Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Harga 12 jenis barang tunjuk trend penurunan

KOTA BHARU, 15 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga 12 jenis barangan yang dijual sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) menunjukkan trend penurunan setakat ini.

Timbalan Pengarah (Pencegahan) Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP Aris Mamat berkata ini disebabkan bekalan kesemua barangan keperluan harian itu semakin banyak di pasaran selain harga bekalan lebih murah diterima peruncit.

“Sebelum ini, beberapa barangan mentah seperti ayam dijual pada harga agak tinggi namun ketika ini, kita dapati harganya sudah mula turun sehingga RM7.90 sekilogram walaupun kita telah tetapkan di bawah SHMKM harga ayam dijual pada RM9.30 sekilogram.

“Kita juga mendapati harga beberapa barangan lain seperti kubis dan kacang panjang telah turun di antara 15 hingga 30 peratus,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan SHMKM di Pasar Siti Khadijah hari ini.

Beliau berkata rata-rata peniaga didapati mematuhi sepenuhnya harga yang ditetapkan oleh SHMKM.

Aris juga berkata menerusi pelaksanaan SHMKM, sebanyak 11,474 premis termasuk 286 premis borong dan 11,188 premis runcit telah diperiksa dari 7 Dis hingga semalam.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, pihaknya mengeluarkan 28 kompaun berjumlah RM7,900 terhadap peniaga yang melanggar peraturan SHMKM.

“Kesalahan yang dikesan ialah gagal menggunakan tanda harga khas (19 kes), tiada tanda harga (1) dan jual melebihi harga maksimum (8) dengan keseluruhan jumlah sitaan sebanyak RM1,980.48,” katanya.

Aris berkata KPDNHEP akan terus mempertingkat pemantuan harga barangan keperluan asas melalui pegawai pemantau di seluruh negara.

Beliau berkata KPDNHEP juga menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan berkaitan isu harga bagi memudahkan rakyat berbuat demikian.

“Mana-Mana peniaga yang melakukan kesalahan sepanjang tempoh SHMKM berlangsung hingga 31 Dis depan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

KPDNHEP Selangor gerak 260 penguat kuasa, periksa pematuhan harga barang

PELABUHAN KLANG, 13 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menggerakkan sejumlah 260 penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan pematuhan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dari 7 hingga 31 Dis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pemantauan harga terus dipertingkat melalui Pegawai Pemantau Harga dan pemeriksaan turut difokuskan kepada pematuhan peniaga runcit terhadap penggunaan tanda harga khas warna merah jambu.

“KPDNHEP Selangor meliputi enam lagi cawangan komited berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di bawah skim ini,” katanya pada program ‘walkabout’ SHMKM Selangor di Pasar Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata setakat 12 Dis, sebanyak 652 premis diperiksa termasuk 643 premis runcit dan sembilan premis borong dan pada tempoh itu tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap mana-mana peniaga.

“Bagaimanapun, terdapat satu aduan diterima oleh Pejabat KPDNHEP Sepang berhubung harga tauhu yang didakwa mahal dan notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) telah dikeluarkan kepada premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati peniaga gagal mengemukakan dokumen urus niaga belian tauhu daripada pembekal dan peniaga tersebut telah diarahkan untuk hadir ke Pejabat KPDNHEP Sepang untuk mengemukakan maklumat,” katanya.

Beliau berkata pengguna disaran mempraktikkan amalan ‘Bijak Adu’ seiring dengan hasrat KPDNHEP Selangor untuk mewujudkan pengguna bijak dengan mengemukakan butiran aduan yang lengkap berhubung salah laku peniaga di Selangor menerusi saluran aduan rasmi antaranya WhatsApp 019-279 4317, portal e-aduan.kpdnhep serta pusat panggilan 1-800-886-800.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Wujud gerai jual hasil tani harga rendah, imbangi kenaikan di pasaran

SHAH ALAM, 30 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meneruskan inisiatif membantu rakyat dengan mewujudkan gerai jualan sayuran pada harga patut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu antara pelbagai usaha yang dilaksanakan Selangor untuk meringankan beban rakyat apabila harga barang meningkat.

“Usaha ini bukan perkara baharu kerana Kerajaan Negeri pernah menganjurkan Pasar Agro Selangor yang menawarkan harga yang rendah berbanding pasaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini bukan tindakan semata-mata populis untuk tunjuk kepada rakyat tetapi Kerajaan Negeri mahu membantu ke arah isu sebenar iaitu berkaitan harga barang,” katanya.

Beliau ditemui selepas bersama-sama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau gerai jualan sayuran di Wisma PKPS, Seksyen 14, hari ini.

Dato’ Menteri Besar inisiatif dilaksanakan Selangor boleh dijadikan formula untuk mengimbangi harga pasaran serta membantu rakyat apabila harga barangan naik.

“Sebahagian besar agensi berkaitan pertanian di bawah kerajaan persekutuan, dengan adanya PKPS serta jabatan pertanian sekurang-kurangnya membantu mereka yang memerlukan dengan mengurangkan harga makanan,”katanya.

Gerai jualan sayuran anjuran PKPS dibuka bermula jam 9 pagi hingga 4 petang pada Isnin hingga Ahad di Wisma PKPS.

Pada Januari, PKPS memperkenal program Lori Pasar Agro Selangor bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar ketika PKP pada harga rendah.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran tempatan ketika ini berkaitan dengan peningkatan harga baja dan racun di pasaran dunia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan makanan kawasan PKPD cukup, usah bimbang – KPDNHEP

KUALA TERENGGANU, 12 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan makanan mencukupi di kawasan Kota Setar, Kedah dan Penjara Tawau, Sabah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata pihak KPDNHEP sentiasa memantau perkembangan dan stok makanan di kawasan terbabit bagi memastikan bekalan yang berterusan selain tiada kenaikan harga.

“Penduduk di kawasan PKPD tak perlu bimbang kerana pengalaman kita (kerajaan) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyeluruh pun kita mampu ‘handle’ (kendalikan).

“Jadi untuk PKPD ni kita rasa lebih mudah dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan,” katanya ketika menghadiri Majlis Jalinan Kasih dan Budi Alumni Sekolah Menengah Agama Mahmudiah Kuala Berang, di sini hari ini.

Mengenai cadangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mengenakan fi atau bayaran perkhidmatan kepada rakyat yang menggunakan platform e-dagang, Rosol berkata perkara itu masih di peringkat cadangan selain melibatkan rundingan dengan pelbagai pihak lain.

“Tetapi dalam keadaan rakyat yang banyak tertekan, krisis kewangan, banyak yang hilang pekerjaan serta bekerja dengan bayaran separuh gaji, saya fikir kerajaan tidak akan lakukan sesuatu yang menambah beban rakyat,” katanya

Baru-baru ini KKMM mencadangkan fi sebanyak 20 sen bagi pembelian RM1,000 serta tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000 berikutnya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Harga barang menjelang Deepavali terkawal

SHAH ALAM, 25 OKT: Harga barangan keperluan termasuk barang basah di sekitar Selangor didapati masih terkawal dengan hanya satu kes pelanggaran Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Deepavali 2019 dikesan setakat ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, sejak skim kawalan harga itu dilancarkan pada Ahad lalu, sebanyak 1,180 premis telah diperiksa di negeri itu.

“Pemeriksaan dilakukan setiap hari oleh pegawai penguat kuasa serta pegawai pemantau harga kami dan hasil operasi mendapati hanya seorang peniaga didapati gagal mempamerkan tanda harga merah jambu, yang telah pun dikenakan kompaun.

“Kita juga ada menerima dua aduan tentang kenaikan harga barang namun kes ini masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua peniaga supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan untuk musim perayaan dan mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barang kawalan untuk mengelakkan dikenakan tindakan

Bagi sambutan perayaan Deepavali tahun ini, sebanyak 19 barang diumum sebagai barangan kawalan selama 14 hari bermula Ahad lepas hingga 2 November ini antaranya kobis bulat import Indonesia dan China, kacang bendi; cili kering; ayam hidup, ayam standard, ayam super dan daging kambing tempatan bertulang.

Sementara itu, tinjauan di dua pasar di sekitar Klang hari ini mendapati ada peniaga menjual barangan kawalan pada kadar lebih rendah daripada yang ditetapkan dalam skim berkenaan, namun ada juga segelintir dikesan menjual dengan harga yang lebih tinggi.

Contohnya, terdapat peniaga menjual tomato dengan harga RM4 sekilogram berbanding harga runcit RM4.50 yang ditetapkan, kacang bendi dijual pada harga runcit RM6.50 sekilogram (berbanding RM7), namun ada juga didapati menjual ubi kentang pada kadar melebihi harga maksimum yang iaitu RM3.50 sekilogram berbanding RM3 yang ditetapkan.

Tinjauan juga mendapati rata-rata masyarakat India mengambil pendekatan berjimat cermat dalam menyambut Pesta Cahaya tahun ini bagi mengelak berlakunya pembaziran berikutan harga barangan bukan kawalan disifatkan agak tinggi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perlu ada formula selesaikan masalah barang mahal

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kerajaan perlu mencari formula atau penyelesaian berkaitan harga barangan yang masih tinggi dan disifatkan membebankan rakyat, kata Ahli Parlimen Port Dicskon, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata, beliau secara peribadi melihat walaupun ia secara keseluruhannya terkawal, namun rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah mengharapkan kerajaan mencari penyelesaian bagi perkara itu.

“Saya lihat antara faktor kepada permasalahan ini adalah disebabkan pengeluaran barang atau hasil berasaskan kepada sumber pertanian yang sangat terbatas,” kata presiden KEADILAN itu.

Menyentuh mengenai soal kemiskinan, Anwar berpendapat, bantuan dan subsidi berpanjangan bukanlah langkah jangka panjang untuk memperkasakan mereka yang berpendapatan rendah.

Tegasnya, ia harus disusuli dengan dasar merekayasa latihan dan kemahiran kepada golongan sasar ke arah membebaskan mereka daripada kemelut kemiskinan dan merapatkan jurang antara yang kaya dan yang miskin.

Sementara itu, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) mencadangkan kerajaan meneruskan semula Laluan tiga Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) bagi melengkapkan sistem MRT dan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Katanya, usaha itu dapat mempelbagaikan lagi jaringan sistem pengangkutan bandar sekali gus dapat menampung bilangan pengguna di ibu negara yang semakin bertambah.

“Kita sudah ada MRT1, MRT2, LRT (Transit Aliran Ringan) dan sistem lain jadi kita perlukan sistem MRT3 ini untuk memastikan sistem pengangkutan kita ini benar-benar berkesan dan memenuhi kehendak pengguna,” katanya.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PH-Beluran) pula mahu kerajaan mengkaji secara mendalam Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar bagi memastikan penduduk di kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam menikmati dasar kerajaan itu.

Katanya pengekalan harga siling petrol bersubsidi pada RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel bagi Sabah dan Sarawak dilihat hanya memanfaatkan kepada penduduk yang mempunyai stesen petrol di kawasan mereka.

“Kita perlu sedar sebahagian besar kampung di kawasan pedalaman tidak ada stesen petrol dan kalau dikekalkan RM2.08 sen bagi satu liter, hanya mereka yang ada berdekatan dengan stesen petrol yang dapat menikmati dasar kementerian ini.

“Sebahagian besar penduduk di luar daerah yang tidak mempunyai stesen minyak tidak dapat menikmati dasar ini,” katanya yang mengharapkan kerajaan memperbaiki sasaran pemberian subsidi petrol tersebut.

RUU Perbekalan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat lepas bertujuan memperuntukkan sejumlah RM297 bilion meliputi RM241 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus manakala baki RM56 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pastikan tiada peniaga sorok bekalan – FOMCA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga bahan basah dan keperluan asas selain memastikan tiada kegiatan menyorok bekalan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan bukan sesuatu yang baharu, malah ia merupakan perkara ‘wajib’ berlaku menjelang musim perayaan.

“Peniaga mula mengambil kesempatan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Jadi tidak mustahil mereka akan terus menaikkan harga barangan jika tiada tindakan dan kawasan tegas.

“Setiap kali musim perayaan, perkara sedemikian akan berlaku. Ini merupakan perkara ‘wajib’ bagi peniaga,” katanya ketika dihubungi.

Justeru, Mohd Yusof berkata, kerajaan perlu membuat sesuatu selain memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati tiada kenaikan harga terhadap 27 barangan kawalan dalam tempoh 10 hari selepas pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pada 21 Mei lepas.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 18,000 premis perniagaan telah diperiksa sepanjang tempoh 10 hari skim kawalan harga itu dilaksanakan dan mendapati semua peniaga berjaya mematuhi harga siling yang ditetapkan.

Sebanyak 27 jenis barang disenaraikan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilaksana bermula semalam hingga 19 Jun sempena Aidilfitri ini.

Categories
NASIONAL

Tiada aduan kenaikan harga barang

 

KULIM, 31 Mei : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati tiada kenaikan harga terhadap 27 barangan kawalan dalam tempoh 10 hari selepas pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pada 21 Mei lepas.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebanyak 18,000 premis perniagaan telah diperiksa sepanjang tempoh 10 hari skim kawalan harga itu dilaksanakan dan mendapati semua peniaga berjaya mematuhi harga siling yang ditetapkan.

“Setakat kita mulakan pada 21 Mei lalu dan akan tamat pada 19 Jun ini, daripada 18,000 premis perniagaan yang telah dilawati penguatkuasa kita tidak ada menerima aduan tentang harga melepasi siling.

Hanya ada aduan tentang tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, tapi itu pun jumlahnya sangat kecil iaitu 52 sahaja daripada 18,000 premis yang kita lawati seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Beli Belah Raya Tesco di sini hari ini.

Beliau berkata kepatuhan peniaga terhadap pelaksanaan skim kawalan harga itu sangat tinggi malah mampu menjual barangan keperluan pada paras harga siling dengan begitu rendah kerana jaminan bekalan yang mencukupi.

“Saya telah berkesempatan melawat lima premis sehingga hari ini, saya mendapati corak yang wujud ialah pasar raya mampu menjual barangan jauh lebih rendah daripada paras harga siling ditetapkan contohnya bawang besar mereka menjual dengan harga 99 sen tapi harga siling RM3 sekilogram, malah kualiti pun sangat baik,” katanya.

Saifuddin Nasution juga turut menasihatkan pengguna supaya bijak berbelanja dengan melakukan perbandingan harga sebelum membeli barangan keperluan bagi menjimatkan kos perbelanjaan.

Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu serta isterinya Datin Seri Norhayati Musa turut berkesempatan menyampaikan sumbangan makanan keperluan harian kepada 100 keluarga miskin, membeli kelengkapan raya bersama 100 kanak-kanak dan mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung di sini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mekanisma kekal harga barang keperluan akan diperkenal

PUTRAJAYA 16 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mewujudkan satu mekanisma untuk mengekalkan harga barang keperluan dan menguruskan keseimbangan antara penawaran dengan permintaan dengan sistematik.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, mekanisma tersebut akan memastikan bekalan adalah mencukupi dan harga barangan adalah mampu milik dalam kalangan rakyat dan mewujudkan persaingan dalam barang keperluan.

“Ia dapat memastikan harga barang keperluan kekal munasabah dan mampu dimiliki dalam kalangan rakyat selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuat kuasa pada September depan,” katanya kepada media pada majlis rumah terbuka Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Jemaah Menteri di Seri Perdana, semalam.

Selain itu, Salahuddin berkata, harga barang keperluan menjelang Hari Raya telah menurun berbanding tahun lepas.

“Contohnya, harga ayam turun kepada RM5 hingga RM6 (satu kg) berbanding dengan lebih kurang RM7 tahun lepas manakala sayur-sayuran yang ada juga harganya turun sebanyak 50 peratus berbanding dengan harga tahun lepas.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sorok barang untuk naik harga Kerajaan Pusat patut bertindak

OleH: Norhayati Umor

SHAH ALAM 4 JUN : Kerajaan Pusat perlu membendung tindakan menyorok barang keperluan asas oleh peniaga menjelang Ramadan dan musim perayaan ini.

Ahli Parlimen Temerloh, Nasaruddin Hassan Tantawi berkata walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengeluarkan kenyataan ia mencukupi, namun ia bukan satu jaminan.

fomca-GST(gula1)Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap perbuatan itu kerana tindakan itu menyebabkan peniaga mengambil kesempatan dan menaikkan harga sesuka hati.

“Beberapa laporan berita berkenaan isu penawaran bahan-bahan keperluan asas seperti gula, tepung dan minyak masak dalam pasaran.

“Namun ia berbeza pula dengan apa yang berlaku di Kedah apabila dilaporkan bahawa sejak minggu lepas lagi para pengguna berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan minyak masak dan tepung gandum serta kenaikan harga barangan itu,” katanya dalam kenyataan.

Nasaruddin berkata perbuatan menyorok dan menjual dengan harga tinggi bagi mengaut keuntungan itu memperlihatkan perbuatan buruk dan menyalahi etika perniagaan.

“Kesan daripada perbuatan ini khususnya oleh pemborong akan menyebabkan para peruncit pula terpaksa mengehadkan penjualan kepada para pembeli dan ada pula sebahagian daripada mereka yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga.

“Natijahnya, para pengguna yang mendapat kesan negatif kerana kekurangan barang-barang keperluan harian disamping harga yang terus melambung tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap agar kerajaan dapat mengambil tindakan lebih proaktif bagi membendung segera gejala ini sebelum tiba Ramadan dan musim perayaan Aidil Fitri akan datang.

“Para pemborong dan peruncit yang berpotensi melakukan salah laku ini harus dipantau oleh pihak penguatkuasa dan jika disahkan mereka melakukannya, tindakan membatalkan lesen pernigaan mereka perlu dibuat bagi memberi pengajaran kepada peniaga lain,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Status negara maju jadi igauan ngeri rakyat

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Impian status negara maju harus memberi nilai tambah kebahagiaan hidup kepada rakyat, namun yang berlaku adalah sebaliknya, kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri.

Katanya, impian itu kini menjadi igauan ngeri rakyat kerana mereka akhirnya menjadi mangsa yang harus dikorbankan melalui peningkatan kos sara hidup yang tidak terkawal.

Khairuddin berkata, walaupun perbahasan kenaikan itu agak kompleks, namun cukup jika dikatakan berpunca daripada polisi rasionalisasi subsidi untuk mengurangkan beban kewangan awam demi mengejar status negara maju dan berpendapatan tinggi, enam tahun lagi.

dr khairuddin pas“Kerajaan Malaysia menjadi umpama ketam mengajar anak berjalan betul. Jika kerajaan menyalahkan rakyat kerana sikap dan gaya hidup menyebabkan tekanan kewangan peribadi, maka tabiat buruk yang sama sebenarnya diwarisi daripada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik daripada Harakah Daily, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, berkata beban kewangan awam adalah akibat daripada pengurusan kerajaan yang tidak pruden.

“Mengapa perbelanjaan tambahan 2012 diluluskan RM12.17 bilion pada pertengahan tahun lalu. Mengapa ketirisan yang didakwa oleh Menteri Kewangan Kedua dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 berjumlah RM1.5 bilion.

“Mengapa hutang kerajaan konsisten meningkat daripada tahun 2001 sehingga mencapai kemuncak paling tinggi pada tahun 2012 iaitu RM502.4 bilion bersamaan 53.7% daripada KDNK. Setiap rakyat menanggung hampir RM17,000,” katanya.

Katanya, sudah tiba masa rakyat bangkit menolak polisi dan dasar ekonomi membebankan yang sedang dilaksana serta dipraktikkan kerajaan.

“Pilihan raya masih jauh, namun ia tidak bererti rakyat perlu berdiam diri dan tunduk pada apa yang berlaku.

“Protes sekurang-kurangnya di alam maya perlu digerakkan bagi menggambarkan ketidakpuasan hati rakyat. Kerajaan perlu diberi peringatan oleh rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Jawatankuasa khas pusat terus dibidas kerana ‘ketinggalan zaman’

SHAH ALAM, 19 JAN: Persatuan Pengguna Persekutuan Malaysia membidas langkah kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani kenaikan kos sara hidup dengan menyifatkannya sebagai ‘ketinggalan zaman’ dan tidak membantu rakyat.

Presidennya, Datuk Paul Selvaraj, berkata kerajaan sepatutnya lebih efisyen menyelesaikan isu kenaikan harga barang yang semakin mendadak di pasaran dengan mengemukakan rancangan jangka pendek serta jangka panjang secepat mungkin.

paul selvarajKatanya, sudah tiba masa kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak kerana hanya mereka sahaja memiliki kuasa untuk mengawal harga barang.

“Kerajaan pusat perlu tangani isu berkenaan dengan segera bukan hanya menunggu hasil kajian jawatankuasa untuk mengetahui mengapa harga barangan dan perkhidmatan semakin meningkat kerana ia pasti memakan masa.

“Kebanyakan harga produk melonjak kerana tidak ada persaingan, justeru kerajaan pusat perlu mengawal harga supaya isu ini dapat diselesaikan kerana mereka sudah tentu memiliki kaedah untuk mengawal harga barangan,” katanya memetik portal The Ant Daily.

Kurang setahun selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei 2013, BN mengumumkan beberapa siri kenaikan harga seperti petrol, gula, tarif elektrik dan tol, di samping pelaksanaan cukai perkhidmatan barangan dan perkhidmatan (GST) mulai tahun depan.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan harga barang secara bersepadu bagi membuktikan keprihatinan menteri kabinet terhadap masalah rakyat dalam usaha mengawal kenaikan terbabit, baru-baru ini.

dr dzul close 01Tindakan itu bagaimanapun dibidas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang menyifatkannya sebagai ‘terlambat’ dan sekadar meredakan kemarahan rakyat dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu tidak mampu menangani kenaikan kos sara hidup selagi urus tadbir kewangan negara tidak diubah dan amalan monopoli (runding langsung) masih membelenggu kerajaan.