Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: HARAPAN cadang SPR benarkan kempen pandu lalu

SHAH ALAM, 9 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan kempen pandu lalu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menganggap kaedah itu terbaik ketika pandemik selain meningkatkan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi.

“Pengunjung datang dengan kereta dan boleh duduk di satu tempat, mendengar penjelasan daripada pihak yang bertanding,” katanya pada sidang media secara maya di Melaka hari ini.

Semalam, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dilarang sepanjang tempoh PRN Melaka bagi mencegah penularan Covid-19.

Dalam pada itu, beberapa calon dilihat memanfaatkan media sosial untuk berkempen selepas penamaan calon semalam antaranya Pengerusi HARAPAN Melaka Adly Zahari.

Bekas ketua menteri Melaka itu berkongsi gambarnya mengedarkan risalah kepada penduduk Bukit Katil Indah menggunakan skuter elektrik bagi memudahkan pergerakan.

“Pesanan kepada rakyat Melaka, jangan takut untuk keluar mengundi pada 20 November nanti, ikuti tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan.

Masa depan lima tahun Melaka terletak di tangan anda. Sayangilah negeri kita,” katanya di Facebook.

Bekas wakil rakyat Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee pula berkempen melalui poster ala filem berjudul ‘Welcome to Pengkalan Batu’ yang dimuat naik di Facebook ‘Aku YB ke Kau YB?’

Sementara itu, aktivis pelajar dan masyarakat Adam Adli Abdul Halim menerusi perkongsian di Twitter menunjukkan perbezaan kempen yang dijalankan Perikatan Nasional (PN) dengan HARAPAN.

Hantaran itu menunjukkan sekeping gambar PN menggunakan lori dengan skrin besar manakala HARAPAN menggunakan van kecil putih dengan kapsyen ‘tak ramai, tapi ada’.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: HARAPAN selesai agih kerusi, sepakat guna logo rasmi

SHAH ALAM, 25 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) memuktamadkan agihan kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Pengerusi Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Majlis Presiden yang turut memutuskan untuk menggunakan logo HARAPAN dalam pilihan raya negeri berkenaan.

“Kita memutuskan DAP kekal lapan kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah) sembilan dan Keadilan bertanding 11 kerusi.

“Dengan keputusan yang dicapai hari ini semua parti digerakkan dengan hanya menonjolkan logo HARAPAN,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sidang akhbar turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November penamaan calon pada 8 November manakala undi awal pada 16 November ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN gesa SPRM ganda usaha siasat Kertas Pandora

SHAH ALAM, 23 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menggandakan usaha menyiasat Kertas Pandora membabitkan individu berpengaruh yang didakwa memiliki akaun luar pesisir.

Tindakan itu untuk menentukan sama ada duit terbabit berasal daripada sumber sah atau kegiatan yang melanggar undang-undang, tegas majlis presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Adalah mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan ketua pembangkang sungguhpun beliau tidak memiliki sumber dan kepakaran siasatan khas,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Madius Tangau.

Pada 4 Oktober, Anwar mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang.

Usul itu ditolak Speaker Datuk Azhar Azizan Harun dengan alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan tersebut mengetepikan urusan yang ditetapkan aturan mesyuarat.

Dalam kenyataan sama, majlis presiden terkejut dengan keputusan kerajaan menghidupkan semula projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP).

Tegas mereka, sebanyak 88 peratus atau RM8.3 bilion daripada nilai pembinaan turut dibayar meski kemajuan kerja yang belum diaudit hanya 13 peratus setakat Mei 2018.

“Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP ialah RM9.4 bilion tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.

“Oleh itu, SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek yang gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tegas HARAPAN.

Categories
NASIONAL

PAKATAN akan bawa perubahan kepada pentadbiran Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membawa perubahan kepada pentadbiran agama Islam di Malaysia seperti terkandung dalam Al-Quran dan hadis sahih.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tekanan itu akan diberi oleh HARAPAN yang kini berjaya membentuk kerajaan, selepas pilihan raya umum lalu.

“Al-Quran adalah panduan utama bagi umat Islam. Panduan yang tidak difahami pula tidak mungkin menjadikan kita umat Islam yang berjaya.

“Umat Islam bukan sahaja akan memanfaatkan bulan puasa dengan melakukan ibadah seperti terawih dan pengajian Al-Quran tetapi perlu berusaha untuk memahami isi bukan sahaja menghafal ayatnya.

“Sementara kita menghafal, maka perlu faham ajaran sebenar agama Islam,” katanya dalam perutusan khas sempena bulan Ramadan menerusi catatan blognya.

Dalam perutusan itu juga, Tun Dr Mahathir menzahirkan rasa syukur kerana keputusan pilihan raya tidak membawa kepada kekacauan seperti di sesetengah negara lain.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan.

“Alhamdulillah. Semua rakyat Malaysia sedar akan tanggungjawab mereka untuk mengekalkan keharmonian serta kestabilan dalam negara.

” Polis dan tentera juga memainkan peranan utama di dalam mengekalkan keselamatan serta ketenteraman ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Usaha cari jalan terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 18 OGOS: Pertemuan dengan pimpinan PAS adalah usaha diputuskan KEADILAN bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berkait kerjasama dengan parti berkenaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun pertemuan yang belum ada sebarang keputusan itu tiada kaitan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Ia tiada kaitan dengan HARAPAN kerana saya tidak boleh mengadakan perbincangan mewakili HARAPAN.

“Ia adalah tindakan diputuskan KEADILAN untuk terus mengadakan perbincangan dengan PAS,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan lembu korban sempena Aidiladha peringkat Selangor di Masjid Selayang Baru, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, sebarang pertemuan atau perbincangan dengan pimpinan PAS mengenai perkara berkaitan adalah inisiatif diambil KEADILAN bagi mewujudkan kerjasama dengan parti berkenaan.