Categories
AGENDA NASIONAL

Perhilitan: Jangan kongsi video haiwan liar elak ancaman pemburu haram

KUALA TERENGGANU, 23 JAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang video penemuan haiwan liar menerusi media sosial bagi mengelak ancaman pemburu haram.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata video tersebut sebaliknya perlu dihantar kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

“Perkongsian video haiwan liar menerusi media sosial berserta butiran terperinci seperti lokasi dan masa ia ditemukan hanya memberi ‘peluang’ kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin niatnya agar orang lain boleh berhati-hati dengan kewujudan haiwan liar di sekitar lokasi tersebut namun ada kesan negatif daripada perkongsian itu dan perkara ini mesti dihentikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Malam tadi, satu video berdurasi 33 saat tular menerusi media sosial yang memaparkan kemunculan seekor harimau dijumpai seorang pemandu kereta di Santong, Paka dekat Dungun.

Lelaki tersebut mendakwa sempat merakam pergerakan harimau itu yang keluar dari kawasan semak dan kemudian melintas di laluan yang digunakan penduduk kampung.

Loo berkata pihaknya setakat ini belum menerima aduan daripada mana-mana pihak berhubung penemuan harimau tersebut.

“Individu yang terserempak dengan harimau sepatutnya tidak berada dekat kerana bimbang ia bertindak agresif. Jika mahu mengambil video, hanya dari jarak jauh dan laporkan kepada Perhilitan untuk memudahkan pemantauan dibuat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPKj: Caj RM1,500 seekor jika ternakan ditangkap, atasi isu haiwan berkeliaran

SHAH ALAM, 15 JAN: Caj tangkapan RM1,500 dikenakan terhadap individu sekiranya haiwan ternakan ditangkap penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

MPKj memaklumkan operasi yang bermula semalam dijalankan bagi menangani masalah haiwan berkeliaran di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Awas penternak di kawasan pentadbiran MPKj, operasi tangkapan haiwan akan dilaksanakan.

“Ternakan yang berkeliaran akan ditangkap dan penternak akan dikenakan caj tangkapan RM1,500 seekor,” katanya di Facebook.

MPKj juga memaklumkan operasi berkenaan akan dijalankan setiap hari bagi membendung masalah berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

1,898 haiwan liar ditangkap bendung kacau ganggu

SHAH ALAM, 2 DIS: Sebanyak 1,898 binatang liar ditangkap dalam operasi tangkapan haiwan terbiar di seluruh negeri antara Januari hingga Oktober lalu.

Jumlah tangakapan merangkumi 1,817 ekor anjing, 75 monyet dan enam khinzir berdasarkan aduan orang ramai, kata EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian.

“Unit Kawalan Vektor dan Haiwan Terbiar, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran menyediakan 23 perangkap monyet bagi mengurangkan isu kacau ganggu.

“Bagi isu anjing terbiar, tangkapan dibuat setiap hari. Jika aduan di kampung, beberapa perangkap diletakkan dengan kerjasama ketua kampung,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Ijok Dr Idris Ahmad mengenai tindakan Kerajaan Selangor bagi membendung masalah haiwan liar di seluruh negeri.

Selain itu, Loy Sian berkata Jabatan Kesihatan turut mewujudkan inovasi perangkap ‘multi trapper’ di kawasan aduan bagi mengatasi isu babi hutan.

“Hasil tangkapan akan diberi dan dipanjangkan kepada Jabatan Perhilitan bagi membendung kacau ganggu haiwan tersebut,” katanya.