Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSepang anjur anugerah kebun komuniti, tawar wang tunai RM7,000

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menganjurkan Anugerah Kebun Komuniti@Sepang dengan menawarkan wang tunai keseluruhan bernilai RM7,000.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata pertandingan bertemakan ‘Jom Melawat Kebun Kami’ bermula 15 September sehingga 15 November ini.

Menurutnya, persatuan penduduk, badan pengurusan bersama (JMB), kelab rukun tetangga dan lain-lain persatuan komuniti di daerah itu dialu-alukan menyertainya.

“Anugerah ini merupakan tanda penghargaan kami kepada komuniti perumahan di daerah ini disamping menggalakkan individu di kawasan kejiranan meningkatkan lagi hasil pengeluaran dan kualiti tanaman yang lebih organik dan selamat.

“Peserta akan dinilai berdasarkan video kreatif dan amalan teknologi hijau seperti kompos, kitar semula, sistem tuaian air hujan dan inovasi,” katanya dalam kenyataan.

Abd Hamid menjelaskan pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai bernilai RM3,000 manakala RM2,000 (kedua), RM1,000 (ketiga) dan dua saguhati bernilai RM500 setiap seorang.

“Sehingga kini, sebanyak 21 kebun komuniti dilaksanakan di bawah program Komuniti@Sepang. Kita percaya pertandingan ini mampu mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan komuniti selain menarik minat lebih ramai sertai,” katanya.

Susulan pandemik Covid-19, penyertaan dibuka secara dalam talian dan peserta boleh mendapatkan borang menerusi Facebook Kebun Komuniti Sepang atau laman sesawang MPSepang/Smart Sepang.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hadiah wang tunai untuk calon SPM cemerlang di Kuala Kubu Bharu

SHAH ALAM, 14 JUN: Anak pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dipelawa memohon hadiah wang tunai ditawarkan.

Hadiah disediakan Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan untuk calon mendapat keputusan 5A ke atas dan permohonan dibuka sehingga 30 Jun depan.

Ahli Dewan Negerinya, Lee Kee Hiong berkata calon mendapat 5A menerima RM80, 6A (RM100), 7A (RM150), 8A (RM200), 9A (RM250) dan 10A (RM300 ke atas).

“Syaratnya ibu atau bapa adalah pengundi dalam DUN Kuala Kubu Bharu,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata borang permohonan boleh diisi dengan mengimbas kod QR serta pautan khas di media sosial berkenaan.

“Pemohon perlu memuat naik sijil kelahiran serta slip keputusan SPM.

“Sebarang pertanyaan sila hubungi Wong Yoke Hin (019 614 7178) dan Ain Amira (011 1972 8303),” jelasnya.