Categories
AGENDA NASIONAL

Isu Hartal Doktor Kontrak antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Isu perjawatan tetap kepada doktor kontrak dan langkah kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua Hartal Doktor Kontrak antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat menerusi laman web rasmi Parlimen, isu berkenaan diajukan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) kepada Menteri Kesihatan pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Dalam pada itu, Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula minta Menteri Kanan Kerja Raya menyatakan persediaan kementerian dalam mengenal pasti jalan dan cerun yang berpotensi runtuh bagi menghadapi musim tengkujuh dalam masa terdekat ini, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.

Pada sesi yang sama juga, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dijangka menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang ingin tahu mengenai eksport tenaga hidrogen ke luar negara bagi 2020 hingga Jun 2021 serta langkah kementerian bagi memperkukuh industri itu.

Usai sesi tersebut, persidangan berkenaan bakal tertumpu kepada soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menjelaskan langkah pemantauan bagi memastikan murid yang tidak dapat mengikuti kaedah pembelajaran secara dalam talian khususnya murid tahap satu untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dengan lebih baik.

Sementara itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) bertanya kepada Menteri Pengajian Tinggi tentang jumlah peratusan kadar kebolehpasaran graduan yang tamat pengajian pada 2019 hingga 2021.

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-10 hari ini akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober telah dibahaskan 64 Ahli Parlimen, setakat semalam.

Menurut takwim Dewan Rakyat, perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar akan diadakan hingga Khamis ini sebelum sesi jawapan menteri berkaitan bermula 15 November.

Dewan Rakyat akan bersidang hingga 16 Disember.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kertas siasatan dibuka berhubung isu Hartal Doktor Kontrak

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Polis Diraja Malaysia tidak membuka apa-apa kertas siasatan berhubung petugas kesihatan yang menyertai perhimpunan Hartal Doktor Kontrak di sekitar ibu negara dan Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata tiada petugas kesihatan yang disiasat kerana menyertai perhimpunan yang diadakan di beberapa hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur itu.

“Setakat ini, tidak ada siasatan dibuat,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata tiada kertas siasatan dibuka di negeri itu berhubung perhimpunan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata polis hanya mengambil keterangan petugas kesihatan berhubung pencerobohan pengamal media di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRCB) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang susulan laporan yang diterima mengenainya.

Arjunaidi berkata siasatan sedang dibuat termasuk mengenal pasti mereka yang memasuki PKRCB MAEPS tanpa kebenaran pihak berkaitan.

Menjelaskan perkara berkenaan, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehawan Mohamed berkata dewan di MAEPS itu diwartakan sebagai PKRCB yang melarang orang luar memasuki kawasan itu tanpa kebenaran.

“Seorang daripada media berkenaan telah membuat (liputan) secara live semasa berada di dalam dewan itu. Setakat ini, pihak polis telah merakam keterangan seramai 17 petugas kesihatan yang terdiri daripada doktor dan jururawat yang bertugas semasa kejadian untuk membantu siasatan bagi mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran media di dalam dewan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan membuat rakaman secara langsung di dalam kawasan yang dilarang sehingga memaparkan pesakit sedang menerima rawatan.

Pada Isnin, polis menerima laporan berhubung enam pengamal media daripada pelbagai agensi yang didakwa menceroboh PKRCB MAEPS.

– BERNAMA