Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020
OLEH NAZLI IBRAHIM
“Jadilah diri sendiri dan teruskan sikap merendah diri seperti sekarang.”
Pesanan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kukuh tersemat di sanubari DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Kata-kata pada petang sebelum berbuka puasa arafah yang kebetulan jatuh pada ulang tahun pertama perkahwinan amat bermakna buat Tengku Permaisuri Norashikin.
Walaupun sedar kehidupannya kini berbeza, namun sesetengah perkara perlu kekal sama. Soal hubungan kekeluargaan, keluhuran keperibadian, keprihatinan dan kasih sayang sesama insan tidak harus berubah.
Sikap merendah diri Tengku Permaisuri Norashikin terserlah menjelang majlis perkahwinan sehinggakan pendandan yang menggayakan rambutnya sebelum berlangsung upacara itu tidak sedar baginda kini Tengku Permaisuri Selangor.
“Kadang-kadang beta pergi ke kedai dandanan rambut itu tanpa rombongan pengiring.
“Dia masih menyapa saya seperti biasa, Hello! Apa khabar? Sibukkah? Sudah lama tak jumpa!”
Demikian antara catatan dalam buku ‘My First Year Journey, from TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor: An Anecdotal Experience’ garapan kekanda baginda, Datin Dr Norely Abd Rahman.
Hormati pekerja
Pasangan diraja itu juga mementingkan nilai kekeluargaan. Justeru, baginda berdua begitu menghormati hari cuti kakitangan istana supaya mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga.
Sultan Sharafuddin selalu mengingatkan Tengku Permaisuri Norashikin supaya memberi notis sekurang-kurangnya sehari awal jika memerlukan pemandu pada hari cuti kakitangan. Biasanya pada hari sedemikian, baginda berdua memandu sendiri kecuali jika ada majlis rasmi atau urusan penting memerlukan pemandu.
“Kadang-kadang Tuanku juga memandu sendiri, sudah tentu beta juga memandu sendiri,” titah Tengku Permaisuri Norashikin.
Bagi Tengku Permaisuri Norashikin, memandu sendiri bukan perkara asing, bahkan selepas menjadi Tengku Permaisuri Selangor, baginda kerap melakukannya. Paling diingati, baginda memandu ke upacara perkahwinannya sendiri.
Mudah tersentuh
Berpengalaman dalam dunia penyiaran selama 20 tahun, Tengku Permaisuri mudah menyelami denyut nadi rakyat. Malah, baginda mudah tersentuh apabila kejadian buruk menimpa rakyat.
Peristiwa Nur Athirah Abdul Latif, 23, gadis penghantar makanan yang kehilangan motosikal akibat dicuri pada 4 November lalu hingga menjejaskan mata pencariannya mendorong baginda menghulurkan bantuan. Tanpa menunggu lama, baginda menghadiahi motosikal baharu kepada gadis itu.
Selain itu, baginda juga melawat mangsa banjir di sebuah dewan di Klang bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Bukan sahaja menziarahi, baginda turut makan malam bersama mereka.
Baginda menyifatkan makan berlauk kari ayam, kobis goreng, ikan masin dan sambal pada malam itu sebagai hidangan paling bermakna pernah dinikmatinya.
Tengku Permaisuri Norashikin berharap keberangkatan baginda dan Tengku Amir untuk menghulur sumbangan memberi sokongan moral kepada mangsa banjir.
Dalam perjalanan pulang, Tengku Permaisuri Norashikin terkenang pengalamannya sendiri suatu masa dahulu tatkala rumah keluarganya dinaiki air.
“Sekurang-kurangnya ketika itu beta masih boleh tidur atas katil di bilik beta di tingkat atas berbanding mangsa banjir ini.
“Beta berdoa semoga banjir cepat surut supaya mereka dapat menjalani kehidupan normal kembali. Insya-Allah,” titah baginda mengenangkan nasib mangsa.
Ketika berangkat ke sebuah rumah kebajikan warga emas bersama Sultan Sharafuddin, awal-awal lagi Tengku Permaisuri Norashikin mengingatkan diri supaya mengawal emosi dan tidak mengalirkan air mata di depan penghuni.
Baginda juga sempat menyelami perasaan penghuni di situ. Mereka menyatakan kegembiraan tinggal di situ kerana ada bermacam-macam aktiviti dijalankan bersama rakan seusia.
Baginda gembira berikutan 36 penghuni hidup selesa, dijaga baik dengan pelbagai kemudahan seperti bilik fisioterapi, surau, bilik rekreasi dan lain-lain.
Pencinta haiwan
Keprihatinan baginda bukan sahaja sesama insan, bahkan turut mengasihani haiwan terutama kucing. Sifat itu mendorong baginda berkenan menjadi penaung diraja kempen Stray Free Selangor bagi membantu haiwan jalanan.
Tengku Permaisuri Norashikin pernah menzahirkan dukacita atas berita mengenai penganiayaan kejam terhadap seekor kucing di Gombak pada 2018.
Rentetan itu, baginda menghantar surat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar meminta mereka mengenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku agar perbuatan seumpamanya tidak berulang.
“Beta terkejut dan sedih dengan perbuatan menzalimi haiwan yang kian berleluasa. Sifat kemanusiaan seolah-olah telah hilang dalam diri pelaku sehingga sanggup menganiaya haiwan yang sedang sarat mengandung,” titahnya menerusi Facebook Selangor Royal Office.
Terbukti, baginda yang turut menjadi penaung diraja pelbagai badan kebajikan bijak menggunakan kedudukannya untuk berbakti kepada rakyat dan negeri.