Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Melaram gaya ceriakan sambutan Aidilfitri anak muda

Yang penting melaram. Sudahlah tradisi kunjung-mengunjung tidak digalakkan berikutan wabak Covid-19, asal dapat menggayakan baju raya, itu sudah memadai bagi kebanyakan anak muda.

Lebih seronok, aksi berbusana Aidilfitri digemari ramai berdasarkan reaksi balas pengikut di media sosial, selalunya Instagram.

Begitulah gelagat (trend) anak muda masa kini. Bergambar beramai-ramai dengan pelbagai liuk aksi atau berswafoto dengan gaya tersendiri. Mereka menggelarkannya OOTD atau outfit of the day (gaya hari ini).

Dengan kekangan perintah kawalan, tradisi kunjungan rumah ke rumah berganti kepada ‘kunjungan’ ke halaman media sosial. Masing-masing dengan busana raya, dihiasi aneka aksi, sesetengahnya dianggap jelek di mata masyarakat dewasa.

Bahkan, ada yang memuat naik hingga lima foto pakaian raya setiap hari demi meraih perhatian termasuk komen pengikut mereka.

Daki bukit

Bagi pempengaruh (influencer) Muhammad Nabil Ashraf Suhaimi, 26, beliau gemar memilih lokasi unik dan berimej hipster ketika menggayakan OOTD.

Pernah dua tahun lalu, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu mendaki Bukit Singa, Pulau Kipas ketika berhari raya di rumah keluarga angkatnya di Marang, Terangganu.

Beliau bersama bersama seorang lagi rakan mahu mengambil gambar berlatar keindahan semula jadi Bukit Singa dari puncak.

Mereka bertolak seusai solat sunat Aidilfitri ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah itu.

“Kami merancang untuk memakai baju Melayu tetapi niat terpaksa dibatal kerana memikirkan keadaan sukar akan dihadapi apabila mendaki.

“Jadi, kami mengenakan pakaian biasa ketika mendaki tetapi kami tetap membawa selimut sebagai prop OOTD,” katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Sedang asyik membuat OOTD, sebelah selipar penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam tersangkut di tepi dahan pokok. Nyaris jatuh ke laut.

“Alhamdulillah, masih panjang umur dan selipar itu selamat dibawa pulang. Paling penting dapat rakam gambar dengan berbagai-bagai sudut dan aksi,” katanya yang memiliki kira-kira 37,000 pengikut.

Meskipun hasrat menggayakan baju tradisional tidak kesampaian tetapi mereka tetap melunaskan misi OOTD di puncak bukit pada 1 Syawal. Foto itu pula mendapat reaksi positif pengikut mereka.

Anak sulung tiga beradik juga menjadikan Astaka Morocco di Taman Botani Putrajaya yang menyerupai di Marrakesh, Maghribi sebagai lokasi OOTD pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.

“Malangnya, kebanyakan gambar dirakam ketika itu kurang berhasil kerana benang seluar baju Melayu yang digayakan tertetas.

“Mungkin disebabkan gaya OOTD yang dibawakan waktu itu agak pelik. Saya duduk sambil meregang kaki kiri ke depan manakala kaki kanan ke belakang,” katanya.

Promosi baju Melayu

Penyelidik di Jabatan Perikanan Malaysia Mohamad Fathullah Ruslan, 29, pula sering menjadi pilihan pemilik jenama tempatan untuk mempromosi produk mereka.

Memiliki lebih 26,000 pengikut Instagram, beliau diberi kepercayaan untuk membuat ulasan berbayar pelbagai jenis produk terutama pakaian setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Lazimnya, saya buat ulasan adalah kurta dan baju Melayu untuk digayakan sebelum memuat naik OOTD ke Instagram,” katanya yang menjadikan hobi itu untuk menjana pendapatan sampingan.

Sejak lapan tahun lalu, beliau mencipta kandungan dalam bentuk foto dan video untuk dikongsi di Instagram dengan menceritakan pengalaman menggayakan produk bagi membangkitkan minat terhadap sesebuah jenama.

Beliau sentiasa memastikan setiap foto atau rakaman menonjolkan ekspresi muka (close up) sambil memperaga identiti produk.

“Keterangan gambar, tanda pagar dan waktu antara aspek perlu dipertimbang sebelum kandungan dimuat naik,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Selangor ucap selamat hari raya

Rozana Zainal Abidin
Permatang

Raikanlah Syawal dengan penuh keinsafan dan kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan. Kita masih berdepan dengan Pandemik Covid-19, justeru dalam kegembiraan menyambut perayaan, kita hendaklah sentiasa mematuhi SOP

 

Juwairiya Zulkifli
Bukit Melawati

Raikan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan serta berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan merekayang kurang bernasib baik. Moga puasa serta amal ibadah kita di bulan Ramadan diterima Allah SWT

 

Saari Sungib
Hulu Kelang

Selamat hari raya kepada seluruh warga Selangor. Diharapkan Aidilfitri ini kita saling berkerjasama, berkasih sayang dan saling hormat menghormati antara satu sama lain

 

Lee Kee Hiong
Kuala Kubu Bharu

Sebagai langkah memutuskan rantaian Covid-19, sambutan hari raya tahun ini akan secara sederhana dan bersama keluarga di rumah sahaja. Selamat Hari Raya Aidilfitri

 

Chua Wei Kiat
Rawang

Hari Raya merupakan salah satu hari yang paling menggembirakan dalam kalendar Islam dan diterjemahkan melalui kasih sayang, kesyukuran dan kerendahan hati. Biarpun dengan norma baharu semoga sambutan tahun ini akan mengukuhkan semangat kebersamaan untuk kekal berhubung dengan insan-insan tersayang. Salam lebaran

 

Mohd Sany Hamzan
Taman Templer

Sambutlah Aidilfitri kali ini dengan penuh keinsafan dan kegembiraan. Jangan leka di saat sedang bergembira serta sentiasa patuhi garis panduan ditetapkan. Bantulah mereka yang memerlukan dan elakkan pembaziran di musim perayaan. Selamat Hari Raya maaf zahir batin

 

Lai Wai Chong
Teratai

Pematuhan SOP dan norma baharu perlu menjadi keutamaan dalam kehidupan seharian kita terutamnya dalam menyambut Aidilfitri. Dengan rasa rendah diri, Salam Aidifitri maaf zahir dan batin

 

Halimey Abu Bakar
Seri Setia

Semoga Allah sentiasa merahmati kita sepanjang masa seusia hidup ini dan dijauhi dari segala mara bahaya serta penyakit berjangkit. Selamat Hari Raya Aidilfitri mohon maaf zahir batin

 

Harumaini Omar
Batang Kali

Semoga di sebalik pelbagai ujian dan norma baharu kita akan lebih teguh memperkukuh ikatan persaudaraan dan meraikan Aidilfitri dengan keinsafan

 

Ean Yong Hian Wah
Seri Kembangan

Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua muslim di Selangor. Semoga semua menikmati Hari Raya yang selamat bersama keluarga. Bagi yang tidak boleh balik raya tidak mengapa kerana anda semua ingin memastikan keluarga di kampung selamat

 

Edry Faizal Eddy Yusof
Dusun Tua

Daun kering jatuh berguguran,
Menguncup sipu daun semalu,
Meski terpisah dek peraturan,
Tetap di hati dekat selalu

 

Mazwan Johar
Sungai Ramal

Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya ini, SOP patut dipatuhi dan utamakan faktor kesihatan serta keselamatan agar kita dapat membendung pandemik.Semoga suasana lebih cerah dan ceria menanti kita di hadapan. Selamat Hari Raya Aidilfitri

 

Wong Siew Ki
Balakong

Telefon bimbit menjadi keperluan,
Mesyuarat atas talian norma baharu,
Meski raya kali ini masih berjauhan,
Hati tetap bersatu bersulam rindu.

Selamat Hari Raya Aidilfitri

 

Michelle Ng Mei Sze
Subang Jaya

Satu pelajaran bagi semua warga Malaysia akibat Covid-19 adalah kesederhanaan. Walaupun Syawal belum dapat dirai seperti dahulu, namun saya yakin bahawa kita semua masih dapat cari makna daripadanya. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir batin

 

Syamsul Firdaus Supri
Taman Medan

Ramadhan berlalu Aidilfitri menjelma. Kemenangan merentasi ujian ketaatan kepada Maha Pencipta dalam melaksanakan perintah Allah. Kita terus berdoa agar Covid-19 segera berakhir

 

Najwan Halimi
Kota Anggerik

Menjelang kehadiran Syawal, saya menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam. Semoga Allah menerima segala amalan ibadah kita di dalam bulan Ramadan. Pastikan kita mematuhi SOP bagi mencegah penularan Covid-19

 

Lim Yi Wei
Kampung Tunku

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Selangor. Semoga Hari Raya membawa perkara yang baik-baik untuk kita semua

 

Jamaliah Jamaluddin
Bandar Utama

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan memohon maaf zahir batin serta menasihati semua supaya meraikan Aidilfitri sambil menjaga SOP. #KitaMasihJagaKita

 

Rajiv Rishyakaran
Bukit Gasing

Harap semua menyambut Hari Raya kali ini dengan selamat kerana pandemik Covid-19 masih berada dalam kalangan kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang beragama Islam

 

Elizabeth Wong Keat Ping
Bukit Lanjan

Sesunguhnya masa ini mengajar kita nilai kehidupan yang sebenar dan kepentingan nilai kekeluargaan. Dalam keriangan menyambut kehadiran Syawal yang mulia ini, jangan lupakan mereka yang hidup serba kekurangan.

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Maaf zahir batin

 

Shatiri Mansor
Kota Damansara

Salam Aidilfitri buat seluruh warga Kota Damansara, Subang Bestari, Kampung Melayu Subang, Subang Perdana, Permai dan sekitar. Semoga sentiasa sihat dan tetap bersama kami.Maaf zahir batin

 

Fakhrulrazi Mokhtar
Meru

Salam Aidilfitri. Semoga tarbiah Ramadan selama sebulan menjadikan kita insan yg lebih bertaqwa. Salam Aidilfitri dan maaf zahir batin

 

Azmizam Zaman huri
Pelabuhan Klang

Berakhir sudah ibadah puasa,
Kini Syawal berkunjung tiba,
Bulan mulia membawa bahagia,
Mengikat kasih sesama saudara,
Ampun dan maaf ikhlas dipinta,
Semoga diberkati semua usaha,
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin

 

Leong Tuck Chee
Pandamaran

Selamat Hari Raya Aidilfitri, semoga semua meraikan lebaran ini dengan mematuhi SOP. Bersama mencegah Covid-19, sayangilah keluarga anda

 

Dr Gunaraj George
Sentosa

Semoga ibadah sepanjang Ramadan ini diberkati Tuhan. Kami mendoakan dan mengharapkan agar semua dikurniakan kesejahteraan supaya dapat menyambut perayaan ini dengan penuh kegembiraan serta bahagia bersama yang tersayang. Ampun maaf jika ada salah silap.

Selamat Hari Raya Aidilfitri

 

Lau Weng San
Banting

Syukur kita menyambut Ramadan dan Syawal dalam keadaan yang sederhana yang jauh lebih baik berbanding tahun lepas. Biarpun begitu, kita tidak boleh leka dan perlu senantiasa mematuhi peraturan serta SOP

 

Hasnul Baharuddin
Morib

Tahun ini sekali lagi kita terpaksa meraikan raya di tengah pandemik Covid-19. Terus patuhi SOP serta arahan melarang merentas negeri. Selamat Hari Raya, maaf zahir batin

 

Ronnie Liu
Sungai Pelek

Hidup di dunia dihias cabaran,
Menguji hati mengingatkan peranan,
Selamat menyambut hari lebaran,
Patuhi SOP yang telah diarahkan.
Salam Aidilfitri maaf zahir batin

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM hantar pulang pelajar sempena Aidilfitri mulai Jumaat

SHAH ALAM, 3 MEI: Penghantaran pulang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke rumah masing-masing sempena sambutan Aidilfitri akan bermula Jumaat ini hingga 12 Mei dengan jangkaan melibatkan lebih 16,000 pelajar dari seluruh kampus.

Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menyediakan lebih 200 kenderaan melibatkan bas, kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kereta untuk melancarkan pergerakan pelajar ke seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, penghantaran pulang pelajar akan melibatkan keseluruhan 30 kampus dengan disertai lebih 700 kakitangan.

“Pihak UiTM akan mengagihkan bilangan kenderaan yang diperlukan oleh semua kampus mengikut zon setelah kesemua pelajarnya melengkapkan borang selidik yang telah diedarkan,” menurut kenyataan itu.

Proses penghantaran pulang pelajar turut melibatkan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej serta pelbagai jabatan bagi memastikan kelancaran dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Bagi pelajar yang memilih untuk terus tinggal di kampus, pihak UiTM akan terus menyantuni mereka sebaik mungkin agar suasana Aidilfitri turut diraikan bersama-sama, menurut kenyataan terbabit.

Categories
AGENDA NASIONAL

Air mata banduan iringi takbir raya

MARANG, 26 MEI: Walau tabah dan kental jiwa seseorang banduan, air mata mereka tetap tumpah tatkala mendengar takbir Hari Raya Aidilfitri, saban tahun.

Pengalaman itu dikongsi Penguasa Penjara Marang, Ahmad Nazri Mohamad kepada Bernama baru-baru ini, setelah berkhidmat selama 32 tahun dan 16 kali menyambut Syawal bersama banduan.

Katanya, hari raya pertama adalah episod paling sayu terutama kepada banduan baharu kerana mereka tidak pernah terkurung dan terpisah dengan keluarga, namun banduan lama juga adakala berada dalam situasi sama kerana takbir hari raya membangkit ‘aura’ berbeza.

“Kebiasaan kita melihat mereka bergurau, beriadah dan sebagainya tetapi pada hari raya, terutama pada pagi raya apabila mendengar takbir raya berkumandang, kita akan dapat lihat wajah yang sayu. Masing-masing akan teringat pada keluarga, isteri dan anak-anak.

“Kerinduan itu tidak boleh dinafi walaupun disembunyikan. Sebagai pegawai penjara kita bertanggungjawab untuk menceriakan mereka supaya ia tidak memberi kesan kepada keselamatan,” katanya.

Menurut Ahmad Nazri, dalam tempoh perkhidmatan selama 32 tahun tersebut, beliau telah menyambut hari raya di dua buah penjara berasingan iaitu di Penjara Marang dan Penjara Simpang Renggam, Johor.

Kebiasaannya pada hari raya pertama, banduan beragama Islam akan dibawa ke surau untuk bertakbir dan solat sunat hari raya sebelum menjamah sarapan serta kembali ke tempat tahanan masing-masing.

Tidak seperti tahun sebelum ini, banduan kini tidak dibenarkan menerima kunjungan kaum keluarga ekoran langkah pencegahan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Biasanya pada pagi raya itu mereka (banduan) akan datang berkongsi cerita. Ketika itulah kita (pegawai) akan memainkan peranan dan memberi nasihat bahawa bukan semua orang dapat merasa gembira dan ada masa kita akan alami masa sukar,” katanya.

Sementara itu, salah seorang banduan, Azizul, 25, berkata tahun ini memberi pengalaman ketiga kepadanya dalam menyambut Aidilfitri di penjara, namun takbir raya tetap membuat hatinya pilu dan teringat kenangan bersama keluarga.

Azizul berkata walau bagaimana sedih sekalipun, dia tetap perlu menerima hakikat bahawa ia adalah realiti yang harus dihadapi kerana hukuman yang perlu dijalaninya masih panjang iaitu selama 56 tahun dan 23 sebatan ekoran merogol teman wanitanya yang berstatus juvana.

“Setiap kali mendengar takbir raya, air mata mesti mengalir. Teringat pada arwah ayah…padahal masa di luar (sebelum masuk penjara), ia bagai suatu perkara biasa. Saya betul-betul sedih.

“Di sini saya banyak mengaji al-Quran dan belajar agama. Saya rasa itu sahaja yang dapat meredakan perasaan kesal. Saya betul-betul insaf…tak mahu lakukan kesalahan ini lagi,” katanya dalam nada sebak dan sempat menyatakan mahu belajar membuat songket di penjara.

Azizul yang mempunyai fizikal dan raut wajah kacak itu berkata setiap kali ibunya berkunjung ke penjara, dia akan diingatkan untuk solat dan berkelakuan baik serta reda dengan apa yang telah berlaku.

Kata-kata itu menjadi pegangan hidupnya kini dan dia turut menasihati orang lain supaya menjauhi pergaulan bebas kerana ia mampu menjadi punca melakukan kesilapan sepertimana dirinya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Raikan Aidilfitri ikut kebiasaan baharu

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Budaya saling berkunjung sudah menjadi amalan dalam masyarakat Islam pada sambutan Aidilfitri sepanjang bulan Syawal, bertepatan dengan konsep rumah terbuka dan menerima kunjungan tetamu.

Bagaimanapun, tahun ini, tradisi tersebut terpaksa dikorbankan dengan kebiasaan baharu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ini termasuk amalan balik kampung di musim perayaan terpaksa dilupakan kerana sekatan pergerakan rentas negeri selain budaya kunjung mengunjung hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dan ia terhad kepada 20 orang ahli keluarga terdekat.

Selain itu, amalan menziarahi kubur juga perlu dielakkan dan bilangan jemaah bagi solat sunat Aidilfitri dihadkan di masjid.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerjasama orang ramai dalam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika menyambut 1 Syawal amat diperlukan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

Namun, kesedaran masyarakat dalam memutuskan rantaian penularan Covid-19 masih utuh, apabila kaji selidik Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Mei lepas menunjukkan sebanyak 74 peratus daripada 215,712 respondennya memilih untuk tidak menerima tetamu sepanjang sambutan Aidilfitri.

Malah, sebanyak 20 peratus sahaja memilih untuk membenarkan Aidilfitri disambut dengan saudara-mara terdekat bukan daripada kediaman sama manakala hanya enam peratus memilih untuk menyambut bersama saudara-mara jauh serta jiran tetangga.

Meskipun kajian itu menunjukkan rakyat memilih untuk menyambut Aidilfitri dengan cara selamat, ia tidak bermakna sebahagian kecil yang sudi menerima tetamu berkunjung ke rumah boleh sewenang-wenangnya berjalan ke sana ke sini tanpa mengira batasan.

Orang ramai juga diingatkan dalam keterujaaan menyambut 1 Syawal, jangan melangkau batasan sehingga pihak berkuasa berkunjung ke rumah anda kerana didapati melanggar SOP.

Ini berikutan polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus membuat rondaan tanpa mengira waktu dalam musim tersebut dan jika didapati banyak kenderaan di luar rumah, mereka akan memeriksa kediaman berkaitan daripada segi jumlah orang yang berada di dalamnya.

Seperti yang dimaklumkan oleh pelbagai pihak sebelum ini, raikanlah Hari Raya pada tahun ini dengan cara yang tertutup di rumah masing-masing dengan ahli keluarga dalam rumah yang sama sahaja.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Norma baharu belanja sambut Aidilfitri

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Berbaki kurang seminggu, umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan 1 Syawal yang dijangka diraikan hujung minggu ini, pada 24 Mei.

Kebiasaanya, inilah waktu paling sibuk bagi masyarakat Islam di Malaysia untuk membuat segala persiapan akhir menjelang Aidilfitri.

Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di ibu negara antara lokasi wajib yang dikunjungi untuk berbelanja, membeli segala persiapan Aidilfitri sama ada pakaian, kuih-muih, biskut raya mahupun perhiasan rumah.

Bagaimanapun, senario tahun ini ternyata berbeza. Lokasi tumpuan di Kuala Lumpur agak lengang walaupun ada premis yang menjual barangan persiapan hari raya beroperasi semenjak kelonggaran diberikan kerajaan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu.

Menariknya, normal baharu dalam masyarakat membolehkan rakyat Malaysia berjimat ketika menyambut perayaan. Apa yang lebih penting, senario sebegini turut mengubah corak perbelanjaan dan penggunaan individu isi rumah berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Norlin Khalid berkata, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) baru-baru ini mendapati dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga 3 Mei lalu, gaya perbelanjaan rata-rata individu isi rumah telah berubah secara keseluruhannya dengan tumpuan kepada hanya barangan perlu dan penting.

Bercakap kepada Bernama, Norlin berkata perbelanjaan barang makanan dan minuman yang meliputi bahan mentah masakan meningkat sebanyak 27 peratus kepada purata RM924 per individu isi rumah berbanding RM726, sebelum penguatkuasaan PKP.

Perbelanjaan untuk bahan tahan lama seperti pakaian dan peralatan rumah pula menurun dengan drastik masing-masing kepada 95 peratus dan 58 peratus.

Sementara itu, perbelanjaan pengangkutan awam dan persendirian turut menyaksikan penurunan drastik sebanyak 89 peratus iaitu dari RM553 per individu isi rumah kepada RM61 berbanding sebelum PKP.

Keadaan ini, menurut beliau, bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan PKP menyebabkan ramai memilih duduk di rumah dan bekerja dari rumah, ditambah pula sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah.

Norma baharu berbelanja

Malah, kesan pandemik Covid-19 menyebabkan individu isi rumah banyak berbelanja bagi pembelian barangan kesihatan seperti pelitup muka serta produk sanitasi pencegah kuman.

Ketiadaan bazar Ramadan, bufet Ramadan di hotel-hotel dan restoran menyebabkan kebanyakan umat Islam memilih untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa di rumah.

Meskipun, ketika tempoh PKP dan PKPB menyaksikan semakin banyak wujudnya khidmat penghantaran makanan seperti e-bazar yang semakin popular dalam kalangan pengguna kini, namun isi rumah didapati tetap mengutamakan pembelian barangan makanan perlu sahaja.

Suasana lengang dua buah gerai pakaian yang menjual tudung sempena sambutan Aidilfitri walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan ketika tinjauan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada 12 Mei 2020. Foto BERNAMA

“Jika dahulu orang ramai banyak berbelanja membeli juadah berbuka di bazar-bazar Ramadan sehingga ada yang berbelanja secara berlebih-lebihan sehingga berlakunya pembaziran makanan. Kini situasi itu tidak berlaku,” katanya.

Memandangkan sambutan hari raya kali ini akan berlangsung dalam keterbatasan PKPB ditambah pula larangan pergerakan rentas negeri yang tidak membenarkan umat Islam pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, ia sekali gus akan memberi kesan positif terhadap corak perbelanjaan isi rumah.

“Sudah tentu dengan sambutan norma baharu ini, ada yang dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu membuat perbelanjaan persiapan yang biasanya sangat tinggi pada musim perayaan seperti membeli baju raya, memberi duit raya, penyediaan masakan dan kuih raya untuk tetamu mahupun membeli perabot baharu serta barangan menghias rumah,” katanya.

Justeru, katanya pengguna harus bijak menggunakan duit lebihan yang ada untuk keperluan yang lebih penting berbanding persiapan bermusim bagi menyambut Aidilfitri.

“Dalam situasi Covid-19 kini yang belum diketahui penamatnya, amatlah penting individu isi rumah membuat perancangan simpanan kecemasan untuk masa hadapan,” katanya menambah krisis Covid-19 tidak diketahui berapa lama ia akan berlanjutan dan sejauhmana ekonomi boleh bertahan.

Rancang kewangan dengan baik

Menurut Norlin langkah Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan moratorium automatik selama enam bulan bagi semua pembayaran semula pinjaman, berupaya untuk meningkatkan kecairan bagi peminjam individu isi rumah.

Orang ramai mematuhi jarak selamat satu meter ketika membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal Covid-19 di Pasaraya Harian Bhuiyen, Bandar Tun Razak, Cheras pada 24 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Apabila adanya simpanan atau lebihan pendapatan boleh guna, individu isi rumah dapat membuat perancangan kewangan semula agar dapat mengurangkan beban hutang, katanya.

“Dengan menyelesaikan hutang-hutang yang mempunyai kadar faedah yang secara relatifnya lebih tinggi seperti hutang kad kredit dan hutang peribadi….individu dapat mengurangkan komitmen hutang bulanan yang perlu dibayar selepas berakhirnya moratorium nanti,” katanya.

Bukan itu sahaja, kecairan wang tersebut boleh dijadikan modal untuk perniagaan, pelaburan atau membeli eset yang dapat memberikan jangkaan pulangan masa depan yang lebih tinggi.

Keadaan ini sangat bersesuaian rentetan penurunan Kadar Dasar Semalam (OPR) terendah dalam tempoh 10 tahun oleh BNM iaitu ke paras 2 peratus baru-baru, sekali gus menggambarkan kos pinjaman kini semakin berkurang, katanya.

Sambil menasihatkan pengguna agar bijak menguruskan kewangan agar mempunyai simpanan kecemasan, Norlin berkata data terkini DOS menunjukkan bahawa kadar pengangguran telah meningkat kepada 3.9 peratus pada April lalu berbanding 3.3 peratus pada Mac 2020.

“Ini jelas menunjukkan mengapa perlunya setiap individu isi rumah berbelanja mengikut keperluan dan sentiasa cakna serta bijak dalam perancangan dan pengurusan kewangan,” katanya

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Umat Islam di Malaysia sambut Aidilfitri Rabu ini

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu ini, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam ini.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Rabu, 5 Jun 2019,” katanya.

Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran televisyen tempatan. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Harga Ayam Naik : Menteri Minta Ubah Selera, Rakyat Terus Tertekan

harga-daging-ayam

SHAH ALAM 17 JULAI : Kenaikan harga ayam di pasaran ketika ini terutama menjelang sambutan Aidilfitri mengundang resah di kalangan rakyat Selangor yang merasa terbeban dengan isu tersebut.

IMG_0990

Malah saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hassan Malek supaya orang ramai ‘menukar’ selera kepada menu lain seperti ikan dan daging dalam usaha mengekang kenaikan harga ayam, tidak boleh diterima kerana kerajaan sewajarnya mengelak kenaikan harga itu.

Seorang peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Johari Josi, 40, berkata, jika dibandingkan dengan negara lain, rakyat Malaysia adalah di antara yang teramai mengemari dan memilih ayam sebagai makanan pilihan.

“Jadi untuk memboikot dan menukar selera kepada makanan lain, bagi saya sukar. Sebelum membuat kenyataan, saya harap menteri bertanya atau meninjau dulu pendapat orang ramai.

IMG_0998

“Semacam ada pihak yang mengambil kesempatan dalam isu ini. Saya harap kerajaan memantau harga ayam selain mengurangkannya kerana tidak lama lagi masyarakat Islam iaitu majoritinya orang Melayu akan merayakan Aidilfitri pastinya ayam akan dibeli dengan banyak,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Seorang pengguna dari Sungai Buloh, Musral Dharno, 50, menjelaskan kenaikan harga ayam sukar diterima dan ia memberi tekanan kepada orang ramai untuk berbelanja.

Katanya, kerajaan Persekutuan perlu bertindak segera menangani masalah itu sebelum ia menjadi semakin sukar kepada rakyat.

“Ia bebankan rakyat. Saya harap harga ayam diturunkan kembali macam biasa. Saya yakin orang ramai yang lain juga susah untuk bertukar selera kepada makanan lain. Harga ikan dan daging pun lebih kurang mahal juga,” kata bapa kepada empat anak itu.

Peniaga pakaian, Nurul Abdul Rahman, 27, turut sependapat dengan mengatakan ayam adalah makanan kegemarannya.

“Nak tukar kepada makanan lain, susahlah memang tak boleh. Saya mesti makan ayam.

IMG_0992

“Bila harga naik, memang jadi beban kepada saya. Saya harap harganya turun macam biasa tambahan nak Aidilfitri ni. Saya rasa orang lain pun suka ayam mungkin menteri pun suka,” katanya.

Hasaan dalam laporan media mengajak orang ramai ‘menukar’ selera daripada memakan ayam kepada menu lain seperti ikan dan daging sebagai usaha mengekang kenaikan harga ternakan itu.

Beliau berkata langkah itu dianggap perlu memandangkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dengan menaikkan harga ayam sewenang-wenangnya.

Harga ayam sebelum ini di sekitar RM6.50 hingga RM7.00 naik mendadak melebihi RM7.50 iaitu RM8.00 hingga RM9.00.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih Banyak Lagi Surau Selangor Akan Dinaiktaraf Ke Masjid

sallehin bazarena ramadan malawati 01

SHAH ALAM 14 JULAI : Kerajaan Selangor akan menaiktaraf lebih banyak lagi surau-surau di seluruh negeri bagi membolehkan lebih ramai penduduk Islam menunaikan Solat Jumaat.

Exco Hal Ehwal Agama, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, masjid-masjid yang sedia ada belum dapat menampung kira-kira tiga juta penduduk Islam Selangor untuk menunaikan Solat Jumaat dalam keadaan selesa.

Katanya, masjid di Selangor tidak dapat menampung jumlah umat Islam yang besar sehinggakan ada yang solat di luar kawasan masjid dalam keadaan kurang selesa.

“Rakyat yang berugama Islam di Selangor adalah kira-kira 3 juta orang dengan lelakinya adalah 1 juta maka setiap masjid secara puratanya perlu menampung lebih 1,800 orang.

“Jika sesuatu kawasan itu kurang kemudahan maka kerajaan Selangor akan membina masjid bagi memudahkan jalannya untuk pembinaannya.

“Maka jika di sesuatu kawasan itu juga ada surau yang boleh dinaiktarafnya menjadi masjid maka kerajaan negeri akan membantu usaha itu bagi memudahkan masyarakat,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian Program “Kariah Ramadhan Perdana” di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 di sini.

Karnival ibadah besar-besaran “Kariah Ramadhan Perdana” dianjurkan Kerajaan Selangor dari 11 Julai hingga ke 5 Ogos dengan tema “My Best Ramadhan”.

Karnival itu yang diadakan di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 Shah Alam itu bermula dengan Majlis Tazkirah Ramadhan pada jam 6.00 petang.

Turut diadakan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah yang akan diimamkan oleh Imam Hafiz dan bilal khas dan beberapa orang Imam daripada Syria.

Majlis berbuka dan moreh untuk 500 orang turut diadakan pada setiap malam.

Setiap hujung minggu pula akan diisi dengan Program Gamitan Syahdu Ramadhan yang memaparkan zikir munajat, selawat dan kuliah perdana oleh penceramah terkenal.

Turut diadakan Bazar Ramadhan Mega anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam yang juga menyediakan jualan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.