Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 8,000 guru baharu diminta semak penempatan, lapor diri 1 Mac

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Seramai 8,120 guru baharu bagi pengambilan khas secara ‘one-off’ yang berjaya dalam temu duga fasa dua dan tiga, boleh mula membuat semakan penempatan bermula semalam.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata semua guru tersebut akan mula melapor diri di sekolah masing-masing pada 1 Mac ini.

“Kepada calon yang berjaya dipilih, tahniah dan selamat bertugas saya ucapkan. Manfaatkanlah peluang menjadi guru untuk bekerja setulus hati ke arah melahirkan generasi pewaris negara yang lebih hebat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pengambilan khas guru secara ‘one-off’ yang membabitkan keseluruhan 18,702 orang adalah bagi merungkai isu kekurangan guru yang berlarutan sekian lama.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik, untuk mempercepatkan pelantikan dan penempatan baki pengambilan guru ‘one-off’ dalam masa terdekat.

Jelasnya langkah itu amat penting bagi menampung keperluan guru khususnya bagi sesi persekolahan akan datang.

“InsyaAllah KPM akan berusaha untuk menyelesaikan perkara yang telah lama berlarutan satu per satu. Teruskan memberi sokongan anda demi pendidikan generasi pewaris negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Guru, petugas Kemas dibenar berpolitik

KOTA BHARU, 22 JAN: Kerajaan hari ini mengumumkan kebenaran kepada semua guru sekolah di seluruh negara untuk berpolitik sebagai menghormati prinsip demokrasi iaitu hak seluruh rakyat untuk berpolitik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu turut melibatkan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk berpolitik.

Justeru kata beliau, Kementerian Pendidikan perlu mengeluarkan pekeliling mengenai kebenaran tersebut dengan segera sekiranya masih belum ada.

“Saya telah pun membawa perkara ini ke Kabinet dan memutuskan dalam menghormati prinsip demokrasi iaitu kebenaran rakyat untuk berpolitik maka kami telah membuat keputusan membenarkan guru-guru berpolitik.

“Kakitangan Kemas, dahulu dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun ketika era Pakatan Harapan (PH) mereka tidak dibenarkan berbuat demikian justeru saya ingin umumkan bahawa petugas Kemas juga bebas dan dibenarkan berpolitik.

“Jika pekeliling belum dikeluarkan, saya harap Kementerian Pendidikan segera mengeluarkan pekeliling tersebut agar tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri Bersama Ahli Biro Politik Umno Negeri di Bangunan UMNO Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Terdahulu, beliau memaklumkan sebelum ini ada pekeliling menyekat guru-guru daripada berpolitik sehingga ramai dalam kalangan pendidik berkenaan diberi amaran untuk diambil tindakan.

Bagaimanpun jelas Ismail Sabri, guru-guru dan petugas Kemas berkenaan masih tertakluk terhadap peraturan jabatan masing-masing.

“Seperti guru misalnya jika berpolitik hingga meninggalkan tugas mereka boleh diambil tindakan disiplin dan sebagainya, itu terserah pada jabatan (membuat penilaian),” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Serah nombor kad bank, pesara guru rugi RM100,000 ditipu penyamar ejen insurans

ALOR SETAR, 17 JAN: Seorang pesara guru wanita kerugian RM100,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ oleh seorang individu yang menyamar sebagai ejen insurans pada 3 Jan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa yang berusia 60 tahun dan berasal dari Changlun, Kubang Pasu itu menerima panggilan telefon berhubung satu kes kemalangan dan tuntutan insurans yang melibatkan mangsa.

“Mangsa yang menafikan tuntutan insurans berkenaan kemudiannya telah diarahkan untuk membuat laporan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur secara dalam talian. Panggilan itu telah disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari balai polis berkenaan.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan diminta untuk memberikan 16 digit nombor yang tertera di kad bank serta butiran perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata mangsa yang berasa curiga telah membuat semakan dan mendapati wang dari akaunnya berkurangan dengan berlaku pindahan wang secara berperingkat yang berjumlah RM100,000 dari akaun miliknya ke akaun milik suspek.

“Suspek telah menakutkan mangsa dan memaklumkan waran tangkap terhadap mangsa telah dikeluarkan dan bagi mengelakkan mangsa ditahan polis, mangsa perlu melaporkan diri kepada suspek menerusi aplikasi WhatsApp setiap dua jam.

“Mangsa yang bimbang kemudiannya telah membuat laporan polis pada 13 Jan lalu di Balai Polis Changlun dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Elias sehubungan itu meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM siasat dakwaan guru tolak vaksin diasing dalam stor tukang cuci

IPOH, 27 NOV: Siasatan penuh masih dijalankan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu tular seorang lelaki yang mendakwa sebagai guru, diasingkan di bilik simpanan stor tukang cuci oleh pihak sekolah di sini, kerana belum menerima vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata orang ramai diminta supaya tidak memperbesarkan perkara itu, dan perlu menunggu laporan hasil siasatan dijalankan oleh kementerian bersama pihak-pihak berkaitan.

“Pada saya elok jangan kita uar-uarkan perkara ini kerana akan menjadikan keadaan bertambah keruh. Jangan buat spekulasi dan tunggulah laporan penuh,” katanya yang juga timbalan presiden MCA, selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCA Perak hari ini.

Rabu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud dilaporkan berkata hasil siasatan penuh dan terperinci oleh Jabatan Pendidikan Negeri, telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan.

Dalam pada itu, Mah berkata kerajaan sentiasa menjaga kebajikan semua pihak khususnya murid dan guru ketika berada di sekolah, bagi sesi pembelajaran secara bersemuka.

“Mengenai guru belum sedia divaksinasi atau antivaksin serta mereka yang kita telah dikenal pasti tidak menerima vaksin, kita masih menunggu arahan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) berhubung tindakan yang boleh diambil.

“Bukan mudah hendak menjaga kebajikan guru, keutamaan kita juga kepada kebajikan guru lain yang telah lengkap vaksinasi dan murid,” katanya.

Sementara itu, video berdurasi lebih seminit yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok itu menunjukkan lelaki berkenaan meluahkan rasa kesal atas layanan yang diberi, dan mendakwa pada awalnya dia ditempatkan di stor pendidikan jasmani sebelum ditukarkan ke stor tukang cuci yang berdindingkan zink, atas alasan ia merupakan kawasan laluan dan mempunyai banyak peralatan sukan.

Lelaki itu juga mendakwa bilik stor tukang cuci itu hanya mempunyai meja dan kipas, tetapi tidak mempunyai kerusi serta plag untuk kegunaan komputer riba.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

97.5 peratus guru lengkap divaksin setakat hujung Oktober

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Sejumlah 97.5 peratus guru telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat 31 Okt lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata sebanyak 99.04 peratus guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Mengenai tindakan akan diambil terhadap guru yang enggan (mengambil vaksin), ia berpandu kepada arahan akan dikeluarkan oleh JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam),” katanya menjawab soalan tambahan Wong Ling Biu (PH-Sarikei) yang bertanyakan jumlah guru enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Menjawab soalan tambahan Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) mengenai video tular berkaitan layanan terhadap guru tidak mengambil vaksin Covid-19 dengan ditempatkan dalam tandas dan tempat terpencil, Mah berkata mana-mana pihak mempunyai maklumat berkaitan perkara itu boleh menyalurkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Memang menjadi keutamaan KPM untuk sentiasa memberikan keutamaan terhadap kebajikan guru dan murid serta semua warga pendidikan,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sarikei itu bertanyakan soalan mengenai pemindahan balik guru yang berasal dari Sarawak serta berapa ramai yang telah dipindahkan balik ke Sarawak sejak lima tahun lepas.

Berdasarkan rekod KPM dari 2017 hingga 2021, Mah berkata 1,023 guru berasal dari Sarawak telah diluluskan pertukaran dari Semenanjung ke negeri itu.

Beliau berkata pertimbangan permohonan pertukaran guru dibuat berdasarkan kepada prinsip asas dan kategori permohonan yang ditetapkan.

“KPM telah menetapkan tiga prinsip asas pertukaran iaitu kekosongan jawatan, keperluan opsyen serta kepentingan dan keperluan perkhidmatan.

“Dalam hal ini, permohonan pertukaran boleh dibuat berdasarkan kepada beberapa kategori iaitu kategori kesihatan, keselamatan, mengikut pasangan dan lain-lain,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam dari KPM paling ramai belum terima vaksin

PUTRAJAYA, 8 NOV: Penjawat awam di Kementerian Pendidikan dipercayai paling ramai belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika ini masih mengemas kini data penjawat awam yang masih belum divaksinasi dan proses itu dijangka selesai dalam tempoh dua minggu lagi.

Katanya, JPA sedang memadankan data-data mereka yang belum divaksinasi menggunakan Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) dan aplikasi MySejahtera daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat hari ini, data sedang dikemas kini dan JPA akan padankan balik apakah alasan-alasan yang diberikan untuk mereka dikecualikan daripada vaksinasi.

“Alasan yang diberikan ini kemudiannya akan dirujuk oleh setiap ketua jabatan… jadi ketua jabatan perlu turun ke bawah melihat dan memahami apa alasan yang diberikan untuk tidak divaksinasi,” katanya ketika ditemui selepas Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 hari ini.

JPA dalam pekeliling sebelum ini mewajibkan penjawat awam termasuk guru untuk mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum 1 Nov, atau mereka boleh berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Pada 1 Nov lepas, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pengurusan sekolah dibenar memeriksa sijil vaksinasi guru serta merta bagi memastikan tiada guru yang culas dalam mematuhi pekeliling dikeluarkan JPA yang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

Mohd Khairul Adib berkata setakat ini, tiada tindakan tatatertib dikenakan terhadap penjawat awam yang enggan menerima vaksin Covid-19.

“Kita faham, ada yang khuatir, takut terima vaksin, dan ada yang tak boleh terima kerana mereka pesakit kanser, baru lepas bersalin dan dijangkiti Covid-19. Kumpulan ini diberi pengecualian,” katanya.

Beliau berkata ketua jabatan juga perlu membuat keputusan yang baik berhubung isu berkenaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terhadap masyarakat tidak terjejas.

“Kadang-kadang ketua jabatan terpaksa bertegas kerana perlu perkhidmatan yang ada, tidak terjejas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Sekolah dibenar periksa sijil vaksinasi digital guru

MELAKA, 1 NOV: Pengurusan sekolah dibenar memeriksa sijil vaksinasi guru bermula hari ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata ia bagi memastikan tiada guru yang culas dalam mematuhi pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

“Mulai hari ini pihak sekolah akan memeriksa sijil digital vaksinasi ini untuk memastikan setakat mana guru-guru yang betul-betul (mengambil vaksin). Maknanya dah periksa satu persatu sijll vaksinasi ini untuk memastikan yang mana kata dah divaksinkan, betul-betul dah divaksinkan atau yang kata mana tak divaksinkan, betul-betul belum divaksinkan.

“Sebab kami tak nak ada kes-kes tertentu yang mana ada kes kata ada vaksin, tapi tak divaksinkan dan sebagainya.

“Jadi kami akan pastikan setiap guru itu akan disemak sijil vaksin mereka oleh pihak sekolah bagi memastikan data terkini yang ada ini pada 1 Nov adalah data yang tepat dan untuk membolehkan jika sebarang tindakan diambil kemudian, tindakan itu adalah berdasarkan data yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mengadakan sesi libat urus di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di sini hari ini.

JPA dalam satu pekeliling sebelum ini mewajibkan penjawat awam termasuk guru untuk mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum 1 Nov, atau mereka boleh berdepan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

Radzi berkata tindakan itu perlu diambil bagi memastikan guru bersama Kementerian Pendidikan dapat mewujudkan persekitaran yang selamat kepada murid dan pelajar sekolah ketika negara masih berdepan ancaman Covid-19.

“Jadi kita kena faham bahawa guru ini sentiasa bersama dengan murid. Selain melibatkan murid ia juga melibatkan ibu bapa.

“Jadi (amat penting) untuk guru-guru ini bersama dengan Kementerian Pendidikan untuk mewujudkan persekitaran selamat dan meyakinkan ibu bapa bahawa sekolah ini adalah satu persekitaran selamat. Maka amat penting untuk guru-guru memastikan bahawa mereka divaksinkan,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata seramai 694,531 murid Tahun Satu, Dua dan Tiga manakala 652,142 pelajar Tingkatan Tiga dan Empat memulakan persekolahan di negeri yang beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada hari ini membabitkan Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan salahkan KPM jika guru enggan vaksin dikena tindakan disiplin

JEMPOL, 30 OKT: Guru-Guru di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang menolak suntikan vaksin Covid-19 tanpa alasan munasabah diminta tidak menyalahkan kerajaan sekiranya tindakan disiplin diambil terhadap mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata tindakan itu akan dilaksana pada 1 Nov ini dan guru sebagai penjawat awam, tertakluk kepada peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam yang mewajibkan mereka mengambil vaksin dan perlu segera melengkapkan imunisasi sebelum tarikh tersebut.

Beliau berkata setakat hari ini, terdapat kira-kira 2,000 guru di seluruh negara yang masih belum bersedia menerima vaksin Covid-19.

“Justeru, saya merayu kepada guru-guru berkenaan untuk tampil mendapatkan suntikan sebelum kembali ke sekolah, jangan salahkan KPM dan kerajaan sekiranya tindakan disiplin diambil terhadap mereka.

“Ini bukan hukuman atau amaran tetapi untuk keselamatan pelajar, jangan sampai ibu bapa hilang keyakinan tentang keselamatan anak di sekolah,” katanya.

Mohamad berkata guru mempunyai tanggungjawab yang besar dalam meyakinkan masyarakat bahawa sekolah adalah tempat selamat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kuarters guru Sekolah Menengah Kebangsaan Palong 7 di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Jempol Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dan Ahli Dewan Undangan Negeri Palong Mustapha Nagoor.

Mohamad juga berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan permasalahan kuarters guru daif terutama dalam aspek kebersihan dan keselamatan untuk memberi keselesaan kepada golongan pendidik yang mendiaminya.

“… kita tidak mahu perkara itu terus berlarutan. Pihak PPD perlu segera mengangkat permasalahan yang ada untuk dipertimbang kelulusan di peringkat kementerian,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: 2,753 guru enggan divaksin, beri konsultasi berterusan

SHAH ALAM, 21 OKT: Seramai 2,753 guru menolak untuk menerima vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut menteri pendidikan.

Datuk Dr Radzi Jidin berkata daripada jumlah itu seramai 1,993 guru memberi alasan tidak percaya pelalian itu, isu menyentuh agama, pasangan tidak membenarkan pengambilan vaksin serta masih belum bersedia.

Katanya jumlah selebihnya iaitu 760 guru lagi menolak kerana mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kronik, mengalami alahan, mengandung atau menyusukan anak, merancang kehamilan dan bekas pesakit Covid-19.

“Bagi meningkatkan kadar vaksinasi guru yang enggan divaksin disebabkan selain masalah kesihatan atau alasan tidak munasabah, kementerian melalui pentadbir sekolah secara berterusan mengadakan konsultasi untuk memastikan mereka mengambil vaksin.

“Guru yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang sudah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan kepada ketua jabatan masing-masing,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Senator Rita Sarimah Patrick Insol di Dewan Negara hari ini.

Tambah beliau setakat semalam seramai 399,972 orang atau 96.83 peratus guru sudah lengkap divaksin.

“Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh kementerian, guru yang lengkap divaksin sahaja dibenar melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di dalam kelas dan berinteraksi dengan murid.

“Bagi guru yang belum lengkap atau tidak divaksin, mereka dikehendaki melaksanakan PdPR dan tugasan lain yang diarahkan oleh pihak sekolah.

“Mereka juga diwajibkan memakai pelitup muka berganda dan pelindung muka semasa berada di kawasan sekolah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

2,000 guru belum sedia divaksin jejaskan sesi pengajaran

KUALA PILAH, 4 OKT: Keputusan segelintir guru yang belum bersedia menerima suntikan vaksin ketika ini memberikan sedikit kesan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata meskipun jumlah guru yang belum bersedia divaksin hanyalah kira-kira 2,000 orang sahaja daripada keseluruhan 415,000 guru di seluruh negara, namun ia tetap menjejaskan pengurusan di sekolah.

“…jumlah itu terlalu kecil, tetapi sebab ada sekolah yang guru tak mahu divaksin ini kadang-kadang mengajar subjek yang sama, jadi bagaimana nak mengajar.

“Ada juga guru yang tidak mahu divaksin ini satu-satunya (guru) yang mengajar subjek tertentu, jadi sekolah berkenaan tiada guru subjek itu,” katanya kepada pemberita selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah hari ini.

Katanya keputusan menukarkan guru yang belum divaksin ke tempat lain bukanlah ugutan, tetapi ia melibatkan urusan pentadbiran selain Jabatan Perkhidmatan Awam juga mewajibkan kakitangan awam divaksin sebelum 1 Nov ini.

Sementara itu Radzi berkata Kementerian Pendidikan masih meneliti cadangan menukar permulaan sesi persekolahan daripada Januari kepada Mac, dengan menjadikan sesi tahun depan sebagai panduan.

Jelasnya kementerian turut mengambil kira libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan guru yang memberi maklum balas positif termasuk berkaitan pengurusan peperiksaan ketika musim tengkujuh di beberapa negeri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Teliti pendekatan terhadap guru tolak vaksin, jamin tidak beban pengajar lain

SHAH ALAM, 22 SEPT: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti pendekatan terbaik terhadap guru yang enggan divaksin.

Menteri kanan pendidikan memberi jaminan guru yang sudah divaksin tidak akan terbeban dengan tanggungjawab golongan tersebut kerana mereka akan diberi tugas berdasarkan keadaan semasa di sekolah.

“Ada sekitar 2,100 guru yang memilih untuk tidak divaksinkan. Guru ini kita pastikan mereka tidak akan mengajar anak-anak kita secara bersemuka di dalam kelas.

“Kita telah berbincang JPA dan semalam jabatan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang memperincikan untuk membawa isu itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membincangkan apakah pendekatan yang sesuai,” kata Datuk Dr Mohd Radzi Jidin di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan M Karupaiya (Padang Serai-PH) yang bertanyakan adakah guru yang menerima vaksin terpaksa menggalas tugas pengajar yang menolak suntikan tersebut.

Mohd Radzi juga mengupas pendekatan terbaik untuk murid berkeperluan khas untuk kembali ke sekolah ketika kes Covid-19 masih tinggi.

“Kita utamakan untuk mereka kembali ke sekolah, belajar di sekolah dalam keadaan di mana kita pastikan persekitaran itu dilindungi. Kita pastikan semua guru dan kakitangan telah divaksin.”

Bagaimanapun katanya, jika ibu bapa tidak yakin dengan keselamatan anak-anak, mereka dibenar tidak menghantar pelajar terbabit ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut sebagai rekod.

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru cipta alat sokongan bantu murid masalah penglihatan berlari

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Demi kasih sayang terhadap murid berkeperluan khas masalah penglihatan, seorang guru mengambil inisiatif mencipta alat bantu mengajar yang membolehkan anak didiknya berlari dengan sempurna ketika menyertai sukan olahraga, terutamanya dalam acara larian.

Biarpun golongan tersebut tidak dapat melihat, Wan Muadzam Wan Abidin, 40, percaya kekangan itu dapat diatasi dengan alat bantu ciptaannya yang dinamakan ‘Caballus Rafvi (Running aids for Visual Impairment)’, yang berfungsi sebagai alat sokongan bagi membantu mereka daripada segi navigasi, mobiliti dan stabiliti, ketika sedang berlari.

Baginya, tiada apa yang lebih menggembirakannya selain melihat wajah anak muridnya ceria kerana dapat berlari dengan yakin dan bebas, tanpa perlu lagi berpaut pada bahu orang lain atau memegang tali yang berperanan sebagai penunjuk arah.

“Idea ini tercetus hasil daripada pengalaman saya sendiri. Setiap kali latihan, saya juga perlu berlari bersama mereka. Jika ada tiga orang, maka saya perlu lakukan tiga pusingan larian. Kalau dulu waktu muda, bolehlah namun bila sudah berumur ini, saya rasa cukuplah,” katanya kepada Bernama.

Wan Muadzam yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Azam berkata alat bantu itu dicipta dengan mengambil konsep kuda melalui gabungan rekaan troli dan kereta sorong bayi, serta begitu mudah digunakan bagi setiap kategori.

“Ia bersaiz besar dan boleh memuatkan dua murid dalam satu-satu masa. Ia bukan sahaja untuk golongan OKU penglihatan, tetapi juga berfungsi buat murid yang mempunyai masalah fizikal seperti kaki tidak sama rata atau kudung, kerana alat ini membantu mereka berlari dengan bantuan pengiring yang mengawalnya di belakang sekali gus menyokong tahap kestabilan serta selamat daripada dilanggar sesiapa,” katanya.

Mengulas lanjut, Cikgu Azam yang juga guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Klang mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk membangunkan Caballus Rafvi versi 1.0, yang menelan belanja RM300 pada akhir tahun 2019.

“Saya membinanya sendiri dengan menggunakan bahan terbuang daripada paip polivinil klorida (PVC) dan siap dalam tempoh empat hari, namun ia tidak sesuai digunakan bagi larian jarak jauh,” katanya yang berasal dari Miri, Sarawak.

Kemudian, Cikgu Azam dengan kerjasama beberapa guru lain mengambil keputusan untuk membangunkan Caballus Rafvi versi 2.0, yang menggunakan bahan campuran paip PVC dan besi serta dilengkapi tayar angin yang lebih stabil, dan siap dalam tempoh sebulan pada awal tahun lepas.

“Bagi versi 2.0 pula, ia memerlukan modal hingga RM700 kerana kelebaran PVC dan besi yang digunakan agak besar dan luas serta tebal, supaya strukturnya lebih kukuh dan stabil,” katanya yang bergelar pendidik sejak tahun 2009.

Caballus Rafvi versi 2.0 juga merealisasikan impian anak muridnya Nur Yusrina Alisya Yusri, 12, untuk berlari sendiri ketika menyertai pertandingan ‘Education Fun Run’ sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada Februari tahun lepas.

Malah, Cikgu Azam turut berkongsi video larian itu di TikTok sehingga tular di media sosial, sekali gus menarik perhatian masyarakat yang kagum dengan usaha guru berkenaan merealisasikan impian anak muridnya itu.

“Saya guru biasa sahaja tetapi anak murid saya yang istimewa. Walaupun tidak boleh melihat, mereka tetap mempunyai impian dan keinginan. Jadi, saya cuba memenuhinya dan berharap alat bantu ini dapat membantu murid berkenaan meningkatkan tahap kecergasan, selain terus membuka peluang mereka terus aktif dalam bidang sukan,” katanya yang juga sedang membangunkan inovasi ‘Órientasi Pinggan Makan’ juga buat golongan berkenaan.

Cikgu Azam berkata Caballus Rafvi yang pernah memenangi pingat emas ketika menyertai pertandingan inovasi di e-Seminar Penyelidikan dan Inovasi Dalam Pendidikan 2020 (e-SPeDIP2020) anjuran Institut Pendidikan Guru (IPG) Sarawak, tidak berniat mengkomersialkan inovasi berkenaan sebaliknya bercadang untuk memberikan hak ciptanya kepada sekolah di tempatnya mengajar.

“Saya memang tiada niat untuk mengaut keuntungan, kerana pada saya setiap alat bantu yang dihasilkan guru PPKI dicipta khusus mengikut masalah murid. Ini adalah hadiah saya untuk mereka. Kini, saya dalam proses membangunkan Caballus Rafvi versi 3.0, bagi memperbaiki ciri dan kualitinya supaya lebih lancar, kukuh dan bersifat mudah alih namun terpaksa ditangguh berikutan peningkatan kes Covid-19 selain kekurangan peruntukan dan kepakaran,” katanya.

Sementara itu, Nur Yusrina Alisya yang juga OKU penglihatan dan meminati sukan olahraga sejak kecil terharu dengan kesungguhan Cikgu Azam, dalam menunaikan impian murid berkeperluan khas khas untuk berlari dengan sempurna.

“Sebelum menggunakannya, saya perlu berlari dengan berpaut pada bahu Cikgu Azam atau memegang tali untuk berlari, dan ia sangat menyukarkan namun selepas menggunakan alat bantu ini saya menjadi yakin untuk berlari tanpa perlu risau akan cedera. Saya berharap alat bantu ini dapat membantu kami untuk terus menceburi bidang sukan sehingga berjaya ke peringkat antarabangsa,” katanya yang menjadikan atlet olahraga para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi sebagai idolanya.

-BERNAMA