Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar penyusuan susu ibu meningkat 60 peratus

PETALING JAYA, 4 OGOS: Kesedaran mengenai amalan penyusuan susu ibu dalam kalangan ibu di negara ini semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Hannah berkata, berdasarkan data tahunan yang diperoleh Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh negara, kadar penyusuan susu ibu secara eksklusif iaitu enam bulan pertama kelahiran bayi menunjukkan peningkatan daripada 14.5 peratus pada 2009 kepada 60 peratus pada tahun lepas.

“Peningkatan dan kesedaran ibu mengenai penyusuan ini sangat memberangsangkan yang mana ia menyaksikan peningkatan sebanyak 45.5 peratus dalam tempoh hampir 10 tahun.

“Ia (peningkatan) adalah hasil daripada program intervensi yang dilaksanakan kerajaan dan usaha advokasi daripada pelbagai organisasi,” katanya selepas merasmikan program ‘Gift of Love’ anjuran The Breastfeeding Advocates Network (TBAN) bersama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Program yang diadakan sempena sambutan Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2019 yang disambut bermula 1 hingga 7 Ogos itu dihadiri lebih 130 ibu bersama anak masing-masing.

Hannah berkata, sokongan semua pihak terutamanya keluarga dan majikan adalah penting bagi memastikan ibu dapat menyusu anak secara berterusan untuk meningkatkan imunisasi badan seseorang bayi.

“Kalau di tempat kerja, ibu memerlukan fasiliti seperti bilik penyusuan dan cold storage untuk menyimpan stok susu mereka.

“Kita harap negeri lain akan mencontohi Melaka yang mana semua 19 agensi kerajaan di negeri itu menyediakan feeding rooms untuk kemudahan ibu,” katanya.

Mengenai cadangan cuti paterniti kepada golongan bapa yang bekerja di sektor swasta, Hannah berkata usaha dan perbincangan sedang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia bersama majikan bagi mempertimbangkan cadangan itu.

“Cuti paterniti untuk bapa memang penting sebab minggu awal pertama kelahiran bayi, golongan ibu sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada suami untuk menguruskan diri dan anak mereka,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

64 peratus bayi dibuang ditemui meninggal dunia

JASIN, 2 OGOS: Kira-kira 64 peratus daripada 945 kes pembuangan bayi ditemui meninggal dunia bagi tempoh 2010 hingga 2018 kerana dibuang di tempat tidak sepatutnya seperti di tandas awam dan pembuangan sampah, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, justeru golongan remaja perempuan terutama yang hamil luar nikah digesa tidak membuang bayi yang dilahirkan sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar bayi tersebut dapat diselamatkan untuk dijadikan anak angkat pasangan memerlukan.

Katanya setakat ini, kira-kira 1,000 pasangan yang sudah berkahwin tersenarai dalam senarai menunggu pengambilan anak angkat JKM dan mereka sentiasa menunggu peluang berkenaan.

“Fokus utama kami sekarang ini ialah untuk menyelamatkan nyawa bayi yang dilahirkan kerana mereka tidak bersalah dan nyawa mereka sangat berharga. Golongan remaja perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini boleh mendapatkan bantuan dengan menelefon Talian Kasih 15999 dan JKM akan ke lokasi di mana mereka berada untuk melihat apa yang boleh dibantu.

“Ada banyak ibu bapa yang sedang menunggu peluang untuk menjaga bayi ini dan sekiranya bayi tersebut diserahkan kepada JKM atau tidak dibuang di tempat yang tidak sepatutnya, nyawa mereka akan dapat diselamatkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Harapan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Sekolah Harapan yang dibuka pada 2011 itu bertujuan melindungi golongan remaja perempuan yang hamil luar nikah dan ketika ini seramai 10 penghuni berusia 16 hingga 27 tahun ditempatkan di pusat tersebut.

Mengulas lanjut, Yeoh berkata, 65 kes pembuangan bayi direkodkan dari Januari hingga Mei lepas dan tiga negeri yang mencatatkan kes tertinggi ialah Johor (13 kes), Selangor (11 kes) dan Kedah (lima kes).

Katanya, golongan remaja perempuan yang hamil luar nikah tidak patut dipinggirkan sebaliknya mereka perlu dibantu dari pelbagai aspek agar kehidupan mereka dapat diteruskan dengan baik terutama selepas melahirkan anak itu.

Menurut beliau, selain itu, kebanyakan remaja terlibat itu dihantui pengalaman atau sejarah hitam sehingga menjadi igauan yang dikesalkan sepanjang hayat mereka terutama apabila anak tersebut diserahkan kepada keluarga angkat.

Katanya, kempen mencegah pembuangan bayi sedang giat dilaksanakan kementeriannya dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pihak Lebuhraya Utara Selatan dengan melekatkan poster berserta nombor Talian Kasih 15999 di pintu tandas di 22 Kawasan Rehat dan Rawat di seluruh negara selain Malaysia Airport Holdings Bhd, syarikat telekomunikasi dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

“Kempen ini akan diperluaskan seterusnya di pawagam seluruh negara untuk menyampaikan mesej tersebut dan kita perlu kreatif mencari kumpulan sasar iaitu golongan muda…di mana mereka berada, kalau tidak kena dengan kumpulan sasar, sukar untuk kita kurangkan kes pembuangan bayi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, kes kehamilan bayi luar nikah di negara ini iaitu mereka yang berusia 10 tahun hingga 19 tahun menurun daripada 18,000 kes pada 2011 berbanding 10,501 kes pada tahun lepas. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Henti perbuatan ‘victim shaming’ terhadap mangsa jenayah seksual

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Perbuatan menyalahkan mangsa atau ‘victim shaming’ dalam kes jenayah seksual perlu dihentikan agar lebih ramai mangsa tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa dan tindakan dapat diambil ke atas pihak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, jika perbuatan itu berterusan, akan mendorong mangsa mencari jalan penyelesaian yang salah terhadap situasi yang dihadapi mereka.

“Kita kena hentikan ‘victim shaming’ ini sebab kita nak galakkan mangsa membuat aduan…stigma masyarakat ini menyebabkan mangsa ketakutan nak buat aduan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program ‘A la Carte Pagi’ terbitan Bernama Radio di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yeoh berkata, perbuatan ‘victim shaming’ juga akan mendorong mangsa jenayah seksual seperti rogol dan mereka yang berdepan situasi kehamilan luar nikah membuang bayi kerana bimbang akan menerima kecaman keluarga dan masyarakat.

Katanya, ini akan mengganggu program intervensi kerajaan untuk mengurangkan statistik jenayah buang bayi di negara ini yang dilihat agak membimbangkan.

“Berdasarkan statistik 2010 hingga kini, kira-kira 1,000 kes pembuangan bayi dilaporkan dengan 60 peratus daripada bayi yang dibuang ditemukan mati,” kata Yeoh.

Perkembangan itu, katanya, boleh memberi imej buruk kepada negara dengan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan tidak prihatin dengan masalah berkenaan. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM digesa percepat siasatan Taman Rimba Kiara

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hari ini menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Koya supaya mempercepatkan siasatan terhadap isu Taman Rimba Kiara.

“Saya harap SPRM akan mengkaji semua laporan yang telah dibuat setakat ini dan laporan terbaru dibuat minggu lepas kerana kita perlukan SPRM mengeluarkan keputusan siasatannya dengan cepat dan memberikan kita maklum balas dan penemuan-penemuan mereka,” kata beliau.

“Saya telah pergi semula ke SPRM pada 17 Jun untuk bertanya perkembangan (kes) Taman Rimba Kiara dan kerana ada janji temu, kerana terdapat beberapa laporan berkaitan kes itu yang telah dibuat sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara,” katanya pada sidang media di Pusat Komuniti TTDI di sini hari ini.

Yeoh yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, beliau mendapat sokongan daripada tujuh Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang lain mengenai dua cadangan penyelesaiannya.

“Saya juga menerima sokongan daripada tujuh Ahli Parlimen KL yang lain dan mereka menyokong dua cadangan penyelesaiannya. Cadangan penyelesaian pertama ialah membatalkan perintah yang telah diberikan atau yang kedua, jika anda mahu terus memberi mereka kebenaran untuk melaksanakan pembinaan, mereka perlu membina dalam lingkungan keluasan tapak rumah panjang sedia ada iaitu seluas 1.78 hektar dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

Yeoh berkata, Kabinet belum membuat apa-apa keputusan berkenaan status Taman Rimba Kiara itu kerana ia turut melibatkan beberapa kementerian lain dan ia mengambil masa untuk mendapatkan input-input yang diperlukan.

Selepas mendapat bantahan daripada para penduduk dan pihak-pihak yang berkepentingan, para pemaju projek bersetuju untuk mengecilkan skala projek dan jumlah serta saiz blok apartmen, dengan projek mengambil keluasan 3.2 hektar berbanding keluasan asalnya 4.9 hektar.

Juga, blok apartmen 350 unit yang disediakan untuk penghuni rumah panjang Bukit Kiara akan kekal menjadi sebahagian daripada projek itu. Bagaimanapun, projek berkenaan terus menderima kritikan dan protes daripada persatuan penduduk dan kumpulan-kumpulan berkepentingan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Agensi kerajaan perlu peruntuk dana bagi pusat jagaan kanak-kanak

SIBU, 12 JUL: Semua agensi kerajaan mesti memperuntukkan sebahagian daripada dana dari perbelanjaan mengurus untuk menubuhkan pusat jagaan harian kanak-kanak di tempat kerja masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, agensi kerajaan tidak harus menunggu geran dari kementerian kerana ia bertujuan untuk membantu penubuhan pusat jagaan di agensi barisan hadapan seperti hospital.

“Kami telah mengaudit dan mendapati 541 agensi tidak mempunyai pusat penjagaan harian,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan Geran Pusat Penjagaan Harian Sektor Awam kepada Hospital Sibu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (Kuching), Jabatan Penjara Limbang dan Kampus UiTM Samarahan di sini hari ini.

Ketiga-tiga agensi itu, masing-masing menerima RM80,000, RM195,000, RM140,000 dan RM100,000.

Beliau berkata, geran itu adalah daripada RM10 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah Belanjawan 2019 dan melalui peruntukan tersebut, sejumlah 66 pusat jagaan harian atau Taska untuk sektor awam boleh ditubuhkan.

“Kami memberi keutamaan ini untuk kakitangan dan anak-anak mereka di bawah umur empat tahun kerana pada umur lima dan enam tahun, mereka dihantar ke Tadika.

“Keutamaan sebenar adalah untuk kakitangan yang bertugas pada shif malam. Sembilan belas daripada 66 agensi ini terdiri daripada hospital kerajaan. Selebihnya adalah agensi seperti Jabatan Penjara, Polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, “katanya dan menambah setakat ini 101 agensi telah memohon untuk geran tersebut.

Hospital Sibu adalah hospital pertama di Malaysia untuk menerima geran itu.

“Ini khusus untuk jururawat dan anak mereka. Taska di Hospital Sibu bermula pukul 6 pagi hingga 9 malam. Ini membantu mereka yang tidak dapat mencari pusat penjagaan kanak-kanak di luar sedangkan mereka perlu berkhidmat kepada kerajaan dan negara ini dengan bekerja pada shif malam,” kata Yeoh.

Beliau juga berharap melalui usaha sedemikian, kerajaan dapat mengekalkan wanita dalam tenaga kerja supaya mereka tidak perlu meletak jawatan kerana untuk menjaga anak mereka di rumah.

Yeoh yang juga anggota Parlimen Segambut menggesa semua kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada agensinya untuk menubuhkan pusat jagaan harian di bawah belanjawan tahun depan.

Beliau sebelum itu melawat ke Pusat Agape Sibu di Alan Road. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja sebagai inisiatif CSR

KUALA LUMPUR, 11 JUL: Sektor korporat diminta menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

“Menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja seperti sambil menyelam minum air kerana selain memastikan kanak-kanak di tempat selamat, tenaga kerja wanita juga akan meningkat.

“Oleh itu, saya merayu kepada sektor korporat di sini, terutamanya yang mampu supaya mengadakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi menyediakan penjagaan kanak-kanak bukan sahaja untuk petugas tetapi juga masyarakat B40 (yang tinggal) berdekatan pejabat anda,” katanya semasa berucap pada majlis Anugerah CSR Malaysia 2019 di sini hari ini.

Yeoh berkata, kemudahan berkenaan akan memberi manfaat kepada pekerja wanita yang mempunyai anak kecil dan perlu bekerja dalam tempoh yang lama.

Anugerah CSR Malaysia 2019, anjuran CSR Malaysia, merupakan inisiatif Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemampanan dan Korporat Malaysia.

Pada majlis itu, 50 penerima anugerah diberi penghormatan di atas pencapaian dan usaha mereka dalam mewujudkan Malaysia yang lebih baik melalui inisiatif CSR.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye menerima anugerah khas, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di atas kerja komunitinya yang cemerlang. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia dijangka alami pengucupan penduduk pada 2072

PETALING JAYA, 11 JUL: Malaysia dijangka mengalami penguncupan penduduk pada 2072 jika kadar kesuburan terus menurun daripada 1.9 pada 2016 kepada 1.7 pada 2050 seperti yang diunjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, meskipun bilangan penduduk semakin bertambah, kadar pertumbuhan tahunan penduduk dijangka akan kekal menurun sehingga 0.7 peratus pada 2050, kesan penurunan kadar kesuburan daripada 4.0 orang anak pada 1980 kepada 1.9 orang anak pada 2016.

“Penurunan pesat kadar kesuburan penduduk ini, sekali gus mempercepatkan proses penuaan penduduk yang mana Malaysia dijangka menjadi ‘negara tua’ pada 2030 apabila 15 peratus penduduknya berumur 60 tahun ke atas.

“Perkara ini menyebabkan negara bakal kekurangan sumber tenaga kerja yang lebih serius sehingga menjejaskan pembangunan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Cabaran Utama Kependudukan di Malaysia dan Pelancaran Buku ‘Analisis Situasi Kependudukan dan Kekeluargaan’ di Malaysia di sini, hari ini.

Hannah berkata, bagi memastikan kekurangan sumber tenaga kerja dapat diatasi, kadar penyertaan tenaga buruh perlu dipertingkatkan terutamanya dalam kalangan wanita.

“Persepsi mengenai Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pendidikan kelas kedua juga perlu diubah kerana ia mampu menyumbang kepada peningkatan penyertaan tenaga buruh,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) juga mendapati semakin ramai pasangan tidak ingin melahirkan anak walaupun masih muda.

“Antara sebab utama pasangan tidak ingin melahirkan anak adalah kerana kesukaran yang dihadapi wanita bekerja untuk mengimbangi peranan dalam keluarga dan tempat kerja selain beberapa isu lain seperti kekangan kewangan, perkahwinan lewat dan harga rumah di luar kemampuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai beberapa kejadian penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku akhir-akhir ini, Yeoh berkata ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk mengadu dan melapor kepada golongan dewasa serta pihak berkuasa sekiranya mereka menjadi mangsa seksual bagi memastikan tindakan dapat diambil.

“Saya yakin banyak kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku tetapi tidak dilaporkan. Oleh sebab itu sekarang kita uar-uarkan Talian Kasih 15999 menerusi video dengan kerjasama pihak Google dan Malaysia Against Pornography supaya kanak-kanak tahu cara untuk membuat laporan.

“Kita juga mahu universiti untuk melihat dan mengkaji bagaimana orang yang melakukan jenayah seksual ini boleh bertindak demikian, kemungkinan besar mereka juga seorang mangsa seksual masa kecil. Berdasarkan hubung kait itu, kita memerlukan lebih banyak data untuk melakukan intervensi,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM5 juta untuk 47 PAWE seluruh negara

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 11 JUN: Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kepada 47 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Katanya, ia turut membabitkan lapan PAWE yang baru ditubuhkan di Selangor.

“Kesemua persatuan ini akan menerima bantuan dana RM33,330 setiap tahun bagi membantu kos operasi mereka berjalan lancar.

“Target kita supaya satu parlimen akan wujud satu PAWE bagi membolehkan warga emas ini mendapat manfaat sebaiknya,” katanya dalam sidang media ketika pelancaran PAWE Subang Jaya di Kelab Warga Emas USJ6, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Mohammad Hanafi Maulud.

Pada masa sama, Hannah turut menggesa kesemua PAWE di seluruh negara tidak hanya memfokuskan satu kaum sahaja ketika menganjurkan sebarang aktiviti.

“Jangan Melayu duduk dalam kelompok kaum Melayu sahaja, India bersama kaum sendiri begitu juga kaum Cina, kami mahu melihat adanya integrasi kaum dalam kesemua PAWE.

“Pada masa sama, ahli PAWE juga perlu bekerjasama dengan persatuan mahupun badan bukan kerajaan yang berada di sekeliling mereka, seperti masjid dan rumah ibadat lain,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pulau Pinang catat kadar kes kanser payudara tertinggi

KEPALA BATAS, 30 Mei: Pulau Pinang mencatatkan kadar kes kanser payudara tertinggi dalam kalangan wanita di negeri ini dengan 50 kes bagi setiap 100,000 wanita, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, selepas Pulau Pinang ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 42 kes bagi 100,000 wanita serta Johor (39 kes bagi 100,000 wanita).

Pulau Pinang mencatatkan kadar tertinggi disebabkan kaum wanita di negeri itu mempunyai kesedaran yang sangat tinggi berhubung kanser payudara dengan menjalankan pemeriksaan awal di hospital, klinik dan agensi berkaitan seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Kerajaan Persekutuan melalui LPPKN pada tahun ini memperuntukkan RM20 juta khusus untuk wanita di seluruh Malaysia melibatkan tiga program. Sejumlah RM11.4 juta diperuntukkan bagi Program Subsidi Ujian Mamogram, Program Vaksinasi Human Papilloma Virus percuma (RM5 juta) dan Program Rintis Saringan Kanser Serviks (RM3.6 juta).

“Program-program ini dilaksanakan di seluruh Malaysia melalui Klinik Nur Sejahtera LPPKN,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Saringan Mamogram Percuma (Mammo Penang) antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan LPPKN Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Azhar Arshad mewakili Kerajaan Negeri manakala LPPKN Pulau Pinang diwakili oleh Ketua Pengarah LPPKN Malaysia Abdul Shukur Abdullah.

Yeoh berkata, pihaknya menyambut baik usahasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan LPPKN untuk kesejahteraan wanita di negeri ini dan berharap negeri lain dapat mengikut contoh Pulau Pinang.

Beliau berkata, Program Subsidi Ujian Mamogram LPPKN menyasarkan 47,000 wanita dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah di seluruh Malaysia akan mendapat manfaat bagi menjalani ujian mamogram tahun ini.

“Tahniah saya ucapkan kepada LPPKN Pulau Pinang kerana dipilih oleh Kerajaan Negeri sebagai agensi pelaksana bagi program ini bermula pada 1 Mac 2019 hingga 28 Feb 2022. Saya difahamkan bahawa peruntukan RM2.658 juta telah diluluskan untuk program Mammo Penang bagi tempoh tiga tahun.

“Para wanita Pulau Pinang sangat bertuah kerana di samping kuota mammogram sebanyak 1,500 wanita daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pulau Pinang bersetuju untuk membiayai 5,000 wanita untuk ujian mammogram percuma menjadikan 6,500 wanita yang layak akan mendapat manfaat melalui saringan kanser payudara pada tahun ini,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Masalah kewangan punca perceraian tinggi

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Masalah kewangan antara penyebab utama kes perceraian tinggi di negara ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Mengambil contoh statistik membabitkan pasangan bukan Islam, beliau berkata daripada 6,901 kes perceraian dalam kalangan pasangan bukan Islam yang dicatatkan sepanjang tahun lalu, 2,971 kes berpunca daripada masalah itu.

“Masalah kewangan adalah isu besar, berdasarkan statistik tribunal perkahwinan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) majoriti kes (perceraian dalam kalangan bukan Islam) yang dirujuk adalah berpunca daripada masalah kewangan,” katanya selepas melawat program Women of Will’s (WOW) Community Kitchen di PPR Batu Muda di sini, hari ini.

Yeoh berkata, lebih membimbangkan jumlah perceraian yang meningkat itu juga menyumbang kepada peningkatan kes penderaan kanak-kanak yang membabitkan paling ramai golongan ibu.

“Masalah kewangan, kes perceraian dan dera kanak-kanak ini saling berhubung, apabila bercerai disebabkan kewangan, ibu biasanya akan hilang punca pendapatan dan tertekan maka penderaan boleh berlaku,” katanya.

Berhubung program itu, Yeoh berkata, projek perintis yang pertama diwujudkan di ibu kota itu melibatkan 10 ibu tunggal dari golongan B40 (pendapatan terendah) yang diberi latihan memasak kek dan pastri serta kemahiran keusahawanan serta dipantau oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Apa yang saya suka tentang projek ini (WOW Community Kitchen) adalah ia dilaksanakan di tempat tinggal mereka, jadi mereka boleh mainkan peranan sebagai ibu terus dari tempat kerja,” katanya.

Katanya, kementerian akan terus meneliti keperluan ibu tunggal yang menjadi mangsa perceraian dalam memastikan golongan itu mempunyai pendapatan sendiri dan hidup berdikari.

Beliau, yang juga Anggota Parlimen Segambut, turut mengumumkan peruntukan RM10,000 bagi menyokong inisiatif yang menyasarkan untuk membantu lebih ramai golongan B40.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tubuh agensi kanak-kanak, ringan beban JKM – Hannah

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Kerajaan bercadang menubuhkan agensi kanak-kanak untuk melihat isu-isu berkaitan perlindungan kanak-kanak kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat Bahagian Kanak-Kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi ia dibebani dengan pelbagai tanggungjawab.

“Sekarang kami sedang mengkaji untuk mewujudkan agensi kanak-kanak kerana kami benar-benar memerlukan agensi sendiri untuk melihat semua, isu perlindungan kanak-kanak dan hak kanak-kanak.

“JKM tidak dapat menampung beban kerja sekarang,” katanya kepada pemberita sempena program tinjauan mesra Hari Ibu di Taman Tasik Menjalara di sini hari ini.

Hannah bagaimanapun berkata, keseluruhan proses untuk menubuhkan agensi sedemikian akan mengambil masa.

Untuk mengukuhkan perlindungan bagi kanak-kanak, negara juga akan melihat pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak tidak lama lagi, katanya.

“Semua proses telah selesai dan kami sedang menunggu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengumumkan pelantikan itu. Senarai calon juga telah dihantar,” katanya.

Hannah yang juga Anggota Parlimen Segambut berkata, pesuruhjaya itu akan mengkaji undang-undang melibatkan Akta Kanak-Kanak.

“Pelantikan pesuruhjaya itu adalah di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan bukan Parlimen, kerana strukturnya sudah ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Yeoh juga menggesa ibu bapa supaya tidak mengetepikan sebarang keterangan anak-anak mereka sekiranya berlaku kejadian jenayah terhadap mereka.

“Telah dibuktikan bahawa orang yang paling dekat dengan kanak-kanak boleh membahayakan mereka kerana mereka mempunyai akses. Ibu bapa harus memainkan peranan awal untuk mempercayai anak-anak, mengajar mereka tentang sentuhan yang selamat dan sentuhan tidak selamat sejak kecil dan melayan anak mereka dengan betul,” katanya.

Terdahulu, Hannah dan pasukannya mengedarkan bunga teluki kepada pengunjung taman itu sempena sambutan Hari Ibu yang akan diraikan esok.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jangan beri derma pada sindiket guna kanak-kanak

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SUBANG JAYA, 30 APR: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memberikan wang kepada sindiket yang menggunakan kanak-kanak sebagai peminta derma, kata Hannah Yeoh.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, dalam Ramadan ramai ingin menderma, jadi ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan kanak-kanak untuk mengutip dana.

“Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, tiada kanak-kanak yang boleh digunakan untuk tujuan mengutip derma di atas jalan atau di kawasan luar. Duit itu bukan dapat pada kanak-kanak tetapi pada sindiket.

“Sebab itu kita sarankan pada orang ramai, kalau nak beri sumbangan, beri melalui kempen seperti ini yang tersusun dan bekerjasama dengan kementerian. Jadi kita tahu duit sumbangan itu disalurkan ke mana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran MYDIN Girang Syawal Tiba 2019 di Ruang Legar MYDIN USJ, di sini, hari ini.

Pada majlis terbabit, MYDIN melancarkan tabung dana ‘MYDIN Prihatin’ dengan tujuan mengumpul dana bagi disumbangkan kepada rumah kebajikan anak yatim dan golongan asnaf.

Pada masa sama, Hannah berkata, pihaknya turut kerap menjalankan Operasi Bersepadu terhadap sindiket terbabit jika mendapat laporan.

“Kita ada operasi bersama Jabatan Imigresen terutama sindiket yang menggunakan kanak-kanak pelarian dan kanak-kanak tanpa negara.

“Manakala, kalau rumah kebajikan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) guna kanak-kanak, kita akan ambil tindakan dan mengarahkannya ditutup,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai lantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak, pihaknya akan mengumumkan perkara itu jika sudah dibuat pelantikan.