Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tidak pilih kasih, bantuan negeri manfaat semua kaum

SUBANG JAYA, 15 DIS: Pakej ekonomi negeri yang diumum sejak tahun lalu akibat pandemik Covid-19 membantu pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

EXCO pelancongan turut memuji pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang adil menjaga kebajikan rakyat ketika berdepan suasana sukar.

“Selangor melaksanakan pelbagai program bantuan yang memberi kelebihan kepada rakyat merangkumi
kebajikan orang kelainan upaya, warga emas, bayi, ibu tunggal dan pelajar,” kata Hee Loy Sian.

Beliau bercakap ketika merasmikan sambutan Hari Krismas peringkat negeri di dewan Gereja Full Gospel Tabernacle di sini, yang turut dimeriahkan ratusan hadirin.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan lebih RM1.1 bilion dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi menyediakan lima pakej rangsangan ekonomi untuk membantu rakyat.

Pelan itu meliputi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin berjumlah RM127.78 juta yang memanfaatkan petugas hadapan, peniaga dan mahasiswa pada Mac 2020.

Pakej fasa kedua bernilai RM272 juta diperkenal pada 1 April untuk menangani dampak wabak diikuti Pelan Pemulihan Ekonomi sebanyak RM55.8 juta pada 13 Julai.

Pada 20 Januari tahun ini, Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani perintah kawalan pergerakan 2.0.

Pakej itu sekali lagi diumumkan pada 9 Jun dengan nilai RM551.6 juta bagi membantu golongan berpendapatan rendah, pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

10 kapal berentap dalam kejohanan perlumbaan kapal layar edisi ke-31

PELABUHAN KLANG, 11 DIS: Sebanyak 10 kapal layar berentap dalam The Raja Muda Selangor International Regatta (RMSIR) edisi ke-31 bermula hari ini hingga 18 Disember depan.

Perlumbaan lapan hari itu akan bermula di Pelabuhan Klang dan berakhir di Pulau Langkawi, Kedah.

Pengerusi RMSIR Jeff Harris berkata walaupun hanya disertai pasukan tempatan akibat sekatan perjalanan antarabangsa namun kemeriahan kejohanan perlumbaan kapal layar kedua tertua di Asia itu tetap dirasai.

Menurutnya, ini kerana kejohanan itu bakal diserikan kehadiran atlet olimpik, Khairulnizam Mohd Afendy yang akan mengetuai pasukan Star Sailors League (SSL) yang menggunakan kapal Meraki.

“Kita gembira kejohanan ini dapat dianjurkan semula selepas dibatalkan tahun lalu akibat pandemik Covid-19,” katanya berucap pada majlis pelancaran RMSIR ke-31 di Kelab Kapal Layar Diraja Selangor di sini, semalam.

Kejohanan dilancarkan EXCO Pelancongan, Hee Loy Sian.

Empat perhentian edisi kali ini adalah Pelabuhan Klang, Pulau Pangkor, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

Selain Meraki, kapal lain bertanding dalam kelas satu adalah Uranus dan The Next Factor.

Kelas dua meliputi Insanity, Gloki D Acqua, Nijinsky dan VG Offshore manakala kelas tiga, Marikh dan Dash.

Kapal Candice 11 pula menjadi wakil tunggal bagi kelas empat.

RMSIR yang mula dianjurkan pada 1990 adalah kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan paling sukar di Asia Tenggara.

Ia adalah hasil ilham Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Dato’ Johan Ariff dan Jonathon Muhiudeen.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Perincian warta semula hutan simpan dibentang bulan ini

SHAH ALAM, 9 DIS: Perincian bagi pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dijangka dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bulan ini.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata status terkini merangkumi pembahagian lokasi yang benar-benar terlibat yang sedang dikemas kini oleh beberapa agensi negeri.

“Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat dan Jabatan Perhutanan Selangor perlu bentangkan perincian itu kepada Kerajaan Negeri yang dijangka Disember 2021,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Banting Lau Weng San berhubung status terkini pewartaan HSKLU pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian memaklumkan sekitar 486.2 hektar daripada kawasan HSKLU lulus untuk diwartakan semula selepas mengambil kira keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Proses penyahwartaan HSKLU hanya seluas kira-kira 42 hektar bagi penyelesaian isu milikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru yang tertangguh sejak 2006 dan jajaran laluan paip air mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas kira-kira 8.5 hektar,” katanya.

Pada 8 September, Kerajaan Selangor membatalkan keputusan untuk menyahwarta hutan simpan berkenaan kecuali bagi pemilikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan MMKN juga memutuskan sebahagian kecil kawasan kekal dinyahwarta untuk pertimbangan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Hutan Selangor teliti isu kediaman dalam hutan simpan

SHAH ALAM, 7 DIS: Isu rumah kediaman yang didakwa berada dalam Hutan Simpan Bukit Tarek, Hulu Yam, Hulu Selangor masih dalam penelitian lanjut Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata isu tersebut memerlukan semakan bersama pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Selangor dan pejabat daerah dan tanah terlibat.

Hee berkata maklumat awal diperoleh daripada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor, kawasan yang terlibat iaitu Kampung Muhibbah atau dikenali Kampung Melayu Bukit Tarek, mukim Hulu Yam, Hulu Selangor itu telah diluluskan pemberimilikan bagi tujuan pertanian melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 9/2004.

Jelasnya lagi, kawasan tersebut dikenali sebagai Kawasan Pertanian Kampung Muhibbah Mukim Hulu Yam yang turut tersenarai dalam Projek Dusun Nukleus Pejabat Pertanian Daerah Hulu Selangor.

“Hasil semakan kini, 227 plot telah didaftarkan hak milik dan hanya sebanyak lebih kurang 33 plot sahaja yang terdapat bangunan separa kekal/kekal di mana keseluruhan keluasan kawasan ini adalah seluas 259.434 hektar yang meliputi 228 plot pertanian.

“Merujuk kepada Kertas Ringkasan MMKN ke 9/2004 tersebut, kawasan Kampung Muhibbah ini adalah Tanah Simpanan Hutan yang telah dibatalkan melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor (WKNS) 535-4,” katanya dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) Selangor di sini.

Hee menjawab soalan Lee Kee Hiong (HARAPAN-Kuala Kubu Baharu) yang ingin tahu jumlah rumah kediaman berada di dalam Hutan Simpan Bukit Tarek dan cara penyelesaian setelah laporan media dan dua menteri membuat kenyataan terhadap perkara berkenaan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Permatang Kuarza Gombak dicalon Tapak Geopark Kebangsaan

SHAH ALAM, 6 DIS : Permatang Kuarza Gombak dicalonkan sebagai Tapak Geopark Kebangsaan kerana kepelbagaian warisan dan geologi, kata EXCO alam sekitar dan teknologi hijau.

Hee Loy Sian berkata keputusan tersebut mendapat persetujuan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 29 September lalu.

“Cadangan terperinci berkaitan pengurusan Tapak Geopark ini akan dibentangkan semula oleh PlanMalaysia kepada MMKN yang dijangka Januari tahun depan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong mengenai pemuliharaan Permatang Kuarza Gombak pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurut Loy Sian perunding pakar turut memaklumkan Permatang Kuarza Gombak belum bersedia menjadi Tapak Warisan Dunia (Unesco) sebaliknya berpotensi sebagai Tapak Geopark Kebangsaan.

Katanya, MMKN turut bersetuju mencadangkan 20 tapak di Gombak dan Hulu Langat sebagai Tapak Geopark Kebangsaan yang salah satunya adalah Permatang Kuarza Gombak.

“Penilaian Geopark Gombak-Hulu Langat oleh Panel Pelaksana Geopark Kebangsaan akan diadakan antara April hingga Julai 2022.

“Ini akan diikuti dengan pewartaan Permatang Kuarza Gombak sebagai Tapak Geopark Kebangsaan dalam tahun yang sama,” katanya.

Pada 9 November tahun lalu, Loy Sian berkata Selangor menubuhkan Badan Pengurusan Geopark Gombak dan Hulu Langat sebagai usaha mendapat pengiktirafan Tapak Geopark Kebangsaan.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut berperanan mengumpul maklumat berkaitan 20 kawasan, menyediakan data, melakukan aktiviti promosi dan mengenal pasti agensi berkaitan untuk bekerjasama.

Kawasan tersebut antaranya Permatang Kuarza Gombak Selangor, Tasik Biru Kundang, Batu Kapur Batu Caves, Bukit Tabur, bekas lombong Batu Arang, Granit Bukit Nuang, Granit Bukit Broga, Air Terjun Taman Rimba Komanwel, Air Terjun Sungai Gabai dan Air Terjun Sungai Kanching.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Orang ramai diizin melawat taman eko rimba, lokasi mendaki

PETALING JAYA, 4 DIS: Pengunjung dibenarkan melawat taman eko rimba dan beberapa kawasan pendakian di negeri ini susulan kelonggaran diberikan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).

EXCO pelancongan berkata sebelum ini timbul kekeliruan susulan arahan penutupan semua kawasan hutan simpan bagi aktiviti pendakian mulai 1 Disember lalu berikutan musim tengkujuh dan monsun timur laut.

“Selepas berbincang dengan pengarah perhutanan (Dato’ Ahmad Fadzil Abd Majid), mereka setuju beri kelonggaran dan benarkan beberapa kawasan dibuka seperti taman eko rimba dan kawasan sungai serta air terjun.

“Begitu juga kawasan mendaki seperti Bukit Wawasan di Puchong, saya akan bincang juga supaya Bukit Broga dibuka, bukan semua tempat dilarang,” kata Hee Loy Sian selepas merasmikan pameran pelancongan Pusing Selangor Dulu di sini hari ini.

Sebelum ini, JPNS memaklumkan semua aktiviti pendakian di hutan simpan kekal di negeri ini dilarang berkuat kuasa 1 Disember hingga 31 Januari tahun depan berikutan musim tengkujuh.

Penutupan itu bagi mengelakkan kecederaan atau kemalangan dan mereka yang melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1985.

Sebarang pertanyaan, hubungi talian 03 5547 7000 dan 03 5544 7507 atau e-mel [email protected] .

Categories
EXCO SELANGOR

50 pengusaha dapat geran bantuan rancak semula pelancongan

PETALING JAYA, 4 DIS: Seramai 50 penggiat pelancongan negeri mendapat manfaat geran bantuan kewangan RM1 juta oleh Kerajaan Selangor bagi merancakkan semula sektor berkenaan.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata geran bernilai RM20,000 setiap satu membantu meningkatkan semula aktiviti mereka melalui misi jualan, pameran dan persidangan.

“Kerajaan Negeri berharap geran itu dapat membantu merancakkan semula industri yang terjejas ketika Covid-19,” katanya selepas merasmikan pameran pelancongan Pusing Selangor Dulu di sini hari ini.

Geran itu sebahagian bantuan kepada sektor pelancongan negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta bawah Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum pada Jun lalu.

Selain geran, dana itu juga termasuk baucar Pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran digital serta bantuan kewangan sekali bayar kepada persatuan pelancongan negeri.

Belanjawan Selangor 2022 pula menyediakan inisiatif berjumlah RM114.6 juta bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk membantu penggiat pelancongan antaranya geran pemulihan serta promosi.

Usaha merangsang semula industri itu turut membabitkan pembangunan aplikasi rasmi pelancongan negeri, Go Selangor yang dijangka beroperasi Februari depan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Aktiviti di hutan rimba dibenarkan, tarikan pelancongan

SHAH ALAM, 3 DIS: Aktiviti riadah di hutan rimba dan Taman Eko Rimba masih dibenarkan, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata aktiviti yang tidak dibenarkan adalah di Hutan Simpan Kekal (HSK) khususnya pendakian di mana larangan itu bermula 1 Disember lalu.

“Memang Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengeluarkan notis 1 Disember hingga 31 Januari depan di mana semua HSK ditutup kerana monsun timur laut.

“Selepas saya berbincang dengan pengarah Jabatan Perhutanan kita akan beri kelonggaran kepada hutan simpan rimba kerana ia tempat tarikan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong Wong Siew Ki mengenai notis larangan JPNS ketika penggulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2022 pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Bermula 1 Disember, semua aktiviti pendakian di HSK di Selangor ditutup sementara.

JPNS menerusi Facebook memaklumkan, penutupan itu berkuat kuasa hingga 31 Januari tahun depan.

Mengikut poster dikongsi jabatan itu, individu yang melanggar notis berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.

Sebarang pertanyaan, hubungi talian 03-55447000, 03-55447507 atau e-mel [email protected] .

Categories
AGENDA NASIONAL

1,898 haiwan liar ditangkap bendung kacau ganggu

SHAH ALAM, 2 DIS: Sebanyak 1,898 binatang liar ditangkap dalam operasi tangkapan haiwan terbiar di seluruh negeri antara Januari hingga Oktober lalu.

Jumlah tangakapan merangkumi 1,817 ekor anjing, 75 monyet dan enam khinzir berdasarkan aduan orang ramai, kata EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian.

“Unit Kawalan Vektor dan Haiwan Terbiar, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran menyediakan 23 perangkap monyet bagi mengurangkan isu kacau ganggu.

“Bagi isu anjing terbiar, tangkapan dibuat setiap hari. Jika aduan di kampung, beberapa perangkap diletakkan dengan kerjasama ketua kampung,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Ijok Dr Idris Ahmad mengenai tindakan Kerajaan Selangor bagi membendung masalah haiwan liar di seluruh negeri.

Selain itu, Loy Sian berkata Jabatan Kesihatan turut mewujudkan inovasi perangkap ‘multi trapper’ di kawasan aduan bagi mengatasi isu babi hutan.

“Hasil tangkapan akan diberi dan dipanjangkan kepada Jabatan Perhilitan bagi membendung kacau ganggu haiwan tersebut,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Negeri peruntuk RM150,000 pelihara hutan bakau

SHAH ALAM, 1 DIS: Program pemuliharaan dan pemeliharaan hutan bakau diteruskan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM150,000 melalui bajet pembangunan negeri.

Dana itu digunakan bagi penanaman pokok bakau di Hutan Simpan Pulau Tonggak seluas dua hektar dan rawatan pokok bakau di Hutan Simpan Jugra, kata EXCO alam sekitar.

“Peruntukan juga bagi menyelenggara petak tanaman Rhu Pantai di Hutan Simpan Kapar Tambahan dan perolehan anak pokok bakau bagi penanaman oleh Jabatan Perhutanan Selangor,” kata Hee Loy Sian.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berhubung status program berkenaan dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian yang juga Ahli Dewan Negeri Kajang memaklumkan kerajaan persekutuan turut menyalur peruntukan berjumlah RM82,050 bagi menjayakan program sama.

Jelasnya, dana terbabit untuk melaksanakan perkhidmatan membekal dan menanam anak benih pokok bakau serta kerja lain yang berkaitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa khas bantu pengusaha inap desa dapat kebenaran merancang

SHAH ALAM, 1 DIS: Selangor bakal menubuhkan jawatankuasa khas bagi membantu pengusaha inap desa yang belum mendapat kebenaran merancang di premis mereka.

Tindakan itu susulan banyak inap desa beroperasi tanpa kebenaran di kawasan sungai dan tidak diiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT), kata EXCO Pelancongan Hee Loy Sian.

“Pejabat tanah dan daerah serta Tourism Selangor akan berbincang bagaimana untuk selesaikan isu ini supaya mereka dapat balik kebenaran merancang dengan syarat tertentu.

“Usaha ini secara tidak langsung membantu kelangsungan perniagaan mereka sekali gus mempromosi pelancongan inap desa,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Burong Dato’ Mohd Shamsudin Lias berhubung bentuk galakan kepada pengusaha inap desa bagi meningkatkan daya saing.

Loy Sian menambah Kerajaan Negeri sedang berusaha mempromosikan beberapa kawasan ekopelancongan bagi menggalakkan pelaburan swasta sekali gus menjadi tarikan pelancong.

Menurutnya, terdapat syarikat swasta bersetuju melabur sebanyak RM100 juta untuk menjadikan kawasan Taman Alam Kuala Selangor sebagai lokasi pelancongan antarabangsa.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor juga meluluskan cadangan itu secara dasar,” katanya menambah beberapa lokasi lain turut dicadangkan seperti Pulau Ketam, Sungai Limau dan Sungai Congkak.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri kumpul data rumah Orang Asli perlu dibaiki, bina baru

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklumat berkaitan kediaman masyarakat Orang Asli bagi proses membina, baik pulih dan menaik taraf kedaifan.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata pengumpulan data itu susulan pembentangan Dato’ Menteri Besar dalam Belanjawan #Selangor 2022 yang memperuntuk RM1.5 juta bagi tujuan keselesaan etnik terbabit.

“Kita akan dapat maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan wakil rakyat mengenai keadaan rumah-rumah penduduk sama ada perlu dibaiki atau dibina baru.

“Keadaan setiap rumah tidak sama dan kos perbelanjaan juga tidak sama jadi kita kumpul maklumat terlebih dulu,” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata ini kali pertama belanjawan Kerajaan Selangor memberi peruntukan untuk membina rumah untuk masyarakat Orang Asli.

“Ini adalah berita gembira dan mereka menyambut baik usaha Kerajaan Negeri ini kerana sebelum ini hanya peruntukan baik pulih,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

“Kemudahan-kemudahan prasarana sedia ada juga akan dinaik taraf sekali gus menaikkan sosioekonomi dan mengekalkan budaya masyarakat Orang Asal yang telah sekian lama diamalkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor.