Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

100 keluarga mangsa banjir di Morib sudah terima bantuan RM1,000

KUALA LANGAT, 5 JAN: Lebih 800 borang permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) untuk mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib dihantar kepada pejabat daerah dan tanah, kata wakil rakyat Morib.

Hasnul Baharuddin berkata setakat ini kira-kira 100 keluarga di DUN Morib sudah menerima bantuan RM1,000 yang dikhaskan itu.

“Mereka yang belum berbuat demikian dinasihatkan untuk pergi ke pusat pendaftaran yang dibuka di Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sri Jugra dan Balai Penghulu Morib Kelanang.

“Pusat pendaftaran ini dibuka sehingga 31 Januari dan mereka yang terkesan boleh datang ke balai penghulu untuk rujukan,” katanya ditemui selepas meninjau dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang di sini semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnul Baharuddin bercakap kepada Media Selangor selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang, Kuala Langat pada 4 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF /SELANGORKINI

Pada 21 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah lebih dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari ini.

Categories
ADN SELANGOR

40 mangsa banjir Banting masih di pusat pemindahan

KUALA LANGAT, 4 JAN: Seramai 40 mangsa banjir di daerah ini masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) akibat hujan lebat sejak kelmarin.

Wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin berkata mangsa dari 12 keluarga itu ditempatkan di Balai Raya Kampung Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang.

“Hujan agak lebat dan faktor fenomena air pasang menyebabkan kediaman di Kampung Sungai Nangka dan Kampung Kelanang dinaiki air tetapi tidak tinggi seperti sebelum ini.

“Kita mengambil beberapa tindakan antaranya menyediakan pam bagi menyedut air untuk mengurangkan limpahan ke kediaman penduduk,” katanya selepas meninjau mangsa banjir di dua PPS tersebut.

Hasnul menambah sistem perparitan di sebahagian besar kawasannya berada dalam keadaan baik manakala Kampung Kelanang, Kanchong Darat dan Kanchong Tengah perlu ditambah baik.

Semalam, paras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat melepasi tahap bahaya (merah) apabila mencatatkan bacaan setinggi 4.34 meter melebihi paras normal 4.20m.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Belanjawan #Selangor2022 terus bela nasib rakyat

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri terus membela nasib rakyat apabila Belanjawan #Selangor2022 banyak memfokuskan program kebajikan dan pembangunan infrastruktur.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang berkata perkara itu sering dinanti masyarakat dan sudah pasti ia disokong dalam membantu ekonomi rakyat.

“Antara yang dinantikan tambah baik program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) yang jumlah bantuan serta penerima ditambah.

“Mungkin ada penambahbaikan dan ada cadangan daripada pihak ADN bagi memantapkan lagi belanjawan dibentang dalam sesi perbahasan nanti,” kata Azmizam Zaman Huri.

Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini semalam.

Dalam pada itu, ADN Morib pula menyambut baik peruntukan untuk kerja pembinaan jalan baharu iaitu jalan sambungan Sungai Kelambu – Genting Sanyen, Kuala Langat berjumlah RM10 juta.

“Jalan baharu ini perlu untuk pembangunan di kawasan tersebut dan memudahkan penduduk. Banyak peruntukan yang terus membela nasib rakyat dan dinaik taraf berbanding sebelum ini terutama berkaitan kesihatan serta anak muda,” kata Hasnul Baharuddin.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor belanja RM16.5 juta bantu B40 luas perniagaan

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Negeri membelanjakan RM16.5 juta bagi membantu 4,811 peserta Blueprint Pembasmian Kemiskinan meningkatkan usaha niaga sejak 2008.

Bantuan meliputi alatan niaga secara percuma dengan syarat tidak melebihi RM5,000 bagi menambah baik prestasi mereka, kata wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin.

Beliau berkata bantuan termasuk mesin jahit, peti sejuk, ketuhar, dapur tungku bergerak, perkakas membaiki basikal dan mesin pengisar buah-buahan bersaiz gergasi.

Turut diberikan ialah komputer riba, mesin khas pengupas dan pemotong bawang, peralatan set meja, kerusi dan payung penjaja.

“Umumnya melalui program ini, Kerajaan Negeri membantu membeli alatan diperlukan peniaga yang disaring dan layak untuk meningkatkan lagi prestasi perniagaan masing-masing,” katanya di Facebook.

Program Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor menyasar golongan miskin dan berpendapatan rendah (B40) yang mempunyai kemahiran untuk berniaga.

Antara perusahaan yang boleh diceburi termasuk jahitan, perniagaan runcit, perniagaan makanan, pengasuh kanak-kanak, perusahaan kecil dan kraftangan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Morib bawa isu rumah terbengkalai ke sidang Dewan Negeri

SHAH ALAM, 24 OGOS : Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib akan membawa isu rumah terbengkalai di kawasannya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ini.

Hasnul Baharuddin berkata selain itu, isu pandemik Covid-19 turut menjadi keutamaan untuk dibahas meskipun angka kes wabak di Morib tidak terlalu tinggi.

“Selaku timbalan speaker DNS, ruang untuk saya berbahas agak terbatas tetapi saya akan perjuangkan mengenai isu rumah terbengkalai dan ladang dusun durian.

“Malah kebajikan rakyat yang terkesan disebabkan Covid-19 juga diambil perhatian,” katanya menerusi rancangan bual bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam tadi

Persidangan penuh DNS dijadualkan berlangsung sembilan hari di Bangunan Annex di sini, bermula kelmarin hingga 6 September.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-14 mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.

Siaran langsung perbahasan wakil rakyat boleh diikuti menerusi https://selangortv.my/ dan https://www.facebook.com/MediaSelangor. Laporan ucapan dan perbahasan pula boleh diikuti melalui portal selangorkini.my.

Categories
ADN SELANGOR

85 peratus individu dewasa di Kuala Langat telah divaksin

SHAH ALAM, 24 OGOS: Sebanyak 85 peratus individu dewasa di Kuala Langat telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib berkata biarpun angka direkodkan itu tinggi namun pihaknya akan berusaha untuk menjejaki baki 15 peratus yang belum berbuat demikian.

“Kita akan cuba mengesan dan melihat kenapa mereka tidak disuntik, mungkin segelintirnya terlantar sakit dan sukar untuk ke pusat pemberian vaksin.

“Malah, ada juga mungkin anti-vaksin. Kerajaan Negeri akan berusaha untuk menjejakinya bagi memastikan 100 peratus individu mendapat suntikan,” kata Hasnul Baharuddin.

Beliau berkata demikian menerusi rancangan Bual Bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam ini.

Pada masa sama, Hasnul berkata Kementerian Kesihatan Malaysia juga perlu menyegerakan pemberian vaksin kepada individu berusia 18 tahun ke bawah.

“Suntikan kepada pelajar ini harus disegerakan supaya ia akan memberi perlindungan dan kurangkan risiko dijangkiti apabila sekolah dibuka kelak,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Ahli politik harus galas mandat rakyat, patuh titah Sultan

SHAH ALAM, 24 OGOS: Semua ahli politik harus bertanggungjawab dan melaksanakan tugas mengikut mandat rakyat, kata timbalan speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Hasnul Baharuddin berkata perebutan kuasa tidak seharusnya berlaku dan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor semalam harus menjadi ingatan.

“Sudah tentu titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkait dengan suasana DNS meskipun kemungkinan untuk berlaku perebutan kuasa itu amat rendah tetapi ingatan Tuanku perlu dipatuhi.

“Setiap ahli politik harus bertanggungjawab dan melaksana tugas mengikut mandat rakyat…sebagai wakil rakyat kita perlu menumpukan usaha menangani penularan wabak Covid-19,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib berkata demikian menerusi rancangan Bual Bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor, malam ini.

Semalam, Sultan Selangor ketika bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DNS ke-14 mengingatkan ahli politik supaya tidak merebut kuasa hingga mengabaikan tanggungjawab membela rakyat.

Baginda bertitah rakyat terpaksa menanggung kesusahan apabila keadaan politik tidak stabil akibat perebutan kuasa.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Morib bantu 70 keluarga susah sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 20 JULAI: Seramai 70 keluarga sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerima bantuan makanan asas dan basah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Ahli Dewan Negerinya Hasnul Baharuddin berkata sumbangan melalui Misi Ziarah Kasih Aidiladha untuk membantu masyarakat Kampung Bandar yang memerlukan.

“Misi kali ini menggunakan kenderaan roda tiga bagi memudahkan bantuan diberi kepada penerima yang umumnya tinggal berhampiran satu sama lain.

“Usaha ini diharap dapat meringankan beban keluarga yang mempunyai punca pendapatan atau sumber kewangan isi rumah rendah,” katanya menerusi Facebook semalam.

Hasnul yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri mengagihkan bantuan bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bandar Abdullah Sani Sahbudin .

Beliau berkata gandingan bersama pusat khidmat masyarakat dan pihak MPKK juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan sumbangan kepada penerima.

“Selain membantu, kita juga dapat mendengar luahan penduduk mengenai situasi semasa,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Morib agih makanan sejuk beku bantu penduduk terjejas PKP

SHAH ALAM, 12 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menyediakan 500 pek makanan bagi membantu penduduk yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Wakil rakyatnya Hasnul Baharuddin berkata selain makanan asas seperti beras, gula, biskut dan minyak masak, pek makanan itu turut diisi makanan sejuk beku.

“Kita beri kelainan untuk kali ini. Setakat ini, jumlah diagihkan tidak banyak, mungkin penduduk telah membuat persediaan.

“Bagaimanapun, kita jangka permohonan bakul makanan akan meningkat kerana PKP disambung,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Hasnul berkata sebanyak 100 bakul makanan diagihkan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah dalam tempoh sebulan.

“Kita faham mereka tidak boleh keluar kerana mahu kekang penularan pandemik. Jadi, kita bantu meringankan beban mereka,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKP dilanjutkan dua minggu lagi mulai 15 hingga 28 Jun susulan kes Covid-19 melebihi 5,000 sehari.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Morib serah katil mudah laras untuk pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 11 JUN: Wakil rakyat Morib semalam menyerahkan dua unit katil mudah laras untuk kegunaan pesakit Covid-19 di Hospital Banting.

Hasnul Baharuddin berkata katil tiga fungsi berharga RM2,200 seunit hasil sumbangan Persatuan Keluarga Haji Salleh Mualim 1909 (PKHSM).

“Saya difahamkan persatuan terbabit menggerakkan inisiatif ini selepas menyedari ketidaktentuan bilangan pesakit Covid-19 di Kuala Langat sejak kebelakangan ini.

“Justeru, usaha murni dijalankan persatuan ini dengan mengutip dana daripada ahli mereka wajar dipuji,” katanya yang menyerahkan bantuan itu kepada pengarah hospital Dr Fakhruddin Amran.

Sementara itu, timbalan pengerusi PKHSM dalam kenyataan memaklumkan dana tersebut dikutip sejak Ramadan lalu melalui Tabung Infaq yang dilancar biro kebajikannya.

“Selain digunakan untuk membeli kemudahan itu, sumbangan juga diagih kepada pesakit kronik, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), asnaf, fakir miskin dan anak yatim,” kata Norhisham Othman.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Penduduk susah sekitar Morib dapat bantuan makanan

MORIB, 3 APRIL: Sebanyak 200 pek makanan segar diagihkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Morib bagi meringankan beban mereka.

Wakil rakyatnya berkata sumbangan bernilai RM5,000 meliputi ayam mentah dan sayuran membantu golongan terkesan mendepani kesan perintah kawalan.

“Semua makanan segar ini kita dapat daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Kita harap sumbangan ini sekurang-kurangnya menjimatkan perbelanjaan makanan asas mereka dalam tempoh satu ke dua minggu,” kata Hasnul Baharuddin pada program di Balai Raya MPKK Seri Jugra.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu.

Hasnul, yang juga timbalan speaker Dewan Negeri Selangor turut bercadang meneruskan program terbabit untuk membantu lebih ramai golongan memerlukan.

Menerusi Pakej Kita Selangor yang diumum pada 20 Januari, sejumlah RM100,000 diperuntuk kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi melaksanakan program Mesra Rakyat.

Ahli parlimen negeri ini turut mendapat manfaat RM50,000 bagi tujuan sama. Program meliputi perolehan bekalan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan makanan dalam tin yang boleh diagih secara terus.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Morib sumbang RM58,000 bantu masjid, surau terjejas PKP

SHAH ALAM, 19 MAC: Sebanyak 48 masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerima sumbangan berjumlah RM58,000.

Bantuan melalui peruntukan DUN dikhususkan kepada rumah ibadat yang terjejas pendapatan berikutan penangguhan aktiviti imarah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin berkata sebanyak RM2,000 diagihkan kepada 10 masjid sementara 38 surau menerima RM1,000 setiap satu.

“Sumbangan dikreditkan ke akaun bank penerima bagi kategori masjid manakala selebihnya diproses secara berperingkat. Diharap sumbangan meringankan beban institusi untuk menjelaskan bil utiliti dan keperluan kecil,” tulisnya di Facebook.

Masjid terpilih ialah Masjid Al Muttaqin Kampung Permatang Pasir, Masjid Sultan Abdul Samad Seri Jugra,Masjid Al Islah Kampung Sawah dan Masjid Al Istiqomah Kampung Sungai Buaya.

Selain itu, Masjid At Taqwa Pekan Banting, Masjid Diraja Sulan Alaeddin Kampung Bandar, Masjid Al Azim Kampung Kelanang dan Masjid As Solihin Kampung Kanchong Darat.

Turut menerima sumbangan ialah Masjid Jamek Jamaiyah Kampung Morib dan Masjid An Nur Kampung Kanchong Tengah.