Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN Selangor gesa badan bebas pantau siasatan ketua pesuruhjaya SPRM

SHAH ALAM, 9 JAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menggesa siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dipantau badan bebas.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor Halimey Abu Bakar berkata tindakan berkenaan bagi memastikan tidak ada tangan ghaib mengganggu proses siasatan tersebut.

Beliau juga menggesa pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM selepas ini perlu melalui proses dan dipantau Parlimen Malaysia bagi memastikan seseorang individu berwibawa dan bebas dari pengaruh politik.

“Cukuplah dengan bala yang menimpa negara dengan urus tadbir lemah, ditambah lagi dengan agensi penguatkuasa yang bobrok,” katanya dalam kenyataan semalam.

Azam didakwa memiliki saham dua syarikat pada 2015 berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, beliau pengarah bahagian siasatan SPRM.

Azam dalam sidang media pada 5 Januari kemudian mendakwa akaun sahamnya digunakan adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kemudian menyatakan setiap akaun sekuriti mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti yang dideposit atau atas penama yang diberi kuasa atau dibenarkan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Skim pendidikan anak Selangor langkah prihatin Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 27 NOV: Pelaksanaan skim Iltizam Anak Selangor menerusi Belanjawan #Selangor2022 menujukkan penambahbaikan khususnya buat ibu bapa mempunyai anak-anak yang baru dilahirkan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia berkata langkah tersebut menunjukan keperihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan anak-anak ini mempunyai simpanan mereka sendiri.

“Belanjawan ini ada penambahan baik buat anak-anak baru lahir, sebelum ini ada tetapi diberhentikan dan kini diwujudkan semula.

“Walaupun diberi skim simpanan untuk lima tahun tetapi ia cukup besar maknanya buat mereka,” kata Halimey Abu Bakar selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 semalam.

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan belanjawan negeri semalam berkata Kerajaan Negeri akan memperkenalkan skim baharu Iltizam Anak Selangor yang akan disertai dengan pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi anak-anak yang baru lahir.

“Seramai 30,000 anak-anak memohon akan diberikan RM100 setahun untuk tempoh lima tahun dengan peruntukan sebanyak RM3 juta pada 2022,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN Selangor: Hormati konsensus, usah tuding jari kepada individu

SHAH ALAM, 23 NOV: Para pemimpin HARAPAN digesa menghormati semangat konsensus dan perpaduan dalam parti, tegas Ketua Penerangan KEADILAN Selangor.

Justeru Halimey Abu Bakar berkata tindakan menuding jari terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendesaknya meletakkan jawatan atas kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Keputusan PRN Melaka sememangnya memberi tamparan hebat kepada HARAPAN namun setiap keputusan yang telah dibuat adalah berdasarkan konsensus bersama kesemua pimpinan dan bukannya keputusan individu.

“Jadi adalah sangat tidak wajar mana-mana pimpinan dalam HARAPAN untuk menuding jari terhadap ketua pembangkang seolah-olah segala keputusan dibuat atas kehendak beliau,” bidas Halimey dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen dari DAP yang mendesak Anwar meletakkan jawatan ketua pembangkang ekoran kekalahan HARAPAN dalam PRN Melaka pada 20 November lalu.

Dalam PRN itu, HARAPAN memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 15 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Barisan Nasional pula menguasai 21 kerusi DUN sekali gus membolehkan ia kembali memerintah manakala Perikatan Nasional hanya menang dua kerusi.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata HARAPAN perlu melakukan perubahan dalam memenangi hati pengundi luar bandar dan anak muda selain menggalakkan pengundi luar untuk pulang mengundi.

“Pesanan ikhlas buat semua pimpinan dalam HARAPAN agar lebih berhati-hati dan berhemah dalam membuat sebarang kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Cabang KEADILAN Tanjong Karang, Mohd. Yahya Mat Sahri berkata, adalah tidak wajar untuk meletakkan kegagalan di bahu Anwar seorang sahaja.

“Para pemimpin HARAPAN di setiap peringkat digesa berhenti menunding jari antara satu sama lain. Rapatkan saf dan kekalkan muafakat serta perpaduan dalam parti.

“Kami berikar untuk terus memberikan kepercayaan serta sokongan kepada Anwar Ibrahim selaku Pengerusi HARAPAN,” tegas beliau.

Katanya, sebagai sebuah gabungan politik, setiap kemenangan mahupun kekalahan perlulah diletakkan di bawah tanggungjawab bersama.

Beliau yang juga Pengerusi HARAPAN Tanjong Karang mengingatkan bahawa Anwar hampir setiap hari turun ke Melaka berkempen walaupun mempunyai kekangan tugas sebagai ketua pembangkang.

“Adalah tidak adil apabila HARAPAN gagal di Melaka, golongan ini menghalakan serangan serta menyalahkan Anwar selaku Pengerusi HARAPAN.

“Namun sekiranya kemenangan dicapai golongan ini akan mendakwa kemenangan tersebut adalah hasil usaha mereka,’ katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kejohanan PUBG ADN Seri Setia tawar hadiah RM2,700

SHAH ALAM, 1 NOV: Pertandingan e-sukan PUBG Piala Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2,700.

Juara akan membawa pulang RM1,500 beserta piala pusingan manakala naib juara RM700 dan pemenang tempat ketiga RM500.

Wakil rakyatnya Halimey Abu Bakar yang berkongsi maklumat di Facebook berkata kejohanan terbuka kepada penduduk berusia 18 hingga 31 tahun di Dewan Undangan Negeri Seri Setia.

Menurutnya, kejohanan itu terhad kepada 32 pasukan sahaja dan pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://bit.ly/PUBGSeriSetia sebelum 12 November.

Yuran pendaftaran percuma dan sebarang pertanyaan boleh hubungi 013 4743 495 (Sumayyah).

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Naik taraf aset kritikal, hanya 10 peratus kawasan Seri Setia tiada air

SHAH ALAM, 17 OKT: Hanya 10 peratus kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia terjejas bekalan susulan penyenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 Rabu lalu.

Wakil rakyatnya Halimey Abu Bakar berkata antara kawasan terlibat ialah di Ara Vista, SS5A, SS5C Kelana Jaya dan beberapa kawasan di Taman Tun Dr Ismail.

“Bagaimana semua kawasan ini mendapat bekalan air pada Jumaat,” katanya kepada SelangorKini.

Petang semalam bekalan air di 998 kawasan terlibat naik taraf aset kritikal loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 pulih sepenuhnya, awal beberapa jam daripada jangkaan.

Penyenggaraan aset kritikal Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dijalankan Rabu lalu setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Categories
ADN SELANGOR

99 peratus penduduk Lembah Subang hadir terima vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 16 OKT: Hampir 99 peratus penduduk di Lembah Subang hadir ke Pusat Dagangan NZX Ara Damansara dekat sini untuk menerima suntikan pelalian Covid-19 hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata daripada 200 penduduk, seramai 198 hadir mendapatkan vaksin bermula jam 8.30 pagi hingga 1 petang.

“Setakat ini di DUN Seri Setia hampir 70 peratus penduduknya sudah menerima suntikan Covid-19.

“Dengan adanya kerjasama bersama pusat kesihatan daerah (PKD) mampu meningkatkan kadar vaksinasi sehingga 90 peratus,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Halimey berkata pihaknya bercadang untuk menganjurkan siri kedua program vaksinasi pada November ini untuk penduduk di PJS 5, Desaria.

“Maklumat diterima mengatakan di kawasan ini ramai warga emas yang masih belum menerima suntikan.

“Kita akan membincangkan kaedah pemberian vaksin dalam masa terdekat,” katanya.

Pada 11 Oktober, Halimey memaklumkan pihaknya membantu 200 penduduk Lembah Subang yang tercicir mendapatkan suntikan pelalian Covid-19.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Seri Setia bantu 200 penduduk dapat vaksin

SHAH ALAM, 11 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia membantu 200 penduduk Lembah Subang yang tercicir mendapatkan suntikan pelalian Covid-19 pada Sabtu ini.

Halimey Abu Bakar berkata inisiatif itu diambil menerusi kerjasama dengan pusat kesihatan daerah (PKD).

“Kita mendapat aduan terdapat penduduk di Lembah Subang yang belum menerima vaksin kerana kekangan masa dan masalah kenderaan.

“Senarai penerima suntikan sudah ada dan mereka akan diberi vaksin jenis Pfizer,” katanya kepada SelangorKini.

Pemberian vaksin untuk penduduk Lembah Subang diadakan di Pusat Dagangan NZX Ara Damansara dekat sini.

Pada 9 Oktober, sebanyak 20,927,867 atau 89.4 peratus daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima vaksin Covid-19.

Categories
ADN SELANGOR

50 sukarelawan bantu bersih rumah penduduk terjejas banjir kilat

SHAH ALAM, 27 SEPT: Seramai 50 sukarelawan digerakkan ke Taman Mesra, Seksyen U1 dekat sini, bagi membantu penduduk membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir kilat.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar bercakap kepada media ketika melawat penduduk Taman Mesra, Shah Alam yang dilanda banjir kilat pada 27 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata sebanyak 108 rumah dinaiki air melebihi setengah meter selepas hujan lebat lebih lima jam petang semalam.

“Kumpulan sukarelawan terdiri ahli Program Sukarelawan Selangor (Serve), Team Selangor, Penggerak Belia Selangor (PeBS) selain kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam dan KDEB Waste Management Sdn Bhd.

“Mereka membantu penduduk membersihkan rumah dan mengangkat perabot rosak. Penduduk taman ini juga ramai warga emas, jadi kehadiran mereka sangat membantu,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat taman berkenaan bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Halimey berkata, pihaknya turut meminta bantuan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd untuk menyediakan air tangki bagi memudahkan penduduk membersihkan kediaman.

“Selain itu anggota bomba turut membantu menyembur kesan kotoran yang sukar dibersihkan,” katanya.

Bagi meringankan beban penduduk, Halimey menyumbang bakul makanan kepada setiap rumah selain mengagihkan sarapan untuk semua mangsa.

“Saya akan membawa isu banjir kilat ke sidang Dewan Negeri Selangor supaya peruntukan diluluskan segera sekali gus membolehkan Majlis Bandaraya Shah Alam atau Jabatan Pengairan dan Saliran mengambil tindakan segera,” katanya.

Semalam beberapa kawasan sekitar bandaraya ini dilanda banjir kilat antaranya di Seksyen 13, Seksyen 4, Seksyen 10 serta Batu Tiga.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Seri Setia, Bandar Utama utamakan golongan B40 terima kit ujian percuma

SHAH ALAM, 5 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia mengutamakan individu positif Covid-19 daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dalam mengagihkan kit ujian kendiri percuma.

Wakil rakyatnya Halimey Abu Bakar berkata golongan yang positif dan B40 adalah antara mereka terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Kit ujian kendiri ini akan diagihkan selepas satu perjumpaan diadakan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti (Suka) minggu hadapan untuk membincangkan kaedah agihan.

“Saya jangkakan peruntukan 1,000 unit untuk permulaan ini mencukupi susulan di DUN Seri Setia kes mencatat penurunan,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya kini sedang mengumpul nama individu yang layak untuk diberikan kit ujian kendiri itu.

“Perbincangan berhubung agihan kit ujian kendiri ini diadakan dalam masa tiga hari untuk memastikan penggunaannya digunakan lebih efektif untuk golongan memerlukan terutama B40.

“Kita bercadang untuk buat agihan di pusat khidmat masyarakat atau ketika program pemberian bakul makanan,” katanya.

Pada 3 September, Kerajaan Negeri akan mula mengedar secara berperingkat 60,000 kit ujian kendiri yang akan diberikan percuma kepada rakyat yang positif Covid-19, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata buat permulaan sebanyak 5,000 kit diedar kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang Jaya dengan masing-masing menerima 1,000 unit.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat kenal pasti golongan sasar terima kit ujian percuma

PETALING JAYA, 3 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menerima kit ujian kendiri Covid-19 akan mengenal pasti golongan sasar yang layak mendapat barangan secara percuma itu.

Wakil rakyat Seri Setia berkata pihaknya menggunakan khidmat Sukarelawan Kesihatan Komuniti (Suka) bagi mendapat maklum balas mengenai individu yang mempunyai gejala wabak.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Suka akan mengenal pasti rumah di mana penghuninya mempunyai simptom Covid-19 dan kita akan bantu edarkan kit ini kepada mereka.

“Sebagai contoh, jika seorang dari sebuah rumah itu positif sudah tentu penghuni lain juga mungkin mengalami keadaan sama, kalau lima orang kita beri lima kit kepada mereka,” kata Halimey Abu Bakar, hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata fokus pusat khidmatnya ketika ini adalah golongan berpendatan rendah yang tinggal di kawasan rumah pangsa.

ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Setiap keluarga yang memperoleh kit ini kita akan daftar nama dan alamat jadi mereka tidak akan mengambilnya dengan kuantiti banyak serta dapat mengelak kekurangan.

“Saya berharap pemberian percuma ini tidak diambil kesempatan oleh mana-mana pihak yang mungkin berniat untuk menjual kerana ia tidak akan mencegah penularan Covid-19,” katanya.

Kerajaan Negeri hari ini mulai mengedar secara berperingkat 60,000 kit ujian kendiri Covid-19 yang akan diberikan kepada rakyat secara percuma.

EXCO Kesihatan Awam berkata buat permulaan sebanyak 5,000 kit diedar kepada lima wakil rakyat di DUN Bandar Utama, Seri Setia, Kota Damansara, Taman Templer dan Subang dengan masing-masing menerima 1,000 unit.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

500 penduduk B40 di Seri Setia sertai saringan percuma

SHAH ALAM, 29 OGOS: Seramai 500 penduduk golongan berpendapatan rendah (B40) di Pangsapuri Desaria, Petaling Jaya menjalani saringan Covid-19 secara percuma.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata program diadakan dengan kerjasama sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi memutuskan penularan virus.

“Lokasi itu dipilih kerana mempunyai ramai B40 yang tidak mampu menjalani ujian calitan di klinik atau membeli kit ujian kendiri,” katanya di sini, hari ini.

Dalam program berlainan, Halimey berkata beliau menyerahkan roti, pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan bendera kepada 150 anggota pasukan keselamatan.

Halimey menyerahkan sumbangan roti, alat perlindungan diri dan bendera kepada bomba di Petaling Jaya, 29 Ogos 2021. Foto Ihsan Halimey Abu Bakar

“Sumbangan itu sebagai menghargai polis dan bomba yang menjaga ketenteraman negara, pada masa sama menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara.

“Roti dibeli daripada peniaga di Desa Mentari bagi menyokong perniagaannya, beliau membesarkan seorang anak orang kelainan upaya (OKU),” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Pertimbang kurangkan kadar sewa gerai bantu peniaga kecil terjejas

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri disaran mempertimbang semula kadar sewa gerai milik pihak berkuasa tempatan untuk membantu peniaga kecil yang terjejas akibat Covid-19.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata pendapatan golongan itu kebanyakan merosot susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak awal tahun ini.

“Kerajaan Negeri perlu mengambil perhatian peniaga yang menyewa di gerai-gerai majlis dengan mempertimbang kadar bayaran sewa memandangkan perniagaan mereka terjejas akibat pandemik.

“Kerajaan Negeri juga diharap dapat mempertimbang untuk menambah lagi peruntukan dalam Pakej Kita Selangor kepada rakyat terutama golongan peniaga,” katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perbahasannya, Halimey turut menyokong langkah Selangor meminjamkan stok vaksin kepada negeri lain namun berharap ia tidak menjejaskan proses suntikan penduduk negeri ini.

“Inisiatif kerajaan Negeri membeli vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) terbukti berkesan dalam membantu memberi suntikan kepada rakyat.

“Namun saya berharap bekalan vaksin di Selangor dapat dipastikan sentiasa mencukupi walaupun terpanggil membantu kerajaan persekutuan,” katanya.

Kerajaan Negeri meminjamkan 500,000 dos bekalan vaksin yang dibeli kepada Pasukan Petugas
Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan tersebut ketika ini.