Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC adakan kempen kesedaran barah 4 Februari

SHAH ALAM, 31 JAN: Selangor FC (SFC) akan mengadakan kempen kesedaran sempena Hari Kanser Sedunia di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid pada 4 Februari ini.

Gergasi Merah memaklumkan kempen diadakan bersama TDC Holdings Sdn Bhd (TDC) itu dinamakan “Lets Cope with A Neon Hope” akan berlangsung pada jam 2 petang hingga 4 petang.

“Diinspirasikan semangat juang yang tinggi oleh kapten pasukan, Brendan Gan, SFC ingin memberi harapan dan meningkatkan kesedaran orang ramai akan penyakit barah secara menyeluruh.

“Kempen ini juga bertujuan untuk memberi kesedaran bahawa barah boleh disembuhkan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting untuk mengesan awal dan menyembuhkan penyakit itu,” katanya menerusi Facebook.

SFC berkata mereka yang berminat boleh mendaftar di pautan https://www.neonhope.my/

“Pelbagai aktiviti menarik menanti anda pada hari tersebut termasuk pelancaran jersi ‘away kit’ SFC yang terbaru, bertemu semua pemain SFC, pemeriksaan kanser secara percuma dan banyak lagi.

“Ayuh penyokong #GergasiMerah, tandakan kalendar anda. Hanya penyokong telah lengkap menerima dua dos vaksin sahaja dibenarkan hadir ke program ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Sambutan Hari Kanser didik masyarakat tentang risiko, pencegahan

SHAH ALAM, 4 FEB: Hari Kanser Sedunia 2021 dan Bulan Kesedaran Kanser akan diadakan sepanjang Februari ini bagi meningkatkan tahap kesedaran orang ramai berhubung risiko penyakit itu.

Dato’ Menteri Besar berkata kempen itu turut mendidik masyarakat mengenai cara mengesan tanda awal secara kendiri serta ujian pengesanan di klinik atau hospital.

“Tahun ini sambutan menggunakan tema ‘Saya Akan dan Saya Boleh’ bertujuan mengingatkan orang ramai tentang risiko penyakit kanser serta langkah pencegahan yang boleh diambil.

“Statistik menunjukkan lebih separuh penyakit kanser meninggal dunia akibat lewat mendapat rawatan, ketika kanser sudah di tahap tiga atau empat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Menurutnya, pesakit mempunyai peratusan sembuh yang tinggi sekiranya melakukan ujian awal di samping mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam, tidak merokok serta menjaga pemakanan.

Hari Kanser Sedunia disambut setiap 4 Februari dengan tujuan mengajak orang ramai menyokong serta bersama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes barah lewat dikesan membimbangkan

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Kes barah yang lewat dikesan iaitu pada tahap tiga dan empat dalam kalangan rakyat Malaysia berada pada tahap membimbangkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, mengikut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia, kes barah yang lewat dikesan meningkat daripada 58.7 peratus pada 2001 hingga 2011, kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

“Barah merupakan penyakit kronik yang kerap berlaku dan boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina.

“Mengenali gejala dan tanda-tanda awal barah, merupakan langkah yang sangat penting dalam membantu barah tidak dikesan lewat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia yang bertemakan ‘I Am and I Will’ pada 4 Februari setiap tahun, Dr Noor Hisham berkata barah boleh dikesan awal, dengan melakukan ujian saringan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan perkhidmatan saringan barah payudara, kolorektal dan serviks di klinik-klinik kesihatan dan saringan barah mulut di klinik-klinik pergigian di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata sejak dua dekad lepas, barah merupakan lima penyebab kematian utama, yang berlaku di hospital kerajaan dan penyebab utama kematian di fasiliti swasta negara ini.

“Mengikut Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016, barah yang paling kerap berlaku ialah barah payudara iaitu 19 peratus, diikuti barah kolorektal 13.5 peratus dan barah paru-paru 9.8 peratus.

“Dalam kalangan lelaki, barah kolorektal merupakan barah yang paling kerap berlaku iaitu 16.9 peratus manakala bagi wanita adalah barah payudara sebanyak 34.1 peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham menyeru semua pihak memainkan peranan dalam membantu mencegah dan mengurangkan kesan barah kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

“Amalkan gaya hidup sihat, jalani ujian saringan, kenali tanda serta gejala awal barah. Sekiranya dikesan menghidap barah, jangan tangguhkan rawatan. Ambil rawatan yang terbukti selamat seperti yang disaran pakar perubatan,” katanya.

– BERNAMA