Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor pantas atasi isu buang bayi

SHAH ALAM, 16 SEPT: Langkah Kerajaan Selangor mengadakan perbincangan meja bulat berhubung isu buang bayi bakal memberi impak positif pada masa depan.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata tindakan itu juga menjadikan Selangor negeri pertama menjalankan inisiatif mengurangkan statistik pembuangan bayi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini usaha bagus untuk rakyat. Kerajaan Selangor bersikap terbuka dan melihat jauh ke depan kepentingan perbincangan seperti ini,” katanya pada sidang media selepas program berkenaan semalam.

Terdahulu Hannah yang merasmikan program itu turut melontarkan idea membantu Kerajaan Negeri mengatasi isu pembuangan bayi.

“Selangor mungkin boleh menambah bilangan kaunselor kerana kekerapan sesi kaunseling dapat membantu menyedarkan remaja bermasalah.

“Pelaburan kilang kondom di Selangor juga boleh membentuk kerjasama antara Kerajaan Negeri dgn pihak swasta untuk membendung isu ini juga,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

39 peratus kes dera dilakukan ibu kandung

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Tanggapan yang sering mengaitkan ibu tiri dengan sifat yang negatif mungkin tidak lagi sesuai pada masa kini apabila rekod penderaan kanak-kanak pada tahun lepas mendapati lebih 39 peratus atau 192 kes daripada 685 kes dera, dilakukan ibu kandung.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mendapati golongan bapa mencatatkan 158 kes atau 32 peratus, pihak pengasuh taska atau penjaga pusat jagaan melibatkan 29 kes (enam peratus), manakala kes yang melibatkan ibu tiri hanya tiga peratus atau 15 kes sahaja.

Timbalan Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata jumlah itu antara kes yang diperoleh daripada 25,868 panggilan yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 sepanjang tahun lepas.

“Sepanjang tahun lepas sahaja panggilan yang diterima menerusi Talian Kasih meningkat lebih 70 peratus berbanding 15,046 panggilan tahun 2018 dan ini menunjukkan semakin ramai orang awam sedar dengan perkhidmatan yang disediakan ini.

“Panggilan tertinggi yang dicatatkan adalah melibatkan penderaan kanak-kanak dan masalah keganasan rumah tangga termasuk mangsanya melibatkan golongan lelaki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) ‘Kesedaran Kanser Kanak-Kanak’ antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RMHC) dan Lions Club International di Rumah McDonald (RMH) Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.

Pada majlis itu, Yeoh turut merasmikan Lions Wonderland yang turut dihadiri Gabenor Daerah, Kelab Lions Antarabangsa Malaysia Datuk Javern Lim Chong Hee dan Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RHMC) Malaysia Azmir Jaafar.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hannah: Jadikan Ahad hari bersama keluarga

KUALA LUMPUR, 11 JAN: Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh menyarankan Ahad dijadikan sebagai hari rehat bersama keluarga.

Beliau berkata saranan itu sebagai satu langkah pencegahan dan penyelesaian dalam menghadapi tekanan kerja.

“…ini supaya mereka yang bekerja mempunyai masa untuk berehat pada hari Ahad. Jika tidak berbuat demikian (berehat), badan akan letih seterusnya mereka akan rasa tertekan untuk bekerja pada hari berikutnya.

“Secara tidak langsung, keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal,” katanya ketika ditemui Bernama selepas melancarkan Hari Keluarga Kiara Green Townhouse di sini hari ini.

Hari Keluarga itu dihadiri hampir 100 penduduk berbilang kaum dan usia di taman perumahan berkenaan.

Pada masa sama Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut turut menggalakkan semua persatuan penduduk kerap mengadakan program komuniti, bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan keluarga tetapi jiran tetangga.

“Seperti hari ini, saya lihat ini langkah penting dalam menganjurkan program berasaskan keluarga yang memberi lebih masa untuk penduduk saling bermesra dan mengenali antara satu sama lain.

“Mungkin program komuniti seperti ini boleh dilakukan pada Sabtu misalnya,” katanya.

Sementara itu, mengenai rayuan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman berhubung projek bangunan kediaman tinggi di Taman Rimba Kiara, Hannah berkata ia bakal didengar di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 15 Januari ini.

Pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara, membabitkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

DBKL perlu membayar kira-kira RM150 juta kepada pemaju, sekiranya projek itu dibatalkan dan ia suatu pembaziran terhadap dana awam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima video pendidikan seks untuk remaja dapat empat juta tontonan

PETALING JAYA, 7 JAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghasilkan video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform dalam talian pada tahun ini.

Timbalan menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata kerajaan percaya dengan penggunaan platform itu, ia dapat mendidik golongan muda, selain mendedahkan mereka cara yang betul untuk mendapatkan bantuan seandainya menjadi mangsa dalam jenayah seksual kanak-kanak.

“Kita akan bekerjasama dalam membangunkan kandungan bukan sahaja untuk kanak-kanak berusia 0 hingga 6 tahun, tetapi remaja juga.

“Perkara paling penting dalam penghasilan video seumpama ini ialah penyampaian maklumat serta bantuan kepada golongan kanak-kanak yang menjadi mangsa atau memerlukan bantuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun ke-70 World Vision Malaysia di sini, hari ini.

Pada 24 Jun tahun lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan lima video pendidikan seks untuk kanak-kanak melalui platform YouTube sebagai usaha kerajaan mengurangkan jenayah seksual kanak-kanak di Malaysia.

Video berdurasi satu minit bagi setiap siri itu merupakan usaha kementerian dengan kerjasama NGO, Malaysians Against Pornography, selain Google selaku pengendali YouTube.

Yeoh menambah sehingga Disember lepas, kelima-lima video berkenaan telah mencecah empat juta tontonan.

Sementara itu, dalam ucapannya Yeoh menyatakan sokongannya terhadap misi World Vision dalam memastikan kanak-kanak dijaga, dilindungi, dididik dan mempunyai peluang untuk membina masa hadapan yang lebih baik.

“Saya percaya jika semua orang bersatu dan menyokong antara satu sama lain, impian untuk membantu setiap kanak-kanak hidup dengan gembira menjadi realiti,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif World Vision Malaysia Daniel Boey dan pendukung World Vision Malaysia; Deborah Henry, Owen Yap, Phoebe Yap dan Freda Liu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan politikkan belanjawan berkaitan KPWKM – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Peruntukan membabitkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia adalah untuk kebaikan mereka yang memerlukan terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40 ), kata Timbalan Menterinya Hannah Yeoh.

Beliau turut menyatakan kekesalan apabila sebilangan Ahli Parlimen pembangkang mengundi tidak bersetuju pada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya Selasa lepas.

“Untuk kali pertama ada ahli parlimen tidak setuju dengan bajet KPWKM. Bajet ini termasuk bajet kementerian untuk kebajikan bagi Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak, ia penting untuk masyarakat.

“Ia tidak boleh tergendala, saya terkejut ada Ahli Parlimen yang memainkan isu politik untuk mengundi tidak setuju dengan bajet kebajikan ini. Kalau ingin main politik, main di tempat lain tapi jangan usik bajet golongan memerlukan,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, semalam.

Katanya, Ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan perkara itu perlu menjawab kepada pengundi di kawasan mereka kerana beliau yakin ada penerima yang memperolehi manfaat dan bantuan kebajikan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat di kawasan berkenaan.

Pada 26 November lepas, pengundian bagi RUU itu agak terlewat disebabkan beberapa Ahli Parlimen tidak berada di dalam dewan semasa Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan supaya pengundian dibuat.

Kelewatan itu mencetuskan pertikaman lidah antara Ahli Parlimen pembangkang dan penyokong kerajaan, bagaimanapun kesudahannya, rang undang-undang itu diluluskan dengan 45 menyokong dan 28 orang menolak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

78 peratus ibu bapa benar anak miliki gajet

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Satu tinjauan pendapat yang dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Lembah Klang baru-baru ini mendapati 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak memiliki gajet.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata situasi itu amat membimbangkan kerana masyarakat kini dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.

“Ibu bapa zaman sekarang gemar ‘mendidik’ anak mereka untuk menggunakan gajet sejak kecil sehingga mereka begitu leka bermain.

“Memang tidak dapat dinafikan penggunaan gajet mempunyai banyak faedah terutama dalam urusan pembelajaran, komunikasi dan jual beli namun teknologi juga memberi kesan negatif terutama kepada kanak-kanak jika disalahgunakan dan tanpa pengawasan orang tua,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Yeoh berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (PAKATAN-Beaufort) yang ingin tahu mengenai situasi isu kelekaan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak pada era ini dan tindakan kementerian dalam menanganinya.

Katanya laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017 oleh Institut Kajian Umum (IKU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mendapati 50.1 peratus pelajar sekolah menengah menghabiskan masa lebih tiga jam untuk menonton televisyen dan bermain permainan di komputer.

Tinjauan itu turut mendapati 85.6 peratus remaja adalah pengguna internet dan 29 peratus daripadanya mengalami ketagihan internet.

“Peralatan untuk mereka melayari internet adalah telefon pintar (94 peratus), komputer (62 peratus) dan peranti tablet (31 peratus),” katanya.

Susulan itu, Yeoh berkata beberapa inisiatif diambil kementerian dalam menangani masalah itu termasuk menganjurkan majlis ilmu kekeluargaan sempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 iaitu Forum Keibubapaan di Alam Siber dan bicara Santai Keluarga oleh LPPKN.

LPPKN turut menganjurkan Forum ‘Digital Parenting and Child Online Protection’ dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 20 Jun lepas yang membincangkan topik berkaitan keselamatan kanak-kanak di alam siber dan jenayah seksual kanak-kanak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kenal pasti dewan, kuarters tidak diguna latih OKU

TAIPING, 24 NOV: Semua agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri diminta mengenal pasti dewan orang ramai serta kuarters yang tidak diguna bagi membolehkan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dilatih di situ untuk meningkatkan kemahiran bekerja dan hidup mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata perkara itu juga boleh mengurangkan beban pemilik mana-mana bengkel yang terpaksa menyewa bangunan bagi menempatkan golongan itu bekerja.

“Langkah itu akan membolehkan lebih ramai golongan OKU ditempatkan di situ (bangunan tidak digunakan) berbanding menyewa bangunan lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Anugerah Kerjaya Cemerlang OKU di Bengkel Perlindungan Semangat Maju Taiping di Aulong dekat sini, semalam.

Beliau berkata, golongan OKU juga adalah aset negara dan mereka juga memerlukan kehidupan yang selesa termasuk kemahiran dan bersosial.

“Ia berdasarkan maklum balas yang positif daripada majikan seperti syarikat pusat membeli-belah AEON dan Mydin yang menyatakan pekerja OKU lebih fokus dalam menjalankan tugas dan kekal bekerja lebih lama di sesebuah organisasi,” katanya.

Hannah berkata seramai 263 OKU terlibat dalam program Job Coach yang dijalankan oleh Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya sehingga Oktober tahun ini.

“Daripada jumlah itu, 178 OKU atau 68 peratus daripadanya adalah OKU Masalah Pembelajaran. Sebanyak 165 buah syarikat dari seluruh negara terlibat,” katanya.

Selain itu, Hannah berkata Perak adalah negeri ketiga tertinggi yang mempunyai pendaftaran OKU Masalah Pembelajaran iaitu 15,748 orang selepas Selangor (29,063) dan Johor 21,474 orang.

Beliau berkata kementeriannya akan menubuhkan lima lagi Pusat Latihan Berdikari (ILC) di negara ini untuk membantu golongan OKU berdikari dan pada tahun ini, dua buah ILC telah ditubuhkan dengan peruntukan RM900,000 bagi kedua-duanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPWKM akan perhebat usaha daftar OKU

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperhebatkan usaha menggalakkan ibu bapa dan penjaga mendaftarkan anggota keluarga mereka yang kelainan upaya (OKU) dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui ‘Jom Daftar’ pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata, program itu, yang telah mula dilaksana dan digerakkan Jabatan Pembangunan OKU dan JKM, akan memberi tumpuan utama kepada aktiviti turun padang di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Contohnya segelintir keluarga di kawasan luar bandar, mereka mungkin tidak tahu mengenai autisme, itulah sebabnya kami perlu masuk ke sana (kawasan luar bandar) dan membawa bersama pakar untuk menerangkan mengenai perkara itu kepada keluarga.

“Kita juga memaklumkan kepada anggota Parlimen yang mana mereka perlu membantu Jabatan Pembangunan OKU dan memikirkan tentang kawasan mereka, berfikir bagaimana untuk mendaftarkan mereka (golongan OKU),” katanya selepas merasmikan simposium ‘Malaysia Applied Behaviour Analysis’ (ABA) di sini, hari ini.

Yeoh berkata, pihaknya akan ke Lawas, Sarawak bagi aktiviti turun padang di kawasan itu pada Februari tahun hadapan.

Menjelaskan program itu akan dijalankan di semua kawasan, beliau berkata, pendaftaran itu penting bagi membolehkan mereka mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan mereka, selain memastikan kerajaan mengetahui taburan dan bilangan golongan OKU di negara ini.

Pada masa ini, jumlah OKU berdaftar di negara ini adalah kira-kira 500,000 dan beliau percaya angka itu sebenarnya lebih tinggi. Ia antara lain disebabkan stigma terhadap OKU dan kurangnya kesedaran mengenai kepentingan untuk berdaftar dengan JKM.

Sementara itu, simposium dua hari itu yang dianjurkan Behaviour Analysis Academy bersama Jabatan Psikologi, menampilkan nama-nama terkenal dalam ABA yang akan menyediakan maklumat saintifik terkini dalam aplikasi yang lebih luas seperti dalam bidang pendidikan, keperluan khas dan tingkah laku organisasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Farmasi rakan kempen bendung buang bayi KPWKM

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Dalam usaha meningkatkan kempen kesedaran bagi membendung pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjalin kerjasama dengan rangkaian farmasi, Big Pharmacy untuk menyebar luas Talian Kasih 15999.

Timbalan Menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata, inisiatif bersama Big Pharmacy, yang mempunyai lebih 40 cawangan di seluruh negara, diharap dapat menjayakan matlamat kempen serta membantu golongan sasar iaitu kaum wanita dan remaja.

“Ramai orang pergi ke farmasi, beli barang kelengkapan dandanan diri. Di farmasi juga ada jual kit ujian kehamilan yang mana kalau berlaku kehamilan, mereka (kaum wanita dan remaja) akan pergi membelinya,” katanya dan menambah bahawa farmasi adalah antara tempat tumpuan yang sering dikunjungi golongan remaja dan wanita.

Ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Gynae-Oncology Kebangsaan (NGOC) 2019 hari ini, beliau berkata, kaedah sama digunakan KPWKM dengan menampal poster kesedaran termasuk nombor Talian Kasih 15999, seperti yang dilaksanakan di 22 kawasan Rehat dan Rawat Plus Malaysia Berhad sebelum ini.

Yeoh berkata, kementerian akan terus bekerjasama dengan sektor korporat agar masalah pembuangan bayi berjaya dikurangkan.

Talian Kasih adalah satu perkhidmatan aduan krisis masyarakat yang menyediakan bantuan bagi menangani kejadian kecemasan berkaitan kebajikan dan kemasyarakatan.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berharap Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu hadapan lebih mesra wanita dan keluarga.

“Sudah tentu kami akan mahukan (belanjawan) yang lebih mesra wanita, keluarga. Dan juga lebih banyak bajet berkaitan kesihatan mamogram.

“Kami berharap akan ada sesuatu yang menarik buat orang kurang upaya kerana mereka memerlukan sokongan dan jagaan daripada kerajaan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sektor awam disaran capai satu peratus peluang kerja buat OKU

PETALING JAYA, 30 OGOS: Sektor awam digesa mencapai sasaran Dasar Satu Peratus peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam bagi menunjukkan teladan baik kepada sektor swasta.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata, sektor awam harus meningkatkan usaha memenuhi peruntukan satu peratus pekerjaan kepada OKU.

Beliau berkata sehingga 31 Disember lalu, bilangan pekerja OKU dalam perkhidmatan awam hanya 0.31 peratus atau 3,856 pekerja berbanding jumlah keseluruhan 1,268,701 pekerja sektor awam.

“Saya mengalakkan sektor awam untuk mengambil kesempatan dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU,” katanya kepada pemberita selepas melawat pekerja OKU di pasaraya Mydin USJ, Subang Jaya, dekat sini, hari ini.

Dasar satu peratus pekerja OKU dalam sektor awam berkuat kuasa pada April 2008 dan pelaksanaannya adalah melalui Pekeliling Perkhidmatan pada 2008 dan 2010.

Hannah berkata, kementeriannya sudah mencapai sasaran satu peratus pekerja OKU dengan 144 jawatan diisi oleh golongan itu daripada keseluruhan 8,138 jawatan dan diikuti Kementerian Pertahanan yang menunjukkan perkembangan positif dengan capaian 0.98 peratus.

Sambil menyifatkan kunjungan ke pasar raya itu sangat bermakna, Hannah berkata beliau bangga Mydin dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa (JICA) berjaya menerbitkan sembilan buku poket manual yang menerangkan kaedah kerja dan memudahkan pemahaman OKU mengenai kerja yang perlu dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, ketika ini, Mydin mencatat jumlah 111 jawatan diisi OKU atau 1.4 peratus daripada kira-kira 8,000 kakitangan di seluruh Malaysia.

Menurutnya, 40 kakitangan dengan masalah pembelajaran, 35 (pendengaran), 31 (fizikal), empat (penglihatan) dan seorang dengan masalah kesihatan mental.

Katanya, pihaknya memulakan inisiatif pengisian jawatan oleh OKU sejak 2012 dengan pengambilan 76 pekerja, 2013 (90) dan mencapai jumlah tertinggi pada 2017 dengan 164 jawatan untuk golongan tersebut.

Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 549,554 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jalur Gemilang: Semai rasa cinta dari kecil

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Semangat cintakan Jalur Gemilang perlu disemai dalam kalangan masyarakat sejak kecil bagi menanam sikap menghormati bendera Malaysia, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

“Bendera Malaysia adalah identiti rakyat Malaysia. Jadi, kalau ada salah dan silap (yang dilakukan terhadap bendera), kita kena bagi mereka kesedaran betapa pentingnya (Jalur Gemilang).

“Kita kena tanam sikap ini dari kecil supaya kanak-kanak semua tahu bagaimana kita kena menghormati bendera Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 (KMJG 2019) di Taman Rekreasi Jalan Jambu Golok, Segambut, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu, P.Prabakaran dan Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Erwin Khairul Ahmad.

Segambut menjadi destinasi Ke-58 KMJG 2019. Konvoi KMJG yang disertai 62 kenderaan termasuk 17 pacuan empat roda, 30 motosikal berkuasa tinggi serta 15 motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 133 orang peserta akan melalui perjalanan sejauh 6,200 kilometer keseluruhannya, signifikan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 tahun ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, kemerdekaan dikecapi sesebuah negara boleh tergugat oleh anasir dalaman jika perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan agama tidak diberi perhatian.

“Seluruh rakyat Malaysia adalah tonggak utama dalam memastikan Malaysia terus merdeka. Hakikatnya kemerdekaan yang dicapai adalah daripada kaum yang bersatu padu dalam memastikan Malaysia terus aman daripada segala ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

228 taska sudah diwujud di tempat kerja sektor awam

KOTA KINABALU, 6 OGOS: Terdapat 228 taska di tempat kerja sektor awam di seluruh negara yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Julai lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Menurut beliau, usaha menggalakkan agensi kerajaan mewujudkan taska masih diteruskan kerana menerusi audit dilaksanakan oleh kementerian itu menunjukkan terdapat 541 agensi kerajaan di seluruh negara belum ada kemudahan itu.

Katanya, kerajaan menerusi kementerian itu memberi komitmen mewujudkan lebih banyak taska di sektor awam dengan memperuntukkan RM10 juta pada tahun ini dengan 66 agensi kerajaan telah diluluskan menubuhkan taska di bawah geran ini.

“Kelulusan geran taska di tempat kerja sektor awam ini memberi keutamaan kepada agensi kerajaan yang berhasrat untuk menubuhkan taska, mempunyai permintaan yang tinggi daripada kakitangan dan beroperasi secara syif,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke taska di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.

Pada lawatan itu, beliau turut menyampaikan mok cek berjumlah RM198,400 kepada Jabatan Cetak Kerajaan Sabah yang diterima oleh Pencetak Kerajaan Sabah Politin@Wenen Mobiji.

Yeoh berkata, peruntukan yang diluluskan pada Mac dan April lepas itu telah pun diagihkan kepada semua agensi kerajaan di seluruh negara kecuali Jabatan Cetak Kerajaan Sabah yang baru saja diluluskan pada Julai lalu.

Beliau berkata, 37 agensi kerajaan yang menerima geran peruntukan kerajaan itu adalah yang beroperasi secara syif seperti hospital dan Jabatan Penjara yang menjadi keutamaan menerima geran itu.

Beliau berkata, menteri di kementerian itu yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menulis surat kepada semua Ketua Menteri dan Menteri Besar untuk memohon kerjasama memasukkan bajet mewujudkan taska di tempat kerja di agensi kerajaan negeri masing-masing.

Katanya, komitmen mewujudkan taska di sektor awam tidak boleh hanya diserahkan kepada kerajaan Persekutuan tetapi juga tanggungjawab bersama dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pewujudan taska di tempat kerja sektor awam itu merupakan komitmen kerajaan memastikan golongan wanita terus bekerja dan meringankan beban ibu bapa yang bekerja di sektor awam.

Sementara itu, beliau berkata, enam agensi kerajaan negeri Sabah antara penerima geran peruntukan mewujudkan taska di tempat kerja membabitkan peruntukan keseluruhan RM923,400.

Katanya, agensi berkenaan adalah Pejabat Setiausaha Persekutuan dengan geran peruntukan berjumlah RM193,000, Jabatan Penjara Negeri Sabah (RM21,000), Universiti Malaysia Sabah Kampus Sandakan (RM180,000), Maktab Rendah Sains Mara Sandakan (RM145,000), Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (RM186,000) dan Jabatan Cetak Kerajaan Sabah (RM198,400). – BERNAMA