Categories
SELANGOR

Selangor Memperhebatkan Program Wifi Percuma Di Luar Bandar

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor terus memperhebatkan Projek Penyediaan Perkhidmatan WiFi Percuma ke kawasan luar bandar sebagai lanjutan untuk memberi perkhidmatan tersebut di 4,000 lokasi seluruh Selangor.

Sekurang-kurangnya 18 lokasi luar bandar telah dikenal pasti bagi menyalurkan kemudahan ini. Antaranya Sekinchan, Bestari Jaya, Kajang, Meru, Sabak Bernam, Sungai Burong dan Permatang.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains dan Teknologi, Rodziah Ismail berkata kesemua lokasi luar bandar yang terpilih bagi lanjutan projek ini adalah berdasarkan kepada kriteria utamanya sebagai tempat tumpuan umum.

“Kesemua Projek WiFi ini dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2015.

“Kerajaan Negeri menganggarkan kos pemasangan WiFi adalah sebanyak RM10,000 hingga RM18,000 bagi satu lokasi kawasan

perkhidmatan WiFi dengan kapasiti talian utama (backhaul) sebanyak 4Mbps,” jelas Rodziah bagi menjawab soalan dari ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Sebelum ini, sebagai permulaan, Projek Penyediaan Perkhidmatan WiFi Percuma dimulakan pada April 2010 di sekitar Hulu Selangor dan Shah Alam.

Categories
SELANGOR

Lampu Limpah mampu kurangkan Jenayah

SUBANG JAYA, 12 MAC: Kawasan perumahan Perindustriaan UEP tidak lagi bergelap apabila dua lampu limpah dan dua lampu jalan yang baru sahaja siap dipasang beberapa hari lalu mula menerangi kawasan terbabit.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh, dengan adanya lampu jalan dan lampu limpah, kejadian jenayah di kawasan perumahan itu dapat dikurangkan.

“Sebelum ini kawasan ini memang tak cukup lampu terutama di kawasan taman permainan yang dekat dengan jalan masuk dan pondok pengawal keselamatan yang diserang penjenayah tak lama dahulu.

“Pembinaan ini gunakan peruntukan Dun saya sebanyak RM12,600 untuk dua lampu jalan dan dua lampu limpah ini,” jelas beliau dalam sidang akhbar di taman perumahan tersebut.

Presiden Taman Perindustrian UEP Resident Association, Kenneth Tan mengucapkan terima kasih kepada Hannah.

“Tiada apa yang dapat saya katakan melainkan terima kasih tak terhingga kepada YB sebab cuma dalam masa dua minggu kami mohon, hari ini permohonan itu telah jadi kenyataan.

“Ini adalah sebahagian usaha untuk mengelakkan kejadian jenayah dan saya harap kejadian jenayah yang pernah berlaku di sini tak berulang lagi,” ujar beliau.

Sebelum ini seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas telah diserang oleh tiga penjenayah yang bersenjatakan parang.

Dalam serangan tersebut, pengawal keselamatan terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala setelah ditetak dengan parang.

Categories
SELANGOR

Bantuan Cermin Mata Pada Keluarga Miskin

SUBANG JAYA, 25 FEB : Seramai 100 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun daripada empat buah sekolah gembira apabila menerima bantuan cermin mata hasil tajaan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Hospital Mata Tun Hussein Onn.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang turut hadir dalam upacara penyerahan itu berharap dengan adanya pemberian cermin mata ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibubapa pelajar.

“Kerana sekarang bukan murah perbelanjaan sebulan bagi menghantar anak-anak ke kelas tuisyen, pengangkutan ke sekolah, duit susu dan sebagainya.

“Jadi kita berharap cermin mata ini akan dihargai oleh para pelajar,” ujar Hannah yang turut memberitahu kerajaan negeri memperuntukkan RM 10,000 bagi kos bantuan cermin mata ini.

Selain itu, Hannah juga mengumumkan pelbagai lagi program kebajikan yang disediakan Kerajaan Pakatan untuk dinikmati pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan pelajar.

“Contohnya pemberian beg sekolah oleh Kerajaan Negeri Selangor yang diberikan setiap tahun kepada golongan pelajar kurang berkemampuan.

“Kita juga memperuntukkan lebih kurang RM 10,000 hingga RM 20,000 untuk bantuan uniform, kasut sekolah serta peralatan alat tulis lain yang disampaikan melalui Subang Jaya BUddhist Association, masjid dan surau,” beritahu Hannah dalam ucapannya di hadapan ibu bapa pelajar yang hadir pada majlis penyerahan tersebut di Dewan Kenangan, Majlis Perbandaran Subang Jaya hari ini.

Sementara itu, ibu kepada pelajar Darjah Dua yang menerima sumbangan cermin mata, Kang Cheng Lai gembira dan berbesar hati dengan sikap mesra rakyat yang ditunjukkan Hannah Yeoh.

“Saya harap kerajaan yang ada ini akan kekal dan seterusnya dapat meneruskan usaha membantu rakyat Selangor,” ucap ibu tersebut sambil menambah pelbagai perubahan dapat dilihat sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negeri.

Untuk kawasan Dun Subang Jaya, sekolah-sekolah yang terlibat untuk menerima bantuan cermin mata ini adalah Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Tun Tan Cheng Lock, Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Tun Sambathan, Sekolah Kebangsaan Datuk Onn Jaafar serta Sekolah Agama Masjid Darul Ehsan.

Sumbangan pemberian cermin mata ini diberikan kepada keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan dan ke bawah. Satu program pemeriksaan mata juga telah diadakan sebelum ini bagi para pelajar yang layak.