Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Bandar Perubatan UKM bantu perkasa industri kesihatan, ekonomi negara

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Malaysia dijangka mempunyai sebuah bandar perubatan bertaraf antarabangsa dalam tempoh 10 tahun akan datang menerusi projek ‘Health Technopolis’ yang diterajui oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Projek itu membabitkan dua tapak, iaitu Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) di Bandar Tun Razak, Cheras dan di Jalan Temerloh di sini, dengan masing-masing berkeluasan 60 ekar (24 hektar).

HCTM kini menempatkan dua pusat perubatan dan satu institusi penyelidikan iaitu UKM Specialist Centre, Hospital Pakar Kanak-kanak dan Institut Perubatan Molekul (UMBI), selain kampus perubatan dan kesihatannya serta Hospital Rehabilitasi Cheras yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari situ.

Tapak UKM di Jalan Temerloh pula menempatkan Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan UKM, namun kedudukannya strategik kerana berhampiran Hospital Kuala Lumpur, Pusat Darah Negara, Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Pakar KPJ Tawakkal dan Institut Perubatan Respiratori, selain Klinik Kesihatan Kuala Lumpur.

Diinspirasi oleh hab terkemuka dunia

Mengulas mengenai projek itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali yang mencetuskan idea tersebut pada 2014, berkata pembangunan UKM Health Technopolis dirancang berdasarkan prinsip utama untuk meningkatkan keupayaan sistem perubatan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Noor Azlan yang pernah berkhidmat sebagai Naib Canselor UKM dari 2014 hingga 2018, berkata beliau mendapat inspirasi daripada lawatan ke beberapa pusat sedemikian di seluruh dunia, antaranya teknopolis di Ankara, Turki (Turkiye).

“Ketika itu saya baru sahaja dilantik sebagai Naib Canselor (UKM). Selepas lawatan itu, idea mula dicetuskan bagi mengembangkan peranan universiti bukan sahaja sebagai pusat akademik untuk melahirkan graduan tetapi juga ejen utama pertumbuhan dalam perkembangan ekonomi, melibatkan semua warga universiti.

“Jika dilihat pada konsep teknopolis itu, secara fizikalnya semua kemudahan perlu berdekatan walaupun penyelidikan dan pembangunan perubatan digital boleh dilakukan secara maya menerusi kerjasama dengan sektor korporat,” jelas pakar ekonomi dan kewangan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum ‘Bandar Perubatan diterajui oleh Universiti: Mimpi atau Realiti’ anjuran UKM di UMBI baru-baru ini.

Seorang lagi ahli panel, Felow Penyelidik Utama UMBI Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal berkata pembangunan bandar perubatan itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama membabitkan pemindahan tiga fakulti, iaitu Sains Kesihatan, Farmasi dan Pergigian dari kampus di Jalan Raja Muda, Kampung Baru di sini ke HTCM.

“Sekarang kami sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan untuk mengendalikan sepenuhnya aspek kewangan dan pembiayaan projek ‘UKM Health Technopolis’,” katanya, menambah mereka tidak akan meminta peruntukan daripada kerajaan untuk membiayai projek tersebut.

Konsep Mayo Clinic

Menurut beliau, UKM mahu menjadikan bandar perubatan itu bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan perubatan tetapi juga untuk menarik pelaburan tempatan dan asing bagi membangunkan inovasi teknologi perubatan.

“Kami perlu pamerkan kelebihan kami di Malaysia kepada para pelabur dalam bidang teknologi dan kesihatan supaya ‘health technopolis’ dapat menjadi ikon dalam rujukan, sekali gus menarik lebih ramai pakar-pakar terkemuka untuk datang mendapatkan latihan di sini.

“Mengambil model Mayo Clinic, jika ada penyakit yang orang lain tidak boleh rawat, ‘go to Mayo Clinic’, itulah slogan yang mahu kami capai untuk ‘health technopolis’ ini yang akan mempunyai pelbagai kepakaran,” jelasnya.

(Mayo Clinic ialah pusat perubatan akademik bukan keuntungan berpusat di Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada amalan klinikal, pendidikan dan penyelidikan bersepadu yang mengkhususkan dalam merawat kes-kes sukar melalui rawatan tertiari dan ubat-ubatan)

Dr A Rahman mengambil contoh penubuhan biopolis di Singapura yang menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi sains bioperubatan dan berjaya menarik perhatian pelabur asing serta menjana ekonomi republik tersebut.

“Mereka merancang lebih lewat daripada kami, namun terlebih dahulu berjaya melaksanakan biopolis dan berjaya menarik lebih 50 syarikat yang menjalankan R&D mereka di situ, termasuk syarikat terkenal dalam farmaseutikal, 60 syarikat pengeluar dan lebih 80 syarikat pemula niaga.

“Namun, kelebihan yang ada pada Malaysia yang tiada di negara jiran kita ialah kepelbagaian etnik dalam percubaan klinikal untuk diabetes dan onkologi yang diwakili oleh tiga kumpulan etnik, sekali gus meletakkan kami sebagai tiga terbaik dalam percubaan klinikal di Asia Pasifik,” jelasnya.

Dr A Rahman yang juga Ketua Projek ‘The Malaysian Cohort’, berkata bagi menjayakan bandar perubatan itu, UKM perlu mengenal pasti bakat-bakat sedia ada dan berusaha membawa mereka ke universiti terkemuka dunia untuk menjalani latihan sementara menunggu projek berkenaan siap.

“Jadi, apabila mereka kembali ke tanah air, mereka sudah menjadi pakar dan sumber rujukan untuk melatih bakat-bakat tempatan dan penyelidik muda sebagai sebahagian daripada ekosistem pusat kecemerlangan di UKM Health Technopolis,” katanya.

Tingkat pelaburan

Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Prof Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata kerajaan dan swasta perlu mengadakan lebih banyak kerjasama untuk mewujudkan pusat kecemerlangan seperti UKM Health Technopolis tersebut.

Ini keran,a katanya buat masa ini belum ada hab perubatan ikonik di Malaysia yang boleh dijadikan rujukan integrasi pelbagai rawatan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang.

“Pada pandangan peribadi saya, pelaburan Malaysia dalam kemudahan perubatan masih belum memadai dan ini sangat ketara apabila pandemik berlaku… kapasiti katil dan unit rawatan rapi tidak mencukupi.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita melihat semula perkara ini sebagai sebuah negara, yang mana pelaburan untuk sistem penjagaan kesihatan harus dijadikan keutamaan, bukan setakat tanggungjawab sosial, tetapi sebagai antara enjin pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata penubuhan pusat kecemerlangan itu bukan sahaja memanfaatkan sektor kesihatan tetapi juga boleh menjadi ikon dalam pelancongan kesihatan negara.

“Kita ada Petronas Twin Towers di Malaysia, namun hingga kini tidak ada dalam bidang hab perubatan, sepertimana Bumrungrad sebagai hab pelancongan kesihatan yang dikenali di Thailand dan Bali International Hospital, Indonesia.

“Mengambil contoh hab pelancongan perubatan di Bali, kerajaan Indonesia sedaya upaya cuba mengehadkan pergerakan rakyat mereka ke luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan, yang membolehkan mereka berjimat kira-kira US$7 bilion (RM29.3 bilion) setahun,” katanya.

-BERNAMA