Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Helikopter terhempas di Subang, dua cedera

SHAH ALAM, 24 MAC: Sebuah helikopter jenis Airbus H125 dinaiki lima lelaki terhempas di kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang pagi tadi ketika membuat pendaratan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.26 pagi dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.

Menurut Norazam Khamis dalam kenyataan semua mangsa disahkan selamat dan hanya mengalami cedera ringan di bahagian kaki dan kepala.

“Seorang lelaki patah kaki kanan manakala seorang lagi cedera ringan di kaki. Tiga lagi tidak mengalami kecederaan. Semua mangsa dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya menambah penerbangan berlepas dari Terengganu.

Jelasnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik dengan lima pegawai dan anggota bergegas ke lokasi bagi memberi bantuan.

Norazam menambah helikopter tidak mengalami kebakaran dan punca kejadian masih disiasat.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Helikopter terhempas dalam latihan penerbangan – polis

SHAH ALAM, 1 JAN: Helikopter persendirian yang terhempas di Pelabuhan Klang pagi tadi dipercayai sedang menjalani latihan penerbangan.

Ketua polis Klang Selatan berkata kejadian berlaku selepas juruterbang hilang kawalan ketika helikopter jenis Robinson itu sedang berlegar pada ketinggian empat meter.

“Helikopter milik syarikat di Subang itu jatuh dalam keadaan terbalik. Ekor putus dan tercampak 20 meter dari kedudukan badan helikopter,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut kemalangan akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.

“Dua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya.

Pagi tadi, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis mengesahkan sebuah helikopter persendirian terhempas di kawasan Pelabuhan Klang Free Zone (PKFZ), Pelabuhan Klang selepas melakukan pendaratan cemas.

Bagaimanapun juruterbang, Khairudin Dahlan, 72, dan pembantunya, Moithu Kutti Mohamad, 52, disahkan selamat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Siasatan helikopter polis terhempas di Tawau dijalankan hari ini

TAWAU, 28 FEB: Siasatan berhubung helikopter jenis Agusta Westland AW139 milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas semalam di Kem Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Jalan Air Panas, di sini, akan dijalankan hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah akan ke lokasi kejadian hari ini.

Menurut Peter, pusat kawalan di tempat kejadian juga diaktifkan serta-merta bagi mengawal lokasi kejadian dan ianya dikendalikan oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.

“Lokasi terhempas sudah dikawal pihak kita,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, katanya, helikopter itu dipercayai cuba mendarat di kawasan helipad pada 7.30 malam namun hilang kawalan sebelum melanggar atap bangunan unit pentadbiran K9 di kem berkenaan.

Terdahulu, Bernama melaporkan enam anggota PGU Kota Kinabalu menaiki sebuah helikopter yang berlepas dari Lapangan Terbang Tawau, terhempas sewaktu cuba mendarat di Helipad Kem Batalion 14 PGA Tawau, Jalan Air Panas di sini pada 7.40 malam semalam.

Anggota terlibat menjalankan operasi rutin dan bergerak menaiki helikopter dari Lahad Datu ke Lapangan Terbang Tawau untuk singgah mengisi minyak helikopter, sebelum ke Kem PGA yang kemudian hilang kawalan lalu terhempas

Komander PGU Sabah Asisten Komisioner Ahmad Lokman Abdul Hadi ketika dihubungi Bernama berkata seorang anggota yang cedera tersepit merupakan seorang pemerhati udara, bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nama kesemua anggota PGU yang terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu, menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, anggota yang terlibat dalam kejadian helikopter terhempas itu dikenali sebagai Sarjan Mohamad Radzie Radaie, 40, ASP Shaike Faiqzal Johari, 34, DSP Norhashim Ahmad, 44, Harry Joinin, 36, Sarjan Wedrich Sindih, 34, dan Koperal Andyrian Shah Mohd Saufi, 33 tahun.

Dalam pada itu, seorang saksi, Wong, 60, yang ditemui berhampiran lokasi kejadian berkata Helikopter Agusta Westland AW139 itu berpusing beberapa kali dipercayai mengalami masalah enjin sebelum terhempas di kem PGA.

Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah di Jalan Muhibbah Raya sebelum terdengar bunyi kuat di udara.

“Saya baru lepas makan kira-kira pukul 7 malam, helikopter biasa lalu di kawasan rumah saya, tapi hari ini bunyi kuat lain macam,” katanya dan menambah helikopter itu terbang rendah dan berpusing-pusing sebelum hilang daripada pandangan mata.

– BERNAMA