Categories
AGENSI SELANGOR

Pelajar maahad harap remaja lengkap vaksin dibenar solat di masjid

KLANG, 31 OKT: Seorang pelajar maahad tahfiz berharap kerajaan dapat memberi kelonggaran kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang lengkap vaksin Covid-19 untuk bersembahyang di masjid.

Pelajar Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun, Hani Dinie Zamri, 16, berkata dia sudah lama menantikan untuk kembali mengimarahkan masjid yang kali terakhir dikunjunginya pada Mac tahun lalu.

Hani Dinie Zamri. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurutnya, arahan pihak berkuasa mengehadkan jumlah jemaah bagi memutuskan penularan Covid-19 difahami tetapi pada masa kini ramai sudah dilengkapi vaksin dan jumlah golongan dewasa dibenar ke masjid semakin bertambah.

“Saya harap remaja yang sudah melengkapkan suntikan juga diberi kelonggaran sama, kami rindu hendak sembahyang di masjid.

“Ambil vaksin ini adalah ikhtiar dan saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang tidak lupa pelajar maahad tahfiz,” katanya ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Remaja Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Nigel Lee Han Yong. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagi seorang bapa, Nigel Lee Han Yong, 45, inisiatif Kerajaan Negeri memberi vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun dapat membantu memberikan perlindungan kepada seramai mungkin individu dalam berdepan Covid-19.

“Saya gembira kerana anak saya yang belajar di rumah dan belum dapat janji temu di aplikasi MySejahtera memperoleh suntikan Selvax dengan segera,” katanya.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selvax diperluas kepada remaja melibatkan 150,000 dos pelalian selepas dipersetujui Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini, Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian penduduk negeri ini.