Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin cari keserasian bersama jentera NTS di Litar Jerez

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap dapat mencari keserasian terbaik dengan jentera NTS pada sesi ujian rasmi Moto2 dan Moto3 musim 2021 yang bakal berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol dari 16-18 Mac depan.

Pelumba berusia 26 tahun itu yang akan beraksi dengan pasukan NTS RM Racing GP pada saingan Moto2 musim depan, berkata beliau bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera tersebut susulan hujan lebat ketika menjalani ujian sulung di litar sama pada bulan lalu menyaksikannya menduduki tangga ke-10 keseluruhan selepas melakukan 71 pusingan.

Hafizh Syahrin mengakui terdapat kelebihan dan kekurangan pada jentera berkenaan berbanding beberapa jentera lain termasuk Kalex, MV Augusta dan Speed Up yang digunakan pasukan Moto2 pada musim lepas.

“Sukar saya hendak bagi ulasan memandangkan ini tahun ketiga jentera NTS bersaing (dalam kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia), namun saya nampak jentera ini semakin baik bermula dengan GP Austria sehingga penghujung musim ini.

“Saya percaya jentera ini akan menjadi pencabar seperti Kalex dan Speed Up pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian kedai gunting rambut miliknya, Nimroc Barbershop di Taman Dagang, Ampang, hari ini.

Sementara itu Hafizh Syahrin berkata beliau tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam penampilan sulung bersama pasukan berkenaan, namun menyifatkan kutipan mata pada setiap perlumbaan yang bakal disertainya merupakan satu bonus bagi dirinya.

Hafizh Syahrin menduduki tangga ke-21 dengan mengutip 21 mata daripada 15 perlumbaan yang disertainya ketika mewakili pasukan Aspar Team Moto2 musim ini.

Mengenai perniagaan kedai gunting rambut itu, pelumba kelahiran Selangor itu berkata beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk memulakan perniagaan sendiri yang merupakan peluang kepada dirinya menjana pendapatan selepas tidak lagi aktif dalam sukan permotoran pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Nimroc Barbershop, Ardy Damis, memaklumkan syarikat itu menawarkan peluang membuka kedai gunting rambut kepada Hafizh Syahrin, pelanggan setia kedai berkenaan yang mula beroperasi sejak 2011.

“Bermula tahun ini, kami putuskan untuk kembangkan perniagaan kami, jadi Hafizh Syahrin adalah individu terawal yang kami tawarkan untuk buka francais pertama bersama Nimroc,” jelas usahawan berusia 33 tahun itu.

Pembukaan Nimroc Barbershop di Taman Dagang itu adalah cawangan kelima selepas di Shah Alam, Danau Kota, Taman Maluri dan Damansara Perdana.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Hafizh Syahrin gagal kutip mata pada GP Aragon

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah kecewa dengan prestasinya setelah menduduki tempat ke-19 daripada 27 pelumba pada Grand Prix (GP) Aragon di Litar Aragon, Sepanyol, semalam.

Pelumba pasukan Aspar Team itu mencatatkan masa 40 minit 00.963 saat pada perlumbaan 21 pusingan yang menyaksikan pelumba berusia 26 tahun itu gagal mengutip sebarang mata.

Keputusan itu menyaksikan Hafizh Syahrin kekal di tempat ke-21 pada MotoGP Dunia (Moto2) dengan mengumpul 18 mata selepas 11 perlumbaan.

“Semasa perlumbaan, saya cuba berusaha bersungguh-sungguh tetapi jentera tidak begitu sesuai dengan kru teknikal cuba membuat penyelarasan pada setiap sesi kelayakan dan latihan namun tidak berjaya pada perlumbaan.

“Saya tidak dapat melakukan apa-apa dan mudah-mudahan dapat bangkit untuk perlumbaan seterusnya di litar yang sama,” katanya dalam rakaman audio yang disediakan kepada media.

Pelumba Britain Sam Lowes daripada pasukan EG 0.0 Marc VDS, merangkul kejuaraan sulung musim ini dengan catatan 39:33.202s diikuti pelumba Itali Enea Bastianini dan pelumba Sepanyol Jorge Martin masing-masing dengan ketinggalan masa 4.195s dan 4.340s.

Seorang lagi wakil negara, Kasma Daniel Kasmayudin (OneXoX TKKR SAG Team) menamatkan saingan di tempat ke-25 dengan catatan masa 40:31.380s dan gagal mengutip sebarang mata selepas 11 perlumbaan.

Perlumbaan pusingan ke-12 akan berlangsung di litar sama iaitu GP Teruel dari 23 hingga 25 Okt ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Hafizh Syahrin belum pulih, tidak sertai perlumbaan di Austria

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai perlumbaan di Grand Prix (GP) Styria minggu ini, kerana masih belum pulih dari kecederaan yang dialaminya di GP Austria minggu lepas.

Menurut ciapan dalam akaun Twitter pasukan Inde Aspar Team, tempat Hafizh Syahrin digantikan dengan pelumba MotoE Aspar Team, Alejandro Medina dari Sepanyol yang akan bergandingan dengan Aron Canet pada perlumbaan hujung minggu ini di Litar Red Bull Ring.

Pelumba negara berusia 26 tahun itu terpaksa melupakan perlumbaan minggu ini kerana masih belum pulih sepenuhnya, dan dijangka kembali berlumba pada GP San Marino dan Rimni di Litar Marco Simoncelli, Itali pada 13 hingga 20 September depan.

Tangkap layar Twitter Amirudin Shari mengenai kemalangan yang menimpa Hafizh Syahrin. Foto: Twitter Amirudin Shari

“Saya memang ingin mengambil bahagian dalam perlumbaan akan datang, tetapi saya masih rasa sakit kesan dari kemalangan hujung minggu lalu. Doktor juga menasihati saya supaya berehat,” katanya.

“Saya rasa semakin baik dari hari ke hari, tapi lebih penting untuk saya mengutamakan proses pemulihan terlebih dahulu,” katanya.

Hafizh Syahrin terlibat dalam kemalangan ngeri Ahad lepas selepas pendahulu kelas Moto2, Enea Bastianini terjatuh dengan jenteranya melintang di atas litar sebelum pelumba negara yang memecut ketika itu gagal mengelak dan merempuh motosikal pelumba Italtrans Racing Team itu.

Beliau yang dilihat terpelanting ke tepi litar, kemudiannya dibawa ke pusat perubatan litar dan hanya dilaporkan mengalami lebam di beberapa bahagian badan terutama di pinggul sebelum dibawa ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan lanjut.

Hafizh Syahrin kini menduduki tangga ke-16 dengan mengumpul 17 mata selepas lima perlumbaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kemalangan GP Austria: MB doakan Hafizh Syahrin sembuh

SHAH ALAM, 16 OGOS: Dato’ Menteri Besar mendoakan pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah segera sembuh selepas mengalami kemalangan ketika perlumbaan Grand Prix (GP) Austria hari ini.

“Mendoakan @Hafizh_pescao55 segera sembuh akibat kemalangan yang dihadapi beliau,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter.

Pelumba Petronas Raceline Malaysia terselamat selepas gagal mengelak dan melanggar motosikal pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini yang sebelum itu jatuh pada pusingan awal di Litar Red Bull Ring-Spielberg.

Prinsipal Pasukan Petronas Sepang Racing, Datuk Razlan Razali mengesahkan Hafizh mengalami lebam terutama di bahagian pinggul tetapi berada dalam keadaan sedar.

“Hafizh berada dalam keadaan sedar dan hanya lebam. Selainnya OK. (Hafizh) masih berada di pusat perubatan untuk pemerhatian,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Hala tuju Hafizh Syahrin diketahui selepas dua perlumbaan

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Teka-teki berhubung pasukan mana bakal disertai pelumba MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah mungkin diketahui selepas beliau menamatkan dua perlumbaan iaitu masing-masing di Republik Czech hujung minggu ini dan Austria, pada 9 hingga 11 Ogos.

Hafizh Syahrin menegaskan beliau mahu memberi tumpuan kepada dua perlumbaan berkenaan selepas berehat panjang selama tiga minggu, sebelum membuat sebarang keputusan berhubung statusnya bersama pasukan Red Bull KTM Tech 3.

“Buat masa sekarang, tidak boleh lagi saya katakan apa-apa sebab saya perlu beri masa sedikit kepada diri saya dan juga penaja kerana saya masih dalam perbincangan.

“Mungkin dalam dua perlumbaan terdekat ini akan dapat tahu apa keputusan saya, di mana saya pergi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran FIM Endurance World Championship (EWC) and FIA World Touring Car Cup (WTCR), semalam.

Masa depan Hafizh menjadi tanda tanya apabila pasukannya, Red Bull KTM Tech 3, mengikat kontrak dengan pelumba dari Afrika Selatan Brad Binder, untuk menggantikan pelumba berusia 25 tahun itu pada akan datang.

Sementara itu, Hafizh Syahrin berharap pasukannya dapat melakukan sedikit perubahan terhadap jentera yang digunakannya menjelang aksi di Republik Czech dan Austria.

“Saya harapkan pakej yang lebih baik untuk jentera saya, kerjasama dari segi ‘turning’ untuk ‘cornerkan’ jentera saya, buat masa sekarang ini agak sukar untuk saya ada ‘feeling’ dengan motor untuk ‘braking’ dan ‘corner’,” katanya.

Hafizh Syahrin yang terkenal dengan jolokan ‘El Pescao’ (little fish) sebelum ini pernah bergelut dengan masalah jentera yang memberi kesan terhadap prestasinya di perlumbaan pertama kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang berlangsung di Sirkit Antaranbangsa Losail, Qatar pada Mac lalu.

-BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Sekurang-kurangnya dua tawaran menanti Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali percaya sekurang-kurangnya dua tawaran sedang menanti pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin.

Ketika dihubungi Bernama, Razlan berkata, beliau telah berjumpa Hafizh semalam selepas berita mengenai pasukan Red Bull KTM Tech 3 mengumumkan kontrak baharu dengan pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder.

“Memang kontrak Hafizh dengan Tech3 berakhir sehingga musim ini tetapi sudah ada tawaran menanti Hafizh, cuma dia perlukan masa untuk buat pilihan.

“Kalau kita tengok, dalam MotoGP tidak banyak tempat. Peluang dia agak sukar. Pasukan Petronas Yamaha SRT sendiri pun sudah tiada tempat, kami sudah ikat kontrak dengan pelumba sehingga tahun 2020,” katanya yang juga Prinsipal Pasukan MotoGP negara, Petronas Yamaha SRT.

Spekulasi mengenai pasukan itu yang tidak akan mengikat kontrak dengan pelumba negara timbul apabila Hafizh masih tidak ditawarkan kontrak baharu oleh KTM berbanding rakan sepasukannya dari Portugal, Miguel Oliveira yang disahkan bakal menyertai grid kelas MotoGP bersama pasukan Tech3 bagi musim 2020.

Ia susulan prestasi yang dilihat tidak konsisten pada musim ini berbanding penampilan pertamanya musim lepas.

Selepas sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 25 tahun itu hanya mengutip tiga mata dengan meraih penamat ke-14 di GP Perancis, Mei lalu dan ke-15 di Litar Assen pada Jun.

Pertukaran jentera kepada KTM turut memainkan peranan kepada prestasi Hafizh musim ini menyaksikan beliau dan pasukan masih dalam proses ‘mengenali’ jentera KTM RC16 selepas 20 tahun bersama Yamaha.

Dalam pada itu, Razlan berkata, pihak SIC sedia membantu Hafizh jika pelumba negara mahu meneruskan karier dalam arena permotoran, sama ada dalam saingan MotoGP ataupun Moto2.

“Saya mahu peminat sukan permotoran sabar dan tunggu keputusan daripada Hafizh…beri masa kepada dia. Lagipun sekarang tempoh bercuti, memang ramai pelumba akan bertukar sana-sini (pasukan).

“Sekiranya Hafizh perlukan pertolongan daripada SIC, kita akan bantu dia untuk kekal dalam saingan MotoGP ataupun turun ke Moto2,” katanya ketika diminta mengulas mengenai status Hafizh dalam arena permotoran. – BERNAMA

Categories
SUKANKINI

MotoGP: Hafizh cemerlang di Itali

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 JUN: Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin mempamer tunggangan membanggakan dengan menamatkan saingan di tempat ke-12 dalam Grand Prix (GP) Itali, di Autodromo del Mugello, Itali, semalam.

Dengan keputusan dicatat, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu memperoleh empat mata, memulakan perlumbaan dari petak ke-14 melengkapkan 23 pusingan dengan masa keseluruhan 42 minit 05.665 saat.

Selepas enam pusingan, Hafizh kini di tangga ke-16 dengan 17 mata dalam senarai pelumba keseluruhan, manakala dalam senarai pelumba muka baharu, beliau berkongsi mata dengan Franco Morbidelli di tangga teratas.

Perlumbaan GP Itali dimenangi pelumba Ducati, Jorge Lorenzo dengan catatan masa 41 minit 43.230 saat diikuti rakan sepasukan, Andrea Dovizioso serta pelumba Movistar Yamaha MotoGP, Velentino Rossi (ketiga).

Hafizh berkata, perlumbaan itu adalah sukar dalam keadaan sangat panas, namun berterima kasih kepada pasukan yang banyak membantu dengan penyediaan jentera sempurna.

“Saya sangat gembira kerana pada permulaan saya bergelut sedikit untuk mencari cengkaman dan saya menggunakan segala kekuatan bersaing dengan pelumba lain.

“Ia menguatkan azam saya untuk terus bekerja keras meraih kejayaan lebih baik dalam perlumbaan seterusnya,” katanya.

Perlumbaan selepas ini ialah GP Sepanyol, pada 15 hingga 17 Jun ini.

Rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco, turut cemerlang apabila menamatkan perlumbaan pada tempat
ke-10 untuk meraih enam mata.

Pelumba Perancis itu kini menduduki tangga kelima keseluruhan dengan 64 mata.

Categories
SUKANKINI

Cub Prix rakam tahniah Hafizh Syahrin ke MotoGP

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 FEB: Komuniti Kejuaraan Cub Prix merakamkan penghargaan atas kejayaan Hafizh Syahrin Abdullah selepas terpilih sebagai pelumba Monster Yamaha Tech 3 untuk kelas MotoGP 2018.

Kejayaan itu sekali gus memahat namanya selaku peluMba Malaysia dan Asia Tenggara pertama beraksi dalam kelas berkenaan, di pentas Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia.

“Seluruh komuniti Kejuaraan Cub Prix mengucapkan tahniah atas pencapaian sangat membanggakan ini, sekali gus membuktikan program pembangunan sukan permotoran negara berada di landasan tepat dan tidak ketandusan bakat yang mampu mengharumkan nama negara,” katanya dalam kenyataan.

Hafizh, 24, memulakan aksi profesional secara kompetitif seawal usia 13 tahun dalam perlumbaan satu pengeluar dijalankan Yamaha dan beliau terus membuktikan keupayaan luar biasa apabila mendominasi perlumbaan tempatan dan antarabangsa.

Bersama pasukan Raceline kendalian Barry Leong, Hafizh kemudian mencatat nama sebagai juara keseluruhan termuda bagi siri kelas Novis dan CP130 di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS diikuti pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa seperti Kejuaraan Motosikal Asia, Australia, Sepanyol sebelum melangkah ke pentas MotoGP.

Katanya, pencapaian Hafizh selama 10 tahun sejak pembabitan secara profesional dalam arena permotoran negara sehingga hari ini adalah antara contoh tiada jalan pintas untuk berjaya.

“Proses membangunkan seseorang atlet memerlukan masa dan sokongan pelbagai pihak serta tidak boleh dicapai dalam sekelip mata dengan perjalanan karier Hafizh dibantu sokongan Program Pembangunan Bakat PETRONAS.

“Tidak lupa juga kepada Zulfahmi Khairuddin yang dipilih menggantikan Hafizh Syahrin dalam kelas Moto2 dan Khairul Idham Pawi serta Adam Norrodin (Moto3),” katanya.

Hafizh mewakili pasukan Monster Yamaha Tech 3 menggantikan pelumba Jerman, Jonas Folger yang terpaksa menarik diri ekoran masalah kesihatan.

Beliau menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam ujian pra musim MotoGP di litar Buriram, Thailand dengan catatan masa cuma 1.7 saat, di belakang pelumba Repsol Honda, Dani Pedrosa.

Hafizh akan bergandingan dengan bekas juara dunia Moto2 2016, Johann Zarco dalam pasukan itu.