Categories
AGENDA NASIONAL

Aduan teknikal MySejahtera secara fizikal di lokasi terpilih dibuka esok

PUTRAJAYA, 18 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka helpdesk MySejahtera secara fizikal di beberapa lokasi terpilih bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit berhubung aplikasi tersebut.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata helpdesk MySejahtera fizikal yang pertama akan dibuka di pusat pemberian vaksin (PPV) World Trade Centre, Kuala Lumpur Sabtu ini dan diikuti dengan pembukaan helpdesk fizikal di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 26 Feb depan.

“Jadi orang ramai yang ada masalah dengan sijil vaksin dan sebagainya boleh pergi ke helpdesk fizikal ini untuk selesaikan masalah mereka.

“Helpdesk maya kita teruskan tetapi saya dapat aduan ada yang tunggu lama untuk sijil vaksin dan sebagainya (tapi) masih belum diselesaikan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini semalam.

Beliau berkata KKM akan memperluas kemudahan helpdesk fizikal itu ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Khairy berkata satu pengumuman mengenai protokol isolasi kontak rapat akan dibuat pada minggu hadapan.

Beliau berkata ini selari dengan protokol diamalkan pekerja kesihatan di bawah KKM yang mana mereka menjadi kontak rapat dan tidak bergejala, tidak perlu menjalani kuarantin sebaliknya hanya perlu buat ujian kendiri Covid-19 pada hari-hari tertentu.

Khairy berkata satu pekeliling sudah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa lepas (15 Feb) untuk pekerja-pekerja kesihatan KKM.

“Kita mungkin akan guna pakai protokol sama apabila kita rasa sudah boleh melaksana protokol baharu ini untuk orang ramai.

“Kontak rapat sekarang sangat kerap berlaku sebab kes meningkat dan apabila ini berlaku, gangguan kepada ekonomi, pengurusan pekerjaan dan sebagainya sangat ketara,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata bermula esok bilangan kes harian Covid-19 tidak akan diumumkan pada petang hari tersebut sebaliknya akan diumumkan pada 10 pagi keesokan harinya bersama data-data lain seperti jumlah kemasukan ke hospital, bilangan kematian dan sebagainya.

“Ini bermakna bermula esok petang, tiada laporan bilangan kes harian Covid-19 sebaliknya data pada Jumaat akan diumumkan pada Sabtu pagi.

“Ini supaya kita dapat baca data kes harian bersama data-data lain seperti kemasukan ke hospital dan sebagainya untuk mengurangkan fear factor kes harian setiap hari, dan supaya kita secara perlahan-lahan mendidik masyarakat daripada hanya melihat kes harian kepada angka-angka lain yang memberi gambaran lebih jelas dan teliti tentang keadaan sebenar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aduan masalah teknikal dos penggalak boleh dibuat di MySejahtera atau rujuk PPV

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Individu yang mempunyai masalah teknikal berkaitan rekod vaksinasi dos penggalak Covid-19 di aplikasi MySejahtera perlu membuat aduan melalui aplikasi itu atau mengunjungi semula lokasi mereka menerima vaksin bagi mendapatkan bantuan lanjut.

Ketua data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Dr Mahesh Appannan berkata individu yang sudah menerima dos penggalak tetapi paparan MySejahteranya menunjukkan sebaliknya boleh diselesaikan.

“Sebenarnya kalau kita sudah dapat data tersebut, kita akan uruskan secepat mungkin. Itu yang saya sarankan kalau boleh semua yang tiada maklumat booster (penggalak) dalam telefon mereka, mereka boleh pergi ke bahagian Helpdesk (MySejahtera) dan isi ‘option M’.

“Dalam masa lima hari, akan ada (bantuan Helpdesk) tetapi ini tertakluk kepada maklumat yang mereka isi kerana ini adalah sistem blockchain, kalau maklumat disalurkan tidak tepat memang tidak akan diproses,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata maklumat vaksinasi individu di aplikasi MySejahtera akan dikemas kini secara automatik setelah maklumat individu itu dimuat naik secara lengkap oleh pekerja di klinik atau pusat pemberian vaksin (PPV).

Menurutnya, perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus dan janji temu dos penggalak Covid-19 juga masih mengikut konsep yang sama iaitu individu perlu mengimbas maklumat di kaunter sebelum proses vaksinasi berlaku bagi mendapatkan sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera.

Dr Mahesh berkata dos penggalak diperoleh secara berbayar di klinik tertentu tidak termasuk di bawah pengawasan MySejehtera.

Beliau berkata maklumat akan dikemas kini lewat sedikit dalam MySejahtera setelah mendapat maklumat daripada pihak tersebut.

“Sekarang ramai yang dapat booster secara berbayar jadi mereka menggunakan sistem lain, tidak terus masuk dalam MySejahtera. Buat masa sekarang, klinik-klinik berkenaan haruslah menggunakan program sistem vaksin kebangsaan C0vid-19 iaitu Malaysian Vaccine Administration System (MyVAS).

“Pengurusan (klinik) akan kumpul dahulu data baru akan beri kepada pihak MySejahtera untuk kita memuat naik dalam sistem (MySejahtera). Kalau mereka tidak menggunakan sistem itu memang tidak keluar sijil mereka di MySejahtera,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan mengenai pengguna yang terkejut apabila butiran dos penggalak mereka hilang daripada sijil vaksinasi digital MySejahtera. Ada juga yang menerima janji temu suntikan penggalak sekali lagi walaupun telah menerima suntikan itu.

Seorang pengguna akaun Twitter ‘Armzaniza’ dalam ciapannya memaklumkan bahawa beliau telah mendapat dos penggalak sebulan lepas namun masih belum menerima sijil dos itu walaupun pelbagai usaha bagi menyelesaikan isu berkenaan telah dilakukan.

“Sudah sebulan tidak menerima sijil dos penggalak. Sudah e-mel, sudah pelbagai cara tapi no respond,” katanya.

Sementara itu, Tracy Abdul Gapar, 40, berkata dia mendapat janji temu dos pengalak Covid-19 dan telah mendapatkan suntikan dos itu pada 21 Jan lepas.

Bagaimanapun, katanya, maklumat mengenai suntikan dos itu belum dikemas kini dalam MySejahtera sehingga ke hari ini sebaliknya yang berlaku dia diberi janji temu kedua dalam aplikasi itu semalam.

“Saya sudah buat aduan di Helpdesk namun sehingga kini masih belum ada respons daripada pihak MySejahtera. Saya belum menolak untuk temu janji kali kedua untuk dijadikan bukti yang saya ada menerima (janji temu kedua),” katanya.

Beliau juga risau pergerakannya akan terhad kerana ketiadaan sijil digital dos penggalak berkenaan meskipun dia sudah mengambil dos itu namun maklumat itu belum dikemas kini di aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini dilaporkan, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi peringatan agar semua penduduk berusia 60 tahun dan ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac depan.

-BERNAMA