Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Harimau kumbang jantan serang anggota Perhilitan ditembak mati

IPOH, 10 DIS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak terpaksa menembak seekor harimau kumbang jantan yang menyerang kakitangan agensi terbabit di Kampung Kelatap, Pos Perwor di sini semalam.

Perhilitan memaklumkan tindakan pantas melepaskan tiga das tembakan dan mengenai harimau itu sebagai langkah mempertahankan keselamatan petugas yang telah diserang berhampiran kawasan semak di kebun getah, kira-kira pukul 8.30 pagi.

Katanya ketika kejadian berlaku, anggota berkenaan sedang memasang perangkap ekoran kejadian lelaki Orang Asli berusia 18 tahun cedera diserang binatang buas itu pada Rabu.

“Empat kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput telah menemui Tok Batin Pos Perwor di lapangan bagi mendapatkan maklumat terperinci dan menunjukkan lokasi kejadian serta turut membawa perangkap bersesuaian bagi menangkap hidupan liar tersebut.

“Setelah ditunjukkan lokasi kejadian, mereka mula menjejaki kesan-kesan yang ada dan telah menemukan beberapa kesan tapak dipercayai harimau dan kesan darah yang masih baharu pada rumput dan daun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, hasil penelitian pada bangkai harimau kumbang berkenaan didapati ia dalam lingkungan usia sembilan dan 10 tahun dan terdapat banyak kesan kecederaan dipercayai tetakan parang pada kepala dan paha harimau kumbang berkenaan semasa pergelutan dengan mangsa Orang Asli.

“Turut ditemukan pada karkas atau bangkai, seutas jerat dawai kabel di kaki kanan belakang. Kami percaya kecederaan pada kaki kanan belakang akibat terkena jerat dawai kabel menyebabkan harimau kumbang berkenaan menjadi agresif dan menyerang manusia.

“Sehubungan itu, PerhilitanĀ  menyeru orang ramai agar menghentikan perbuatan memasang jerat hidupan liar kerana ia akhirnya mengundang bahaya kepada manusia selain menzalimi hidupan liar,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, bangkai harimau kumbang berkenaan dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput dan akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) untuk proses bedah siasat.

“Penduduk kampung dinasihatkan agar sentiasa membersihkan kawasan tanaman dan kebun serta tidak dibiarkan bersemak sebagai langkah untuk mengurangkan kehadiran hidupan liar di kawasan berkenaan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiada laporan harimau kumbang berkeliaran di Semenyih – Perhilitan

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Tiada laporan dibuat mana-mana pihak berhubung seekor harimau kumbang yang dilihat berlegar di sebuah kawasan didakwa Semenyih yang videonya tular, menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor.

Pengarahnya, Haidar Khan Mokbolhassan berkata setakat ini, pihaknya belum dapat mengesahkan kesahihan video berkenaan kerana terdapat pihak mendakwa lokasi video itu adalah di Negeri Sembilan atau Melaka.

“Bagaimanapun, pada masa sama pihak Perhilitan Selangor akan memantau kawasan yang dikatakan dilihat harimau kumbang berkenaan berkeliaran,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi memberitahu sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil membuat laporan mengenai video berkenaan.

Semalam, tular satu video berdurasi 23 saat menunjukkan kelibat seekor harimau kumbang berlegar di sebuah kawasan didakwa di Beranang, Semenyih.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Gergasi Merah perlu pamer aksi bertenaga tentang Harimau Kumbang

SHAH ALAM, 18 MAC: Pemain Selangor perlu meneruskan aksi bertenaga apabila turun menentang Penang FA di laman sendiri pada Sabtu.

Pengurusnya berkata kebolehan mengikat juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 membuktikan kemampuan pasukan itu untuk melakar kejutan dalam saingan Liga Super tahun ini.

“Pemain semakin serasi dengan taktikal ketua jurulatih dari Jerman, Karsten Neitzel selain semangat berpasukan tinggi ketika mengatur serangan dan juga bertahan.

“Rentak ini perlu diteruskan, pemain perlu yakin dengan kemampuan dan kebolehan diri sendiri, ini kunci kejayaan,” kata Mahfizul Rusydin kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, Selangor FC merentap ego juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut apabila berjaya mengutip satu mata pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.

Gol Gergasi Merah dijaringkan penyerang import, Ifedayo Olusegun seawal minit keenam sebelum penyerang JDT, Bergson da Silva menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Penjaga gol Khairul Azhan Khalid muncul wira selepas berjaya menyelamatkan sepakan penalti Bergson pada minit ke-78.

Selangor kini menduduki tempat kelima menerusi satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Harimau kumbang takutkan penduduk Dungun

KUALA TERENGGANU, 17 SEPT: Jika dua bulan lepas, rakyat Malaysia digemparkan dengan kemunculan dua ekor harimau spesies Malaya di Kampung Besul Lama dekat Bukit Besi di Dungun, kini harimau kumbang pula dilihat berlegar-legar tidak jauh dari kawasan sama.

Harimau kumbang terbabit ditemui berkeliaran di Taman Harmoni dekat Al Muktafi Billah Shah yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Kampung Besul Lama sejak dua minggu lepas.

Seorang penduduk, Nur Mazila Mohd Salleh, 37, berkata, kejadian terbaharu berlaku malam semalam yang mana beliau melihat sendiri seekor harimau kumbang berkeliaran di sekitar rumahnya, di blok H taman perumahan itu.

“Ini kali ketiga saya melihat haiwan itu dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, namun ada jiran mendakwa sudah melihat harimau itu berkeliaran sejak sebulan lepas.

“Kami memang hidup dalam ketakutan dan anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah untuk bermain seperti biasa. Kami berharap harimau ini dapat ditangkap secepat mungkin agar kami boleh menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Nur Mazila memuat naik sekeping gambar harimau terbabit di Facebook dengan meminta bantuan untuk mendapatkan nombor telefon Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Bagaimanapun, status tersebut telah dipadam sebaik sahaja aduan dibuat kepada Perhilitan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malik Mohd Yusuf berkata, pihaknya telah menerima aduan penduduk dan beberapa kakitangan telah pergi ke lokasi tersebut untuk memasang perangkap.

Pada masa sama, beliau menasihatkan penduduk agar terus berhati-hati dan segera melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terserempak dengan haiwan itu untuk memudahkan tindakan dibuat.

Untuk rekod, pada 19 Julai lalu, seekor harimau daripada spesies Malaya yang dianggarkan seberat 130 kilogram berjaya ditangkap kira-kira pukul 3.30 petang selepas ditembak menggunakan ubat pelali.

Haiwan yang dianggarkan berusia lima tahun itu ditangkap ketika sedang berehat di kawasan belukar sekitar 500 meter dari jalan utama Kampung Besul Lama.

Bagaimanapun, harimau berkenaan dilaporkan mati pada 23 Julai lalu ketika berada dalam rawatan dan kuarantin di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.

– BERNAMA