti selama ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika Majlis Sambutan Hari Guru dan Apresiasi Guru KAFA Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan.

Md Mokhtar yang juga bapa kepada lima anak dan 12 cucu itu berkata, kenangan manis yang tidak akan dilupakan adalah mengajar bersama bekas anak muridnya di Sekolah Rendah Agama Bukit Badong di Bestari Jaya.

“Hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu betapa bahagianya saya pada waktu itu, anak murid yang sebelum ini saya ajar sudah menjadi guru serta sama-sama memberi bakti.

“Walaupun ia berlaku hanya dalam tempoh dua tahun sebelum saya pencen pada 2004, tetapi detik itu sangat menyeronokkan,” katanya.

Beliau yang berasal dari Sabak Bernam itu juga sempat berpesan supaya kesemua bekas anak muridnya tidak meninggalkan al-Quran dalam hidup masing-masing.

“Guru sekarang juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu tambahan, kerana budak sekarang banyak cabaran.

“Sebagai guru agama, pastikan Aal-Quran sentiasa dekat dengan kita. Waktu kecil hingga mati pastikan kitab ALLAH SWT itu sentiasa bersama dengan kita,” katanya.