KUALA KUBU BHARU, 11 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor di Taman Tasik Millenium, dekat sini.
Majlis julung kali itu turut mengisytihar Kuala Kubu Bharu sebagai wilayah tulang belakang hutan tengah (CFS) bertujuan memelihara dan memulihara biodiversiti hutan negara.
Amirudin berkata majlis itu menjadi platform penting memelihara koridor CFS negeri ini selain menyokong agenda negara menangani isu pencemaran alam sekitar, pemanasan global, perubahan iklim dan bencana alam.

“Untuk itu suka saya nyatakan di sini bahawa Kerajaan Negeri akan memainkan peranan sebaiknya termasuk menyokong kempen penanaman 100 juta pokok, meningkatkan usaha memelihara hutan serta menambah peratusan keluasan hutan simpan kekal,” katanya.
Majlis dihadiri Ketua Pengarah Perhutanan Semananjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang;EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.
Sementara itu Mohd Ridza berkata Hutan Simpan Kekal (HSK) Raja Musa, HSK Bukit Tarek dan HSK Gading terlibat dengan CFS bagi memelihara dan memulihara sistem biodiversiti negara.
“Walaupun hanya hubungan sekunder tetapi Kerajaan Selangor dilihat bersungguh-sungguh dengan menyediakan pelan rancangan pengurusan CFS bagi tempoh 10 tahun bermula 2020,” katanya.