Categories
AGENDA NASIONAL

Harga RON97 naik 16 sen, RON95 dan diesel kekal

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Harga runcit petrol RON97 naik 16 sen seliter manakala harga RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 3 hingga 9 Mac ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 naik daripada RM3.29 kepada RM3.45 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan adalah mengikut harga pasaran sebenar.

“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka lemah 4.1170/1220 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Ringgit gagal mempertahankan perolehan yang dicatatkan semalam untuk dibuka lemah sedikit pagi ini berbanding dolar AS dengan para peniaga dilihat mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, kata seorang peniaga.

Pada pukul 9 pagi, unit tempatan itu lega kepada 4.1170/1220 berbanding mata wang dolar 4.1150/1200 pada penutupan urus niaga petang Rabu.

Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management Stephen Innes berkata penyusutan harga minyak berikutan kegiatan pengambilan untung selepas stok produk minyak AS turun turut mempengaruhi prestasi ringgit.

“Selain itu, terdapatnya kebimbangan India beralih untuk melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya sementara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum pula mungkin akan mengurangkan tekanan mereka terhadap pasaran,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, minyak mentah diniagakan pada US$68.41 setong, menyusut 0.80 peratus.

Dalam pada itu, kerajaan pada Rabu telah mengeluarkan perintah pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur dan beberapa daerah di Terengganu, Johor dan Perak mulai 7 hingga 20 Mei.

Mengulas mengenai perkara ini, Innes berkata para peniaga akan terus mengambil sikap berhati-hati sambil mengharapkan PKP dapat meratakan lengkung pandemik sebelum bertaruh semula ke atas unit tempatan.

Dalam perkembangan lain, pelabur juga akan menantikan keputusan Bank Negara Malaysia terhadap kadar dasar semalaman pada mesyuarat dasar ketiganya lewat hari ini serta penilaian terkini bank pusat ke atas ekonomi domestik.

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit menyusut kepada 3.0816/0856 daripada 3.0799/0848 dan lebih rendah berbanding yen kepada 3.7646/7702 daripada 3.7628/7677 pada Rabu.

Ringgit lebih lemah berbanding pound Britain kepada 5.7226/7300 daripada 5.7174/7256 dan lega berbanding euro kepada 4.9396/9468 daripada 4.9392/9461.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1170/1220 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Ringgit meneruskan kenaikannya berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut berikutan harga minyak mentah Brent yang lebih kukuh, kata peniaga.

Ini telah menampan kesan penyusutan unit tempatan yang selanjutnya di tengah-tengah meningkatnya kebimbangan terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Selangor.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.1170/1220 berbanding dolar AS daripada 4.1200/1260 sewaktu ditutup pada Selasa.

Setakat ini, minyak mentah diniagakan pada US$69.47 setong, meningkat sebanyak 0.86 peratus.

Rakan Kongsi Urusan Global, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata lonjakan harga minyak akan menawarkan garis hayat kepada kejatuhan ringgit apabila PKP dikuatkuasakan.

PKP 3.0 akan dilaksanakan di enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Sepang, Klang, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat bermula 6 hingga 17 Mei 2021.

“Keyakinan turut ada mengenai peningkatan semula permintaan minyak susulan pembukaan semula sebahagian ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Stephen berkata kenaikan semula kes Covid-19 meningkatkan risiko kepada sekatan sosial yang lebih ketat yang secara umumnya menyaksikan pelabur mengurangkan aset risiko mereka di negara-negara yang merekodkan peningkatan kes pandemik itu.

Dalam perkembangan lain, pelabur juga akan memantau mesyuarat dasar monetari ketiga Bank Negara Malaysia yang mana bank pusat itu dijangka mengekalkan kadar faedah pada 1.75 peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang pesat membangun yang lain dengan unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0839/0879 daripada 3.0852/0902 dan tinggi berbanding yen kepada 3.7650/7699 daripada 3.7653/7711.

Bagaimanapun, berbanding pound Britain, ringgit susut kepada 5.7222/7296 daripada 5.7181/7273 dan turun berbanding euro kepada 4.9486/9551 daripada 4.9473/9549 sebelum ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga naikkan harga jualan boleh didakwa – menteri

PUTRAJAYA, 25 APRIL: Peniaga yang menaikkan harga barangan jualan tanpa mematuhi perundangan pencatutan boleh didakwa melakukan kesalahan mencatut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya memandang serius situasi harga barangan keperluan pengguna yang tidak terkawal, termasuk minyak masak botol di pasaran kerana ianya penyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Ketetapan tindakan terhadap kenaikan harga barangan terlalu tinggi ini juga terpakai kepada minyak masak botol yang ada di pasaran,” menurutnya dalam kenyataan di sini semalam.

Nanta berkata demikian susulan laporan media yang mendakwa harga minyak masak dalam botol bersaiz lima kilogram (kg) naik mendadak sejak Januari lepas iaitu dalam lingkungan RM28 hingga RM34 berbanding RM25 hingga RM27 pada tahun lepas.

Beliau berkata kenaikan harga barangan yang terlalu tinggi atau tidak terkawal adalah asas kepada suatu tindakan pemeriksaan dilaksanakan dan analisis pencatutan akan dilaksana selepas menerima maklum balas notis daripada peniaga.

“Justeru itu, KPDNHEP boleh melaksanakan tindakan berhubung harga minyak masak di bawah perundangan AKHAP 2011 melalui perundangan pencatutan.

“Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 sekiranya suatu perbadanan atau syarikat dan bagi bukan perbadanan atau individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata rekod aduan berhubung minyak masak botol yang dijual pada harga tinggi menunjukkan trend penurunan.

“Sejak Januari lepas, 16 aduan diterima kemudian telah menurun pada Februari iaitu hanya tiga aduan dan pada Mac, sejumlah lima aduan sahaja diterima manakala bulan ini pula tiada sebarang aduan diterima tentang harga tinggi untuk minyak masak botol.

“Ini seiring dengan data kutipan harga minyak masak (jenis tulen) botol lima kg yang menunjukkan harga terendah ada dijual di pasaran pada RM21.50 dan tertinggi RM30.00,” katanya.

Beliau berkata minyak masak botol tidak diberikan subsidi dan akan dijual mengikut harga pasaran berdasarkan mekanisme pengapungan harga.

Nanta berkata harga pasaran minyak masak ditentukan oleh harga minyak sawit mentah dunia dan kos lain yang menyumbang kepada penentuan harga runcit minyak masak botol seperti kos operasi, kos bahan mentah dan kos pembungkusan.

“Berdasarkan data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia, harga minyak sawit mentah mengalami kejatuhan yang ketara bermula pada bulan Februari 2020 hingga Mei 2020.

“Namun harga minyak sawit mentah dunia kembali meningkat bermula Jun tahun lepas iaitu dalam lingkungan RM1,000/metrik tan (mt) dan kini melepasi RM4,000/mt,” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, minyak mentah dunia semakin agresif menunjukkan peningkatan sehingga mencapai RM4,153/mt dan peningkatan harga minyak mentah dunia boleh memberi kesan kepada harga runcit minyak masak botol.

“Wajar dan munasabah situasi perubahan harga minyak mentah dunia ini memberi kesan kepada perubahan harga runcit minyak masak botol yang dijual di pasaran.

“Justeru itu, rakyat perlu memahami senario yang berlaku dalam menentukan perubahan harga pada barang keperluan seperti minyak masak botol,” katanya.

Nanta juga berkata di bawah Program Skim Rasionalisasi Harga Minyak Masak, kerajaan memberikan subsidi untuk minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kg sahaja dan ia adalah relevan dengan kiraan nisbah penggunaan minyak masak bagi tujuan kegunaan isi rumah iaitu satu penduduk bersamaan dengan 1.5 kg untuk kegunaan sebulan.

“Sehubungan itu, sebagai kerajaan yang prihatin, program pemberian subsidi terhadap minyak masak dalam polibeg satu kg tetap diteruskan bagi memastikan rakyat terus dapat menikmati bekalan minyak masak untuk kegunaan isi rumah pada harga mampu milik iaitu RM2.50.

“Pengguna diberi pilihan untuk memilih minyak masak bersubsidi satu kg yang juga berkualiti atau memilih minyak masak botol yang ada dijual dalam pelbagai berat dan harga,” katanya.

Beliau berkata setiap bulan sebanyak 60,000 metrik tan minyak masak satu kg bersubsidi diedarkan di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar dan jumlah pengeluaran serta pengedaran ini adalah mencukupi bagi kegunaan 32.7 juta rakyat Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka diniaga sekitar 4.1275-4.1475 minggu depan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam lingkungan 4.1275 hingga 4.1475 pada minggu depan ketika pasaran terus memantau perkembangan hasil Perbendaharaan AS dan pergerakan harga minyak.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata laporan terkini mengenai kenaikan inflasi di China pada Mac berikutan lonjakan kos komoditi, juga dijangka mempengaruhi prestasi ringgit.

“Pasaran juga mengharapkan China menangani aspek kreditnya yang berpotensi memberi impak negatif terhadap pengeksport komoditi seperti Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, katanya, pasaran turut menunggu hasil mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 6 Mei depan dan berkemungkinan menyaksikan Bank Negara Malaysia menyemak naik Kadar Dasar Semalaman yang akan memberi kesan terhadap minat pelabur asing terhadap bon.

“Peniaga tempatan juga dijangka memberi tumpuan terhadap indeks harga pengguna AS bagi Mac yang dijadual diumumkan pada 13 April depan,” katanya.

Dalam pada itu, setakat jam 8.05 malam waktu Malaysia pada Jumaat, harga minyak mentah Brent susut 0.25 peratus kepada US$63.04 setong.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit lebih mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.1330/1370 daripada 4.1380/1420 pada minggu sebelumnya.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0800/0839 daripada 3.0780/0816 minggu sebelum ini serta rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7689/7733 daripada 3.7455/7494.

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.6618/6685 daripada 5.7241/7309 pada Jumaat lepas dan susut berbanding euro kepada 4.9141/9205 daripada 4.8733/8797 sebelum ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka kukuh 4.1330/1370 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Selasa susulan minat belian terhadapnya ketika dolar AS sebaliknya terus lemah akibat tindakan penjualannya oleh peniaga.

Ini berikutan penyusutan dolar AS ke paras hampir terendah dalam tempoh dua minggu berbanding mata wang lain dan seiring dengan penurunan hasil Perbendaharaan walaupun negara maju itu menyaksikan pemulihan ekonomi yang memberangsangkan.

Indeks dolar AS mencecah paras terendah sejak 25 Mac lepas dan terus susut pada awal dagangan Asia hari ini selepas mencatat penurunan sebanyak 0.4 peratus pada Isnin.

Pada 9.04 pagi ini, unit tempatan itu di paras 4.1330/1370 berbanding dolar AS daripada 4.1400/1450 pada akhir dagangan Isnin.

Mengulas prestasi ringgit, Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata kelemahan dolar AS itu sebaliknya membantu ringgit untuk masa ini, namun penurunan harga minyak juga menjadi kebimbangan para peniaga.

Malah, pergerakan harga minyak itu akan mempengaruhi ringgit memandangkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport minyak.

“Lebih kritikal lagi untuk ringgit adalah bagaimana reaksi pasaran terhadap normalisasi Rizab Persekutuan AS (FED) dan hasil bon AS. Oleh kerana hasil Perbendaharaan 10 tahun AS menyusut pada Isnin akibat data ekonomi yang positif, ini akan menjadi faktor yang boleh mempengaruhi prestasi ringgit,” katanya.

Bagi proses normalisasi itu, pihak Fed berhasrat mengalihkan kadar dana Persekutuan ke dalam jajaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dengan melaras kadar faedah bayaran ke atas baki rizab.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0832/0864 daripada 3.0776/0825 dan lemah berbanding yen kepada 3.7481/7520 daripada 3.7422/7477.

Berbanding pound Britain, ringgit juga susut kepada 5.7469/7520 daripada 5.7360/7437 dan rendah berbanding euro kepada 4.8827/8891 daripada 4.8604/8671.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka rendah 4.1570/1630 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS kerana kekurangan permintaan manakala nilai dolar yang kukuh menghalang minat pelabur ke atas mata wang tempatan, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.05 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1570/1630 berbanding dolar AS daripada 4.1520/1570 ketika ditutup pada petang Rabu.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum sambutan Maulidur Rasul.

Peniaga berkata pasaran kembali dicengkam rasa bimbang berikutan pasaran minyak yang tidak menentu serta kes Covid-19 seluruh dunia yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, Belanjawan 2021 yang bakal dibentang pada 6 November depan turut menjejaskan aliran mata wang tempatan.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0419/0474 daripada 3.0469/0517 ketika ditutup pada Jumaat dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3746/3828 daripada 5.3860/3929.

Ringgit lebih tinggi berbanding euro pada 4.8525/8611 daripada 4.8778/8841 dan meningkat berbanding yen kepada 3.9765/9834 daripada 3.9835/9894 sebelumnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

RON95, RON97 naik satu sen, diesel naik lima sen

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing naik satu sen seliter, manakala diesel naik lima sen seliter bagi tempoh 17 hingga 23 Oktober ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, berdasarkan penetapan harga runcit mingguan produk petroleum menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga baharu seliter bagi RON95 adalah RM1.68, RON97 (RM1.98) dan diesel (RM1.74).

Menurut kenyataan itu, kerajaan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.1860/1910 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Ringgit meneruskan aliran menaik untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS pagi ini, disokong oleh sentimen risiko yang positif, kata seorang peniaga.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1860/1910 daripada 4.1900/1960 ketika ditutup semalam.

Bercakap kepada Bernama, ketua strategi pasaran global AxiCorp, Stephen Innes berkata dagangan menyebelahi ringgit kerana dolar AS terus lemah menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadual berlangsung esok.

Bagaimanapun, para peniaga masih mengambil pendirian untuk bertahan, tidak bersedia untuk menguji paras 4.18 dan mengharapkan ringgit mengambil petunjuk daripada pergerakan meluas mata wang G-10 hari ini.

“Selain itu, harga minyak yang diniagakan pada paras tinggi dalam tempoh lima bulan seharusnya memberi kelebihan kepada unit tempatan,” katanya.

Harga minyak Brent kekal melepasi AS$45 setong walaupun turun 0.09 peratus kepada AS$45.31 setong.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0624/0672 daripada 3.0597/0650 semalam dan lebih rendah berbanding yen kepada 3.9569/9627 daripada 3.9391/9458 sebelumnya.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4966/5036 daripada 5.4952/5035 dan lemah berbanding euro kepada 4.9763/9835 daripada 4.9672/9756.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit cecah paras 4.18 jejaki harga minyak kukuh

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Harga minyak mentah yang stabil terus mengukuhkan ringgit berbanding dolar AS yang lemah akibat penyusutan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan lebih tinggi kepada 4.1880/1930 daripada 4.1900/1950 ketika ditutup Rabu.

Setakat ini, minyak mentah Brent kekal melebihi US$45 setong walaupun merosot 0.35 peratus kepada US$45.27 setong.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes menjangkakan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum tidak akan meningkatkan kuota pengeluaran minyak untuk sementara waktu.

“Mungkin tidak sehingga November 2020 yang menjadi petanda baik kepada harga minyak.

“Saya turut melihat penyusutan harga dolar AS menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) negara itu pada September,” katanya kepada Bernama.

Beliau berpendapat, pengumuman mengenai keputusan suku kedua Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2020 yang dijadualkan esok tidak memberi impak kepada prestasi ringgit hari ini.

“KDNK melibatkan angka besar, namun tidak terlalu signifikan akibat pandemik Covid-19 memandangkan kita tahu ia akan menjadi buruk susulan usaha-usaha yang diambil untuk membendung koronavirus.

“Bagi saya, ia semua berkaitan rundingan perdagangan AS-China (pada 15 Ogos) dan meskipun risikonya telah dikurangkan berikutan pendirian AS yang kurang lantang mengenai perdagangan, sesiapapun tidak merasa yakin selagi adanya Presiden AS, Donald Trump di Rumah Putih,” katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja kedua-dua negara mengharungi rintangan perdagangan ini, ringgit akan lebih kukuh.

“Saya berpandangan, minggu depan akan menjadi minggu yang positif bagi ringgit,” kata Innes.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen.

Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4783/4865 daripada 5.4675/4745 pada Rabu, merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0523/0570 daripada 3.0506/0547 dan turun berbanding euro kepada 4.9552/9628 daripada 4.9300/9375.

Unit tempatan meningkat kepada 3.9184/9242 berbanding yen Jepun daripada 3.9232/9290 semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.2110/2160 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Ringgit dibuka tinggi kepada paras tertinggi dalam tempoh hampir lima bulan berbanding dolar AS, didorong oleh dana global yang mencari hasil.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.2110/2160 berbanding dolar AS daripada 4.2180/2230 dicatatkan pada 6 petang pada Rabu.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata dari perspektif hasil yang nyata, sekuriti kerajaan Malaysia menonjol, dijangka meningkatkan permintaan terhadap ringgit, yang mencatatkan prestasi baik daripada kenaikan harga minyak dan beta stabil unit tempatan kepada renminbi China.

Beliau juga berkata mata wang tempatan dapat menguji paras trend 4.175 tidak lama lagi dan kemungkinan hasil positif yang rendah daripada rundingan perdagangan AS-China.

Berbanding sekumpulan mata wang, ringgit diniagakan tinggi.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0560/0601 daripada 3.0619/0646 semasa ditutup semalam dan naik berbanding yen kepada 3.9631/9689 daripada 3.9661/9701.

Berbanding pound, unit tempatan meningkat kepada 5.4944/5018 daripada 5.5046/5106 dan naik berbanding euro kepada 4.9690/9758 daripada 4.9709/9760 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi 4.2500/2560 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Ringgit meneruskan aliran peningkatannya apabila dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, didorong terutamanya oleh kelemahan mata wang Amerika Syarikat itu serta harga minyak yang stabil, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan berakhir pada 4.2500/2560 berbanding dolar US daripada 4.2505/2545 semalam.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata ketegangan Washington-Beijing yang meruncing turut meningkatkan lagi risiko yang dihadapi oleh pelabur menjelang pilihan raya presiden Amerika Syarikat tidak lama lagi.

“Pasaran perlu bersedia untuk menyaksikan lebih banyak perkembangan akan datang, walaupun selepas Presiden Donald Trump tidak lagi berkuasa di Rumah Putih. Malah, kemungkinan Joe Biden mengambil alih pentadbiran juga dijangka tidak akan mengubah hala tuju bagi meredakan hubungan China-Amerika Syarikat,” kata Innes dalam nota penyelidikannya.

Selain itu, Innes berkata, walaupun dolar US-renminbi diniagakan pada paras melebihi 7.01, pasaran mata wang berkemungkinan besar menangguhkan penjualan dolar US berikutan pedagang cenderung untuk mencatat keuntungan susulan penyusutan seterusnya.

Dalam pada itu, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, diniagakan menokok 0.14 peratus kepada US$44.35 setong, setakat ini.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0670/0716 daripada 3.0692/0725 pada Rabu dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9660/9724 daripada 3.9721/9769.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.9160/9233 daripada 4.9064/9127 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4090/4175 daripada 5.3871/3930 sebelum ini.

-BERNAMA