Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hakim perlu bebas buat keputusan secara adil, saksama

PUTRAJAYA, 2 APRIL: Setiap hakim perlu kekal bebas dalam memutuskan sesuatu kes tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak dalaman atau luaran.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, sebaliknya, kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman untuk memberi keadilan yang tidak berat sebelah adalah asas kepada badan kehakiman.

Justeru, katanya, hakim perlu melaksanakan tugas dengan standard yang tinggi, berintegriti dan berlaku adil dengan memberi peluang kepada semua pihak untuk didengar dan melayan mereka secara adil.

“Jika anda mempunyai pengetahuan mengenai fakta yang dipertikaikan atau mempunyai kaitan dengan mana-mana pihak atau kepentingan dalam hasilnya, anda harus menarik diri daripada menentukan perkara itu, “ katanya ketika berucap merasmikan Program Induksi Pesuruhjaya Kehakiman (JC), di sini, Isnin lalu.

Teks ucapannya dikeluarkan kepada media semalam.

Tengku Maimun menyampaikan surat pelantikan jawatan kepada sembilan JC dan turut menyaksikan lima Hakim Mahkamah Tinggi mengangkat sumpah ke jawatan Hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata hakim mempunyai hak untuk menyoal saksi bagi mendapatkan penjelasan semasa memberi keterangan tetapi tidak boleh melakukan pemeriksaan utama atau pemeriksaan balas dan menyoal saksi sehingga keterlaluan.

Beliau turut menegaskan dalam melaksanakan tugas kehakiman, hakim tidak mempunyai keistimewaan untuk memilih kes dan oleh itu terikat mendengar kes yang menarik perhatian awam atau kes membabitkan tokoh masyarakat.

“Walaupun Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan saya bertanggungjawab dalam hal-hal dasar dan memastikan hakim mematuhi dasar sedemikian, kami tidak dalam apa jua keadaan pun mengarah atau menentukan keputusan anda,“ katanya.

Menurutnya, para hakim mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk memutuskan kes mengikut undang-undang dan fakta serta bertanggungjawab mendukung integriti dan kebebasan badan kehakiman.

Tengku Maimun berkata nilai integriti bukan sahaja kemampuan menolak rasuah tetapi juga menghormati sepenuhnya nilai-nilai teras kebebasan, tidak berat sebelah, integriti peribadi, kesopanan, kesaksamaan, kecekapan dan ketekunan.

“Anda tidak perlu bimbang dengan apa yang orang lain boleh katakan tentang keputusan anda sama ada pihak eksekutif, cawangan perundangan, masyarakat umum bahkan rakan anda sendiri. Anda biasa dengar hakim dilabel sebagai konservatif atau hakim liberal.

“Tetapi hanya satu label yang saya pentingkan iaitu hakim tidak berat sebelah,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan hakim menulis alasan penghakiman yang akan meningkatkan penelitian dalam hujahan dan analisis keterangan yang membolehkan Mahkamah Rayuan memahami keputusan mahkamah rendah dengan jelas.

“Ia juga memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam sistem kehakiman,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Cabaran besar ubah persepsi Mahkamah Syariah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Yang Amat Arif Dr Mohd Na’im Mokhtar menganggap pelantikannya selaku Ketua Hakim Syarie Selangor baharu sebagai cabaran untuk memastikan misi serta visi Jabatan Kehakiman Syariah dicapai.

Menjadi antara Ketua Hakim termuda dalam sejarah menguatkan lagi semangat beliau untuk memartabatkan Mahkamah Syariah Selangor pada kedudukan tertinggi.

DR HAJI MOHD NAIM BIN HAJI MOKHTAR ,KETUA HAKIM SYARIE NEGERI SELANGOR“Antara cabaran bakal dihadapi adalah bagaimana mengatasi persepsi negatif yang wujud dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap Mahkamah Syariah.

“Untuk tujuan itu saya bersama seluruh kakitangan jabatan memberikan penerangan serta penjelasan mengenai fungsi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

“Saya percaya banyak persepsi negatif ini terbina atas salah faham,” katanya kepada Selangor Kini.

Sebelum dilantik menjadi Ketua Hakim Syarie, Mohd Na’im merupakan Ketua Hakim Syarie termuda adalah Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Berusia 47 tahun, beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pernah dilantik sebagai Malaysian Cheavening Visiting Fellow Oxford University, United Kingdom bagi tahun2008/2009 dan Visiting Fellow di Harvard Law School, Harvard University, Amerika Syarikat.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM) dari University of London, United Kingdom, Diploma dalam Undang-Undang Syariah dan Amalan serta Diploma dalam Pentadbiran dan Kehakiman Islam dari UIAM dan Doktor Falsafah (PhD) Syariah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Memulakan kerjaya sebagai Pensyarah Undang-Undang di UIAM pada tahun 1990 sehingga 1997, Mohd Na’im kemudiannya mendapat tauliah sebagai Peguam Syarie di Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan serta Peguambela dan Peguamcara Malaysia pada 1997 hingga 1998.

Pada 1998, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Petaling hingga 2001 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dari 2001 hingga 2003.

Beliau juga pernah dilantik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai pegawai penyelidik dari tahun 2003 hingga 2005.

Mohd Na’im pernah berkhidmat sebagai Pendakwa Syarie Kanan di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan antara 2007 hingga 2008 selain menjadi pensyarah jemputan di UKM dan UIAM dari tahun 1998 sehingga kini.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Dakwaan cubaan pengaruh hakim perlu disiasat

Oleh: Datuk Mahfuz Omar

PAS memandang berat laporan Malaymail online bertarikh 4 Disember yang melaporkan berkenaan suatu teks penghakiman yang ditulis oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam. Di dalam penghakiman tersebut, hakim tersebut mendakwa seorang peguam kanan telah melakukan beberapa perbuatan tidak wajar yang boleh ditafsirkan sebagai cuba untuk mempengaruhi hakim tersebut yang sedang membicarakan sebuah kes yang melibatkan anak guam kepada peguam terbabit.

Kenyataan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi ini adalah sesuatu yang amat serius kerana ianya secara langsung menyentuh tentang kredibiliti sistem kehakiman dan integriti pengamal undang-undang di negara ini. Apatah lagi peguam kanan yang didakwa melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak wajar tersebut dilaporkan adalah salah seorang calon yang sedang dipertimbangkan untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi dan berpotensi untuk mendaki hirarki sistem kehakiman negara hingga ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Seksyen 23 (2) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 antara lain menyebut bahawa antara kriteria utama yang diperlukan oleh seseorang calon hakim ialah mestilah seorang yang berintegriti dan memiliki karakter moral yang baik.

Dakwaan sebegini tidak seharusnya dipandang ringan dan kerajaan serta badan-badan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Peguam bertanggungjawab untuk melaksanakan langkah-langkah yang perlu di dalam bidangkuasa masing-masing bagi memastikan imej badan kehakiman dan profesion kepeguaman di negara ini tidak terus tercemar.

Justeru, PAS mendesak supaya tindakan segera mesti diambil seperti berikut :

  1. SPRM perlu menyiasat dakwaan yang dibuat oleh hakim tersebut berkaitan dengan cubaan peguam terbabit untuk mempengaruhinya di dalam mendengar kes yang melibatkan anakguam kepada peguam terbabit dan sekiranya dakwaan tersebut terbukti benar maka tindakana pendakwaan hendaklah diambil;

  1. Dengan berasaskan kandungan penghakiman tersebut, Majlis Peguam hendaklah merujuk perkara ini kepada Lembaga Tatatertib Peguam yang ditubuhkan di bawah Akta Profesyen Undang-Undang 1976 bagi membolehkan peguam terbabit disiasat dan diambil tindakan sewajarnya jika didapati melanggar etika sebagai seorang peguam;

  1. Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman hendaklah menggantung dan menangguhkan serta merta sebarang proses pelantikan atau penilaian ke atas peguam terbabit untuk dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi; dan
  2. Kerajaan hendaklah mengambil tindakan ke atas hakim terbabit sekiranya didapati dakwaan yang dibuat di dalam penghakiman tersebut adalah tidak benar.

 # Datuk Mahfuz Omar adalah  Ketua Penerangan PAS merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tukar Hakim, Kes Nik Nazmi Dibicara 26 Ogos

nik nazmi

PETALING JAYA 29 MEI : Perbicaraan kes Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung perhimpunan aman #Black505 di Stadium Kelana Jaya 8 Mei lalu dianjak ke 26 Ogos depan.

Perkara ini ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Hayatul Akmal Abdul Aziz.

Hayatul Akmal menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah dikemukakan kedua-dua pihak pendakwaraya dan peguambela.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguambela, Syahredzan Johan dan Afiq Md Nor mewakili Nik Nazmi.

Sebelum ini kes tersebut ditetapkan untuk didengar oleh Hakim, Rozina Ayob di mahkamah sama pada 4 Jun depan di mana Nik Nazmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Hayatul Akmal mengambilalih kes itu daripada Rozina kerana Rozina dan Nik Nazmi mempunyai hubungan kekeluargaan.

Sebelum kes dikendali Hayatul Akmal, Rozina menjelaskan dia dimaklumkan oleh bapanya mengenai perkara itu selepas kes Nik Nazmi disebut buat pertama kali pada 17 Mei lalu.

Sehubungan itu untuk berlaku adil, katanya, kedua-dua pendakwaraya dan peguambela dipanggil untuk memaklumkan bahawa kes tersebut dipindahkan kepada hakim lain.

Di luar mahkamah, Nik Nazmi berkata, barisan peguambelanya akan mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh satu hingga dua minggu untuk pembatalan kes berkenaan.

“Peguambela saya, Syahredzan, Afiq dan Eric Paulsen akan memfailkan kes ini di Mahkamah Tinggi untuk mencabar Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kita akan mencabar kes ini dan pada masa yang sama akan menghadapinya pada 26 Ogos nanti,” katanya.

nik nazmi pc