Categories
NASIONAL SELANGOR

Pengamal Media Mahu Polis Kembalikan Rakaman Video dan Gambar

BANGSAR, 3 MEI: Pengamal media berkumpul di hadapan pejabat Malaysiakini hari sebagai tanda solidariti meluahkan bantahan diatas kekerasan luar jangkaan yang ditunjukkan pihak polis terhadap beberapa wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0  yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Himpunan aman ini mengemukakan tiga tuntutan terutama menggesa pihak polis mengembalikan bahan akhbar seperti gambar dan semua footages yang disita tanpa sebarang perubahan kepada wartawan berkenaan atau organisasi serta membayar ganti rugi sebarang kecederaan dan kerosakkan.

Selain itu juga di tuntut semua pesalah dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan selepas penubuhan panel bebas untuk menyiasat keganasan semasa perhimpunan Bersih 3.0 serta diharapkan tindakan tersebut tidak berulang dimasa depan.

Kekasaran yang berlaku pada himpunan berkenaan menyaksikan pelbagai peralatan dan footage media dirampas dan dimusnahkan selain mengakibatkan kecederaan beberapa petugas yang membuat liputan.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar berkata, himpunan wartawan pada hari ini diatas dasar keyakinan serta kepercayaan pengamal media dalam kebebasan akhbar di negara ini dan seharusnya semua pihak menghormati hak wartawan terutama ketika mereka sedang menjalankan tugas.

“Hari ini juga merupakan hari yang hitam untuk kebebasan akhbar di Malaysia kerana serangan terhadap wartawan semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada Sabtu lalu, tidaknpernah dilakukan sebelum ini.

“Ramai wartawan, jurukamera dan jurugambar diserang, ditahan dan ditakut-takutkan oleh pihak polis, sesetengah penunjuk perasaan juga menyerang wartawan. Kita perlu menghentikan piawai kebebasan akhbar di Malaysia daripada jatuh ke paras yang lebih rendah,” katanya.

Himpunan aman tersebut menyaksikan kehadiran hampir 50 orang pengamal media daripada pelbagai agensi tempatan bersempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang diikhtiraf oleh Unesco dan disambut serentak oleh pengamal media seluruh dunia.

Dengan tema berbaju hitam dan riben kuning disusuli laungan ‘Hidup Wartawan’ dan ‘Free Media’ bergema sebagai tanda semangat menuntut hak pengamal media.

Pengguna jalan raya turut memberikan sokongan dengan membunyikan hon kenderaan masing-masing.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Baju Hitam, Riben Kuning Tanda Solidariti Untuk Wartawan

SHAH ALAM, 2 MEI :Sempena memperingati Hari Kebebasan Akhbar Sedunia 3 Mei ini, rakyat Malaysia diseru memakai baju hitam dan riben kuning sebagai tanda solidariti kepada warga media yang dikasari polis semasa perhimpunan BERSIH3.0 lalu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, orang awam harus berdiri dalam solidariti bersama pekerja media dan wartawan yang menjadi mangsa keganasan polis itu.

“Memang sah bahawa polis memukul para pekerja media apabila Perdana Menteri sendiri membisikkan maaf kepada wartawan The Sun, Radzi Razak yang dimasukkan ke dalam wad hospital selepas dipukul.

“Kami mengutuk hebat adegan-adegan ganas Sabtu lepas di perhimpunan BERSIH 3.0 di mana orang ramai termasuk pekerja media dan wartawan dipukul dan dicederakan oleh pegawai-pegawai polis,” kata Lim dalam kenyataan medianya.

Laporan menyebut, Radzi Razak yang dipukul oleh 15 pegawai polis, sementara seorang jurugambar Malay Mail ditumbuk oleh polis dan kameranya dipecahkan.

Seorang wartawan Malaysiakini pula ditahan dan peralatan kameranya dirampas.

Malah wartawan antarabangsa daripada Al-Jazeera pun tidak terkecuali, apabila ia dikasari semasa mengambil gambar polis sedang memukul peserta perhimpunan.

“Yang lebih teruknya, Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein tergamak menyatakan bahawa tindakan untuk merampas peralatan kamera itu adalah ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) polis,” katanya.

Namun demikian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sendiri menyatakan bahawa tindakan merampas peralatan kamera itu bukanlah SOP polis, lantas bercanggah dengan Hishammuddin.Sekiranya Ketua Polis Negara betul, maka Hishammuddin harus meminta maaf kepada setiap wartawan yang  dipukul,” ujar beliau.

Tambah Lim, polis dan Kementerian Dalam Negeri harus juga memerintah agar siasatan dibuat untuk membawa pegawai-pegawai yang bersalah ke muka pengadilan.

Jika ini tidak dibuat dengan terbuka dan tanpa mengaburi kebenaran, maka beliau akan lagi merosakkan reputasi polis yang sudah terhakis

“Hanya siasatan yang terdiri daripada pakar antarabangsa boleh memberi laporan yang boleh dipercayai supaya kita boleh mengetahui kebenaran apa sebenarnya yang berlaku,” tegas beliau.