Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Deepavali dirai sederhana selaras SOP bendung penularan wabak

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Meskipun berdepan situasi sukar ekoran pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan dan PKP Bersyarat, perayaan Deepavali tahun ini disambut sederhana namun penuh keriangan oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh negara.

Biarpun ada yang masih janggal dan kekok dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang jangkitan wabak berkenaan, mereka akur dalam memastikan rantaian penularan dapat diputuskan.

Ceria melaram pakaian berwarna-warni, penganut Hindu juga dilihat tidak melupakan pelitup muka masing-masing selain menjaga jarak fizikal satu meter dan mengimbas suhu badan ketika menghadiri upacara sembahyang di kuil bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Midlands, Seksyen 7, Shah Alam, mendapati walaupun tidak seramai seperti tahun-tahun yang lepas, pengunjung sanggup ‘berpanas’ di khemah menunggu giliran untuk bersembahyang bagi melengkapkan sambutan pesta cahaya itu.

Setiap pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka, menulis nama masing masing atau scan QR Code My Sejahtera sebelum dibenarkan masuk ke dalam kawasan kuil. Foto BERNAMA

Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Midlands R.Mohanraj, 63, berkata pengunjung datang seawal 6 pagi dan walaupun sedikit kekok apabila perlu mendaftar Mysejahtera dan mengimbas suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke kuil, mereka tetap akur demi faktor keselamatan dan kesihatan.

Pengunjung M. Krishna, 20, yang setiap tahun bersembahyang di kuil tersebut pula meluahkan rasa janggal apabila kuil berkenaan tidak dipenuhi orang ramai yang kebiasaannya datang seawal 6 pagi untuk upacara mandi.

Di MELAKA, Setiausaha Hal Ehwal Masyarakat, Jabatan Ketua Menteri, M.S. Mahadevan berkata sambutan Deepavali di negeri ini turut berlangsung secara sederhana dengan tiada sebarang aktiviti kunjung-mengunjung dan hanya diraikan bersama keluarga terdekat.

Beliau yang juga Pengerusi MIC Melaka bagaimanapun berkata, sambutan tahun ini tidak mengabaikan golongan yang tidak bernasib apabila sumbangan barangan keperluan harian diberikan kepada 700 penerima bagi menyambut perayaan tersebut.

Di PERAK, Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh, di Ipoh tetap menjadi tumpuan untuk penganut Hindu melaksanakan upacara sembahyang dengan pakaian berwarna-warni.

Seorang pengunjung S.Hema, 24, dari Bercham, Ipoh berkata walaupun tiada kunjungan daripada saudara-mara dan rakan yang tinggal di luar daerah, namun dia dan keluarga tetap membuat persiapan termasuk membuat biskut untuk memastikan pesta cahaya tahun ini memberikan keriangan.

Bagi anggota Rela, K.Gajendran, 36, dari Tasek, Ipoh, pula, beliau sanggup bekerja pada hari Deepavali untuk memastikan SOP dipatuhi oleh para pengunjung dan menganggapnya sebagai pengorbanan untuk negara.

Di JOHOR BAHRU, Pengerusi Kuil Sri Subramaniar K.Arumugam berkata, orang ramai yang hadir dilihat mematuhi SOP ditetapkan selain tidak berada dalam tempoh masa yang lama di dalam kuil.

Seorang pengurus penyelidikan dan pembangunan di sebuah syarikat antarabangsa, G.Ramesh, 45, dan isterinya, P.Sumathi, 41, ketika ditemui di kuil berkenaan pula berkata walaupun tidak dapat pulang ke kampung di Negeri Sembilan, namun sambutan pesta cahaya itu tetap dirai penuh gembira dengan membuat panggilan video kepada ahli keluarga dan saudara tercinta.

Kelihatan seorang penganut Hindu lengkap memakai pelitup separuh muka ketika beribadat di Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasathanam, Batu Caves yang turut kelihatan lengang pada tinjauan sambutan Deepavali hari ini. Foto BERNAMA

Sementara itu,Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Pulau Pinang atau Kuil Arulmigu Balathandayuthapani yang sebelum ini menjadi tumpuan ramai juga dilihat kurang sesak hari ini.

Tinjauan kira-kira 9 pagi tadi mendapati laluan trafik di Jalan Kebun Bunga lancar tanpa sebarang sekatan jalan raya selain gerai makanan ditempatkan di kawasan di tepi jalan.

Penganut agama Hindu dilihat mengunjungi kuil untuk memohon keberkatan dan tanpa berlengah-lengah terus pulang ke rumah tidak lama kemudian.

Pengerusi kuil Datuk R. Subramaniam berkata pengunjung kuil diminta mematuhi SOP dengan ketat dan tidak dibenarkan berada dalam tempoh yang lama di kuil, sebaliknya perlu segera pulang setelah selesai bersembahyang kerana kapasiti untuk kuil itu hanyalah antara 20 dan 30 orang pada satu-satu masa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri harap pesta cahaya dirai harmoni

SHAH ALAM, 13 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor berharap pesta cahaya kali ini disambut dengan suasana harmoni, hormat-menghormati dan bersatu padu dalam norma baharu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Norashikin juga menyeru semua pihak berdisiplin dalam meraikan perayaan Deepavali bagi mengelak penularan Covid-19.

“Baginda merayu agar semua pihak terus berjaga-jaga dan berdisiplin dalam meraikan apa jua perayaan memandangkan wabak berbahaya Covid-19 masih lagi menular di segenap pelusuk negara,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Baginda juga berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua penganut Hindu yang meraikannya.

“Semoga cahaya yang menjadi simbol perayaan Deepavali ini mampu menyinari semangat perjuangan sekalian rakyat dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan mendatang. Deepavali Valthukkal,” titah baginda.

Categories
AGENDA NASIONAL

Deepavali: Sesi perjumpaan keluarga dengan penghuni penjara dibatalkan

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Sesi perjumpaan secara fizikal antara penghuni di institusi penjara dan keluarga sempena sambutan Hari Deepavali dibatalkan, selaras dengan usaha menyekat penularan Covid-19.

Unit Perhubungan Awam Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa sesi perjumpaan tersebut akan digantikan dengan penggunaan aplikasi Skype dan perkhidmatan telefon prabayar yang disediakan di seluruh institusi penjara.

“Ini adalah langkah bagi mencegah penularan wabak Covid-19 ke dalam institusi penjara,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh merujuk kepada institusi penjara yang berkaitan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Perutusan MB Selangor sempena Hari Deepavali 2013

deepavali-mb

Perutusan

YAB TAN SRI DATO? SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

sempena HARI DEEPAVALI 2013

Selamat Sejahtera dan Salam Bahagia, khususnya kepada rakyat  yang beragama Hindu.

Pada Sabtu ini, 2 November 2013, masyarakat beragama Hindu di Selangor khususnya dan di Malaysia  menyambut Hari Deepavali.

Saya, bagi pihak barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor menyampaikan ucapan Salam Deepavali kepada seluruh penganut agama Hindu.

Diharap, sebagaimana kelazimannya saban tahun, pada tahun ini pun masyarakat berketurunan India dan penganut agama Hindu di negeri Selangor khususnya, dapat memanfaatkan sambutan Deepavali dengan melakukan beberapa aktiviti tradisi di samping keluarga tersayang.

Kita maklum, Deepavali  atau Diwali bermaksud pesta cahaya, dirayakan pada hari ke-13 dalam kalendar agama Hindu, atau bersamaan tarikh di antara pertengahan Oktober dan pertengahan November, setiap tahun.  Pada malam bermula sambutan, masyarakat Hindu menghiasai rumah dengan lampu-lampu minyak yang menggambarkan kemenangan pihak yang baik mengatasi pihak yang jahat. Lampu-lampu ini dibiarkan sepanjang malam di ruang rumah yang bersih dengan harapan didatangi tuhan Lakshmi.

Sambutan Deepavali juga disertai pembakaran mercun atau bunga api bertujuan menghalau semangat jahat keluar daripada rumah keluarga berkenaan. Mereka juga berpakaian baharu dan menjamu makanan yang manis-manis bersama keluarga dan rakan-rakan.

Hari menyambut Deepavali diisytiharkan cuti di  Malaysia dan di negara-negara lain termasuk India, Nepal, Sri Lanka, Myanmar, Mauritius, Guyana, Trinidad & Tobago, Suriname, Singapore dan Fiji. Daripada segi sambutan, rakyat Malaysia beragama Hindu masih mengekalkan beberapa acara tradisi yang diamalkan di India.

Namun, hal yang diberi penekanan di negeri Selangor dan di Malaysia, adalah ?rumah terbuka?, iaitu apabila masyarakat beragama Hindu, daripada suku kaum Tamil, Telugu dan Malayalam, mengalu-alukan kedatangan rakan-rakan daripada kaum-kaum lain ke rumah mereka untuk bersama-sama menikmati hidangan ?halal? yang disajikan.

Suasana kunjung mengunjung sambil mengucapkan ?selamat hari perayaan?? inilah sebenarnya merupakan ?keunikan? dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia yang menyerlahkan betapa muhibah dan akrabnya hubungan  pelbagai kaum yang berlainan agama dan fahaman apabila sahaja tiba perayaan kaum-kaum terbesar di Malaysia yang berpenduduk lebih 28 juta orang.

Lebih 5 juta orang daripada jumlah itu menghuni di negeri Selangor Darul Ehsan, yakni sebagai rakyat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Kini, majoriti rakyat majmuk di Selangor sedang menikmati pelbagai bantuan dan insentif  menerusi dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor yang dilaksanakan secara adil dan berhemah oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor, sejak Mac 2008.

Sebagai Dato? Menteri Besar Selangor, saya sangat gembira dan terjua apabila mendapat maklum bahawa rakyat negeri ini daripada pelbagai kaum dan pelbagai peringkat, dari usia muda hingga usia emas, dapat sama-sama  menikmati pelbagai bantuan, insentif  dan bimbingan daripada Kerajaan Negeri demi kesejahteraan bersama.

Sekianlah sahaja. Terima kasih.

Selamat Hari Deepavali.