Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor lulus pelaburan sektor pembuatan RM17 bilion pada 2019

RAWANG, 9 OKT: Sejumlah RM17 bilion nilai pelaburan sektor pembuatan diluluskan tahun lalu di Selangor, tertinggi dalam negara.

Ketua pengarah eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) berkata nilai itu merangkumi 315 projek dan mewujudkan 21,085 peluang pekerjaan.

“Pelaburan domestik dan luar negara menjadi kejayaan ekonomi Selangor sekali gus menawarkan peluang pekerjaan yang menjamin penduduk negeri ini,” kata Dato’ Hassan Azhari Idris ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Hab Pengedaran Berpusat Daikin Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, pelbagai inisiatif dilakukan Kerajaan Selangor bagi menarik pelabur dan meyakinkan mereka negeri ini destinasi tepat pada peringkat pasaran tempatan serta global.

“Ini termasuk tumpuan terhadap pengurusan proses permohonan bagi memudahkan urusan pelabur yang ditambah baik dan dipermudahkan,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor menyumbang 24.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, kekal tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.

Beliau berkata angka tersebut meningkat 0.5 peratus berbanding 23.7 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama, dua tahun lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rugi jika kerja kuat tetapi solat tinggal – Allahyarham Hassan Azhari

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OKT: Hajat Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari untuk meninggal dunia di Mekah tidak kesampaian kerana faktor kesihatan.

Anak sulung Allahyarham yang juga Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa berkata, keluarganya tidak membenarkan Allahyarham kembali ke Mekah kerana faktor kesihatannya yang semakin merosot.

Katanya, Allahyarham turut meminta untuk sujud syukur kerana diberikan usia yang panjang.

“Allahyarham sujud dalam 15 minit, dia minta ampun kepada Allah dan bersyukur umur dia panjang, ada keluarga dan anak yang baik selepas itu dia tidak boleh bercakap.

“Allahyarham berhajat untuk meninggal di sana tetapi kami tidak mengizinkannya. Ramai saudara mara kami di sana. Saya sudah maklumkannya pemergiannya,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham, di sini.

Selain berasa sedih dan terasa kehilangannya, Musa bersyukur kerana Allahyarham pergi dalam keadaan baik.

Sementara itu, Pelakon, Dato’ Jalaluddin yang merupakan anak ketiga Allahyarham menyifatkan kehilangan besar pemergiaan Allahyarham.

Katanya, Allahyarham merupakan seorang ayah yang tegas namun lemah lembut dalam mendidik anak-anaknya.

“Dia sangat tegas lebih lagi dalam hal agama. Solat dan Al-Quran merupakan perkara yang paling dititik-beratkan. Arwah selalu berpesan supaya tidak meninggalkan solat.

“Katanya, rugi jika bekerja kuat tetapi solat kita tinggal, itu yang memberi kesan mendalam kepada diri saya.

“Ketika masih kecil, kami dipukul dengan kain dan disimbah air supaya bangun menunaikan solat,” katanya.

Beliau berkata, ketika mula menjadi insan seni, Allahyarham menentangnya namun, dapat menerimanya sambil berpesan sentiasa menjaga batas dan adab sopan sesama manusia.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Negara hilang ‘permata’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan rasa sedih atas kehilangan permata dalam bidang keagamaan, Tan Sri Hassan Azhari.

Beliau menyifatkan, pemergian Allahyarham juga meninggalkan kesan di setiap jiwa rakyat Malaysia khususnya.

Katanya, atas perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Allahyarham dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.

“Allahyarham merupakan guru agama kepada keluarga Istana termasuk Tuanku sejak zaman Nenda, bapa dan Tuanku sendiri.

“Atas jasa-jasa ini, Tuanku memberi perkenan dikebumikan di sini sesuai dengan sumbangannya kepada negara.

“Saya mewakili rakyat Selangor mengucapkan takziah atas pemergiaan Allahyarham. Semoga keluarga diberikan kesabaran menghadapi ujian dan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham, di sini.

Amirudin berkata, sumbangan Allahyarham sebagai tokoh agama yang bermula ketika aktif berdakwah menerusi rancangan televisyen Muqadam tidak dapat dilupakan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 9.40 pagi tadi di Makam DiRaja, Shah Alam.

DYMM Sultan Selangor, turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Allahyarham sebelum itu meninggal dunia pada pukul 5.07 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana menghidap kanser limfoma tahap empat.

Allahyarham juga merupakan bapa kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pelakon terkenal tanah air, Datuk Jalaluddin Hassan serta Bekas Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Dato’ Fuad Hassan.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan berangkat pengebumian Allahyarham Hassan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan hadir ke pengebumian jenazah pengajar rancangan Muqaddam yang popular sekitar awal 1970-an, Allahyarham Tan Sri Hassan Azhari.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 9.40 pagi tadi di Makam DiRaja, Shah Alam.

Hadir mengiringi Baginda, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Kira-kira 300 keluarga dan kenalan serta anak muridnya hadir ke majlis pengebumian itu dan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut kelihatan di Masjid Negeri.

Terdahulu, Allahyarham disolatkan di Masjid Negeri yang diimamkan anaknya, Prof Madya Dr Rauf.

Allahyarham sebelum itu meninggal dunia pada pukul 5.07 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana menghidap kanser limfoma tahap empat.

Allahyarham dimasukkan ke HKL Ahad lalu selepas disahkan menghidap penyakit itu.

Allahyarham Hassan, 90, menjadi pengajar rancangan Muqaddam selama lapan tahun di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1970-an.

Tokoh Maal Hijrah 2002 itu juga pernah melaungkan azan semasa menyambut kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham juga merupakan hakim pertandingan Tilawah al-Quran paling lama berkhidmat dalam negara selama 46 tahun.

Allahyarham juga merupakan bapa kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pelakon terkenal tanah air, Datuk Jalaluddin Hassan serta Bekas Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Dato’ Fuad Hassan.