Categories
AGENDA NASIONAL

LTTE: Permohonan jaminan P. Gunasakaren didengar 16 Januari

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 16 Januari untuk mendengar permohonan jaminan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaren atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, Oktober tahun lepas.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas peguam Harshan Zamani yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah memfailkan permohonan tersebut pada 26 Disember lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias memberitahu pemberita pihaknya akan memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu pada 10 Januari.

Mahkamah Sesyen sebelum ini membenarkan kes Gunasekaren dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya telah mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan.

Pada 18 Disember lepas, Gunasekaren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘Dap Guna Palanisamy’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, di sini kira-kira 2 petang, 7 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LTTE: Mahkamah Sesyen tetapkan 12 Disember sebutan semula kes

KUALA KANGSAR, 28 NOV: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 12 Disember hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes juruteknik, S Arivainthan dan pemandu teksi, V Balamurugan yang dituduh memberi sokongan kepada kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sejak lima tahun lepas.

Hakim Rohaida Ishak menetapkan tarikh itu bagi menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pakar keganasan setelah mengambil kira permohonan peguam Matthews Jude, yang mewakili kedua-dua tertuduh, untuk mempercepatkan proses pendakwaan.

Pada 29 Oktober lepas, kedua-dua tertuduh iaitu Arivainthan, 27, dan Balamurugan, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, sejak 2014.

Pada sebutan semula hari ini, Timbalan Pendakwaraya Hasyutanti Khalil memohon mahkamah memberikan masa untuk siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan setengah memandangkan laporan SKMM dan pakar forensik masih belum diperoleh.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah Matthews dan memohon kes itu disebut semula pada minggu hadapan.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menetapkan esok untuk memutuskan sama ada membenarkan atau sebaliknya ikat jamin ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, Melaka yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Terdahulu, Matthews memohon mahkamah untuk memanggil dua pegawai penyiasat kes untuk mendapatkan penjelasan mengenai laporan SKMM dan forensik yang masih belum diperoleh berkenaan.

Kedua-dua pegawai penyiasat itu memberitahu mahkamah bahawa pihaknya sudah menghantar butiran untuk meminta laporan daripada SKMM dan pakar keganasan pada 30 Oktober lepas namun mereka dimaklumkan pihak SKMM memerlukan tempoh enam hingga 12 bulan bagi melengkapkan laporan.

Matthews memberitahu mahkamah bahawa tempoh enam hingga 12 bulan terlalu lama untuk anak guamnya yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Mengikut pertuduhan, Arivainthan dan Balamurugan didakwa memberi sokongan kepada LTTE pada satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember 2014.

Selain itu, Balamurugan turut didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE dalam seunit telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 di Perkarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) kira-kira pukul 9.40 pagi pada 10 Oktober lepas.

Pemandu teksi itu juga didakwa memiliki dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE di sebuah premis di No.52 Taman Bukit Medan, Sungai Siput (U) pada pukul 9.50 pagi pada 10 Oktober lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan jaminan penghantar surat didakwa miliki item berkaitan LTTE ditolak

SEGAMAT, 18 NOV: Seorang penghantar surat, S Teeran, 38, yang didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada bulan lepas, ditolak permohonan jaminan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Rasidah Roslee, yang membuat keputusan itu di hadapan tertuduh setelah mendengar hujahan daripada peguambela pemohon, A Mathan dan Timbalan Pendakwa Raya, Suriani Ujang.

Rasidah, dalam penghakimannya berkata, beliau bersetuju dengan hujahan Suriani bahawa jaminan tidak boleh diberikan terutama melibatkan kes-kes kepentingan awam dan keselamatan negara.

Beliau menambah bahawa tugas Mahkamah Sesyen juga untuk menyebut dan menguruskan kes itu sebelum ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Justeru, beliau berkata, permohonan untuk jaminan haruslah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kes-kes sebegini.

Permohonan jaminan itu dibuat oleh peguambela atas dakwaan anak guamnya mengalami sakit tulang belakang dan pernah menjalani pembedahan pada bulan Julai lepas sehingga memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan untuk pulih.

Terdahulu, Suriani berkata, permohonan jaminan harus ditolak memandangkan tertuduh didakwa di bawah kes yang melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara, selain laporan perubatan tertuduh dari Oriental Melaka Straits Medical Centre tidak boleh diterima memandangkan ia dari hospital swasta.

Timbalan Pendakwa Raya itu juga berkata, Mahkamah Sesyen tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan permohonan jaminan memandangkan tidak berada di bawah bidang kuasa mahkamah itu.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 19 Disember untuk pengurusan kes dan laporan pakar forensik.

Pada 29 Oktober lepas, Teeran yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma guaman di bandar ini, dituduh memiliki barangan berunsurkan perbuatan keganasan atau berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 6.30 petang di alamat Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai di sini, 10 Oktober lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130 JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Juruteknik, pemandu teksi didakwa atas tuduhan sokong LTTE

KUALA KANGSAR, 29 OKT: Seorang juruteknik, S Arivainthan, 27, dan pemandu teksi, V Balamurugan, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sejak 2014.

Kedua-dua mereka yang berpakaian lokap warna ungu hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, Arivainthan dan Balamurugan didakwa memberi sokongan kepada LTTE pada satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember 2014 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, tertuduh jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Selain itu, Balamurugan turut didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE dalam seunit telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 di Perkarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) kira-kira pukul 9.40 pada 10 Oktober lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Pemandu teksi itu juga didakwa memiliki dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE di sebuah premis di No 52 Taman Bukit Medan, Sungai Siput (U) pada pukul 9.50 pagi pada 10 Oktober lepas.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin, manakala Arivainthan diwakili peguam RSN Rayer, sementara Balamurugan diwakili Farhan Fadzil dan Matthews Jude.

Terdahulu, barisan peguam bela memohon mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin atas alasan mereka dituduh mengikut Kanun Keseksaan yang tiada kenyataan dan izin daripada pihak pendakwa raya yang mewajibkan mahkamah menjalankan prosiding itu mengikut kaedah atau peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana membabitkan jenayah keselamatan dan menetapkan menetapkan 28 November depan untuk sebutan semula kes.

Sementara di luar mahkamah, Rayer memberitahu pihaknya akan membuat rayuan berhubung isu ikat jamin anak guam mereka di Mahkamah Tinggi Ipoh selewat-lewatnya esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua ADUN, ketua pegawai perbadanan didakwa sokong LTTE

MELAKA, 29 OKT: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ketua pegawai perbadanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), pada November tahun lepas.

Tertuduh, G Saminathan, 34; P Gunasekaran, 60, dan S Chandru, 38 didakwa melakukan kesalahan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Saminathan turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit jenama Samsung Galaxy S9+ warna biru gelap di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri di sini pada 10.25 pagi, 10 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh mengangguk tanda faham sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes dan kesemua tertuduh dibawa ke Penjara Sungai Buloh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Izhanudin Alias, manakala tiga tertuduh itu diwakili lima peguam yang diketuai oleh Ramkarpal Singh.

Terdahulu, petugas media dihalang masuk ke dalam mahkamah berikutan hanya ahli keluarga dan orang kenamaan sahaja dibenarkan masuk untuk mendengar prosiding itu.

Muhamad Iskandar ketika ditemui pemberita berkata jaminan tidak dibenarkan di bawah seksyen berkenaan berikutan kesemua tertuduh didakwa di bawah bab 6a Kanun Keseksaan kerana Mahkamah Sesyen tiada bidang kuasa untuk membuat keputusan melibatkan Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kenderaan membawa tiga tertuduh itu keluar dari Kompleks Mahkamah Melaka pada 10.45 pagi ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis hantar kertas siasatan 12 individu LTTE ke Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung penahanan 12 individu disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) ke pejabat Peguam Negara, Rabu lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah selesai melakukan siasatan dan kini sedang menunggu keputusan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Terpulang kepada Peguam Negara untuk memaklumkan sama ada bukti itu mencukupi atau tidak,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini.

Mengulas lanjut mengenai kebenaran melawat 12 suspek itu sempena perayaan Deepavali, Ayob Khan berkata, pihak keluarga individu terlibat diberikan hak untuk melawat tahanan pada hari ini.

“Seperti yang dimaklumkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador) sempena Deepavali pertemuan ini telah diaturkan. Keluarga juga dibenarkan membawa makanan untuk mereka.

“Tiada halangan untuk melawat dengan kebenaran melawat setiap keluarga selama dua jam, dan waktu lawatan diperuntukkan dari 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek berada dalam keadaan terkawal dengan kesihatan mereka sentiasa dipantau.

“Ada yang dilaporkan mengalami gastrik serta sakit perut namun perkara itu perkara biasa dan kami tetap memantau mereka. Tidak perlu risau kerana khidmat doktor ada disediakan di sini,” katanya.

Sebelum ini, 12 individu termasuk termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana dikaitkan dengan LTTE.

– BERNAMA