SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan anak muda kerana mereka bakal pemimpin pada masa akan datang.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ekoran itu inisiatif Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) dan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) diwujudkan supaya golongan tersebut boleh menjana pendapatan.
“Dekad seterusnya merupakan milik warga belia, jadi saya harapkan mereka dapat merebut peluang yang ada untuk melibatkan diri dengan masa depan negeri ini, sama ada secara langsung atau memberi sokongan kepada rakan seperjuangan.
“Kerana tanpa semangat anak muda Selangor, kita pasti gundah di tengah pelayaran. Selamat Hari Belia Sedunia 2020 buat warga belia Selangor dan Malaysia. Semoga Selangor kekal cemerlang, hari ini dan esok dengan sokongan anak muda,” kata Dato’ Menteri Besar menerusi kenyataan di Facebook.
Amirudin berkata beliau turut menggalakkan pandangan, sumbangan dan input daripada golongan belia atau generasi yang lebih muda.
“Pandangan dan sumbangan daripada golongan belia amat saya hargai, input serta tenaga dari generasi yang lebih muda memberi saya semangat untuk terus berjiwa kental demi berkhidmat kepada warga Selangor dikasihi,” katanya.