Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka 4.1210/4.1260 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Jumaat, menyusut daripada keuntungan yang diraih semalam di tengah-tengah kejatuhan harga minyak mentah dan peningkatan dalam kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan merosot 120 mata asas kepada 4.1210/4.1260 berbanding dolar AS daripada 4.1090/1140 pada penutupan petang Khamis.

Laporan berita menyatakan penanda aras minyak mentah semalaman Brent jatuh 6.9 peratus kepada US$63.28 setong.

Menurut Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes, kelemahan harga minyak diheret oleh kebimbangan terhadap permintaan dan penawaran untuk jangka pendek dan panjang.

Sementara itu, beliau menambah hasil Perbendaharaan 10 tahun AS melonjak tujuh mata asas kepada 1.71 peratus pada Khamis, sekali gus mencatatkan paras tertingginya sejak 23 Januari, 2020.

Dalam pada itu, ketika urus niaga dibuka pagi ini, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0623/0667 daripada 3.0616/0663 sebelumnya dan lebih rendah berbanding yen Jepun pada 3.7783/7832 daripada 3.7677/7733 pada petang Khamis.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding pound Britain pada 5.7307/7380 daripada 5.7349/7452 tetapi tidak berubah berbanding euro kepada 4.9061/9137 daripada 4.9061/9138 sebelumnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.0440/0480 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Ringgit dibuka rendah susulan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu susulan pentadbiran negara itu mencadangkan pakej bantuan bernilai US$1.9 trilion.

Unit tempatan susut kepada 4.0440/0480 berbanding dolar AS daripada 4.0430/0460 ketika ditutup pada Selasa.

Penganalisis berkata kesan terhadap ringgit, bagaimanapun, dikurangkan oleh kenaikan harga minyak mentah yang lebih baik.

Beliau berkata ia sekali gus mengekalkan unjuran meningkat selepas penanda aras minyak mentah global optimis mengenai pemulihan ekonomi AS dan paras pengeluaran Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), yang kurang meningkat berbanding jangkaan bagi Januari.

Sementara itu, Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata terdapat kemungkinan pelabur mengalihkan tumpuan daripada mata wang negara Asia berikutan wujud kebimbangan mengenai pembuat dasar China yang dijangka menaikkan kadar faedah untuk meredakan kenaikan harga saham dan pasaran hartanah.

“Ketika pelaksanaan program suntikan vaksin AS nampaknya dipercepat, pelabur akan terus memantau rapat data aliran keluar pasaran modal minggu ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0374/0416 daripada 3.0371/0400 ketika ditutup pada Selasa namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.8522/8571 daripada 3.8530/8563.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.5261/5332 daripada 5.5332/5382 semalam dan stabil berbanding euro kepada 4.8706/8770 daripada 4.8787/8827.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka tinggi 4.2700/2770 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini, didorong sentimen pasaran yang lebih memberangsangkan terhadap mata wang tempatan susulan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai ekonomi negara semalam.

Bagaimanapun pergerakan meningkat ringgit itu dihadkan oleh harga minyak mentah yang mengalami penyusutan.

Pada 9.15 pagi, ringgit berada pada 4.2700/2770 berbanding dolar AS daripada 4.2710/2770 ketika ditutup semalam.

Semalam, Tengku Zafrul berkata dedahan Malaysia terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad memandangkan 97 hingga 98 peratus hutang negara adalah hutang dalam negara.

Semasa membentangkan Laporan ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, beliau berkata tahap hutang negara mungkin mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir 2020 daripada 52 peratus ketika ini.

Ia berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi, katanya.

Tengku Zafrul bagaimanapun menegaskan kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal dapat diteruskan.

Sementara itu mengenai penurunan harga minyak mentah global yang mengehadkan kenaikan ringgit, peniaga berkata peserta pasaran dijangka menyaksikan inventori minyak mentah meningkat lagi, sekali gus memberi tekanan ke atas harga.

Justeru, dagangan minyak mentah Brent susut 0.20 peratus kepada US$40.29 setong dan minyak mentah WTI turun 0.09 peratus kepada US$42.59 setong.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0744/0805 daripada 3.0671/0723 ketika ditutup semalam dan rendah berbanding yen kepada 4.0064/0141 daripada 3.9875/9942.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3503/3595 daripada 5.3165/3261 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.8319/8416 daripada 4.8203/8283.

-BERNAMA