Categories
SELANGOR

Keluarga Allahyarham Dato’ Dr Haron Din rakam penghargaan atas kurniaan pingat

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 DIS: Keluarga Allahyarham Dato’ Dr Haron Din merakamkan penghargaan terima kasih kepada DYMM Sultan Selangor di atas kurniaan pingat Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) untuknya.

Anaknya, Najmi Haron, berkata seperti mana dijanjikan ketika hayat bapanya masih ada, Baginda Sultan tetap menunaikannya biarpun Allahyarham sudah tiada.

“Ketika menerimanya, Tuanku menyatakan rasa sedih dan terkilan kerana memang Baginda berhasrat untuk mengurniakannya sebelum bapa pergi ke Amerika Syarikat dan mengambil kesempatan tetap menunaikannya hari ini.

“Walaupun bapa telah tiada tetapi atas kurniaan Tuanku maka saya terima dengan hati terbuka dan syukur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual media selepas majlis penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena hari keputeraan ke 71 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Jpeg

Katanya, perancangan memang dilakukan Baginda Sultan lebih awal dan lama untuk tujuan itu tetapi Allah Maha Berkuasa.

“Saya sekeluarga berterima kasih kepasa Baginda yang menghargai jasa bapa dalam kerja dakwah dan memartabatkan Islam di Selangor,” katanya.

Dr Haron Din sepanjang hayatnya bermastautin di Bangi, Selangor, adalah tokoh ulama tersohor dan banyak menyebar ilmiah agama tanpa batasan kepada umat Islam dan sentiasa menggerakkan perpaduan melalui syarahan dan tazkirah di masjid serata Selangor.

Beliau pernah menganggotai Majlis Fatwa Negeri Selangor dan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1532 Selangor pada 2010.

Allahyarham kembali ke Rahmatullah di Amerika Syarikat pada 16 September lalu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jenazah Almarhum Haron Din selamat disemadikan di California

SHAH ALAM 17 SEPT: Jasad Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore California Amerika Syarikat.

Melalui satu kemas kini di Facebook rasmi Allahyarham Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din (Official) ahli keluarganya memaklumkan perkara itu.

“4.20 pm / 7.20 am (waktu Malaysia) : Tiba di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore.. Baaa…Subhaanallah… Damai .. Indah.. Tenang…
Sebak: Dr. Huda Haron.

“5.57pm / 8.57 am Waktu Malaysia: Alhamdulilahh…. Tempat rehat baba dan bersemadinya jasad baba yang mulia. Sempurna dengan bantuan insan2 yang membantu tanpa soal jawab dan tak mengira apa jua. Terima Kasih dari kami sekeluarga: Dr. Huda Haron,” tulisnya.

cscacqjuaaa8daeMenurut catatan di laman FB itu, keputusan menyemadikan jenazah Almarhum di sana diambil kerana mereka mahu menguruskan jenazah dengan cepat dan sempurna.

“Baba disemadikan di California. Kami ada beberapa pilihan termasuk membawa baba balik ke Malaysia. Semua pilihan ada pro dan kontra. Kami berbincang dan menimbang semua itu. Bukan mudah untuk kami membuat keputusan. Hati amat berat.

“Kami memilih untuk menguruskan jenazah Baba dengan sempurna dan cepat. Baba berpesan beberapa kali kepada kami bahawa di mana dia menghembus nafas terakhir, di situ dia bersemadi. Maka kami akan kebumikan Baba di California,” katanya.

14291736_1111049432321720_4893414456526733406_nJenazah Allahyarham dimandikan pada pagi Jumaat waktu Amerika Syarikat dan dikafankan sebelum disembahyangkan selepas solat Jumaat di Masjid An-Nur, Santa Clara, California.

“2.24 pm / 5.24am (waktu Malaysia) : Selesai solat jenazah yang diimamkan oleh adinda tersayang Hamdi Haron selaku ketua keluarga.. Ramai jemaah Maashaallah…Jemaah Solat Jumaat tiga lapis ( kami sessi kedua)
Alhamdulilaah.. Tsummalhamdulilahh Tsummalhamdulilah..

“Berebut-rebut jemaah datang memeluk dan menyantuni takziah pada kami. Terpana!!! Tidak sangka. Tidak pernah bersua.. Tidak pernah bersapa.. Tidak kenal siapa Cumaa ukhuwwah fillah.. Hangatnya persaudaraan di sini,” tulisnya.

EZY

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Haron Din meninggal dunia

SHAH ALAM 16 SEPT: Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, meninggal dunia di Hospital Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) pada jam 10.10 pagi tadi waktu Malaysia.

Perkara ini disahkan Ketua Penerangan PAS, Nasaruddin Hassan, menerusi mesej aplikasi media sosial.

“Jam 10.10 pagi ini (waktu Malaysia), berita kami terima bahawa Tuan Guru Dato’ Dr Harun Din telah kembali ke rahmatillah di Hospital Stanford University US.

“Semoga Allah swt mencucuri rahmatNya dan mengampuni al Marhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hambaNya yang soleh. Aameen Ya Rabbal A’lamin.”

cscuks1uaaeawwuHaron, 76, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak malam ketika menjalani rawatan jantung di hospital berkenaan.

Haron berlepas ke AS sejak beberapa hari lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Allahyarham pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di hospital berkenaan pada 2 April 2012.

Mac lalu, beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Khatijah Din dan lima cahaya mata.

Allahyarham mula menjawat jawatan tertinggi PAS itu pada tahun lalu selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Mula bergiat aktif dalam parti sejak tahun 1974 sebelum dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983).

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulama dan Timbalan Mursyidul Am.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bekas MB Selangor, Mat Taib Sah Sertai PAS

mat taib masuk pas 02

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhamad Muhd Taib mengisytiharkan menyertai PAS secara rasmi hari ini.

Borang keahlian diserahkan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil disaksikan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Menurut Abdul Hadi, beliau telah bertemu Muhd Taib sejak setahun lalu dan pengumuman menyertai PAS dibuat dua hari selepas hari penamaan calon bagi mengelakkan tomahan beliau bersama parti kerana ingin menjadi calon.

“Pengumuman sengaja dibuat selepas penyerahan (penamaan) calon. Saya dah jumpa setahun lalu.

“Kami di PAS mengalu-alukan penyertaan. Ini adalah sokongan dan dokongan daripada orang berpengaruh di Selangor.

“Ia juga memberikan kekuatan baru kepada PAS menghadapi PRU,” katanya ringkas pada sidang media.

Bagi Mat Taib, negara sekarang perlu mengalami perubahan ke arah roh Islam agar masyarakat terutama orang Melayu beragama Islam lebih menghayati Islam.

Jelasnya, perjuangan bersama PAS merupakan pilihan yang terbaik dan masyarakat perlu memberikan undi kepada mereka.

“Saya tidak berhajat jadi calon dan mendapatkan jawatan. Saya nak beri sokongan kepada PAS

“Saya menjadi Menteri Besar selama 11 tahun dan berkecimpung dalam politik bersama Umno sejak usia 25 tahun.

“Kini saya berusia 65 tahun. Memang benar negara maju, Selangor negeri maju sekarang dan satu perubahan mesti dilakukan.

“Pembangunan mesti ada roh, tanpa roh ianya menjadi kucar kacir.

“Saya fikir mana parti yang boleh mengisi roh. Mesti parti yang boleh memperjuangkan Islam.

“Hanya kepimpinan PAS yang boleh membawa kesedaran agama,” katanya.

Beliau menambah, Islam mesti berkembang di bandar-bandar memandangkan orang Melayu Islam ramai di bandar.

Katanya, orang Melayu di bandar mesti menaikkan syiar Islam melalui undi.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Othman turut menyambut baik penyertaan Mat Taib ke dalam PAS.

Menurut beliau, sudah pastinya sejarah lampau akan diungkit kembali oleh pihak lawan dan perkara berkenaan menjadi sebahagian lumrah perjuangan.

Berdasarkan latar belakang politik, Mat Taib merupakan mantan Menteri Besar Selangor dari tahun 1986 hingga 1997.

Beliau pernah menjadi Adun Batang Kali pada tahun 1982, 1986, 1990 dan 1995.

Selain itu, beliau turut dilantik sebagai Senator Dewan Negara dari tahun 2006 hingga 2009.

Categories
NASIONAL

Haron Din : Insaf Fitnah Anwar, Bapa Saiful Laksana Kewajiban Sebagai Islam

Forum bersama MB dan Dato' Haron din di Masjid Negeri 01

SHAH ALAM, 9 MAC : Pengakuan bapa Saiful Bukhari bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah atas tuduhan liwat dan menjadi mangsa fitnah merupakan suatu tindakan yang wajib dilakukan beliau.

Ini kerana seseorang Islam hendaklah insaf dengan tidak meneruskan kebatilan untuk kembali kepada kebenaran apabila menyedari kesilapan mereka.

Demikian menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dalam sidang media di Masjid Shah Alam di sini.

“Dia (Azlan Mohd Lazim) melaksanakan kewajipannya sebagai seorang Islam.

“Merujuk kepada kebenaran adalah lebih baik dari meneruskan kebatilan,” kata beliau selepas bertindak sebagai panelis dalam forum bertajuk ‘Mengangkat Martabat Ummah: Tanggung Jawab Siapa?’ malam tadi.

Semalam, bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim memohon maaf kepada Anwar dengan mendakwa bahawa anaknya dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.

Pada 9 Januari tahun lalu, Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Sementara itu, ketika mengulas isu sumpah laknat oleh Saiful, sambil merujuk kepada sebuah kejadian di zaman Nabi Muhammad SAW, Dr Haron berkata sumpah laknat hanya wajar dilakukan apabila berhadapan kes yang tidak boleh diselesaikan di mahkamah.

“Kaum Nasrani dakwa Allah ada anak dan oleh kerana ianya tidak dapat dibuktikan, Nabi Muhammad mengarahkan mereka bersumpah laknat untuk selesaikan perbalahan itu.

“Mengapa kita pula hendak mengundang laknat Allah sedangkan kes ini boleh diselesaikan di mahkamah,” ujar Dr Haron.

Dalam perkembangan isu calon Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat, Dr Haron menegaskan PAS ketika ini lebih fokus kepada agenda menumbangkan Kerajaan Umno-BN dan hanya mengumumkan calon Perdana Menteri apabila misi tersebut berjaya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Perkenaan Terima Dana Wakaf Untuk Bina Universiti Islam Malaysia

SHAH ALAM 7 SEPT : Sesuai dengan kedudukannya sebagai pihak yang menjaga kepetingan Islam di negara ini, Majlis Raja-raja Melayu berkenaan menubuhkan Universiti Islam Malaysia(UIM) yang bertaraf Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA).

Lebih istimewa ia dibina berteraskan dana dan harta wakaf bagi menyambung tradisi yang diperkenalkan pada tahun 1955 sebagai Kolej Islam Malaya.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk menerima sumbangan wakaf daripada tujuh wakil dalam satu Majlis Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf yang diadakan di Istana Kayangan di sini pagi tadi.

Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM), Tan Sri Mohd Yusof Noor berkata, pemilihan Sultan Selangor untuk menerima dana adalah atas dasar menghormati jasa dan perkenan nenda baginda suatu waktu dahulu.

“Ini adalah penghormatan MUIM kepada Kerabat Diraja Selangor bagi pihak Almarhum Sultan Hisamuddin yang berkenan memakafkan tanah dan istana baginda di Kampung Jawa, Klang bagi pembinaan kampus pertama Kolej Islam Malaya pada tahun 1955,” jelas beliau dalam satu sidang media selepas majlis tersebut.

Penyumbang dana wakaf terbesar ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan dana sejumlah RM5 juta yang disampaikan wakilnya, Tun Ahmad Sarji.

Selain itu, dana wakaf juga disumbangkan Shahpadu Corporation Sdn Bhd dengan RM100, 000 diwakili Shafiz Shahrani, bekas pelajar Kolej Islam Malaya berjumlah RM30, 675 diwakili Datuk Dr Haron Din serta Waris dan Warga Petaling Jaya sebanyak RM17, 000 diwakili Rashadah Khamis.

Turut memberi sumbangan ialah Alumni Kolej Islam (ALKIS) dengan jumlah sebanyak RM11, 000 diwakili Datuk Sallehuddin Ishak, Persatuan Bekas Pelajar Kolej Islam Malaya (PBSKIM) dengan RM10, 000 disampaikan wakilnya, Datuk Abdul Manaf Ahmad serta bekas Ketua Pelajar Tahun 1975 diwakili Puzi Dahman dengan jumlah RM 10, 000.

Sementara itu, Mohd Yusuf dalam kenyataannya turut memberitahu UIM akan menggunakan model pentadbiran di bawah Majlis Raja-raja Melayu sepertimana yang dipersetujui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kampus yang menelan belanja sekitar RM 300 juta ini bertempat di Cyberjaya dan dijangka memulakan sesi akademik pertama pada tahun hadapan.

“Jika kampus tidak dapat disiapkan, kita sudah mempunyai rancangan untuk menyewa bangunan berhampiran tapak untuk sesi pengajian pelajar.

“Kursus pengajian yang ditawarkan bagaimanapun terhad kepada kursus di peringkat Sarjana dan PHD (Doktor Falsafah) sahaja, jadi kita jangkakan pelajar hanya sekitar 1, 000 orang, bergantung kepada permohonan kelak,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

Dr Haron Din: Tiada Istilah Malaikat Lebih Buruk Berbanding Syaitan Dalam Al-Quran

SHAH ALAM, 28 OGOS : Tiada istilah atau ayat di dalam Al Quran yang menjelaskan malaikat itu lebih buruk berbanding syaitan, begitu kata Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya www.chedet.cc pada 22 Ogos lalu yang berharap rakyat tidak memberi mandat kepada Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam pilihan raya akan datang.

Dr Mahathir menulis “Better the devil you know than the angel you don?t” yang membawa maksud “Lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak kenali”.

Dr Haron seterusnya berkata, kenyataan dibuat Dr Mahathir itu ternyata memakan diri sendiri dan Umno-BN kerana umum terutamanya umat Islam mengetahui syaitan itu adalah makhluk Allah yang paling kejam dan derhaka.

Sebagai bekas pemimpin tertinggi negara dan pernah mengetuai Umno-BN untuk tempoh yang lama, tambahnya, adalah amat tidak wajar Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian rupa dengan melabelkan sesuatu pihak atau pertubuhan dengan nama seburuk itu.

“Di dalam Al Quran juga tidak terdapat ayat yang mengatakan malaikat sama ada dikenali atau tidak dikenali sebagai makhluk Allah yang lebih buruk atau derhaka kepada perintah Allah. Malaikat dijadikan Allah sebagai makhluk yang patuh dan tidak derhaka akan perintah-NYA. Mereka akan kekal begitu sejak dari awal hingga ke akhirnya.

“Ia berlawanan dengan sifat syaitan kerana mereka memang diakui sebagai makhluk yang jahat dan derhaka kepada perintah Allah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Dr Haron Din : Kafir Harbi Tidak Wujud Selagi Tidak Tertegak Negara Islam

SHAH ALAM 12 OGOS : Tidak wujud istilah penggunaan ‘kafir harbi’ selagimana tidak tertegaknya sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar, tegas Datuk Dr Haron Din.

Dr Haron yang merupakan Timbalan Mursyidul Am PAS ketika dihubungi TVSelangor berkata, polemik itu perlu hentikan segera kerana ia ditakuti boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negara.

Ujar beliau definisi kafir harbi itu merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh umat Islam.

Beliau juga mengingati agar mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan kenyataan dan melabelkan sesuatu golongan itu agar berhati-hati serta berdasarkan hujah yang kukuh dalam menyampaikan pandangan.

“Kafir harbi ini merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh orang Islam, saya menegaskan istilah kafir harbi ini hanya timbul dengan sendirinya apabila wujud sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar.

“Dalam konteks ini negara ini masih belum lagi memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam, justeru penggunaan istilah kafir harbi dan sebagainya tidak wujud,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata tidak perlu mengisytiharkan haram kepada umat Islam untuk menyokong DAP kerana ia hanya berkaitan perbezaan pandangan dalam politik.

Katanya, ia hanya persoalan politik dan bukan berkaitan soal apa yang boleh atau tidak seperti dalam bidang kesalahan jenayah.

Sebelum ini, kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’amah, dipetik Utusan Malaysia menyatakan bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.