Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKS kompaun empat pemilik lepas ternakan di kawasan larangan

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengenakan kompaun kepada empat pemilik haiwan kerana melepaskan ternakan di kawasan larangan dalam operasi pemantauan di sekitar kawasan Bestari Jaya dan Jeram pada Khamis.

Dalam operasi sama, agensi itu turut menangkap lembu dan kambing masing-masing dua ekor dalam operasi tersebut.

“Operasi dijalankan bertujuan mencegah haiwan peliharaan tidak berkeliaran di kawasan awam terutama kawasan perumahan selain untuk keselamatan pengguna jalan raya.

“Kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971. Semua haiwan itu dibawa ke Pusat Kurungan Haiwan MPKS untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi Facebook.

MPKS itu turut mengingatkan kepada pemilik ternakan bahawa agensi itu boleh mengurung mana-mana lembu atau kerbau yang ditangkap di bawah seksyen sama.

“Seksyen 13 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada pihak Majlis untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemunya, penjaga kerana melanggar mana-mana peruntukan di dalam enakmen tersebut,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghubungi talian 0332891439 atau layari laman sesawang di selangor.spab.gov.my.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri titah lindungi haiwan terbiar

SHAH ALAM, 23 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menitahkan rakyat supaya tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan terbiar.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin bertitah semua pihak perlu memiliki sifat belas kasihan dan bersama memberi perlindungan.

“Baginda berdua terkilan dan dukacita kerana masih ada pihak tertentu yang sengaja berlaku kejam dan tidak tahu kaedah terbaik melindungi haiwan terbiar, khususnya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” titah baginda dalam kenyataan disiarkan Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan pihak berkuasa tempatan supaya tidak memberi gambaran buruk terhadap isu tersebut, sebaliknya lebih proaktif dan bijak menanganinya.

Titah baginda, langkah kerajaan Turki mengendalikan haiwan terbiar perlu dicontohi supaya makhluk tersebut tidak dizalimi pihak tidak bertanggungjawab.

“Baginda berdua amat berharap rakyat dan seluruh komuniti khususnya di Selangor untuk terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan terbiar serta mengambil berat berhubung hak dan kebajikan,” titah baginda.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA didik kaedah beri makan haiwan terbiar secara bertanggungjawab

SHAH ALAM, 20 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memasang kain rentang di beberapa lokasi bagi mendidik masyarakat supaya memberi makan kepada haiwan terbiar secara bertanggungjawab.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam berkata pemantauan pihaknya mendapati pemberian makanan oleh penduduk mengakibatkan bilangan haiwan berkeliaran bertambah.

“MBSA menerima sebanyak 1,840 aduan berkaitan anjing berkeliaran yang menimbulkan kacau ganggu kepada orang ramai sepanjang tahun lalu.

“Kaedah pendidikan seperti ini memberi pendedahan kepada masyarakat agar dapat bekerjasama dengan MBSA untuk menangani isu haiwan terbiar atau berkeliaran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pihak berkuasa tempatan itu menambah setiap individu perlu bertanggungjawab memelihara dan menjaga kebajikan haiwan yang diberi makan di kediaman masing-masing selaras Akta Kebajikan Haiwan, Seksyen 33.

“Aktiviti memberi makan kepada haiwan terbiar akan menyebabkan kawasan tersebut kotor dan menjadi satu kesalahan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 81,” katanya.

Kelmarin, tular di Facebook masyarakat mempersoal tindakan PBT terbabit memasang kain rentang bagi mengingatkan orang ramai tidak memberi makan kepada haiwan liar.

Lebih mengundang kemarahan apabila tertera gambar kucing sebagai antara ‘haiwan liar’ di kain rentang tersebut dipercayai digantung di lokasi awam.