Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ Diminta Ambil Tindakan Tegas Tempat Buang Sampah Haram

PETALING JAYA, 6 NOV : Kira-kira 500 penduduk Taman Desaria, Kelana Jaya di sini terpaksa mengharungi bau busuk setiap hari daripada satu tapak pembuangan sampah haram yang terletak kurang 100 meter dari rumah mereka.

Tapak tersebut yang terletak di tebing Sungai Penchala dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan lalu dan dikunjungi kira-kira 30 buah lori sampah.

Menurut Ahli Majlis Zon 24 Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Azman Yusof, pihak yang membuka tapak itu turut melakukan pembakaran sampah pada waktu petang yang menghasilakan asap berbau busuk.

Lori-lori sampah juga dipercayai mengunjungi tapak itu pada waktu malam bagi mengelakkan operasi itu dikesan pihak berkuasa.

“Penduduk sekitar yang berusia emas terganggu dengan keadaan busuk itu yang juga boleh memudaratkan kesihatan.

“Saya mahu tindakan penyelesaian disegerakan dalam tempoh terdekat agar tapak pembuangan sampah haram itu ditutup,” katanya, apabila ditemui.

MP Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, mendakwa tanah tersebut kepunyaan Tenaga Nasional Berhad dan beliau berharap syarikat itu dapat mengambil tindakan terhadap tapak itu.

Gwo-Burne berkata demikian semasa turun meninjau keadaan tapak itu selepas menerima aduan daripada penduduk Taman Desaria PJS 5.

“Kita berharap pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat bekerjasama menyelesaikan masalah ini kerana tanah itu adalah milik mereka,” kata Gwo-Burne.

Gwo-Burne juga mendesak agar MBPJ mengambil tindakan segera menutup tapak pembuangan tersebut.

Turut sama hadir di lawatan itu, ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan sepasukan penguatkuasa MBPJ.

Menurut Nik Nazmi, penduduk disaran bekerjasama dengan pihak penguatkuasa MBPJ bagi menyalurkan maklumat berkenaan lori-lori yang keluar masuk membuang sampah di kawasan itu.

Ianya agar tindakan dapat dilakukan bagi mengenakan tindakan terhadap dalang disebalik pihak yang membuang sampah sarap itu.

“Kita harap dengan adanya maklumat nombor pendaftaran lori itu untuk dibuat semakan kepada sistem pangkalan data dalam MBPJ.

“Jika mereka berdaftar di bawah MBPJ maka mereka akan dikenakan tindakan tegas segera,” katanya.

Categories
NASIONAL

Misteri Kehilangan Item Penting Dalam Buku Anggaran Perbelanjaaan Persekutuan 2013

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Ketiadaan beberapa item penting yang wajib ada dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 menimbulkan tanda tanya samada wujud keadaan kerajaan Umno-BN mahu menyembunyikan sesuatu.

Antara item penting yang hilang ialah kedudukan Penyata Kewangan Pada 31 Disember 2012, Kumpulan Wang Berkanun Kerajaan Bagi Anggaran Kumpulan Wang Seperti 31 Disember 2012 dan Penyata Hutang Awam dan Jaminan Seperti 31 Disember 2012.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail penyata-penyata tahunan itu sebelum ini tidak pernah gagal dimasukkan dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan.

“Ini adalah penyata yang sangat penting dan saya tak fikir ia berlaku tanpa disengajakan.

“Bila penyata ini hilang, tentulah menimbulkan tanda tanya adakah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu,” kata Azan dalam sidang media yang diadakan di lobi parlimen hari ini.

Dalam sidang media tersebut, Azan turut menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan tahun sebelumnya yang mengandungi laporan-laporan hilang itu.

Beliau turut menuntut kerajaan Umno-BN agar bertanggungjawab dan harus memberikan jawapan atas ketiadaan penyata penting itu.

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 diedarkan kepada Ahli Parlimen bagi memudahkan mereka membuat rujukan dan semakan terhadap Belanjawan 2013 yang dibentangkan Jumaat lalu.

Turut berada dalam sidang akhbar sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne-Loh.

Categories
SELANGOR

Penduduk Terima Geran Selepas 14 Tahun Menunggu

SHAH ALAM, 16 APR: Penduduk Pangsapuri Kayangan kini mampu menarik nafas lega apabila penantian selama 14 tahun untuk memperolehi geran kediaman mereka akan berakhir tidak berapa lama lagi.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad kejayaan tersebut adalah kejayaan penduduk Pangsapuri Kayangan.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada penduduk kerana kerja ini adalah satu kerja yang rumit sebenarnya.

“Tetapi dengan usaha penduduk, JMB (Badan Pengurusan Bersama) Pangsapuri Kayangan, kerajaan negeri dan Pejabat  Tanah dan Galian telah membuahkan hasil hari ini,” ujar beliau.

Iskandar turut memberitahu, mana-mana pemaju di negeri Selangor yang engkar atau sengaja melengah-lengahkan permohonan geran kepada pembeli rumah akan dikenakan tindakan saman.

“Dalam negara ini, hanya dua negeri yang telah mengambil tindakan kepada pemaju yang gagal menyerahkan geran kepada pembeli rumah dan dua kerajaan negeri tersebut adalah Selangor dan Pulau Pinang.

“Pakatan Rakyat tidak memandang ringan terhadap isu ini, tindakan tegas akan diambil,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Strata Roll Kepada Pemaju di Pangsapuri Kayangan, Taman Sri Subang.

Menyentuh isu yang sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh pula  memaklumkan penyerahan geran hakmilik kini telah sampai di peringkat akhir sebelum di serahkan kepada pemilik kediaman Pangsapuri.

Menurutnya kejayaan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang ada hari ini telah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan majlis hari ini merupakan satu program yang bersejarah kerana ianya merupakan langkah akhir sebelum penduduk boleh memiliki geran strata kediaman yang mereka beli.

Penasihat JMB Pangsapuri Kayangan, Micheal Lim Giat Eng pula memberitahu, pihak pemaju telah sengaja menambah keluasan sebenar kawasan pangsapuri tersebut yang membolehkan pemaju terbabit memperolehi keuntungan atas kutipan cukai tanah dari pemilik hartanah.

Micheal turut memberitahu dua laporan polis telah dibuat ke atas pemaju yang tidak disebutkan namanya.

Sementara itu, penduduk pangsapuri terbabit, Sue Ann, 50 tahun menyatakan rasa gembira apabila geran strata akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat.

“Gembira, rasa tak boleh cakap sebab memang dah lama kita tunggu. Saya beli rumah di sini masa mula-mula buka dulu tetapi sudah tunggu sangat lama baru sekarang boleh dapat geran,” katanya.

Terdahulu dalam majlis yang sama, wakil dari Pejabat Tanah dan Galian telah menyerahkan Master Starata Roll kepada Iskandar.

Dalam upacara yang sama, Iskandar turut menyerahkan Master Strata Roll tersebut kepada tiga wakil penduduk Pangsapuri Kayangan.

Selain Iskandar, Gwo-Burne Loh dan Nik Nazmi turut hadir dalam upacara tersebut adalah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud.