Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid Samad: “Siapa Taja Hasan Ali”

SHAH ALAM, 24 FEB : Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad hari ini membangkitkan persoalan sumber kewangan siri ‘roadshow’ mantan Exco negeri, Datuk Dr. Hasan Ali ke seluruh negara yang pastinya menelan biaya yang besar.

Menurut Khalid, sesiapa sahaja yang berada di belakang Dr.Hasan Ali semestinya pihak-pihak yang bakal mendapat keuntungan sekiranya Kerajaan Pakatan tumbang di Selangor pada Pilihanraya Umum akan datang.

“Di antara yang berkemungkinan ialah Puncak Niaga dan Syabas kerana kadar tarif air akan naik sebanyak 71 peratus sekiranya BN kembali memerintah negeri Selangor.

“37 peratus untuk tahun 2009 dan 25 peratus untuk tahun 2012. Jika didarabkan 1.37 dengan 1.25 maka jawapannya ialah pendapatan Syabas dan Puncak Niaga naik sebanyak 71 peratus,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Selain itu, Khalid juga memberitahu sekiranya Barisan Nasional berjaya menawan Selangor, Syabas berkemungkinan memperoleh kelebihan untuk menjalankan rundingan luar mahkamah berhubung kes saman RM 1 billion terhadap Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri sekarang disaman kerana tidak benarkan kenaikan harga air pada 2009 dan 2012, maka Syabas bertindak saman Kerajaan Pakatan sebanyak RM 1 billion.

“Kalau Kerajaan BN naik, mereka pasti akan lakukan ‘out of court settlement’ dan duit sebanyak itu akan diserahkan pada Syabas dalam apa bentuk sekalipun yang dipersetujui bersama,” tambah Khalid lagi.

Selain Puncak Niaga dan Syabas, Khalid turut memberitahu kemungkinan ada kontraktor-kontraktor berkepentingan lain yang membiayai Dr. Hasan Ali.

“Di bawah Pakatan Rakyat, mereka tidak berpeluang merasai keuntungan seperti dahulu kerana semua peluang adalah ‘open tender’ dan tiada lagi ‘direct negotiation’ serta tiada lagi projek diberi sebagai ‘political payback’.

“Oleh kerana itu ada kemungkinan kontraktor-kontraktor yang lain ini membiayai Dr. Hasan Ali,” jelas Khalid dalam satu sidang medianya di pejabatnya di Seksyen 13 disini pagi tadi.

Bagaimanapun, Khalid menjelaskan sekiranya perkara ini tidak benar, pihak-pihak yang berkaitan dapat memberi penafian berhubung ‘cakap-cakap kedai kopi’ ini dan Dr.Hasan Ali dapat memberi penjelasan berkenaan sumber yang diperolehinya.

“Kita mahu beri peluang kepada Puncak Niaga, Syabas, Dr. Hasan Ali untuk menjawab segala andaian ini. Mungkin juga Hasan Ali sudah menggadaikan harta mahupun keretanya demi perjuangan politiknya.

“Tetapi jika tidak, yang kita mahu tahu ialah dari mana sumber kewangan yang beliau perolehi ini,” ulas Khalid.

Categories
NASIONAL

Murtad MAIS, JAIS Perlu Sahkan Dakwaan

SHAH ALAM, 22 FEB : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diminta mengesahkan dakwaan tentang wujudnya usaha-usaha memurtadkan umat Islam di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, gesaaan ini dibuat berikutan dakwaan daripada bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang cuba mewujudkan ketidakstabilan antara masyarakat Islam dan bukan Islam khusus di negeri ini.

Abdul Khalid yang juga Exco Agama Islam memaklumkan, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan MAIS dan JAIS agar dakwaan tanpa bukti ini tidak dibiarkan berterusan.

Sebelum ini, Dr Hasan dalam menyatakan, kegiatan ini melibatkan tiga perkara iaitu
kitab injil berkuasa solar (solar-powered talking bible), mubaligh Kristian berpakaian jubah memasuki masjid dan minum serta mandi air suci.

“Apa yang jelas sekarang adalah dakwaan-dakwaan ini tidak disertakan dengan bukti yang kukuh tetapi telah mula mewujudkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Dakwaaan ini juga tidak konstruktif kerana ia semata-mata mahu melemahkan peranan MAIS dan JAIS dan akhirnya memberi kesan kepada apa yang telah dilakukan dengan baik dan bersungguh oleh DYMM Sultan Selangor selaku ketua agama Islam.

“Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk JAIS dan MAIS menjalankan siasatan terperinci ke atas dakwaaan ini dan bertindak untuk keadilan bagi semua pihak,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, selama ini kerajaan negeri tidak menyekat mana-mana individu atau NGO dari bersuara tentang perkara ini walaupun ia tidak selari dengan pendirian kerajaan Pakatan Rakyat di mana mereka dibenarkan mengguna premis milik kerajaan negeri atau anak syarikat untuk kegiatan ceramah.

“Walaupun kerajaan negeri mengambil sikap terbuka, kita tidak akan menyokong penggunaan premis kita untuk sebarang aktiviti yang boleh memecah-belahkan masyarakat. Jika dakwaan yang dibuat boleh menimbulkan ketegangan, maka kita perlu fikirkan tindakan yang sesuai untuk menegakkan keadilan dan kebenaran untuk semua,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

Khalid Samad Sedia Berdebat Dengan Hasan Ali

SHAH ALAM 9 FEB : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sedia mengadakan debat terbuka dengan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat , Datuk Hasan Ali sekiranya disiarkan secara langsung di media eletronik.

Ia bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperjelaskan secara adil dan berfakta berhubung ‘parasit’ dalam PAS yang dicetuskan hasan sebelum ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menyifatkan bekas Exco Selangor itu sebagai ‘musuh dalam selimut’ ekoran beberapa kenyataan yang bercanggah dengan parti dan Pakatan Rakyat (Pakatan) sebelum dipecat.

Katanya, keputusan pemecatannya dibuat sendiri oleh pimpinan tertinggi parti yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat khas tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak termasuk ‘parasit’ seperti yang di katakan Hasan.

“Saya diberitahu bahawa walaupun majoriti ahli mesyuarat meminta dia pada asalnya tidak dipecat tetapi digantung keahlian dan semua jawatannya, tetapi pimpinan tertinggi telah memutuskan bahawa dia perlu dipecat. Maka setelah berbincang, kehendak pimpinan tertinggi itu diterima semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan Datuk Hasan berhubung 9 sebab mengapa beliau tidak akan merayu pemecatannya.

Jelas Khalid, ketika mesyuarat dibuat, beliau berada di Arab Saudi.

Katanya, kenyataan Hasan yang mengatakan peranan parasit begitu menonjol merupakan satu penghinaan sekaligus tidak menghormati keputusan pemilihan yang dibuat ahli dalam Muktamar PAS 2011 dan kepimpinan yang diterajui Presiden PAS yang dilihat tunduk dengan desakan golongan tersebut.

Tambah Khalid, sebelum ini Hasan berulang kali mencadangkan supaya PAS meninggalkan Pakatan walhal keputusan bersama Pakatan diputuskan dalam Muktamar dan pada ketika itu beliau sendiri tidak bersuara untuk mengatakan sebaliknya.

Beliau turut mendedahkan terdapat pertemuan bersama Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)dan Datuk Seri Khir Toyo bagi membentuk kerajaan di Selangor yang membuka ruang supaya Datuk Hasan Ali dilantik menjadi Menteri Besar Selangor namun usaha itu digagalkan.

“Dalam tempoh sebelum dilantik Menteri Besar, telah diatur satu pertemuan dengan Tun Abdullah Badari dan Datuk Seri Khir Toyo sepatutunya dia (Hasan Ali) pergi tapi digantikan oleh saya atas arahan PAS Pusat. Dalam pertemuan itu Pak Lah telah sebut PAS ada 8 kerusi, PKR ada 15 kerusi (8 Melayu) dan 20 kerusi bukan Melayu(13 DAP). Awak ada minoriti Melayu, bagaimana ingin membentuk kerajaan.

“Saya katakan, penyelesaiannya mudah. Umno ada 18 kerusi, 5 daripadanya dipinjamkan keapda PAS maka kita ada 21 kerusi Melayu dan masalah selesai. Dia (Pak Lah) kata tidak boleh. Dia mahu PAS lompat bersama dia (Umno), 20 kerusi yang ada pada BN dicampur menjadi 28 kerusi. PKR campur dengan DAP juga menjadi 28, maka bertemu dengan Sultan cepat-cepat dan lantik Hasan Ali menjadi Menteri Besar. Kalau Umno tidak sanggup untuk memberikan 5 kerusi terbabit untuk menyelesaikan masalah majoriti atau minoriti itu. Maka habis di situ,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Hasan sebenarnya menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan pihak lain memandangkan beliau dengan dasar Melayu, Islam dan Raja selain latar belakangnya sebagai seorang pakar motivasi sebelum ini.

Dalam konteks berkongsi kuasa katanya, semua pihak sepatutnya mendengar pandangan semua dan bukannya hanya bersandarkan keputusan sendiri semata-mata.

Ujar beliau, Hasan sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Exco Selangor lebih awal memandangkan beliau mengakui mengahadapi kesukaran untuk mendaulatkan Islam dan bangsa Melayu dan bukannya selepas empat tahun mendapat manfaat dan kemudahan sebagai pemimpin negeri.

Dalam pada itu, beliau turut mencabar Datuk Hasan supaya mendedahkan lokasi maksiat seperti dakwaan ‘Shah Alam Kota Maksiat’ dan bukannya ‘cakap ikut sedap mulut’.

“Gambaran sedemikian sebenarnya menempelak Datuk Bandar dan pihak lain seolah-olah hanya dia seorang yang melakukan tugas,” katanya.

Berhubung kemungkinan beliau bertanding dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU-13) di Shah Alam dengan Datuk Hasan Ali, katanya, segalanya terserah kepada parti memandangkan semua yang bertanding tidak mengetahui dan diberikan jaminan sama ada mereka akan kekal untuk bertanding.

Katanya, beliau mendapat tawaran debat bersama Hasan melalui sebuah penganjur dan akan bersetuju dengan syarat ianya dilakukan secara ‘Live’.

Categories
NASIONAL

Hasan Ali Perlu Buktikan DAP Mahukan Negara Republik

SHAH ALAM 9 FEB: Bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali diminta supaya tidak terus membohongi dan menakut-nakutkan orang Melayu dengan kenyataan DAP akan menjadikan Malaysia sebagai Negara Republik sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) menang dalam Pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, adalah tidak logik DAP mampu membentuk kerajaan sedangkan mereka hanya bertanding 15 kerusi di Selangor dan 46 kerusi Parlimen.

Oleh yang demikian, beliau mencabar Hasan Ali supaya mengemukakan perkiraan yang membolehkan DAP berkuasa di negara ini.

“Saya nak mintak dia gunakan PhDnya buktikan kepada saya macam mana bertanding 15 kerusi di Selangor boleh menang 29 kerusi. Gunalah PhD awak, tunjuk kepada saya. DAP hanya bertanding 15 daripada 56 kerusi di Selangor.

“Bertanding di peringkat pusat, DAP bertanding 46 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi. Kalau nak memerintah negara, sehingga ingin menjadikan Malaysia negara republik, dia memerlukan dua pertiga. Majoriti mudah mereka memerlukan 112 kerusi. Minta dia buat tesis macam mana bertanding 46 kerusi bagaimana boleh menang 112 (kerusi),” katanya.

Sekiranya gagal, adalah lebih baik Hasan mengambil pendekatan berdiam diri daripada terus menakut-nakutkan orang Melayu jelas beliau.  

Sebelum ini, DAP melalui Penasihatnya, Lim Kit Siang menyatakan pendirian bahawa parti itu menyokong 100 peratus Islam sebagai agama rasmi negara serta bukan sebuah parti anti Melayu dan institusi DiRaja.

Beliau turut mencabar Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengemukakan bukti yang mengatakan DAP ingin menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Katanya, adalah lebih baik berhujah mengenai dasar masing-masing dan membiarkan rakyat membuat keputusan dalam menentukan pemimpin mereka.

Katanya, meskipun jumlah kerusi campuran DAP dan PKR berjumlah 27 kerusi tidak ada keperluan untuk PAS tunduk kepada DAP walaupun hanya memiliki 7 kerusi memandangkan untuk membentuk kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi.

Ujar beliau, sudah semestinya Pakatan tidak boleh membentuk kerajaan di Selangor tanpa PAS.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media hari ini.

Categories
NASIONAL

Hasan Ali Budak Suruhan Umno Yang Tak Boleh di Percaya

SHAH ALAM 2 FEB : Agenda sebenar Dr.Hasan Ali sudah jelas terbongkar dengan kenyataan terbarunya yang dangkal, bebal dan berasaskan fitnah semata-mata seraya menzahirkan beliau adalah orang suruhan Umno ,tegas Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP ,Zairil Khir Johari.

Menurut Zairil, semasa berceramah di Bangi baru-baru ini dilaporkan Hasan berkata apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah republik. Di samping itu, Hasan Ali juga mendakwa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.

“Motif politiknya sebagai orang suruhan UMNO sudah terbongkar. Saya berasa kesian kerana Hasan Ali terpaksa menjual harga dirinya dengan menipu rakyat untuk mendapatkan publisiti murahan.

“Katanya memperjuangkan Islam, tetapi yang keluar dari mulutnya bukan sahaja fitnah yang bahaya tetapi juga merupakan sindiran yang menderhaka dan berunsur hasutan yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman,” kata Zairil dalam kenyataan medianya.

Menurut Zairil, beliau percaya taktik fitnah taraf UMNO ini tidak akan dipercayai umum. DAP adalah sebuah parti yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengambil pendirian yang mencabar teras-terasnya.

Sebagai bukti pendirian DAP dalam mempertahankan kerangka kenegaraan yang sedia ada, termasuk sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,

Tiga perkara yang terkandung dalam Deklarasi Shah Alam yang baru sahaja dibentangkan, dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara oleh para pewakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2012 Disember lepas.

1. Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

3. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

Petikan di atas jelas membuktikan komitmen DAP untuk menjunjung dan mempertahankan teras-teras Perlembagaan Persekutuan.

“Dan jika benar DAP mempunyai hasrat untuk merendahkan status Islam, kenapakah Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Pulau Pinang meningkatkan berkali-kali ganda peruntukan tahunan untuk hal ehwal Islam?

Kenapakah di Pulau Pinang jauh lebih banyak bantuan diberi berbanding dengan Kerajaan BN untuk pembesaran tapak perkuburan, pembangunan Sekolah Agama Rakyat dan program-program sambutan kebesaran Islam?, ” ujar beliau.

Tambah Zairil, dengan fitnah dan tuduhan yang melampau ini, peranan Hasan Ali sebagai musuh dalam selimut sudah tidak diragui.

“Sesungguhnya seseorang yang begitu cepat berpaling tadah dan menyongsangkan pendiriannya tidak layak dipercayai,” katanya.

Categories
NASIONAL

Muslimat PAS Gesa Hasan ‘Perangi’ Penyelewangan Kelab Taat Suami

SHAH ALAM, 27 JAN : Dewan Muslimat PAS Selangor menggesa bekas ahlinya Datuk Dr Hasan Ali supaya menumpukan gerak kerja ‘memerangi’ Kelab Taat Suami yang menganjurkan forum Rasullullah Tokoh Seks Suci Islam jika benar-benar ikhlas memperjuangkan Islam, tegas Ketuanya Wan Hasrina Wan Hassan.

Bagi kami Dewan Muslimat, saya rasa (ia) medan Dr Hasan Ali sepatutnya bertempur dengan Kelab Taat Suami, bukannya dia hentam PAS sebab dari sudut ini, kita tengok dari segi penyelewangan akidah itu.

“(Beliau) nak memperjuangkan akidah,” ujar Hasrina dalam sidang media yang diadakan di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam menjawab soalan berhubung serbuan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) terhadap Kelab Taat Suami yang menganjurkan forum Rasullullah Tokoh Seks Suci Islam.

Dilaporkan jabatan itu menyerbu sebuah banglo mewah di Ipoh di mana kelab tersebut menganjurkan forum kempen itu menyebabkan lima puluh hadirin dari KTS dan Global Ikhwan Sdn Bhd dilaporkan tergamam dengan serbuan 10 anggota penguatkuasa JAIPk.

Sebelum itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Dr Abd Rani Osman berkata pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan kelab berkenaan menjadikan Rasulullah SAW sebagai tokoh seks.

“Adakah diletakkan imej Rasulullah SAW itu, imej yang bersih, diletakkan sebagai tokoh seks. Ianya mengarut,” katanya yang juga ADUN Meru.

Beliau juga berharap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memainkan peranan menangani isu ini dengan, jika ianya berlangsung di negeri itu.

Categories
NASIONAL

PAS Selangor Dedah Punca Hasan Ali Lempar Tuduhan Liar

SHAH ALAM 27 JAN : PAS Selangor hari ini mendedahkan punca kemarahan Datuk Dr Hasan Ali terhadap parti Islam itu sehingga sanggup membuat tuduhan liar dan mempertikaikan dasar parti itu.

Puncanya ialah kehilangan jawatan dan kedudukan di dalam PAS Selangor, dedah Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor Hasbullah Mohd Ridzwan yang membacakan kenyataan media semasa sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

“Kemarahan beliau(Hasan) terhadap PAS semakin melonjak apabila diketahui beliau tidak dicalonkan oleh PAS Gombak untuk kerusi Gombak Setia dalam PRU-13 walaupun dijelaskan keputusan itu bukan muktamad.

“Semenjak itu beliau mula mengambil sikap menyendiri dan mempertikaikan keseluruhan perjalanan PAS. Beliau mendakwa PAS tidak lagi dikuasai golongan ulama sedangkan amat jelas tindakan beliau sendiri melanggar nasihat dan arahan ulama di dalam PAS. Kalau ada yang membelakangkan ulama,ianya dirinya sendiri dan bukan PAS,” kata Hasbullah.

Tambah Hasbulllah, kedudukan Ulama dan PAS terjamin dan diinstitusikan di dalam perlembagaannya melalui kewujudan Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama di mana kedudukan ini jauh lebih mulia dan terunggul berbanding Ulama di dalam Umno yang mana hanya disediakan Biro Agama yang setaraf dengan Biro Sukan.

“Dasar perjuangan PAS juga tidak berubah seperti terbukti dengan tiadanya apa-apa pindaan yang dibuat ke atas perlembagaannya. Adalah ‘common sense’ atau kefahaman asas bahawa sekiranya dasar sesebuah parti ingin ditukar,maka perlembagaannya perlu diubah,” ujarnya.

Justeru, rakyat diseru tidak tertipu dengan kata-kata nista daripada Hasan yang diberi galakan dan sokongan dari Umno-BN atas sebab-sebab kepentingan politik mereka.

“Umum menyedari,dalam soal merosakkan seseorang individu tiada yang lebih hebat dari Umno,dalam kes Dr Hasan Ali adalah bukti akan kehebatan Umno dalam soal ini,” ujarnya.

Sidang media itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungib dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor Wan Hasrina Wan Hassan.

Categories
SELANGOR

MB Selangor Telah Terima Surat Dari Hasan Ali

SHAH ALAM, 18 JAN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan bahawa beliau ada menerima surat daripada Datuk Dr Hasan Ali yang berpendapat bahawa pelantikan Dr Ahmad Yunus sebagai exco baru mungkin terlalu awal kerana beliau masih mempunyai ruang untuk merayu kepada Majlis Syura PAS.

Menurut Abdul Khalid, beliau telahpun membalas surat tersebut dengan menyatakan keputusan untuk menggugurkan Hasan adalah lanjutan dari keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 8 Januari lalu yang melucutkan beliau sebagai ahli PAS.

“Surat dari jawatankuasa PAS bertarikh 10 Januari 2012 telah mengesahkan keputusan pemecatan beliau berkuatkuasa serta merta dan isu rayuan tidak dinyatakan dalam surat berkenaan.

Proses rayuan adalah amalan yang dipraktikkan oleh PAS sebagai sebuah parti politik dan saya percaya ia tidak bermaksud memberi sebarang prasangka kepada kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Justeru, Abdul Khalid berharap supaya bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dapat menerima keputusan ini dengan berlapang dada dan bersikap terbuka.

Beliau dalam pada itu turut mengambil kesempatan dengan mengucapkan terima kasih di atas peranan yang dilaksanakan Hasan ketika berkhidmat sebagai ahli MMKN.

“Akhirnya kerajaan negeri amat menghargai segala nasihat dan pandangan yang diberikan DYMM Sultan Selangor dalam mengendalikan isu melibatkan pelantikan ahli MMKN ini.

Saya berharap dengan sempurnya pelantikan ini, akan menguatkan lagi barisan pimpinan negeri Selangor dalam melaksanakan reformasi pentadbiran dan pengurusan negeri,” jelasnya.

Hasan sebelum ini diminta mengosongkan jawatan exco Selangor kerana beliau telah dipecat daripada PAS pada 8 Jan dan dengan itu, tidak lagi mewakili parti berkenaan dalam kerajaan negeri.

Adun Gombak Setia itu dipecat daripada PAS kerana tindakannya yang dikatakan menyalahi dan merugikan kepentingan parti itu.

Tarikh rayuan Hasan kepada PAS tamat 7 Februari ini.

Categories
SELANGOR

MB Tunggu Keputusan PAS Untuk Ganti Hasan

KLANG, 10 JAN : Kerajaan Negeri masih menunggu keputusan PAS berhubung calon untuk dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam bagi menggantikan Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat dari parti itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, selaku anggota parti gabungan Pakatan Rakyat (PR), pihaknya menghormati keputusan dibuat PAS berhubung pemecatan itu dan pelantikan ke jawatan Exco perlu dilakukan kerana Dr Hasan kini bukan lagi mewakili PAS.

“Boleh jadi hari ini kita akan menerima beberapa keputusan yang dibuat oleh pihak PAS,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Seminar Kelestarian Pemuliharaan Sumber Air Dan Memperkasakan Pemakaian Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 di sini hari ini.

Selaku Menteri Besar, beliau akan meneliti nama calon dicadangkan dan membuat keputusan selepas persetujuan dicapai dan mengemukakannya kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk diperkenankan.

Katanya, sebagai seorang yang tidak lagi mewakili sebarang parti, Dr Hasan sebagai ‘gentlemen’ perlu meletak jawatan kerana pelantikannya adalah berdasarkan kapasiti PAS.

“Sebagai Menteri Besar yang mewakili Pakatan Rakyat sudah tentulah saya hanya menerima mereka yang diterima dan dilantik atau dicadangkan oleh parti tersebut. Ini berlaku bukan saja untuk Pakatan Rakyat tetapi Barisan Nasional pun berlaku contohnya terjadi perubahan dari segi (pelantikan) Presiden MCA dan MIC.

“PAS telah meminta beliau meninggalkan parti dan itu keputusan telah dibuat. Jadi kalau itu berlaku kalau orang disuruh meninggalkan parti maka dia tidak mewakili partilah,” katanya.

Abdul Khalid juga berkata, isu menggantikan Dr Hasan sebagai Exco juga tiada kaitan dengan prestasinya kerana dia dipecat oleh PAS.

Categories
SELANGOR

MB : Hasan Ali Dinasihat Lepas Jawatan Exco

SHAH ALAM 9 JAN: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan Datuk Dr Hasan Ali melepaskan jawatan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri secara sukarela.

Menurut satu kenyataan Menteri Besar berkata demikian setelah mendapat nasihat daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.

“Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri telah menasihatkan bahawa Dato’ Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menggugurkan Dr Hasan sebagai ahli Exco kerana beliau tidak lagi mewakili PAS dalam Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat,” katanya sambil menegaskan pihaknya menghormati keputusan PAS memecat Dr Hasan.

Namun begitu, Menteri Besar menyeru supaya Dr Hasan melepaskan jawatannya secara sukarela kerana adalah amat jelas beliau tidak lagi mewakili PAS.

“Saya berpendapat beliau sebagai seorang ‘gengtleman’ perlu melepaskan jawatan ahli Exco secara sukarela kerana ini adalah untuk kebaikan beliau sendiri dan mereka yang terlibat,” kata Menteri Besar.

Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga berpandangan bahawa meskipun perkenan DYMM Sultan Selangor diperlukan dalam pelantikan Ahli Exco, namun perkenan DYMM Sultan tidak diperlukan untuk pelucutan atau pengguguran jawatan Exco.

Menteri Besar akan mengadap DYMM Sultan Selangor pada Jumaat ini untuk memberi taklimat kepada baginda berhubung perkembangan terbaharu dan berbincang dengan baginda mengenai calon-calon penganti yang sesuai bagi jawatan Exco.

Categories
SELANGOR

Hotel Bajet Jadi Tumpuan Maksiat Sambut Tahun Baru

SHAH ALAM, 5 JAN: Hotel bajet dan beberapa pusat hiburan di sekitar Selangor menjadi tumpuan utama dalam Operasi Khas Anti Zina Sempena Sambutan Tahun Baru 2012.

Operasi yang diketuai oleh Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali bersama Bahagian penguatkuasa Jais dan Pihak Berkuasa tempatan serta polis.

Datuk Hassan dalam sidang medianya memaklumkan, operasi melibatkan semua 9 daerah di Selangor dengan Operasi Cegah Arak di pusat hiburan manakala hotel bajet untuk Operasi Khalwat dan Zina yang bermula selepas jam 12.00 pagi dan tamat sekitar jam 5.00 pagi.

“Dalam operasi yang dibuat, adalah jelas bahawa hotel-hotel bajet telah dijadikan tempat melakukan maksiat paling popular dikalangan mereka yang terlibat. Untuk semua daerah, kerjasama pemilik dan kakitagan hotel yang terlibat bolehlah dikatakan memuaskan walaupun pada peringkat awalnya terdapat percubaan untuk melindungi penginap-penginap hotel tersebut,” katanya.

Seramai 18 orang ditahan yang terdiri daripada 12 orang lelaki dan 6 orang perempuan dalam operasi cegah arak yang dilakukan di dua pusat hiburan yang terletak di Damansara dan Petaling Jaya pada malam 30 Disember 2011.

“Melalui ujian yang dibuat, mereka yang boleh disabitkan kesalahan meminum arak akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah sementara 69 orang lagi yang memerlukan khidmat kaunseling, mereka akan diminta memberi keterangan dan menjalani sesi kaunseling pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, operasi mencegah khalwat dan zina dibuat pada awal pagi tahun baru 2012, seramai 234 orang telah ditahan.

Mereka terdiri daripada 119 pasangan melibatkan 127 lelaki dan 107 Wanita.

Daerah Gombak mencatatkan jumlah yang ditahan paling tinggi dengan 74 orang (37 pasangan), Klang 28 orang (14 pasangan), Hulu Selangor 27 orang (13 Pasangan) dan Hulu Langat 20 orang (10 pasangan). Mereka yang ditahan berada dalam lingkungan umur 16 tahun hingga ke 50 tahun.

“Sebagai pihak bertanggungjawab, saya akan mengadakan mesyuarat khas membincangkan oeprasi yang telah dilakukan. Saya juga akan mengemukakan beberapa cadangan hasil daripada perbincangan yang bakal diadakan kepada pihak berkuasa supaya masalah jenayah Syariah ini dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Mereka yang terlibat akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada 12 dan 13 Januari sementara tarikh untuk mereka hadir ke sesi kaunseling akan dimaklumkan kemudian.

Kedua-dua operasi ini dilakukan sebagai langkah menguatkuasakan Seksyen 18 (Minuman Yang Memabukkan) dan Seksyen 29 (Khalwat) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.