Categories
SELANGOR

MB : Kerajaan Negeri Terima 5,000 Permohonan Miliki Kediaman

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri Selangor sudah menerima 5,000 permohonan daripada rakyat Selangor yang memohon bagi memiliki kediaman dengan bayaran premium yang fleksibel dalam Skim Pemilikan Kediaman Persendirian.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah itu berdasarkan setakat perlaksaan skim itu tahun lalu.

Beliau berkata melalui skim ini, rakyat yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan premium tanah boleh menjadi pemilik hartanah yang sah dengan hanya membayar bayaran sejumlah RM1,000.

“Pemohon akan diberi pilihan sama ada untuk menjelaskan bayaran premium tersebut secara sekaligus dengan diskaun sebanyak 30% atau bayaran nominal sebanyak RM1,000.00 dalam tempoh (6) bulan daripada Notis Borang 5A berkuatkuasa,” katanya yang menjawab soalan Adun Morib (BN), Hasiman Sidom.

Jelasnya, mereka yang memilih cara ini perlu menjelaskan keseluruhan premium (mengikut harga semasa) jika hartanah itu dipindah milik, dipajak atau digadai.

“Kita dapati begitu ramai penduduk di Selangor yang masih lagi menumpang di atasa tanah TOL (temporary occupancy license)sebagai peneroka dan sesetengah daripada mereka sudah tinggal di tanah itu lebih 10 tahun.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri melihat dan membuat kaji selidik sebagai satu usaha supaya mereka berpeluang memiliki tapak rumah tersebut,” katanya

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga meluluskan lebih enam ekar tanah kepada pemohon dalam Skim itu.