PAS pegang prinsip dan bersatu walau berbeza pendapat

Persefahaman dalam titik persamaan dengan parti lain telah PAS amalkan sejak tahun 50an. Namun walau berbeza pendapat PAS mengharapkan parti komponen tetap bersatu dalam meneruskan perjuangan

Keputusan palsu : ‘Tanya Jawatankuasa Pemilihan’

Mengulas tentang keputusan pemilihan yang didakwa palsu, Presiden PAS berkata, sekiranya terdapat salah laku ketika proses pengundian, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tertinggi Parti”

Hadi : Sokongan kepada PAS, respon bukan Islam positif

Masih terlalu awal untuk menilai sokongan bukan islam terhadap PAS, kata presiden parti itu

EKS : Penekanan tahaluf iringi kemenangan Hadi

Hadi kekalkan jawatan Presiden PAS Pusat, manakala Tuan Ibrahim menang Timbalan Presiden. Bagaimanakah PAS dicorakkan dalam perjalanan akan datang ?

Saya masih dengan Pakatan, tumpu pemilihan PAS – Hadi Awang

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau masih bersama Pakatan Rakyat

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pencerobohan Al-Aqsa: M’sia patut lantang suarakan pembelaan

Oleh: Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Parti Islam Islam SeMalaysia (PAS) mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan pihak tentera negara haram Israel yang telah menceroboh dan menggempur ke dalam kawasan Masjid al-Aqsa dalam perkembangan terkini yang berlaku sejak pendudukan haram Israel dari tahun 1967.

Tindakan ganas pihak Israel ini dimulakan dengan menghalang umat Islam dari memasuki Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat, menhalang semua pelawat dari masuk, dan dalam masa yang sama pihak Israel membenarkan rakyat negara haram Israel memasukinya.

Al-AqsaBiarpun dikecam dan menerima kutukan seluruh manusia sejagat, hingga kini Zionis Israel tetap tidak pernah berhenti melakukan keganasan dan terus menekan umat Islam Palestin.

PAS konsisten untuk menyatakan bahawa penindasan ini wajib dihentikan menerusi peranan ketenteraan semua negara di bawah PBB, OIC dan Liga Arab setelah nyata Israel berdegil dan tidak tunduk kepada diplomasi sebarang teguran dan perjanjian.

Secara khusus, Malaysia yang sering mengaku sebagai negara Islam contoh, perlu ke hadapan untuk mendesak pertubuhan-pertubuhan dunia tersebut untuk segera menghalang Israel melakukan pencerobohan ke atas al-Aqsa.

Malaysia juga perlu menggesa kerajaan negara-negara OIC untuk menghentikan sebarang hubungan dagang dan memutuskan diplomatik dengan Israel serta merta sebagai bukti keimanan dan persaudaraan kepada saudara di Palestin.

Sesungguhnya tidak beroleh sebarang faedah umat Islam menjalin hubungan dengan bangsa dilaknati ini setelah Allah mengisytiharkan pemutusan antara mereka dengan umat Islam sejak lebih 1400 tahun lalu. Apatah lagi membiar diri menjadi boneka atau diperalatkan untuk kepentingan mereka.

Para pemimpin, kerajaan dan seluruh umat Islam wajib menyedari bahawa tanggung jawab membela, menebus dan mempertahankan bumi al-Aqsa itu adalah kefarduan jihad dan maruah kepada semua Muslim, bukannya perjuangan penduduk Palestin dan Jurusalem sahaja.

* Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah Presiden PAS

Categories
SELANGOR

Isu MB: Abdul Khalid ucap terima kasih kepada Hadi atas kepercayaan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 SEPT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berterima kasih kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang mencadangkan Pemuda Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sebagai jalan penyelesaian kemelut politik Selangor.

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata kuasa lantikan Menteri Besar adalah dibawah kuasa DYMM Sultan Selangor.

MB“Saya berterima kasih kepada Presiden PAS, tetapi saya minta maaf..Perkara lantikan Menteri Besar adalah dibuat di bawah kuasa sultan,” katanya kepada pemberita.

Abdul Khalid berkata demikian selepas merasmikan program Multaqa Imam-Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid, Guru Kafa dan Guru Takmir peringkat negeri Selangor di Masjid Negeri di Shah Alam.

Hadir sama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pemangku Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Hata Ahmad.

Ketika ditanya adakah beliau akan mengekalkan jawatan Menteri Besar di atas tiket Bebas, Abdul Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak akan buat sebarang komen mengenai perkara itu,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang mencadangkan Pemuda Pakatan Rakyat (PR) mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar sebagai jalan penyelesaian kemelut politik Selangor.

Pada pertemuan itu, katanya, Hadi menyatakan prestasi Abdul Khalid sebagai Menteri Besar akan dipantau beliau.

EZY

 

Categories
NASIONAL

MB ucap tahniah Hadi Awang terpilih Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia

SHAH ALAM 23 OGOS: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang terpilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.

“Tahniah kepada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, yang telah terpilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia.

Hadi PAS“Tokoh agama sekaligus ahli politik yang diiktiraf dunia. Moga terus istiqamah dalam perjuangan,” tulis Abdul Khalid di laman Facebooknya.

Abdul Hadi dilantik sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, semalam.

Perlantikan itu dibuat Pengerusi Kesatuan itu Dr Yusuf Al-Qaradawi yang mengekalkan jawatannya untuk kali keempat berturut-turut.

Dua lagi yang turut dilantik sebagai Naib Ketua bersama Abdul Hadi adalah Syeikh Raisuni dari Maghribi dan Syeikh Ahmed Al-Khalily Mufti Kesultanan Oman.

Perlantikan mereka dipersetujui oleh ulama dunia yang bersidang di Turki, semalam.

Sementara Presiden Sekretariat Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Samsudin dipilih salah seorang daripada 20 ahli jawatankuasa kesatuan itu.

EZY

Categories
SELANGOR

Hadi & Abdul Khalid bincang macam-macam tapi tak sentuh isu MB

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 14 JULAI: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan pertemuan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid di kediamannya di Bukit Damansara untuk berbincang berkenaan kemelut kepimpinan negeri terbabit.

Sebaliknya, Mustafa berkata, pertemuan berkenaan adalah kunjungan balas kerana sebelum itu Abdul Khalid melawat Abdul Hadi ketika beliau sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

khalid“Kalau nak mesyuarat, mesti waktunya panjang dan awal. Saya datang, jam dah pukul 11 malam selepas solat sunat Terawih.

“Biasalah orang politik macam-macam diperkatakan. Tetapi tidak menyentuh isu itu (kedudukan menteri besar),” katanya.

Pada malam 12 Julai lalu, Abdul Khalid melalui laman Facebooknya memuat naik gambar kunjungan Presiden PAS dan rombongan ke rumah beliau yang menarik perhatian ramai pihak selepas kontroversi berkenaan kedudukannya selaku Menteri Besar Selangor hangat diperkatakan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kesihatan Presiden PAS semakin baik

SHAH ALAM 1 JUN: Keadaan kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semakin baik dan sudah boleh duduk di atas kerusi dan bercakap.

“Alhamdulillah TGHH sudah semakin baik keadaan kesihatan beliau. Beliau sudah boleh duduk di atas kerusi dan bercakap.

Haji Abdul Hadi AwangWalaupun begitu beliau masih perlu berehat untuk menpercepatkan proses sembuh,” tulis Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi facebook Tuan Guru Abdul Hadi yang dikemas kini jam 6.00 petang waktu Istanbul atau 11 malam tadi.

Dalam masa yang sama, katanya pihak doktor pakar juga menasihatkan supaya beliau tidak menerima pelawat dalam tempoh dua hari ini untuk mengelakkan sebarang jangkitan baru.

“Pihak kami memohon berbanyak maaf sekiranya permintaan ini menyusahkan rakan taulan, sahabat seperjuangan yang berhajat atau yang sudah berada di Istanbul untuk menziarahi beliau,” katanya lagi.

Presiden PAS dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di Medipol Universitesi Hastanesi, Istanbul kelmarin akibat masalah kesihatan.

-Harakah Daily

Categories
NASIONAL

Anwar hubungi Erdogan agar Presiden PAS diberi rawatan terbaik

SHAH ALAM 31 MEI: Seluruh saf kepimpinan dan keluarga PKR mendoakan agar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi akan cepat sembuh dan pulih.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata PKR menerima berita itu malam tadi bahawa Abdul Hadi sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi di Medipol Universitesi Hastanesi, Istanbul, Turki akibat masalah kesihatan serius yang beliau alami.

erdogan“Sejurus menerima berita ini malam tadi, DS Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum PKR telah menghubungi Pejabat Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki.

“Pejabat Perdana Menteri Turki telah memberi jaminan untuk memberi bantuan sebanyak mungkin kepada Abdul Hadi,” kata Fahmi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar meminta semua ahli dan penyokong PAS bertenang serta berdoa agar kesihatan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kembali pulih.

Haji Abdul Hadi AwangBeliau memberitahu Presiden PAS sekarang berada di hospital di Istanbul dan dalam pemantauan pakar-pakar perubatan.

“Kita mendoakan agar Tuan Guru pulih dan dapat kembali ke Malaysia untuk terus memimpin parti.

“Kepada seluruh penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS terus berdoa agar kesihatan Tuan Guru kembali pulih,” jelasnya dipetik Harakahdaily.

EZY

 

Amanat N25 Hadi Awang menjelang PRK Kajang

http://tv.selangorku.com