Categories
AGENDA NASIONAL

Pengubahan wang haram: Hafarizam dilepas tanpa dibebaskan

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Penasihat undang-undang UMNO Datuk Mohd Hafarizam Harun, dilepas tanpa dibebaskan atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff memberitahu mahkamah pihak pendakwaan memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan dan akan memfailkan pertuduhan baharu terhadap Mohd Hafarizam di Mahkamah Sesyen.

“Selepas mendengar permohonan lisan oleh pihak pendakwaan untuk menarik balik semua pertuduhan terhadap tertuduh dalam kes ini, mahkamah dengan ini memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan atas dua pertuduhan yang dijalankan di mahkamah ini.

“Ini bagi membolehkan pendakwaan memfailkan pertuduhan baharu terhadap tertuduh di Mahkamah Sesyen seperti yang dinyatakan oleh pihak pendakwaan. Permohonan bagi saya menarik diri (daripada mendengar kes ini) direkodkan sebagai ditarik balik oleh pihak pembelaan,” kata hakim.

Terdahulu, Ishak memaklumkan kepada mahkamah bahawa pertuduhan pertama adalah cacat kerana ia melibatkan dua transaksi pada April dan November 2014.

“Kami harus pisahkan dua transaksi itu kepada pertuduhan baharu. Jadi, kami memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan bagi kedua-dua pertuduhan dan dia akan didakwa dengan segera di mahkamah rendah hari ini dengan pertuduhan yang berbeza,” tambah beliau.

Mohd Hafarizam yang diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican berkata pihak pembelaan akan menarik kembali permohonan mereka supaya hakim menarik diri yang dibuat lebih awal, kerana ia menjadi akademik.

Hari ini sepatutnya merupakan hari pertama perbicaraan kes itu di hadapan Mohd Nazlan.

Pada 21 Feb tahun lepas, Mohd Hafarizam, 48, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta, yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didepositkan ke dalam akaun bank milik firma guamannya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melibatkan diri secara langsung dalam dua transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu dengan menyebabkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM11,500,000.00 melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PM Perlu Perjelas Projek Kepada Kroni

SHAH ALAM, 21 FEB: Perdana Menteri perlu memberi penjelasan kepada rakyat berhubung pemberian projek melibatkan pemberian konsesi RM2.2 bilion Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) kepada Keluarga Bekas Ketua Hakim Negara dan Penasihat Undang-Undang UMNO.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan medianya berkata pemberian konsesi tersebut melibatkan Penasihat Undang-Undang Umno Datuk Hafarizam Harun yang pernah mewakili Datuk Seri Zamry Kadir ketika kemelut krisis perundangan di Perak pada 2009.

Harafizam merupakan pengarah untuk kedua-dua belah syarikat yang menerima konsesi tersebut iaitu Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

Sementara isteri Tun Zaki Azmi pula merupakan pengarah di dalam Emrail, sebuah syarikat yang tidak mempunyai rekod di dalam pembinaan lebuhraya .

Pemberian konsasi kepada dua syarikat milik Harafizam tersebut didakwa sebagai ‘habuan’ ekoran kejayaan BN merampas Perak dari Pakatan Rakyat.

Manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula ketika itu adalah Pengerusi Perhubungan Umno Perak yang dilantik secara mengejud bagi memudahkan Perak dikembalikan kepada BN.

Menurut Nurul Izzah kontroversi penganugerahan konsesi tersebut dan Perdana Menteri mestilah respon segera berkenaan isu-isu berikut;ini:

1. Pendirian PM berkenaan Seksyen 9 Kod Etika Hakim 2009:

“Seorang hakim akan, pada masa perlantikan atau mana-mana masa kemudiannya sekiranya diminta oleh Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan membuat perisytiharan bertulis semua asetnya kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan.”

Merujuk kepada peruntukan ini, Ketua Hakim Negara pada masa ini, Tan Sri Ariffin Zakaria mestilah meminta Tun Zaki Azmi membuat perisytiharan aset beliau dan keluarganya secara bertulis berikutan tuduhan-tuduhan ini.

2. Mendedahkan sebab dan kriteria pemberian tender kepada Zabima Engineering dan Emrail. Apakah syarikat-syarikat lain yang dipertimbangkan, dan adakah tender terbuka dibuat demi memastikan kepentingan orang ramai terpelihara?

3. Bagaimanakah pemberian konsesi dan pakej kontrak ini selari dengan dasar pentadbiran ini, khususnya Model Ekonomi Baru, Inisiatif Pembaharuan Strategik dan lain-lain lagi?

4. Apakah terma lengkap konsesi, kadar tol dan perkongsian keuntungan?

Menurut Nurul Izzah, agihan projek kepada kroni ini Program Transformasi Kerajaan untuk mengurangkan ketirisan dan pembaziran wang rakyat untuk pembangunan negara dan perbelanjaan operasi dengan memastikan ketelusan di dalam pemberian kontrak merupakan janji kosong.

MP Lembah Pantai itu menggesa jawapan telus daripada Perdana Menteri mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka tidak akan dibebani dengan lebih banyak ‘bail-out’ dan penswastaan semula sebagaimana berlaku ketika Era Dr Mahathir.

Sementara itu Di dalam smsnya kepada Malaysian Insider, Hafarizam mendakwa bahawa syarikat-syarikatnya diserang memandangkan mereka merupakan antara bilangan kecil syarikat Bumiputera yang dianugerahkan projek ini.

Menjawab kenyataan tersebut Nurul Izzah berkata rekod buruk kerajaan BN di dalam pemberian konsesi sebelum ini jelas tidak berubah.

Katanya terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat-syarikat yang dipilih mesti didedahkan agar projek ini tidak menjadi satu lagi konsesi yang membebankan rakyat Malaysia.