Categories
AGENDA NASIONAL

Pernah tolak vaksin, pasangan guru tahfiz terima suntikan demi keselamatan

HULU SELANGOR, 7 OKT: Pasangan suami isteri yang juga guru agama dari sebuah maahad tahfiz di Klang menyarankan lebih ramai individu mengambil suntikan dos vaksin.

Muhammad Ridwan Syahadan, 46, yang hadir bersama isterinya Mirna Rosiyan, 45, berkata mereka pernah mengelak untuk menerima pelalian itu kerana khabar angin seolah-olah vaksin memudaratkan.

Muhammad Ridwan Syahadan

“Sebelum ini kami ragu-ragu kerana banyak sangat berita kurang menyenangkan tetapi selepas menghadapi beberapa situasi sukar antaranya tidak boleh ke sekolah untuk mengajar.

“…menyebabkan kami berubah fikiran dan setuju divaksinasi. Alhamdulillah selepas dos pertama tiada sebarang kesan sampingan. Saya harap lebih ramai individu dan guru di bawah Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) terutamanya mengambil vaksin demi keselamatan diri dan orang sekeliling,” katanya.

Mirna Rosiyan

Pasangan itu antara 608 penerima dos pelalian di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali hari ini.

Masatin Tumiyati

Selain itu, Masatin Tumiyati, 47, berkata beliau bersyukur akhirnya lengkap dos vaksin dan berharap dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Selepas ini saya dapat kembali mengajar di tadika dengan lebih yakin dan selamat. Terima kasih Kerajaan Selangor semoga inisiatif ini diteruskan,” katanya.

Agus Selamat Hariyanto

Manakala, Agus Selamat Hariyanto, 41, berkata dia mengambil vaksin kerana rindukan anak dan isterinya di Indonesia yang hampir dua tahun tidak bertemu.

“Saya terlalu rindukan mereka, saya percaya tidak lama lagi kerajaan membenarkan merentas ke luar negara bagi individu yang lengkap divaksin,” katanya yang bekerja sebagai buruh.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Tidak sekadar mengajar, guru tahfiz perlu dekati masyarakat

OLEH AMIN RIDZUAN ISHAK

SHAH ALAM, 13 MAC: Pengurusan sekolah agama termasuk maahad tahfiz digesa terlibat aktif dengan komuniti setempat bagi kelancaran institusi berkenaan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut meminta guru menghadiri program kemasyarakatan di sekitar tempat mengajar dan tidak sekadar menyumbang khidmat di sekolah.

“Guru tahfiz dipandang mulia oleh masyarakat, justeru mereka perlu menampilkan diri supaya dikenali dan komuniti dapat mengambil manfaat ilmu serta pengalaman dimiliki.

“Mereka juga perlu aktif sebagai ahli jawatankuasa masjid atau surau di samping peranannya memberi syarahan, ceramah atau kuliah, hatta menjadi khatib solat Jumaat di masjid atau surau,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Graduasi Qurra’ Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) kali ketujuh di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berharap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terus membina hubungan baik bersama sekolah tahfiz persendirian yang berdaftar dengannya.

“Saya menyokong penuh usaha Jais yang membabitkan sekolah tersebut dengan program seperti kejohanan sukan dan Kemahiran Amal Islami.

“Pengalaman MITS melahirkan pelajar cemerlang harus dikembangkan untuk membantu Kerajaan Negeri melahirkan pelajar tahfiz persendirian yang berkualiti serta cemerlang,” katanya.