Categories
SELANGOR

Sultan Selangor berkenan hadir Majlis Santapan Diraja sempena Hari Keputeraan ke-76

SHAH ALAM, 13 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan hadir ke Majlis Santapan Diraja sempena Hari Keputeraan Baginda ke-76 pada 10 Disember lalu.

Berdasarkan perkongsian Selangor Royal Office di Facebook, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut berangkat Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan barisan EXCO Kerajaan Negeri turut hadir majlis berkenaan.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin mengiringi Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Majlis Santapan Diraja sempena Hari Keputeraan ke-76. Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto Facebook Selangor Royal Office

 

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri ucap tahniah sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, 11 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merafak sembah ucapan tahniah sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-76 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

“Merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-76, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya.

“Semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dilanjutkan usia dan senantiasa (sentiasa) berada dalam limpahan rahmat dan maghfirah Allah SWT,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Bersempena Hari Keputeraan Sultan Selangor hari ini, seramai 87 individu menerima Darjah dan Bintang Kebesaran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB junjung kasih, tahniah kepada Sultan Selangor sempena Hari Keputeraan ke-76

SHAH ALAM, 11 DIS: Dato’ Menteri Besar  yang mewakili kepimpinan negeri dan rakyat jelata menjunjung kasih tahniah buat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena Hari Keputeraan Baginda ke-76 hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari mendoakan Sultan Sharafuddin dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT.

“Patik mendoakan agar Tuanku dan DYMM Tengku Permaisuri serta kerabat dikurnia dan dilimpahi rahmat, keberkatan, kemuliaan, keafiatan serta dipelihara keselamatan yang baik hendaknya.

“Doa sekalian rakyat juga untuk Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan seterusnya kepada puteri-puteri dan adinda-adinda tuanku, waris-waris serta kerabat diraja sekalian, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta sentiasa dalam perlindungan Allah SWT,” ucap beliau menerusi Facebook.

Menurut Amirudin, keprihatinan DYMM Tuanku terhadap kebajikan rakyat sentiasa menjadi inspirasi buat beliau dan seluruh pentadbiran kerajaan untuk tekun berusaha demi kesejahteraan penduduk dan kesentosaan negeri.

“Akhirul kalam patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan DYMM Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,”katanya.