Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor negeri pertama bangunkan taman industri, wajibkan sistem rawatan berpusat

SHAH ALAM, 22 OKT: Selangor bakal menjadi negeri pertama membangunkan taman perindustrian dengan mewajibkan pemain industri membina sistem rawatan influen secara berpusat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Invest Selangor Bhd sedang memperhalusi mekanisme insentif berkonsep pengurusan taman perindustrian bagi memastikan pembangunan kaedah yang dipraktikkan di negara maju itu tercapai.

Jelasnya, langkah itu merupakan antara usaha Kerajaan Selangor memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Berpaksikan identiti sebagai negeri maju dan kuasa ekonomi berorientasikan perindustrian, Kerajaan Selangor mengalu-alukan pelaburan yang berkonsepkan ekonomi kitaran untuk mengitar semula buangan menjadi produk berguna.

“Ia sekali gus membolehkan sumber alam dipulangkan semula ke dalam sistem kitaran dan mampu mengurangkan penggunaan sumber baharu,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara secara dalam talian hari ini.

Amirudin berkata dalam memastikan ekosistem alam sentiasa terjaga pihaknya turut menubuhkan Jawatankuasa Tetap Tindakan Alam Sekitar dipengerusikan Hee Loy Sian yang bertanggungjawab terhadap sebarang cadangan dan projek pembangunan negeri.

Jelasnya, Kerajaan Selangor turut mengadaptasi 17 matlamat pembangunan lestari mengikut ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui laporan Voluntary Sub-National Review.

“Selangor memperuntuk RM360 juta dalam Belanjawan 2021 untuk sumber air negeri. Kita turut wartakan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Pindaan) 2020, Skim Jaminan Air Mentah Negeri Selangor serta wujudkan 44 lokasi Friend of River yang melibatkan komuniti.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga terlibat aktif melaksanakan program bandar pintar dan bandar rendah karbon bagi meminimumkan kesan pemanasan global dan perubahan iklim,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sedia 298 tong sampah pukal sempena Hari Alam Sekitar Negara

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan 298 tong Roll On Roll Off (RORO) sempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara pada 21 Oktober ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata tong bersaiz tiga tan itu diletakkan sekitar Seksyen 1 hingga Seksyen 36 dan Seksyen U1 hingga Seksyen U20 secara berperingkat mulai hari ini hingga 15 Oktober.

Menurut Shahrin Ahmad, setiap tong diletakkan selama lima hari di lokasi dijadualkan dan akan ditarik selepas kapasiti tong penuh.

“Langkah ini memudahkan orang ramai membuang perabot dan alat elektrik lama seperti almari, sofa, tilam, katil, peti ais, radio, televisyen, pengecas bateri dan telefon bimbit.

“Inisiatif ini juga menggalakkan penduduk melaksanakan aktiviti gotong-royong di kediaman masing-masing selain mendidik warga Shah Alam mengendalikan sampah pukal dengan betul,” katanya menerusi kenyataan.

Shahrin berkata pihaknya mengharapkan kerjasama orang ramai dengan meletakkan sampah pukal masing-masing ke dalam tong bagi
memudahkan proses kutipan selain dapat menjaga kebersihan persekitaran.