Categories
KENYATAAN MEDIA

Terima kasih Cikgu!

OLEH : MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH

1- Assalamualaikum wbt. Alhamdulillahi wa bihi nasta’in, ‘ala umuri ‘d-dunya wa ‘d-din.

2- Segala puja puji bagi Allah Tuhan sarwa alam, Yang Maha Mengasihi kita semua dengan mengurniakan kita para guru yang menjadi wasilah bagi kita memperoleh ilmu, dan dengan ilmu kita semua menjadi mulia.

3- Selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w, pesuruh Allah yang mulia, yang diutuskan oleh Tuhan sebagai Guru Agung kepada kita semua. Baginda mengajarkan kita mengenal hakikat dan mengasuh kita dengan pekerti yang halus agar kita menjadi manusia beradab.

4- Pada kesempatan yang sangat menggembirakan ini, saya mewakili seluruh saf qiyadah PKPIM, merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Guru buat semua pendidik seluruh nusa!

hari guru5- Sesemangnya, para guru sangat wajar dihargai dalam hari peringatan khusus seperti 16 Mei ini. Bagi kami, setiap hari adalah hari guru kerana guru menempati tempat yang istimewa dalam jiwa kami semua.

6- Tanpa tunjuk ajar dan didikan cikgu-cikgu dan para pensyarah, mana mungkin kami mampu memandu bahtera kehidupan, lebih-lebih lagi dalam menempuh alam kedewasaan yang mendatang.

Saudaraku dan para guru yang budiman,

MENDIDIK DENGAN KASIH, MENUAI TERIMA KASIH

7- Dalam konteks pendidikan, guru adalah suatu entiti yang sentral dan sangat penting. Proses pendidikan tidak mungkin dapat berlangsung dengan ketiadaan guru.

8- Ungkapan kepujanggan bangsa seperti ‘guru ibarat lilin yang membakar diri’ adalah sangat benar dan signifikan. Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan bagi setiap anak didik untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan cikgu-cikgu yang telah mendidik mereka selama ini.

9- Sesungguhnya, pendidikan tidak seharusnya dilihat dari sisi akademik semata-mata. Ia merupakan suatu proses pembangunan potensi insan secara menyeluruh meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

10- Prof. Syed Ali Asyraf, seorang ilmuwan dan tokoh pendidik terkemuka, pernah menyatakan bahawa pendidikan merupakan proses penyaluran kasih sayang.

11- Dalam tradisi pengajian Islam tradisional, kasih sayang menjadi pra-syarat kepada proses pengajaran dan pembelajaran kerana menyempurnakan kehendak psikologi dan emosi manusia.

12- Justeru, pembinaan suasana harmoni dalam proses pengajaran-pembelajaran di sekolah adalah suatu yang wajar dititikberatkan. Iklim keilmuan dan budaya intelektualisme harus dibugar dan dikembang-suburkan.

13- Apalah ertinya kecemerlangan akademik tanpa penyuburan jiwa; apalah nilainya gred ‘A+’ tanpa akhlak terpuji.

14- Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang merupakan landasan pelaksanaan agenda kependidikan di Malaysia dengan jelas menyatakan “Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan”.

15- Oleh sebab itu, kecemerlangan yang sebenar adalah kemajuan perkembangan potensi keinsanan setiap pelajar yang mengikuti pendidikan dan persekolahan.

16- Kami yakin dan percaya, cikgu-cikgu di sekolah yang dianggap sebagai ibu ayah kedua para pelajar sentiasa sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pendidik yang mengajarkan para pelajar dengan ilmu dan hikmah. Terima kasih para pendidik sekalian.

LITERASI & LIBERASI: MEREALISASIKAN PENDIDIKAN KEINSANAN DAN PENDIDIKAN YANG MEMBEBASKAN

17- Pendidikan adalah proses penyaluran ilmu dan nilai. Kita semua meyakini bahawa dengan ilmu kita akan jadi orang mulia, kerana kita bebas daripada belenggu kebodohan dan kejahilan.

18- Oleh yang demikian, para guru wajar menciptakan keyakinan dalam kalangan pelajar dan anak didik bahawa kesempatan belajar dan bersekolah adalah suatu anugerah Tuhan yang wajib disyukuri, justeru membangkit motivasi untuk terus bersungguh-sungguh dalam pelajaran masing-masing.

19- Anak bangsa kita memerlukan motivasi untuk memahami erti menjadi para penuntut ilmu. Pendidikan tidak sebatas proses literasi semata-mata, tetapi juga menjangkau proses liberasi – pembebasan diri daripada kejahilan, rasa rendah diri, budaya takut, perasaan malu tak bertempat, rendah keyakinan diri dan selalu berasa gagal.

20- Pendidikan adalah untuk manusia, justeru pendidikan haruslah bersifat memanusiakan (humanizing), bukan meredam sifat keunggulan manusia.

21- Seperti yang telah disinggung tadi, pendidikan bukan hanya sebatas domain literasi – mengajarkan ilmu, teori dan kemahiran – tetapi juga menyuburkan jiwa dengan watak unggul kemanusiaan seperti amanah, berintegriti, bertanggungjawab, adil, berdikari, yakin diri, kerja terancang, progresif, proaktif dan akomodatif.

Guru-guru serta teman-teman seperjuangan,

MEMBANGUN WATAK BANGSA YANG BERADAB

22- Renungi ungkapan hikmah oleh Pendeta Za’ba, tokoh pembangkit dhamir kebanggaan bangsa: “Pelajaran sangatlah wajib bagi membetulkan segala yang kekurangan pada perangai-perangai kebangsaan sesuatu kaum dan bagi mengubahkan dan membaiki tabiat-tabiat kecenderungan yang kurang baik pada diri seseorang”.

23- Ternyata pendidikan yang murni dan sejati bakal membuahkan watak peribadi dan bangsa beradab.

24- Pendeta Za’ba juga mengajarkan kita untuk sedar dan membangun diri; yakin dengan kebolehan dan potensi sendiri; jangan suka menjadi manja dan bergantung harap kepada orang lain; sentiasa mahu menjadi maju dan terus-terusan membaiki kelemahan diri; berusaha gigih dan jangan mudah menyerah kalah; berusaha mencapai keluhuran budi dengan memahami agama dan berfikir rasional.

25- Kesemua yang dinyatakan ini dan banyak lagi sifat mahmudah yang lain harus diterapkan, jadi pegangan kita semua dan seterusnya sama-sama diasuhkan kepada anak-anak didik kita.

26- Bangsa Malaysia adalah bangsa yang hebat. Guru adalah watak utama dalam membangun bangsa hebat ini, kerana merekalah yang berperanan mencelikkan anak bangsa dengan ilmu yang berguna dan dimanfaatkan untuk waktu kini dan masa depan.

GURU INSAN TERPILIH: MEWARISI TUGASAN NABAWI

27- Para guru sekalian, anda adalah orang-orang terpilih yang mengemban tugasan berat, menyampaikan ilmu, mendidik pelajar jadi manusia berguna.

28- Justeru, didiklah dengan jiwa. Haruslah disedari bahawa sekolah adalah ‘syurga’ kerana di dalamnya ada ilmu, ada kasih sayang dan ada keberkatan.

29- Kenangilah sabdaan Ar Rasul s.a.w: “Orang yang berkasih sayang, akan disayangi oleh Allah Yang Maha Pengasih. Kasihilah penduduk bumi, engkau akan dikasihi penduduk langit (para malaikat).”

30- Memang para Nabi dan Rasul ditugaskan menjadi guru: “Sesungguhnya aku diutuskan sebagai guru”. Justeru, menjadi guru adalah legasi dan warisan Nabi s.a.w.

Para guru dan sahabat-sahabatku yang bitara,

IDEALISME KEGURUAN: “HUMAN TRANSFORMER” DAN “CULTURE BUILDER”

31- Menurut tokoh ideolog dan murabbi umat Ayahanda Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, seorang guru yang bitara harus punya berperanan sebagai: i) Human Tranformer’ dan ii) ‘Culture Builder’.

32- Dalam erti kata lain, fikrah dan idealisme perjuangan seorang guru adalah untuk melakukan perubahan, untuk mentransformasikan manusia kepada keadaan yang lebih baik.

33- Oleh itu, teman-teman kita yang sedang dipersiapkan menjadi guru di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) atau yang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), haruslah menyedari bahawa profesyen keguruan ini menuntut pemikiran perjuangan. Ia bukan sekadar karier tapi ia adalah “misi” untuk memandaikan anak bangsa.

34- Dalam masa yang sama, guru harus bertindak menyediakan suasana yang selesa untuk pembentukan iklim intelektualisme dan keilmuan dalam kalangan warga pendidik dan peserta didik.

35- Iklim keilmuan akan terbentuk dengan kesepakatan warga institusi pendidikan setiap peringkat dalam mengapresiasi ilmu dan menjadikan kegiatan intelektualisme dan ilmiah sebagai rutin harian.

36- Pada pandangan saya, pembentukan budaya ilmu bermula dengan tiga langkah: (i) Pembinaan kecenderungan (tendency); (ii) Pembentukan sikap (attitude); (iii) Pengamalan rutin (routine).

37- Kecenderungan positif terhadap ilmu dan kegiatan ilmiah akan membentuk sikap dan pendirian yang utuh terhadap ilmu. Sikap ini kemudiannya akan mendorong seseorang untuk melazimi kegiatan ilmiah dan akhirnya akan menjadi kebiasaan dan rutin harian yang tak dapat ditinggalkan.

38- Saatnya kesemua warga komuniti tersebut melazimi rutin yang sama, maka terbentuklah budaya keilmuan dalam komuniti tersebut.

39- Justeru, budaya ilmu boleh dicipta dan diaturkan. Malah budaya-budaya lain dengan nilai-nilai positif juga wajar dibentuk dengan langkah yang dinyatakan.

40- Maka jadi kewajipan bagi para petugas yang mengemban misi memandaikan anak bangsa ini untuk terus memperkukuh budaya ilmu dan budaya positif yang lain dalam usaha mentransformasi anak bangsa Malaysia menjadi bangsa yang terampil dan berkemajuan.

Para pendidik dan teman-teman yang berjasa,

SEDIA BELAJAR, MENGAJAR DAN DIAJAR

41- Kepada teman-teman aktivis dan penggiat PKPIM di seluruh Tanah Air, terima kasih kerana mengorban masa, tenaga dan wang ringgit kalian untuk sama-sama berperanserta memandaikan anak bangsa Malaysia.

42- Kalian turun ke sekolah mengendalikan kegiatan, bersama menjadi pembimbing kepada adik-adik kita di sana, menceriakan mereka, menyuntik motivasi untuk berjaya, berkongsi pengalaman buat pedoman kehidupan mereka. Kalian juga menganjurkan program-program membangun peribadi dan potensi diri di kampus-kampus universiti, juga turun ke lapangan bersama masyarakat dalam menjayakan agenda mendidik umat.

43- Sungguh, kalian orang-orang yang mulia, dan hanya Allah sahaja yang akan membalas jasa kalian. Saya dan teman-teman qiyadah merakamkan setinggi-tinggi apresiasi atas kerja-buat kalian ini. Teruskan berjasa kerana kalian sangat-sangat diperlukan oleh umat ini.

44- Buat para guru dan pedidik, sekali lagi terima kasih kerana jasa dan pengorbanan kalian. Moga diganjari Allah dengan imbalan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Amin.

45- Mudah-mudahan Allah memelihara kalian yang menjadi guru, dan memelihara para guru kami. Sesungguhnya, taklifan sebagai guru adalah tugasan mulia, yang punya misi memuliakan manusia lain dengan ilmu, nilai dan hikmah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

TERIMA KASIH CIKGU
HIDUP BIAR BERJASA

* MOHAMMAD FAZRIL BIN MOHD SALEH adalah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)