Categories
BUDAYA RENCANA

Perjanjian Malaysia: Syor dan intipati 11 perkara

Perjanjian Malaysia ditandatangani antara Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura dengan United Kingdom (UK) pada 9 Julai 1963.

Asalnya dirancang berkuat kuasa pada 31 Ogos tahun itu, perjanjian ini bagaimanapun tertunda kepada 16 September 1963.

Perjanjian 11 perkara ini didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) oleh kerajaan UK pada 21 September 1970.

Selain itu, memorandum 20 perkara yang dikemukakan Sabah dan 18 perkara yang dicadang Sarawak dihantar kepada Jawatankuasa Antara Kerajaan sebelum perlembagaan digubal.

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada 1 Ogos 1962 hasil cadangan Suruhanjaya Cobbold, yang dibentuk 17 Januari tahun tersebut, bagi mendapatkan pandangan Sabah dan Sarawak sebelum mendirikan Malaysia.

Wartawan AFIX REDZUAN menyusun maklumat mengenai perjanjian maha penting ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Intipati perjanjian

1. Sabah, Sarawak dan Singapura disekutukan dengan Persekutuan Tanah Melayu dengan nama Malaysia

2. Persekutuan Tanah Melayu wajib menggubal Perlembagaan yang berkuatkuasa pada 31 Ogos 1963 (tarikh ini dikenali “Hari Malaysia” tetapi tertangguh kepada 16 September 1963)

3. UK bertanggungjawab mengubah perlembagaan Sabah, Sarawak dan Singapura sebagai negeri dalam Malaysia

4. UK wajib dapatkan penggubalan satu akta di parlimennya bagi lepaskan hak kedaulatan Ratu ke atas Sabah, Sarawak dan Singapura bermula pada “Hari Malaysia”

5. Persekutuan Tanah Melayu gubal akta bagi meminda skop imigresen untuk kemasukan ke Sabah dan Sarawak bersama peruntukan khas

6. Perjanjian Pertahanan Luar dan Bantuan Bersama antara Tanah Melayu dan UK pada 1957 diperluaskan bagi semua wilayah “Malaysia” dan kebenaran gunakan pangkalan tentera sedia ada

7. Persetujuan mengenai pembayaran saguhati kepada pegawai perkhidmatan awam UK terutama di Sabah dan Sarawak sebelum Hari Malaysia. Perjanjian Pegawai Awam ditandatangani antara UK dan Malaysia dengan persetujuan Sabah, Sarawak dan Singapura

8. Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak laksanakan segala syor, jaminan dan aku janji yang terdapat di dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang ditandatangani pada 27 Februari 1963

9. Lampiran J (Pasaran Bersama dan perkiraan kewangan) dijadikan sebagai perjanjian antara Tanah Melayu dan Singapura

10. Tanah Melayu dan Singapura jalankan kuasa-kuasa yang ada berkenaan siaran radio dan televisyen seperti Lampiran K

11. Perjanjian ini ditandatangani dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu tetapi setiap lampirannya hanyalah dalam Bahasa Inggeris

Syor penting Jawatankuasa Antara Kerajaan

Agama

– Islam agama rasmi persekutuan dikecualikan ke atas Sabah dan Sarawak

Bahasa

– bahasa Melayu diangkat bahasa rasmi persekutuan tetapi bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa rasmi Sabah dan Sarawak

Pendidikan

– pendidikan kekal bawah kawalan kerajaan persekutuan kecuali Sabah dan Sarawak sehingga Majlis Negeri membuat pindaan

Wakil di Parlimen

– 16 kerusi diperuntukkan kepada Sabah, 24 kerusi untuk Sarawak dan Singapura (15 kerusi) sebelum republik itu dikeluarkan pada 1965

Imigresen

– bidang kuasa bawah kerajaan persekutuan tetapi Sabah dan Sarawak diberi kuasa sendiri kendalikan hal-ehwal imigresen

Intipati memorandum 20 perkara

1. Agama (seperti dalam syor)

2. Bahasa (seperti dalam syor)

3. Perlembagaan digubal dengan persetujuan Sabah dan Sarawak

4. Ketua negeri di Sabah tidak layak dipilih ketua persekutuan

5. Nama persekutuan: Malaysia, bukannya Melayu Raya

6. Imigresen (seperti dalam syor)

7. Hak negeri berpisah daripada persekutuan tidak dibenarkan

8. Warga negeri Sabah dan Sarawak menyertai perkhidmatan awam dengan segera

9. Pegawai-pegawai British kekal sehingga anak tempatan layak ganti

10. Kewarganegaraan diberi kepada semua penduduk

11. Boleh mengurus kewangan sendiri termasuk tarif dan cukai

12. Hak istimewa bumiputera kekal seperti hak Melayu di Tanah Melayu

13. Kerajaan negeri: Ketua menteri seharusnya dipilih bukan Ahli Majlis Perundangan dan perlu satu sistem kementerian

14. Tempoh peralihan ditetapkan tujuh tahun dan kuasa perundangan pada Perlembagaan

15. Pendidikan (seperti dalam syor)

16. Perlindungan Perlembagaan

17. Wakil di Parlimen ikut saiz dan keupayaan Sabah dan Sarawak

18. Nama ketua negeri: Yang di-Pertua Negara

19. Nama negeri: Sabah

20. Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain ikut kuasa negeri

Semua perkara melibatkan Singapura dalam Perjanjian 1963 terbatal dan dimansuhkan apabila ia dikeluarkan daripada persekutuan pada 9 Ogos 1965

Categories
BUDAYA RENCANA

Semenanjung, Sabah, Sarawak berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah sentiasa menjadi cita-cita bersama semua wilayah ketika mendirikan Malaysia pada 1963. Ia dirakam dalam memorandum 20 Perkara, dokumen Perjanjian Malaysia dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan yang baharu.

Walau pengisytiharannya tidak berjaya diraikan bersama pada 31 Ogos tahun itu tetapi cita-cita pembentukannya tetap disemarakkan setiap kali sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Hari ini terus mengobarkan hasrat ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’.

Malaysia lahir di tengah pergolakan dunia pascapenjajahan sewaktu semangat kebangsaan bertarung memberi makna kemerdekaan daripada perspektif pertarungan ideologi Perang Dingin.

Wartawan NADIAH ZAMLUS menyusun fakta, peristiwa dan perkembangan penuh liku menjelang pembentukan Malaysia, bukan hanya di Sabah dan Sarawak tetapi juga persaingan kuasa serantau waktu itu.

 

Cadangan pembentukan

– pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj cadang gabung Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura namun sebelum itu sudah wujud idea untuk gabungkan wilayah geografi ini, antaranya:

1887 – ahli lembaga pengarah Syarikat Berpiagam Borneo Utara, Lord Brassey cadang gabung negeri Tanah Melayu, Singapura dan wilayah Borneo

1948 – pesuruhjaya besar United Kingdom di Asia Tenggara Malcolm Macdonald dan ahli Majlis Perundangan Singapura Thio Chan Bee kemuka cadangan sama

 

Faktor pembentukan

– bimbang dengan penularan komunis di rantau Asia Tenggara

– bantu Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei capai kemerdekaan lebih cepat

– kukuhkan ekonomi dan stabilkan politik di negeri terlibat

– pupuk perpaduan antara etnik bumiputera dan pelbagai kaum

Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia

– ditubuhkan 23 Julai 1961, pengerusinya Donald Stephen, pemimpin utama masyarakat Kadazan dan juga ahli Majlis Perundangan dan Eksekutif Sabah

– berfungsi terangkan konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei

– adakan empat mesyuarat: di Sabah pada Ogos 1961, Kuching (Disember 1961), Kuala Lumpur (Januari 1962) dan terakhir di Singapura (Februari 1962)

– jawatankuasa setuju kemuka memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold, yang ditubuh 17 Januari 1962, supaya dibuat tinjauan pandangan penduduk Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia

 

Sokongan

Singapura

– pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee Kuan Yew sahut cadangan Tunku Abdul Rahman bawa Singapura membentuk Malaysia

– gabungan bolehkan wilayah-wilayah berkembang pesat sebagai pusat perniagaan dan perdagangan terkemuka

– Parti Buruh Singapura setuju penggabungan itu walaupun berpandangan ia rumit dilaksanakan

Britain

– pada 1960, Perdana Menteri Britain Harold Macmillan gesa beri kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahan

– Malaysia akan jadi unit persekutuan besar dan penubuhannya dapat lawan pengaruh komunis yang semakin menular di Asia Tenggara

Sabah

– masyarakat Islam di Sabah terima gagasan Malaysia, antaranya melihat Tanah Melayu sebagai negara Islam besar

– Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), sebuah parti masyarakat Islam, menyokong penuh pembentukan Malaysia antaranya bendung ancaman komunis

– Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (Unko) menyokong pembentukan Malaysia tetapi dengan beberapa syarat

Sarawak

– Oktober 1962, Parti Negara Sarawak (Panas), Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa), Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) dan Persatuan Cina Sarawak (SCA) gabung bentuk Perikatan Sarawak

– lima parti ini berjuang untuk membentuk Malaysia

 

Suruhanjaya Cobbold

– ditubuh pada 17 Januari 1962, dipengerusi Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England

– dianggotai Mohd Ghazali Shafie dan Wong Pow Nee sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, sementara Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston wakil kerajaan Britain

– diwujud untuk tinjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak, suruhanjaya ini menemui lebih 4,000 orang dan menerima 2,200 memorandum pelbagai pihak antara Februari hingga April 1962

– hasilnya, 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah sokong penubuhan Malaysia

– menerima Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

– pada 21 Jun 1962, laporan Suruhanjaya Cobbold siap dan dikemukakan kepada kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu

– syorkan penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan

 

Bantahan

Filipina

– tidak senang Sabah membentuk Malaysia, Filipina putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia

– sejak awal 1962, presiden Diosdado Macapagal dakwa Sabah sebahagian wilayah Filipina dan warisan Kesultanan Sulu

Brunei

– Sultan Brunei Sultan Omar Ali Saifuddien bersetuju pada mulanya tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) bantah keras gagasan Malaysia pada Disember 1962

– PRB anggap persekutuan akan sedut hasil mahsul dan jajah Brunei untuk kepentingan diri sendiri

– PRB rancang merdekakan wilayah Borneo yang dikuasai Britain bagi tubuhkan Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) sebelum sertai gagasan Malaysia

– akhirnya sultan Brunei tolak rancangan Malaysia

Indonesia

– tentangan bermula pada akhir 1962 dan pembentukan Malaysia dianggap neokolonialisme

– Presiden Sukarno isytihar konfrontasi, lancar slogan Ganyang Malaysia pada 20 Januari 1963

– cuba gagalkan pembentukan Malaysia, antaranya ceroboh ruang udara di Sarawak dan Sabah serta serang nelayan di perairan Johor

– gunakan persidangan Afro-Asia burukkan Malaysia sehingga memaksa Tun Abdul Razak jelajah Afrika bagi jelaskan tohmahan Indonesia

Sabah

– Parti Bersatu, Parti Liberal dan Parti Pasok Momogun Bersatu (UPMP) tolak idea Malaysia

– bimbang penguasaan Melayu di negeri itu pada masa akan datang

Sarawak

– Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) tentang kerana bimbang Sabah dan Sarawak dikuasai Tanah Melayu

– enggan terima Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

 

Jawatankuasa Antara Kerajaan

– dibentuk pada 1 Ogos 1962 susulan syor Suruhanjaya Cobbold, ia dipengerusikan Lord Landsdowne dan timbalannya Tun Abdul Razak Hussein

– bertanggungjawab menyusun Perlembagaan Persekutuan baharu dan perlindungan khas untuk Sabah dan Sarawak

– Sabah dan Sarawak turut kaji keperluan sertai Malaysia dengan membuat beberapa tuntutan untuk menjaga kepentingan mereka

– Tuntutan 20 Perkara dari Sabah (18 Perkara dari Sarawak) antara syarat dua wilayah ini bentuk Malaysia

– Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963 di London dan pada 16 September pembentukan Malaysia menjadi realiti

– Brunei tidak tandatangan Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963 bersama Sabah, Sarawak dan Singapura

 

Pungutan suara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

– tentangan keras Filipina dan Indonesia dorong PBB hantar rombongan ke Sabah dan Sarawak untuk dapatkan pungutan suara antara 16 Ogos hingga 5 September 1963

– diketuai Lawrence Michelmore, rombongan ini mendapati majoriti rakyat Sabah dan Sarawak sokong gagasan Malaysia

– namun, laporan PBB ini lewat disiapkan, sebabkan pengisytiharan Malaysia yang dicadang pada 31 Ogos ditunda kepada 16 September 1963, dua hari selepas laporan siap

 

Pengisytiharan Malaysia

– upacara diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 1963

– Tunku Abdul Rahman isytihar Malaysia di hadapan 30,000 rakyat yang hadir untuk meraikan hari bersejarah tersebut

– Beliau laungkan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali berselang seli dengan laungan rakyat

– upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Ahmad Mohammad Said

– Singapura dikeluarkan daripada persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965

– pada 3 Jun 1966, Filipina dan Malaysia sambung semula hubungan diplomatik di bawah Presiden Ferdinand Marcos

– pada 11 Ogos 1966, Thailand perantara mendamaikan hubungan Malaysia dan Indonesia

– Perjanjian Malaysia yang mengandungi 11 Perkara didaftarkan di PBB oleh kerajaan UK pada 21 September 1970

Categories
AGENDA NASIONAL

Dari Klang ke Putrajaya, konvoi Proton Saga gamit nostalgia rakyat Malaysia

PUTRAJAYA, 16 SEPT: Sebanyak 45 kereta model awal Proton Saga berkonvoi sejauh 100 km dari Bukit Kapar, Klang menuju ke Putrajaya dan kembali semula ke Bukit Kapar sempena sambutan Hari Malaysia.

Pengerusi Kelab Saga 69 Bukit Kapar Ramlan Masron, 65, berkata seramai 100 ahli kelab itu turut menyertai konvoi yang memulakan perjalanan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

“Tujuan konvoi ni ialah untuk kita mempamerkan koleksi kereta Proton Saga yang dimiliki oleh ahli kelab kerana kita tahu ramai generasi muda yang pastinya teruja melihat kereta lama ini masih gagah membelah lebuh raya.

Kita juga mahu mengembalikan nostalgia yang mana Proton Saga ini merupakan kereta nasional pertama keluaran negara kita, Malaysia,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Proton Saga pertama kali dikeluarkan pada 9 Julai 1985, dua tahun selepas Proton ditubuhkan.

Tinjauan Bernama mendapati, orang ramai yang teruja melihat konvoi kereta lama lalu di hadapan mereka, bersorak sebagai tanda sokongan kepada rombongan itu.

Ada juga yang sanggup memperlahankan kenderaan masing-masing sebaik melintasi Bangunan Perdana Putra semata-mata mahu mencuci mata melihat “pameran” Proton Saga, selain ada yang memberhentikan kenderaan untuk bergambar di hadapan deretan kereta lama itu.

Ramlan berkata rakyat Malaysia perlu merasa bangga kerana kereta nasional pertama ini masih dijaga dengan baik oleh peminatnya walaupun perlu mengeluarkan belanja yang agak besar untuk tujuan baik pulih dan modifikasi.

Beliau berkata walaupun harga pasaran Proton Saga terpakai sekitar RM500 ke RM800 sebuah, namun kos sekitar RM20,000 diperlukan untuk memastikan kereta itu berfungsi dengan baik dan selamat.

“Kereta-kereta ini walaupun lama tetapi tidak mendatangkan masalah sepanjang perjalanan kami dari Bukit Kapar ke sini,” katanya, sambil menambah kelab mempunyai perancangan untuk berkonvoi ke Johor sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri kelak.

Ramlan berkata kelab juga memastikan tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara dipatuhi oleh semua ahli kelab sepanjang perjalanan ini.

“Kelab menyediakan makanan dan minuman untuk ahli dan mereka hanya boleh makan di dalam kereta masing-masing kerana kita tidak mahu mereka berkumpul sambil makan dan ia sekali gus akan menyebabkan pelanggaran SOP,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri titah rakyat bersatu, rai kepelbagaian

SHAH ALAM, 16 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor menyeru rakyat negeri ini terus bersatu padu ke arah membina negara bangsa yang maju.

Dalam titah sempena Hari Malaysia, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin mahu rakyat tanpa mengenal agama dan kaum hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Titah Baginda berdua disiarkan melalui Facebook Selangor Royal Office petang ini.

“Titah Baginda, sekiranya rakyat terus meraikan kepelbagaian dan mengukuhkan persefahaman, Malaysia akan mampu menempuhi apa jua masalah dan dugaan yang mendatang,” kata kenyataan itu.

Baginda berdua juga mahu setiap individu berusaha menyemai semangat patriotisme dan merasa bangga menjadi rakyat negara Malaysia yang tercinta.

Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan bersama Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Sungai Kandis santuni tiga kaum, tanda perpaduan rakyat

SHAH ALAM, 16 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menyerahkan 60 set makanan keperluan asas MyDapur dan kit kesihatan kepada tiga kaum sebagai simbolik perpaduan rakyat Malaysia.

Wakil rakyat Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata agihan kepada kaum Melayu, Tionghua dan India itu dibuat menerusi program Jelajah Hari Malaysia DUN Sungai Kandis ke Kampung Johan Setia, Taman Telok Menegon dan Taman Sri Andalas.

“Kita beri kepada tiga kaum ini sebagai tanda perpaduan dan simbolik sempena Hari Malaysia kerana kewujudan Malaysia adalah hasil kesepakatan seluruh kaum dan rakyat di negara ini.

Penduduk membawa pulang pek sumbangan ketika Program Malaysia N49 Prihatin DUN Sungai Kandis sempena Hari Malaysia di Kampung Johan Setia, Klang pada 16 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Semoga bantuan ini meringankan beban mereka disamping mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu, harmoni, menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain meskipun berbeza etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Jelajah Hari Malaysia DUN Sungai Kandis di pusat khidmat masyarakatnya hari ini.

Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengekalkan keharmonian yang telah dikecapi dan memupuk sifat berkasih sayang antara kaum.

“Dengan cara itu kita dapat hidup dalam keadaan yang aman dan damai di bumi Malaysia yang tercinta ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambut Hari Malaysia dengan kesatuan melawan Covid-19

KOTA KINABALU, 16 SEPT: Hari Malaysia yang disambut 16 Sept setiap tahun bagi memperingati penubuhan Malaysia, perlu disambut dengan semangat kesatuan khususnya ketika negara kini berdepan ancaman Covid-19.

Ketua Jabatan Kepimpinan Komuniti dan Berkeperluan Khusus, Institut Aminudin Baki, cawangan Sabah Carl Martin Albert berkata selain menganjurkan acara, kesatuan itu boleh ditunjukan dengan bersama mencegah Covid-19 dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Pelbagai cara kita boleh lakukan untuk menyemarakkan sambutan Hari Malaysia selain melakukan aktiviti yang mencerminkan keamanan dan keharmonian pelbagai kaum. Dalam situasi pandemik Covid-19 masa kini, kita dilarang untuk berkumpul dan melakukan aktiviti yang sering kita lakukan pada tahun-tahun lepas.

“Kita boleh menyemarakkan rasa cintakan negara dengan membantu kerajaan menangani Covid-19 dengan bersama patuh segala arahan atau SOP yang dikeluarkan dari semasa ke semasa, selain membantu kerajaan menangani situasi Covid-19 yang masih di tahap membimbangkan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Carl Martin berkata sambutan Hari Malaysia membawa satu makna yang besar dan perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan muda di Sabah.

“Kita perlu bersyukur kerana Sabah aman damai dan harmoni dalam Malaysia. Oleh itu kita perlu bersatu padu memastikan negara kita kekal aman dan harmoni, dengan berganding bahu melawan Covid-19 yang telah melemahkan negara khususnya dari segi ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pinahawaon Misson Madamin, 58, berkata walaupun sambutan Hari Malaysia tidak dapat disambut seperti tahun-tahun sebelum ini, namun banyak cara yang dapat dilakukan untuk menyemarakkan sambutan berkenaan.

“Di peringkat kampung penduduk haruslah sentiasa bersyukur kerana masih dapat hidup dalam suasana aman damai. Kita bukan sahaja boleh mengibarkan Jalur Gemilang, namun apa yang penting kita teruskan kehidupan secara harmoni dan hormat-menghormati antara satu dengan yang lain.

“Elakkan pergaduhan sesama kita dan jangan jadikan agama atau bangsa sebagai tembok atau penghalang untuk kita saling hormat-menghormati,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Lapasan Simon Ganjun, 60, berkata Sabah terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Oleh itu sempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini marilah kita bersama-bersama untuk terus kekalkan kerharmonian itu…jangan biarkan sedikit salah faham dapat mengganggu gugat keharmonian yang kita kecapi selama ini.

“Saya juga selalu menekankan kepada semua penduduk, khususnya di Kampung Lapasan yang terdiri daripada masyarakat suku kaum Dusun dan Bajau untuk saling hormat-menghormati agar keharmonian kampung terus kekal,” tambahnya.

Kampung Pinahawaon terletak di Inanam di sini, sekitar 10 kilometer dari pusat bandar raya Kota Kinabalu, manakala Kampung Lapasan terletak di Telipok dalam daerah Tuaran, kira-kira 30 kilometer dari Kota Kinabalu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hari Malaysia: Perspektif dahulu dan kini di Tawau

TAWAU, 16 SEPT: Sudut pandangan generasi terdahulu dan sekarang daerah pantai Timur Sabah iaitu Tawau mempunyai banyak perbezaan dengan pembangunan serta kehidupan masyarakat di daerah itu setelah 58 tahun bersama membentuk Malaysia

Bekas Ketua Daerah Tawau Kee Mohd Ayub Kee Abu Bakar, 72, berkata Hari Malaysia, diraikan saban tahun bagi memperingati penubuhan Malaysia, mengingatkannya kepada perjuangan generasi terdahulu yang mahu merubah kehidupan Sabah amnya Tawau ke arah lebih baik.

“Pada 16 Sept 1963, saya berusia 14 tahun, dan pada tarikh itu melalui radio saya mendengar pengumuman pembentukan Malaysia dengan gabungan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah serta Singapura yang hingga kini membawa kesan positif dalam banyak aspek termasuk ekonomi dan keselamatan.

“Kalau ada yang kata kita masih mundur itu silap, dulu saya ke sekolah naik basikal ke St Patrick dari Jalan Utara semua lihat pokok getah sahaja, tetapi kini setelah 58 tahun Tawau menjadi bandar serta dikenali hub pendidikan bagi pantai timur (Sabah),” katanya kepada Bernama di sini.

Kee Mohd Ayub berkata keselamatan Sabah juga terjamin dengan bukti awal apabila konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia kerana pembentukan Malaysia, yang kesannya turut dirasai di Tawau serta Pulau Sebatik, beratus anggota keselamatan dari Tanah Melayu dihantar ke sini.

“Askar Gurkha dihantar ke Tawau dan Pulau Sebatik, begitu juga Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) ditempatkan di Kalabakan, sehingga pada 29 Dis 1963 tercetus pertempuran antara pasukan keselamatan dengan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang menceroboh masuk melalui Kalabakan,” katanya.

Bagi Abd Mansah Abdul Samad, 44, pula Hari Malaysia itu mengingatkannya kepada kisah pengorbanan pasukan keselamatan serta kenangan terhadap bapanya, Abdul Samad Piatu sebagai anggota keselamatan Home Guard yang bertugas ketika peristiwa konfrontasi Kalabakan.

“Hanya ahli keluarga dan generasi lama Kampung Kalabakan tahu kisah mereka, ayah turut bertempur bersama tentera dan polis menentang TNI ketika peristiwa konfrontasi berlaku, ayah memberitahu dia bersama enam rakan lain serta seorang polis berada di Balai Polis Kalabakan sebelum diserang hendap oleh pihak TNI.

“Tanpa Home Guard mungkin Balai Polis Kalabakan sudah ditawan, bapa sanggup menggadai nyawa keluar dari tempat perlindungan untuk mengambil bekalan peluru dalam stor balai polis meskipun dihujani tembakan musuh, pengorbanan bapa sangat besar,” katanya yang menambah bapanya meninggal dunia pada 1979.

Abdul Mansah berkata selama 58 tahun Sabah berkembang meskipun tidak sepesat negeri lain namun kemajuan itu dapat dirasai hingga ke daerah pendalaman seperti Kalabakan, yang mana ia sudah mempunyai jalan raya berturap dari Bandar Tawau hingga ke Keningau, selain bekalan air bersih dan elektrik 24 jam.

Sementara itu, Hari Malaysia bagi Timbalan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tawau Komander Amiludin Yenggah adalah perjuangan memberi keselamatan kepada komuniti maritim di Tawau dengan memastikan 24 jam pemantauan serta pengawalan perairan daerah ini.

“Saya berharap seluruh anggota APMM Tawau memperoleh kekuatan menghadapi cabaran dalam menjalankan tugas semasa apatah lagi dengan berlakunya penularan Covid-19 ini.

“Pasukan kami bukan sahaja perlu menghadapi kemasukan pendatang tanpa izin di perairan Tawau tetapi terpaksa berhati-hati dengan penularan Covid-19 yang dibawa oleh pendatang, sepanjang terlibat dalam Op Cegah PATI (OCP), seramai 25 anggota Zon Maritim Tawau didapati positif Covid-19,” katanya.

Di samping itu, perspektif Hari Malaysia bagi Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tawau Dr Nurshazrah Najwa Zaini adalah optimis memerdekakan keluarga Malaysia daripada Covid-19 melalui program vaksinasi.

“Harapan lebih tinggi kerana hampir dua tahun petugas kesihatan berkorban tenaga dan masa melebihi tuntutan tugas demi memastikan mereka yang dijangkiti virus maut ini mendapat rawatan terbaik.

“Program vaksinasi dijalankan sejak April lepas dan petugas kesihatan masuk ke setiap pelusuk Tawau dan Kalabakan meredah hutan serta pulau untuk memberikan vaksin kepada penduduk,” katanya yang turut merasai bertugas di pusat pemberian vaksin Kampung Mentadak Pulau Sebatik.

Pulau Sebatik adalah kawasan pertama di Tawau mencapai imuniti kelompok dengan 98 peratus penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Lagu komersial ungkap rasa cinta kepada negara

Di sebalik dendangan rentak march setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, sebahagian lagu komersial juga mengungkap rasa cinta terhadap negara.

Daripada irama rege (raggae) hingga rap, dengan bait bermakna, semangat patriotik tetap utuh meski melodinya mendayu-dayu ataupun rancak.Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, lagu sedemikian malar segar di halwa telinga masyarakat hingga ke saat ini. Wartawan Nazli Ibrahim mengupas sebahagian lagu tersebut.

Selain itu, ada banyak lagi lagu bertema kecintaan kepada tanah air antaranya Warisan (Sudirman Arshad) dan Gemilang (Jaclyn Victor)

Semalam di Malaya

– Penyanyi asal Said Effendi atau nama sebenar Said Arrasyidi daripada Indonesia

– Diterbitkan pada 1961 sebelum jadi lebih popular selepas dinyanyikan kumpulan D’lloyd juga daripada Indonesia

– Ciptaan Saiful Bahri. Berasal dari Indonesia tetapi lama menetap di Malaysia

– Malaya merujuk kepada Tanah Melayu sebelum pembentukan Malaysia

Kita punya Malaysia

– Genre punk rock dendangan kumpulan Bunkface

– Ciptaan Sam, penyanyi kumpulan itu

– Diterbit khas untuk Hari Kebangsaan 2018. Juga dijadikan lagu rasmi sambutan tahun seterusnya

– Iramanya santai dan dekat dengan anak muda

 

Saya anak Malaysia

– Nyanyian dR Sam Rasputin atau nama asal Salim Ibrahim

– Album terbit pada 1986 bersama kumpulan Musafir

– Rentak rege, dicipta Datuk M Nasir.

– Lirik bersama dR Sam dan S Amin Shahab

– liriknya berunsur perpaduan dan kecintaan kepada negara, mengisahkan perjalanan berkelana di Eropah.

– Jadi siulan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak

 

Malaysia

– Nyanyian Faizal Tahir dalam album Rojak pada 2019

– Lagu dan lirik ciptaan beliau, Mike Chan dan Ezra Kong

– Diilham dari rasa rindu tanah air tatkala di luar negara

– Rakaman ambil masa setahun

– Turut rakam lagu Gemuruh dalam album Aku.Muzik.Kamu pada 2007

– Ciptaan Aubrey Suwito.Lirik lagu itu menunjukkan kecintaan kepada tanah air

 

Negaraku

– Nyanyian bersama Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Faizal Tahir

– Mereka turut menghasilkan lirik lagu irama rap itu. Ia berkisar cabaran membangunkan sesebuah negara merdeka

– Terbit sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada 2016

– Ciptaan Ezra Kong, Mike Chan dan Faizal Tahir

Categories
AGENDA NASIONAL

Rindu makanan kampung, dibayangi dialek cabaran anak Sarawak di Semenanjung

SHAH ALAM, 16 SEPT: Rindu makanan kampung, dibayangi dialek Sarawak antara rintangan ditempuh anak jati Bumi Kenyalang yang merantau ke Semenanjung demi mencari rezeki.

Berkongsi pengalaman itu, Abd Rayjal Abd Jalil berkata dia terpaksa membiasakan diri sarapan dengan nasi lemak ketika kali pertama jejak kaki ke Kuala Lumpur pada 2007.

“Kalau di Sarawak, setiap pagi saya akan cari laksa Sarawak dan mi kolok tetapi di sini (Semenanjung) makan nasi lemak, jadi perut tidak boleh proses makanan itu pada waktu pagi. Sekarang sudah terbiasa dan setiap pagi pasti akan ke restoran mamak untuk makan nasi lemak bersama teh tarik.

“Sejujurnya saya masih rindu dengan makanan Sarawak terutama Linut (makanan tradisional yang digemari kaum etnik Melanau). Setiap kali sebelum pulang ke kampung, saya akan hubungi emak supaya menyediakan makanan tersebut,” kata anak kelahiran Bintulu itu.

Menurut bekas pemain sayap pasukan Sarawak itu, dia berpindah ke ibu negara bagi merealisasikan cita-citanya sebagai pemain bola sepak dan ketika itu khidmatnya diperlukan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Abd Rayjal yang berusia 31 tahun berkata keadaan itu memaksanya untuk berkomunikasi dengan baik, namun mengakui janggal dan bukan mudah berikutan kerap tersasul dialek Sarawak.

“Persekitaran polis memang lain daripada yang lain. Disebabkan pasukan ini ada orang Melayu, Cina dan India, jadi mereka sedikit sebanyak membina semangat serta membuang perasaan takut saya walaupun mengambil masa dua hingga tiga tahun.

“Sememangnya pengalaman bermain bola sepak banyak di Semenanjung kerana saya ingin cuba bakat dan cabar diri,” katanya yang kini sudah bersara daripada sukan itu serta mengusahakan perniagaan di ibu kota.

Sementara itu, anak kelahiran Kuching, Hafizan Halim berkata dia sangat merindui laksa Sarawak dan mi kolok selain masakan air tangan ibunya selepas kali terakhir berpeluang merasai juadah tersebut dua tahun lepas.

“Sepatutnya memang setiap bulan saya akan pulang ke kampung halaman tetapi malangnya tidak boleh berbuat demikian disebabkan pandemik. Kalau dulu, sampai sahaja di Kuching benda pertama saya akan cari ialah laksa Sarawak,” katanya.

Mengimbau pengalaman sewaktu merantau ke Selangor pada 2004 untuk menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beliau mengakui terpaksa melatih diri selama empat tahun untuk menghilangkan dialek Sarawak.

“Kebanyakan rakan sebilik dari Utara jadi saya lebih terpengaruh dengan bahasa tersebut tetapi sebaik tamat pengajian pada 2008, saya melaporkan diri sebagai pelajar praktikal di sebuah syarikat penyiaran.

“Memandangkan tugas saya ketika itu sebagai hos dan wartawan penyiaran, jadi saya kena ubah dialek… langsung tak boleh ada,” katanya yang kini berkhidmat sebagai pengarah urusan di sebuah pusat sukan di Petaling Jaya.

Bagi Aisyah Idris yang hampir enam tahun menetap di Cyberjaya, dia mengatasi masalah dialek Sarawak dengan bercakap seorang diri di hadapan cermin selain menonton drama Melayu.

“Saya memang selalu tersasul dialek Sarawak, setiap kali bercakap mesti mahu selitkan sekali bahasa Sarawak. Semasa zaman belajar dulu, rakan sebilik asyik perli saya disebabkan dialek tersebut,” kata pekerja swasta yang berasal dari Sibu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hari Malaysia: Penduduk perlu bersama pelihara keamanan negara

SHAH ALAM, 15 SEPT: Rakyat perlu menghargai detik bersejarah penyatuan tiga entiti yang membentuk sebuah negara baharu bernama Malaysia dengan mempertahankan dan mengukuhkan keharmonian antara kaum.

Pengacara dan personaliti televisyen Rashid Salleh berkata tanpa gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak, rakyat tidak akan merasai kemajuan serta pembangunan seperti hari ini.

“Kita mesti ingat bahawa Sabah dan Sarawak adalah rakan membentuk nama dan negara Malaysia. Jadi, penting untuk semua rakyat mengekalkan serta mengukuhkan lagi perpaduan yang ada.

“Penyatuan ini sangat unik kerana kita hidup dalam satu keluarga besar yang terdiri daripada kepelbagaian kaum serta bangsa. Tidak kisahlah sama ada seseorang itu Melayu tetapi muka seperti Cina atau sebaliknya,” katanya

Beliau berkata demikian menerusi program borak santai ‘Oh Sarawak, apa khabar kitak? yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Pakar Psikiatri Hospital Miri, Sarawak Dr Ravivarma Rao menasihati masyarakat supaya memanfaatkan kemakmuran dikecap ketika ini untuk berkenalan dengan semua orang tanpa mengira kaum dan agama.

“Malaysia milik kita semua dan kita perlu berganding-bahu menjaga serta memelihara keamanannya. Kalau boleh kurangkan prasangka buruk sebaliknya lebihkan rasa ingin kenal dengan semua.

“Mungkin ada segelintir yang masih belum sedar bahawa Malaysia dihuni oleh masyarakat berbilang bangsa, namun saya harap mereka buka mata dan ambil peluang ini sebaiknya,” katanya.

Menyorot kembali perjalanan pembentukan Malaysia 58 tahun lalu, penubuhan negara membabitkan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Pengisytiharan itu dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 1963 dengan dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia dibacakan Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj di hadapan lebih 30,000 rakyat.

Bagaimanapun, pada 1965, Singapura menarik diri dari Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara Republik berikutan beberapa masalah politik dalaman.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

MB: Jangan alpa ancaman denggi, rakyat digesa jaga kebersihan

GOMBAK, 16 SEPT: Di sebalik usaha berterusan memerangi penularan Covid-19, rakyat di Selangor digesa memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kebersihan setempat bagi mencegah denggi.

Dato’ Menteri Besar berkata amalan gotong-royong perlu diteruskan secara kerap berikutan catatan kes demam denggi yang meningkat termasuk kadar kematian lebih tinggi berbanding pandemik tersebut.

“Ini bukan bermakna saya mengecilkan Covid-19 tetapi kita semua kena berhati-hati dan meningkatkan kesedaran supaya perebakan penyakit denggi dapat dikawal.

“Demi mewujudkan kehidupan sejahtera, semua harus memainkan peranan dengan menjaga kebersihan lokaliti khususnya di tempat pembiakan nyamuk aedes seperti plastik dan polisterina,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program gotong-royong Hari Malaysia yang dikelola Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 8 dan Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut menyifatkan aktiviti terbabit sebagai wadah merapatkan ukhwah melalui penglibatan pelbagai lapisan masyarakat di kawasan berkenaan termasuk sukarelawan Team Selangor.

Menurut data Jabatan Kesihatan Negeri sehingga minggu epid (ME) ke-37 antara 6 hingga 12 September lalu, Selangor merekodkan 36 kematian berbanding 47 bagi tempoh sama tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 23.4 peratus.

Jumlah kes demam denggi pula 37,778 kes berbanding 52,988 pada tahun lalu dengan lima daerah merekodkan angka tertinggi antaranya Petaling dengan 13,280 kes, Hulu Langat (7,723), Klang (6,366), Gombak (5,448) dan Sepang (2,144).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan seru rakyat kukuh perpaduan, keharmonian antara kaum

SHAH ALAM, 16 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat mengukuhkan perpaduan dan keharmonian antara kaum khususnya rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Rakyat sewajarnya mensyukuri kemakmuran dan keamanan yang dikecapi selama ini dan berusaha mempertahankannya daripada anasir-anasir negatif dari luar, demi kelangsungan bangsa Malaysia,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office sempena sambutan Hari Malaysia ke-57 hari ini.

Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Malaysia 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia.