Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Hendrawan yakin gabungan pemain junior, senior mampu hadapi saingan kejohanan badminton asia

SHAH ALAM, 12 FEB: Skuad badminton lelaki negara perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan membuka tirainya pada 15 Februari ini.

Justeru, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan memberi jaminan akan memastikan pasukan kendaliannya mempamerkan aksi terbaik dan bertenaga terutama ketika bertemu lawan dari Singapura dan Jepun pada peringkat kumpulan.

“Setakat ini, keadaan pemain semuanya baik dan tiada antara mereka mengalami kecederaan. Jadi, inilah masanya untuk mereka menunjukkan persembahan terbaik, apatah lagi kali ini kita bermain di tempat sendiri,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau turut menganggap kejohanan kali ini lebih menarik kerana menggandingkan pemain junior dan senior dan beliau percaya mereka mampu membawa pasukan melangkah ke separuh akhir, seterusnya menjulang piala kejohanan.

Pada masa sama, pengendali kelahiran Indonesia itu berkata Lee Zii Jia yang juga Juara All England 2021 menjadi penyumbang mata penting ketika berdepan lawan dari dua negara terbabit.

“Dia (Zii Jia) perlu meraih mata penting untuk pasukan dan saya yakin berbekalkan pengalaman yang ada, Zii Jia mampu mengawal tekanan lebih-lebih lagi ketika menentang juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew,” katanya.

Selain itu, Hendrawan mengakui setiap negara memiliki kekuatan sama rata berikutan keputusan masing-masing menurunkan campuran pemain muda dan berpengalaman pada kejohanan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City itu.

Menerusi undian pada 8 Februari lalu, Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Singapura, Jepun dan Kazakhstan manakala kumpulan A diketuai juara bertahan Indonesia, India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Pada saingan kali ini, Malaysia menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki diketuai Zii Jia, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Kok Jin Hong.

Dalam acara beregu pula, Malaysia diperkuatkan kehadiran pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik selain Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir sekali gus menempah tiket kelayakan automatik ke Piala Thomas dan Piala Uber 2022 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 dari 15 hingga 20 Februari yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).