Categories
NASIONAL

Kumpul RM50,000 melalui kayuhan solo wakaf

SHAH ALAM, 15 SEP : Penulis lirik, Buddhi Hekayat bakal memulakan Kayuhan Solo Wakaf bermula 16 hingga 18 September ini bagi mengumpul dana sebanyak RM50,000.

Buddhi atau nama sebenarnya Hasmi Hashim, berkata ia bertujuan membantu Sekolah Rendah Islam Al-Anwar menyewa bangunan tinggalan kolej lama yang dilengkapi bilik pembelajaran.

Katanya bayaran pendahuluan untuk sewaan bangunan itu perlu dijelaskan sebelum 28 September ini.

solo basikal1“Jika wang pendahuluan itu gagal dilunaskan pada tarikh berkenaan, maka pihak sekolah akan hilang kesempatan untuk mendapatkan bangunan dan bilik darjah yang siap sedia.

“Kos pengubahsuai bilik darjah baru di bangunan lain akan lebih memakan kos yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya kayuhan itu akan bermula dari Sungai Pelek dengan melalui beberapa pekan dan bandar kecil seperti Tanjong Sepat dan Banting menuju ke sekolah berkenaan di Putra Height.

Beliau dijangka sampai ke sekolah berkenaan pada petang Jumaat, 18 September melalui kayuhan pagi dan petang setiap hari.

“Sepanjang kayuhan ini juga, saya dengan kerjasama pihak sekolah akan membuat pengumuman terkini jumlah wang yang terkumpul setiap hari melalui akaun Twitter dan Facebook saya.

“Jika jumlah yang terkumpul melebihi sasaran, lebihan berkenaan akan disumbangkan ke Sekolah Tahfiz Al-Bayan, yang diselenggara Amy Search,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan terus wang tunai atau cek ke akaun Sekolah Rendah Islam Al-Anwar di akaun Bank Hong Heong: 22100003950.

EZY