Categories
SELANGOR

Sultan: Bakal haji perlu jaga akhlak, belanja secara berhemah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 10 OGOS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj mendoakan jemaah haji Selangor dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu dengan selamat serta mendapat haji yang mabrur.

Dalam titah yang disampaikan pada Majlis Penutup Kursus Perdana Haji Musim Haji 1435H Peringkat Negeri Selangor, baginda mengingatkan semua jemaah haji supaya membuat persiapan rapi sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Hal itu kerana ibadah haji memerlukan kesihatan fizikal yang baik serta kekuatan mental untuk melaksanakannya.

DYYM dan MB bersama bakal haji di masjid negeri (1) (1)“Beta menasihatkan semua bakal haji dapat menjaga akhlak, tingkah laku dan nilai budi yang tinggi sepanjang musim ibadah haji.

“Tunaikan ibadah haji dengan penuh tertib, sabar dan mengikut peraturan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak pengurusan Tabung Haji dan pihak berkuasa Arab Saudi,” titahnya di Masjid Sultan Salahuddin Idris Shah, di sini.

Baginda turut menasihatkan jemaah supaya menjaga kesihatan memandangkan kota Mekah dalam proses penambahbaikkan serta pembinaan, selain mengamalkan perbelanjaan berhemah ketika berada di sana.

Majlis penutup ini turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid.

DYYM dan MB bersama bakal haji di masjid negeri (7)Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail, berkata lebih 3,600 orang bakal haji dari Selangor dipilih untuk musim kali ini.

Katanya, Tabung Haji membelanjakan kos hampir RM3.6 juta untuk penganjuran kursus haji di seluruh negara, manakala jumlah tanggungan keseluruhan haji setiap tahun adalah melebihi RM130 juta.

“Ini tidak termasuk tanggungan Tabung Haji bagi setiap seorang jemaah Haji Muassasah iaitu RM6,175 seorang bagi mengekalkan kos pergi haji sebanyak RM9,980 seorang pada tahun ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Aktivis Pas : Haji Boleh Ditangguh, PRU 13 Diutamakan

SHAH ALAM, 17 JUN: Semua aktivis PAS yang ditemui TVSelangor memilih untuk bertempur bersama parti di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sekiranya kerajaan pusat mengadakannya pada musim Haji.

Tinjauan rambang pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor di sini mendapati, para aktivis merasakan bukan masalah besar untuk menangguhkan ibadah haji dan menumpukan tenaga untuk menawan Putrajaya.

Rohaizad Abdul Rahim, 40, dari kawasan Petaling Jaya Selatan berpendapat, pilihanraya yang berlangsung lima tahun sekali merupakan medan pertempuran penting lebih-lebih lagi dalam memilih pemimpin negara.

Katanya, penagguhan ibadah haji bukan bererti meminggirkan tuntutan Rukun Islam kelima. Sebaliknya perkara berkenaan boleh dilakukan pada tahun akan datang.

“Walaupun haji itu wajib, tetapi parti juga satu kewajipan kerana kita ingin memilih pemimpin.

?Dari segi tempoh masa, haji boleh pergi bila-bila masa. Pilihanraya merupakan peluang yang ada untuk kita mengutamakan parti,” katanya.

Dalam tinjauan tersebut, wartawan TVSelangor menemui 10 aktivis Pas yang dipilih secara rambangan dari lebih kurang 1,000 yang hadir pada himpunan hari ini.

Kesemua aktivis yang daripada berbagai latar belakang dan umur itu tidak teragak untuk beritahu sekiranya mereka dipilih untuk menunaikan haji pada tahun ini, mereka akan tangguh untuk bersama parti semasa pilihanraya.

Ahli PAS Ampang, Anuar Saari, 42, berkata pilihanraya tidak diadakan setiap tahun berbanding dengan peluang menunaikan Haji.

“Kalau kita terpilih, boleh tangguhkan dengan memaklumkan kepada pihak tabung haji.

?Saya rasa ahli (parti) juga perlu buat perkara yang sama kerana pilihan raya lima tahun sekali. Bukan setiap tahun ada. Paling penting setiap ahli perlu faham perkara itu,” katanya.

Media pro-Umno-BN baru baru ini mempertikaikan kenyataan pemimpin Pas yang meminta ahli parti yang terlibat secara langsung di dalam pilihanraya menangguhkan ibadah haji sekiranya PRU ke 13 berlaku pada musim itu.

Media tersebut memaparkan kenyataan daripada berbagai pemimpin Umno dan ulama lain yang mengkritik kenyataan pemimpin Pas seperti presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ketua penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Muslimat Pas Selangor turut menyatakan pendirian sama untuk bersama PAS walapun PRU-13 pada musim Haji.

Julianah Maah, 57, berkata, perjuangan menegakkan kebenaran terutama dalam memilih pemimpin negara merupakan jihad yang besar dan dijanjikan ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Katanya, dalam keadaan sekarang, sudah tiba masa rakyat membuat perubahan demi memastikan negara tidak terus berada dalam cengkaman pemerintah yang selama ini menafikan hak rakyat.

“Saya memilih untuk berada di Malaysia sekiranya PRU-13 diadakan pada musim haji walaupun pada ketika itu saya terpilih untuk menunaikan ibadah haji.

?Ini kerana, pengorbanan dan pahalanya lebih besar sekiranya kita bersama-sama parti berjuang dalam PRU-13,” katanya.

Bagi Norhayati Samad, 41, tidak timbul isu membelakangkan agama kerana pilihan raya itu adalah penentu masa depan negara dan memperjuangkan Islam merupakan satu perkara yang dituntut dalam agama.

Kenyataan berkenaan turut disokong Siti Maryam Mohd, 50 yang berpandangan PAS memerlukan sokongan rakyat dan adalah lebih baik ibadah haji ditangguhkan.