Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Nasib ringgit tidak menentu, rakyat kian buntu

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 JAN: Kejatuhan nilai ringgit dan ketibaan musim tengkujuh bulan ini menjadi penyebab berlakunya kenaikan harga bahan mentah seperti ikan, ayam dan daging.

pasar-13Musim tengkujuh yang kebiasaannya berlaku sekitar November dan Disember saban tahun tiba lewat kali ini dan menyaksikan beberapa negeri sedang dilanda banjir selain laut bergelora.

Tinjauan SelangorKini selama tiga hari ke beberapa lokasi mendapati harga ikan kembung yang tular di laman sosial pada harga hingga mencecah RM17 sekilogram sejak seminggu ini sememangnya berlaku.

Secara purata harga ikan kembung dalam lingkungan RM15 hingga RM20 sekilogram di Pasar Borong Selangor dan Pasar Awam Seksyen 6, Shah Alam.

Tinjauan terhadap harga ayam pula mendapati ia dijual pada harga RM6.50 hingga RM8 sekilogram bergantung kepada sumber ayam diperolehi sama ada diternak sendiri atau diambil daripada pembekal.

Beberapa peniaga yang ditemui berkata, kenaikan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit mengakibatkan mereka terpaksa menjual barangan pada harga yang tinggi.

pasar-20Pekerja gerai daging, Jamal Husin berkata, harga daging import melambung tinggi disebabkan kejatuhan matawang sementara daging tempatan turut merasai tempias sama ekoran harga lembu semasa yang mahal.

Pertemuan SelangorKini dengan beberapa pengunjung mendapati kebanyakan mereka meluahkan kebimbangan kenaikan harga barang yang dilihat semakin kerap berlaku kebelakangan ini selain disokong kenaikan harga minyak yang diumumkan awal Januari.

Emma Farahin Idris berkata, setakat ini harga yang ditawarkan dirasakan berpatutan walaupun berlaku kenaikan tetapi masih perlu berbelanja dengan cermat.

“Saya biasa pergi ke pasar seminggu sekali dengan jumlah perbelanjaan sekitar RM70. Dengan jumlah itu saya boleh membeli ayam, udang dan sayur-sayuran,” katanya.

Pandangan sama turut dilontarkan Muhd Faiz Khairuddin yang berharap harga barangan semasa dapat diturunkan pada kadar berpatutan berdasarkan ekonomi semasa rakyat kerana terpaksa berfikir panjang sebelum berbelanja walaupun untuk membeli barangan makanan.

-NFN-