Categories
AGENDA NASIONAL

Harga barang naik, KPDNHEP lancar Op Pasar (Sayur 2)

KUALA TERENGGANU, 28 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Op Pasar (Sayur 2) di seluruh negara mulai semalam.

Ia susulan laporan kenaikan harga barangan makanan itu yang didakwa mencapai tahap hingga 200 peratus di pasaran.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata setakat hari pertama, 43 premis dan 131 jenis sayur seperti sawi, kacang buncis, brokoli dan cili merah telah diperiksa meliputi semua peringkat rangkaian pengedaran iaitu pembekal, pemborong dan peruncit di seluruh negara.

“Kementerian tidak pernah memandang ringan keluhan pengguna dan peniaga terhadap kenaikan harga barang di pasaran kerana kami juga mempunyai keluarga, saudara-mara dan sahabat handai yang turut merasai tempias ini.

“Setakat semalam, KPDNHEP telah mengeluarkan 43 notis pengesahan maklumat bertulis dan 40 notis bertulis kepada peniaga bagi mendapatkan pengesahan sama ada wujud unsur pencatutan atau ambil untung berlebihan atas harga jualan sayuran,” katanya ketika ditemui pada program kempen keselamatan pengguna kerjasama Petronas dan KPDNHEP di Kuala Berang, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga merangkap Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad Azrul Osman Rani.

Tambah Rosol lagi, bagi notis pengesahan maklumat bertulis, peniaga diberi masa dua hari untuk menjawab manakala untuk notis bertulis, tempoh lima hari diperuntukkan untuk mendapatkan maklum balas.

Pada masa sama, seramai 1,000 pegawai pemantau harga (PPH) ditugaskan untuk membuat pemantauan di 1,500 lokasi setiap hari bagi meninjau serta merekodkan perubahan harga sayur-sayuran di pasaran.

“PPH dan pegawai penguat kuasa kita memang turun padang setiap hari tanpa gagal untuk memantau harga barangan di lapangan dan sentiasa melaporkannya sekiranya berlaku perubahan harga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata pihak Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dijangka akan memberi maklum balas berhubung saranan kementerian kepada syarikat itu untuk menangguhkan sementara kenaikan harga roti esok.

Beliau berkata saranan itu disampaikan kepada syarikat berkenaan dalam satu pertemuan pada Jumaat untuk mendapatkan justifikasi mengenai perubahan harga itu.

“Walaupun begitu, kita juga sedang memikirkan mekanisme untuk membantu mereka (Gardenia (KL) Sdn Bhd) yang turut terkesan dengan peningkatan harga gandum yang membawa kepada kenaikan harga roti. Kita seboleh-bolehnya mahu mewujudkan situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak dan peniaga tidak perlu sampai tutup kilang sementara pengguna juga tidak terbeban dengan kenaikan harga walaupun 10 sen,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pembelian panik, banyak barang naik harga

AMPANG, 19 MAC: Harga barang mentah seperti sayur, ikan dan ayam naik antara 10 hingga 30 peratus ekoran permintaan tinggi selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kerana penularan Covid-19.

Tinjauan di pasar basah dan pasar raya borong di daerah ini mendapati, harga kebanyakan barang mula mahal sejak semalam iaitu hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Harga kebanyakan sayur dan ayam meningkat antara RM1 hingga RM2 sekilogram manakala ikan kembung naik daripada RM14 kepada RM20 sekilogram.

Seorang penjual sayur di Pasar MPAJ Tasek Tambahan yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul berkata hampir kesemua jenis sayur dijualnya naik antara RM1 hingga RM2 sekilogram berikutan pemborong menjual dengan harga lebih tinggi sekarang ini.

“Contoh harga tomato hari ini RM7 berbanding RM5 dua hari lalu. Kami tiada pilihan kerana membelinya daripada pemborong dengan harga mahal.

“Pemborong mendapat permintaan tinggi daripada pasar raya yang membuat tambahan tempahan berikutan pembelian panik orang ramai beberapa hari lalu.

“Pihak berkuasa kena pantau dan memastikan bekalan mencukupi bagi mengelakkan orang ramai panik yang akhirnya memberi kesan kepada semua harga barang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang pembeli di pasar MPAJ, Rokiah Ahmad berkata dia tiada pilihan untuk turut sama membeli stok barang makanan kerana takut bekalan terputus.

“Harga ayam di pasar basah memang naik iaitu kini RM8.50 sekilogram berbanding sebelum ini hanya RM7.50. Mahal atau murah saya terpaksa beli untuk persediaan,” katanya yang bimbang harga barang akan terus mahal.

Dalam pada itu, seorang peniaga gerai makan, Rokiah Abbas, 40, berkata pemerhatiannya di pasar borong mendapati harga kebanyakan barang semakin mahal.

“Contohnya harga sekilogram ikan kembung kini dijual RM16 hingga RM20, sebelum ini harganya sekitar RM14. Begitu juga harga sekilogram bawang merah besar yang naik kepada RM6.90 berbanding RM4.90.

“Kami harap keadaan kembali baik manakala kerajaan perlu serius memantau harga dan bekalan barang kena cukup,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bantah kenaikan harga barangan, 1 juta tandatangan disasar

OLEH: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 JAN: Jingga 13 melancarkan kempen siri jelajah mengumpul satu juta tandatangan rakyat Malaysia, Bantah Barang Naik (BN) sebagai tanda protes kenaikan berantai yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional (BN)

Inisiatif ini dilakukan atas keprihatinan terhadap kesusahan rakyat ditambah dengan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Hassan Malek yang menyatakan kementerian tidak menerima banyak aduan berhubung kenaikan harga barangan.

Jingga13Timbalan Koordinator Jingga 13, Amizudin Ahmat, berkata siri jelajah ini bermula hari ini di Shah Alam dan esok di Banting serta akan menjelajah ke seluruh negara selama tiga bulan.

Siri jelajah ini dijangka tamat pada penghujung Mac 2014 di Sabah.

“Kempen ini bertujuan untuk mendapatkan sokongan rakyat yang tidak bersetuju dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan.

“Tandatangan yang berjaya dikumpulkan nanti akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri KPDNKK sebagai tanda protes rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Selain kempen yang dilancarkan di hadapan Kompleks PKNS, rakyat juga boleh mengemukakan bantahan secara online di laman sesawang http://change.org/en-GB/petitions/rakyat-malaysia-bantah-barang-naik.

TandatanganSempena kempen ini juga, Jingga 13 menjual baju t-shirt khas yang boleh dibeli di lokasi jelajah dengan harga RM20 ataupun secara online pada harga RM30 termasuk pos di laman blog jingga13malaysia.blogspot.com untuk mengisi tabung Jingga 13.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani yang turut hadir menyatakan, rakyat perlu membantah kenaikan ini dengan tidak mendiamkan diri apabila ditekan Kerajaan BN.

Katanya kerajaan tidak seharusnya menyalahkan orang lain dalam isu kenaikan harga barang kerana mereka sendiri telah gagal mengurus tadbir negara.

“Program bantah ini adalah tugas wajib rakyat Malaysia yang berdaulat, yang mempunyai sumber lebih RM226 billion, yang diseksakan dengan barangan naik. Yang nak ditarik semua subsidi.

“Watak dan peranan kerajaan pada hari ini adalah menyalahkan orang lain untuk mengaut hasil untung. Ini tidak boleh berlaku. Bayangkan cukai dibiarkan bermaharajalela seperti GST misalnya.

“Isunya Kerajaan BN gagal mengawal selia dan urus tadbir negara,” kata beliau.

EZY